Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 16


Tingkap kaca berbingkai kayu itu ditolak bagi memberi laluan udara pagi menerobos masuk. Perasaannya damai sebaik menghirup udara beraroma hujan yang segar. Ketika fajar sadiq memunculkan diri, hujan renyai turun buat beberapa waktu. Enak berbungkus di bawah selimut akhirnya dia menggagahkan diri untuk bangun menunaikan solat Subuh.

Telah menjadi rutin buat Suraya untuk pulang ke kampung setiap dua minggu. Kali ini, pulangnya sendirian. Kerana kebelakangan ini Hanis kelihatan sibuk menghadiri kursus jabatan. Dia, pernah meluahkan rasa kepada temannya itu. Sunyi tatkala kerap pula ditinggalkan. Nak berhujung minggu bersama-sama pun susah. Alasan Hanis, namanya telah tercalon antara pegawai yang bakal dinaikkan pangkat. Sebab itulah jadualnya bertukar sibuk dan tidak menentu.

Puas mengambil angin di bahagian anjung itu, Suraya mencari ibunya di dapur. Sepi. Rupa-rupanya, mummy sedang membaca di ruang tamu. Abah pula tidak ada di rumah kerana keluar bekerja. Tetapi, separuh hari sahaja.

Mummy yang sedang tekun menelaah langsung tidak mengendahkan kehadirannya apabila tempat duduk bersebelahan itu diambil. Suraya mengerling dengan ekor mata. Ringkasan Ihya Ulumuddin sedang dibaca oleh ibu kesayangan. Suraya tidak pasti bila tetapi, kebelakangan ini kata abah masa lapang mummy lebih banyak dihabiskan dengan membaca kitab-kitab ilmu. Selain itu, mummy turut mendalami ilmu agama dengan menghadiri kelas-kelas atas talian dan di surau taman. Dan, tidak lagi mummy menatap telefon sekadar melihat barangan di toko alam maya.

"Mummy baca apa?" tanya Suraya meski sudah tahu jawapannya.

"Hidayatus Salikin. Yaya nak baca?" soal mummy pula sambil menoleh ke arahnya. Senyuman yang mekar menghiasi bibirnya.

"Nantilah." Suraya menjawab sambil tersengih. Meski dia tahu menuntut ilmu fardhu ain itu wajib kata hati masih mahu menuruti kata nafsu. Apatah lagi ketika sedang berada di pentas permulaan kerjaya. Kabut duniawi membatasi ukhrawi.

"Erm, mummy nak masak ke Yaya yang masak?" soalnya kemudian. Lapar pula perutnya di awal pagi itu. Kebiasaan apabila pulang, awal-awal pagi lagi mummy akan menyediakan sarapan. Tetapi tidak pula pada hari itu. Ketika melintasi ruang dapur tadi dapat dilihat meja makan itu kosong.

"Yayalah yang masak. Tekak mummy ni rasa nak makan nasi goreng telur yang Yaya buat." ujar mummy sambil melemparkan satu senyuman.

Suraya mengangguk tanpa banyak soal. Permintaan mummy disambut dengan perasaan senang. Apa saja keinginan ibu kesayangan mahu dipenuhi. Sementelah sudah berkerja dan mempunyai pendapatan sendiri, keinginan hati membuak untuk membalas jasa orang tua.

"Yaya masuk dapur dulu. Nanti dah siap Yaya panggil mummy, kay." katanya dengan lembut lalu perlahan-lahan bangun menuju ke dapur.

Perkara pertama yang dilakukan adalah mengintai nasi dalam periuk. Masih banyak lebihan nasi sejuk malam tadi. Patutlah mummy meminta tanpa ragu. Dia beredar pula ke arah peti sejuk lalu sebatang lobak merah dan sebekas udang kering dikeluarkan. Rak kabinet bawah dibuka dan raga bebawang ditarik keluar dari konsol. Bawang kuning dan putih diambil beberapa biji. Sedikit udang kering digagau lalu dibasuh dan direndamkan buat seketika. Sebentar nanti dia mahu mengisar udang kering tersebut.

Usai mengupas kulit bawang dan lobak, dua bahan itu dibasuh beberapa kali sebelum lobak itu dipotong Julienne. Bawang kuning pula dipotong dadu. Manakala bawang putih disagat halus. Siap mengisar udang kering, dia mula memanaskan minyak. Ditumis bawang putih hingga berbau kemudian dua biji telur dipecahkan lalu dikacau-kacau buat seketika.

Lima belas minit kemudian, dua pinggan nasi goreng hasil air tangannya terhidang di meja makan. Dibancuh pula minuman. Seteko kecil teh susu panas kegemaran mummy siap dan dia kembali ke ruang tamu menjemput ibu kesayangan untuk bersarapan. Lebar senyuman wanita itu ketika masuk ke dapur dan duduk di meja makan.

"Pandai anak mummy sediakan. Taklah mummy susah hati teringatkan Yaya sendirian dekat KL tu."

Suraya menyeringai. Hairan kerana memang mummy tahu anak gadisnya itu boleh memasak meskipun tidaklah setanding seorang tukang masak yang hebat. Cukup sekadar mengenyangkan perut sendiri.

"Mummy... Hanis kan, ada. Kak Rin walaupun busy, sesekali ada jugak di rumah. Kalau mummy nak tahu, Kak Rin lagi terer masak," ceritanya membuatkan mummy memandang seakan ingin mengetahui dengan lebih lanjut.

"Kak Rin pernah jamu kitorang dengan nasi dagang resepi turun temurun keluarganya. Sedap betul rasanya. Tak sedar Yaya dan Hanis makan bertambah-tambah." katanya lagi sambil ketawa geli hati mengingati kejadian itu.

Mummy ikut senyum. Senang hati mendengar celoteh Suraya yang menjalani kehidupan yang rukun bersama-sama teman serumah.

"Baguslah macam tu. Mummy dengar banyak resepi yang enak-enak dari Pantai Timur. Elok sangat Yaya belajar apa-apa menu yang Yaya gemar dari Kak Rin. Makin luas pengetahuan Yaya dalam bidang masakan ni. Ilmu, tak semestinya dalam buku saja. Pengalaman itulah ilmu sebenar." ulas mummy memberikan pendapat.

Suraya menganguk beberapa kali tanda mengiyakan.

"Mari makan." ujar mummy tidak berlengah lagi.

Lantas, teko dicapai dan Suraya menuangkan minuman ke dalam dua biji cawan yang tersedia. Mereka makan dalam diam kerana memang tabiat mummy ketika makan tidak dibenarkan untuk berbual atau bersembang kosong melainkan ianya keperluan.

"Kerja, macam mana?" tanya mummy ketika mereka duduk berehat di anjung.

Oleh kerana hujan yang turun tadi, mummy belum lagi mahu membelek tanaman kesayangan. Mahu duduk santai sahaja di situ.

Suraya mengerling ke arah mummy sebentar sebelum pandangan ditebarkan ke sekitar. Menikmati suasana sepi yang menakluki taman perumahan itu setelah tamat keadaan yang agak hingar ketika sebahagian penduduk keluar untuk urusan masing-masing di awal pagi tadi. Kicauan burung jelas kedengaran. Titisan hujan masih menitik dari hujung dedaun. Nyaman dan tenteram.

Perlahan-lahan, dia menarik sebuah kerusi dan melabuhkan duduk. Mummy pula diam memerhati lagaknya. Oleh kerana isu yang timbul kelmarin, dia masih meneruskan kerja-kerjanya sebelum ini. Drive testing yang dicanangkan oleh Dr. Adrian juga berjalan seperti dirancang. Dia tidak dibuang dari pasukan itu tetapi, belum dipanggil hingga ke suatu masa.

Entah apa agaknya yang dirancang oleh Dr. Adrian dan Mr. Lee. Malahan, ketika bersemuka dengan Mr. Lee, bersungguh-sungguh bosnya itu menyokong tindakan Dr. Adrian yang memilihnya di dalam pasukan itu. Kata Mr. Lee,

"The most dangerous place can be the safest."

Dia tidak dapat membantah lagi. Alasan demi alasan diberikan oleh Mr. Lee kepadanya. Pasukan khas yang melibatkan dirinya itu umpama satu peluang keemasan yang belum tentu dapat diperolehi oleh staf yang lain. Seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin olehnya. Mendengarkan kata-kata itu, dia mengangkat bendera putih. Mengaku kalah dengan hujah bernas bosnya itu.

"Okay je, mummy. Inshaallah Yaya boleh buat." tuturnya seperti membaca ikrar.

"Yaya kena buli ke di ofis?" duga mummy seakan kurang percaya dengan kata-katanya sebentar tadi.

Pantas Suraya menggeleng diiringi sekelumit senyuman.

"Tak, mummy..," dalihnya enggan mengganggu perasaan mummy andai perkara sebenar diluahkan.

"Cuma, Yaya tak berapa suka bos Yaya tu."

"Kenapa? Dia buat sesuatu yang tak senonoh ke dekat Yaya?" soal mummy dengan nada sedikit cemas.

Suraya tergelak kecil. Mengelak untuk menceritakan insiden dengan Dr. Adrian tempoh hari. Baginya, perlakuan lelaki itu belum sampai tahap tidak sopan. Bak kata Hanis, kurang sabar.

"Tak, lah. Bos Yaya tu bukan macam tu. Cuma, bila dia bercakap, macam Yaya aje yang tak betul. Tak sukalah." adunya pura-pura merajuk.

"Ada dia bagi kerja yang berat-berat?"

"Tak. Kalau Yaya tak mampu dia akan tunjuk ajar pula. Kalau Yaya boleh, dia perhati aje Yaya buat dan akan tegur kalau-kalau tersilap." jelasnya pula.

"Orangnya muda ke tua?"

"Muda... Tapi lebih tua pada Yaya. Umurnya Yaya tak pasti. Sebab, kami mana ada borak-borak soal peribadi. Kami banyak bercakap berkaitan kerjalah, mummy." Dia mulai jemu. Niat dihati mahu mengadu tetapi, hal ehwal lelaki itu pula yang mendapat perhatian mummy.

"Untuk dapat apa yang kamu suka, pertama kamu mesti sabar dengan apa yang kamu benci."

"Apa yang mummy cakap tu?" soalnya ingin tahu. Tak semena-mena mendengar mummy berkata begitu tentu ada sesuatu yang ingin diperkatakan. Tetapi, dia teramat pasti ianya suatu petikan.

"Itu kata-kata dari imam besar Imam Al-Ghazali. Banyak mutiara kata yang dititipkan yang boleh dijadikan pedoman. Dari ibadah, syariat, tasawuf dan kehidupan seharian. Selain Al Quran, sunnah dan hadis, mutiara kata daripada orang-orang soleh ini patut juga kita ambil sebagai titipan. Mereka semua lebih banyak ilmunya dari kita. Tak rugi kalau kita ambil. Tak kurang ilmu kalau kita pelajari." terang mummy panjang lebar.

Diam.

Pandangan terlempar ke luar sebaik segaris senyuman diukirkan mengiktiraf pandangan mummy itu.

"Tapi..," sambung mummy lagi.

Suraya kembali menoleh menatap wajah kesayangannya itu. Menadah telinga mahu mendengar lebihan tausiyah yang mummy mahu berikan.

"Berpada-pada dalam membenci. Bersederhana dalam tak suka. Dah banyak pengalaman orang awalnya tak suka, akhirnya berkasih. Hati-hati, Yaya."

"Eh, mummy ni... Ke situ pulak. Jadi betul baru mummy tahu." rungutnya tidak bersetuju dengan haluan fikiran ibunya itu.

"Kenapa? Tak elok sangat ke perangai bos Yaya tu?"

Ggeleng.

"Tak ikut KPI Yaya?"

Suraya membulatkan biji mata.

'Amboi! Pandai pulak mummy guna terma macam tu.'

Dia, tergelak kecil.

"Taklah, mummy. Bos tu okay. Cuma, kadang-kadang Yaya rasa macam jengkel. Annoying gitu." ujarnya sambil mencebirkan bibir.

"Yaya, walau macam mana pun, mummy rasa Yaya tak patut fikir macam tu. Hormati bos Yaya tu sebab pengalaman yang Yaya dapat sekarang ni walau tak banyak, hasil dari tunjuk ajar dia juga. Sudah-sudah bersangka. Tak baik dan boleh dapat dosa." nasihat mummy lagi sekaligus membuatkan dia terdiam.

Kata-kata mummy banyak terselit kebenaran. Mungkin, dia yang terlalu ego untuk mengakuinya.

Previous: Bab 15
Next: Bab 17

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.