Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 1


Sudah lebih dari tiga minggu semenjak ketiadaan teman baik yang bernama Hanis. Suraya menjalani rutin seharian dengan perasaan rindu terpendam di dada. Perasaan itu makin kuat menghimpit tatkala terkenang kembali kedatangan Hanis yang tiba-tiba muncul di depan pintu rumah semata-mata mahu mengajaknya berbual-bual kosong. Terkadang hadirnya untuk meminta pendapat terhadap produk di atas talian yang ingin dibelinya.

"Babe, aku nak beli baju kurung cotton ni. Okay tak dengan aku?" Sambil menunjuk telefon pintar yang terpapar iklan pakaian dari sebuah laman beli-belah, Hanis berkata dengan sengih menempel di muka.

"Wow! Cantik. Cuma, nanti karang kau jugak yang bengang bila dapat lain dari gambar tu. Color teruk laa, saiz lari laa, kain tak best laa..." bebel Suraya sekadar mengingatkan.

Ingatan itu membawa Hanis kepada kejadian membeli sehelai abaya beberapa minggu yang lalu. Abaya tradisi dari negara Turki itu telah mendapat sentuhan moden zaman kini. Berona hijau zaitun dengan sentuhan ropol kecil di bahagian dada dan mempunyai tali ikat pinggang membuatkan ia nampak eksklusif. Kainnya kelihatan cantik beralun ketika seorang model memperagakannya. Namun apabila pakej itu sampai di tangannya, pepatah indah khabar dari rupa difahami dengan hak. Kain yang kejung. Warna pula hijau kekuningan. Ropol yang cantik berjahit kelihatan buruk kerana ia adalah tampalan riben semata-mata. Tiada ropol comel yang menjadikan ia tampak istimewa di matanya.

"Ahh!.. Itu benda lain aku beli. Yang ni confirm sesuai punyalah!" kata Hanis menembak jatuh khayalan yang bermain di minda. Lagipun, pakej itu telah selamat dipulangkan kembali. Free returns!

"Benda lain apa? Kain baju jugak tu!"

Namun, ingatan itu diambil ringan. Kemahuan bila sudah ditetapkan siapalah yang mampu menahan.

"Hari ni nak beli apa pulak?" soal Suraya sebaik membukakan daun pintu. Baru kelmarin berbelanja Hanis sekali lagi datang meminta pendapat. Mahu mencari sepasang sut pejabat setelah tawaran kerja siap diterima semalam.

Bukan sekali Suraya tersengih sendirian mengenangkan telatah Hanis itu. Dia, benar-benar rindukan temannya. Juga, rindukan momen ketika mereka berdua sedang mengalami fasa bergelar pengganggur. Berbual, melepak, menonton filem dari kaca YouTube juga, sesekali menanam angan bersama-sama.

Kini, sudah hampir dua bulan Hanis berhijrah ke Kuala Lumpur dengan menjawat sebuah jawatan di dalam perkhidmatan awam. Tinggal dia bersendirian dengan gelaran pengganggur, kekal untuknya.

Saban hari, pergerakan Suraya ibarat mod automatik. Rutin harian membantu mummy di dapur kemudian, ke kebun mini. Bantuan yang dihulurkan seminimal mungkin. Bukanlah dia seorang yang pemalas. Atau gemar mencuri tulang. Tetapi, jelingan ala-ala warden penjara itu sering mengingatkan Suraya supaya cermat dan teliti ketika melakukan sebarang pekerjaan. Ah, mummy... Dia terlupa sikap cerewet yang dipunyai oleh mummy kesayangan itu!

Usai bersolat Asar pada petang itu, Suraya merebahkan diri ke atas tilam. Dengan perasaan malas, tubuh dibawa mendekati sebuah kabinet kecil. Laci kayu itu ditarik dan sebuah komputer riba berwarna kelabu gelap dikeluarkan. Dalam bermalasan, dia menanti paparan Windows terpasang. Tanpa menunggu lebih lama, jari jemari menari di atas pad cursor lalu ikon email ditekan. Dia tidak menafikan setiap kali ikon itu dibuka pasti perasaan bergemuruh menggamit dada.

"Han, cuba tengok CV aku ni. Apa pendapat kau?" ujarnya kepada teman baik yang sedang leka bermain dengan telefon pintar.

"Bak sini laptop tu," pinta gadis itu sejurus meletakkan telefon pintar yang dipegang ke sisi.

Segera Suraya menyerahkan komputer riba itu. Diperhati wajah serius yang sedang membaca paparan rasmi itu sambil kedua kaki yang terjulur ke bawah digoyang-goyangkan.

"Dah bagus ni. Semua informasi terbaru kau dah update," ulas Hanis lalu menoleh ke arahnya dengan satu senyuman.

"Company mana kau nak hantar ni?"

"Telco. Aku jumpa iklan dia dalam web cari kerja yang kau beri semalam."

"Betul kau tak nak cuba government?"

Suraya mengeluh perlahan sebelum komputer riba itu diambil kembali.

"Han, kita dah bincang, kan?.." tuturnya sedikit jengkel. Lirikan dibawa menilik lampiran profil diri buat kesekian kali.

"Tapi, apa salahnya. Kalau ada rezeki, entah-entah kita dapat jabatan yang sama." ujar Hanis enggan mengalah dalam usaha memujuk temannya itu. Dahulu lagi dia menelan rasa kecewa ketika Suraya menyuarakan hasrat enggan berada di dalam sektor perkhidmatan awam. Langsung menyalahi fikirannya yang menyangka Suraya mahu mengikuti jejak langkah bapanya yang bertugas di dalam perkhidmatan itu.

"Sharifah Yuhanis... Kau dah jelas yang aku tak minat. Titik." tutur Suraya dengan tegas sebelum menebarkan lirikan ke kawasan sekitar. Pagi yang sunyi. Tiada sebarang bunyi kenderaan yang lalu-lalang hatta suara percakapan. Apatah lagi kicauan burung. Hanis, tinggal bersendirian di rumah. Kedua orang tuanya keluar berkerja manakala adik-adiknya sedang bersekolah. Dia pula telah meminta izin daripada mummy untuk ke rumah gadis itu meneruskan agenda mencari pekerjaan. Juga, ingin menonton siri drama dari Jepun kegilaan temannya itu. Dan dia sendiri pun minat juga. Tetapi, tidaklah segila seperti temannya itu.

"Okay okay. Aku tak sebut dah." sahut Hanis mengerti tiada guna berusaha lagi. Kalau dah jenis keras kepala tiada guna dipujuk bagai.

Bunyi notifikasi sebaik paparan aplikasi bersedia menyedarkan Suraya kepada dunia realiti di hadapannya. Kelopak mata dipejamkan sebelum satu nafas yang panjang ditarik. Perlahan-lahan, visualnya dibuka lalu jari telunjuk menarik ikon anak panah ke arah ikon email.

"Kalau Yaya nak, resume Yaya tu abah hantar pada admin jabatan. Tak silap abah, ada beberapa jawatan kosong di jabatan digital." kata abah yang bertugas sebagai seorang pegawai di jabatan komunikasi negeri.

Suraya membulatkan biji mata. Tak jadi mencabut rumput rampai yang meliar tumbuh. Sambil duduk bercangkung di tepi pagar kawasan senaman itu, dia mendongakkan kepala memandang abah yang sedang berjalan di atas batu pijak refleksologi berhampiran.

"Abah!.. Sanggup abah offer Yaya?" dakwanya sedikit tidak percaya.

"Dah kenapa?" Seperti tidak memahami, selamba abah menyoal kembali.

"Laa... Kalau setakat guna kabel abah, baik Yaya hulur dekat abah sijil form 6 Yaya tu. Tak payahlah Yaya berusaha buat penyelidikan, eksplorasi dan kajian masa dekat U dulu."

"Oh," kata abah lalu berhenti sejenak dari berjalan dan, merenung ke arahnya. Dalam pandangan yang dilontarkan. Maksud yang disampaikan telah tercemar kerana dia tidak berhajat seperti yang difahami oleh anaknya itu.

"Abah cuma hantar sebagai recommendation. Selebihnya abah tak campur. Lagipun, abah bimbang Yaya putus asa." terang abah kemudian.

Suraya menggelengkan kepala beberapa kali. Niat abah mula difahami. Iyelah. Mana ada ibu bapa yang tak bimbang bila anak yang sudah tamat belajar masih belum dapat kerja meski sudah puas memohon di sana sini.

"Tak, abah. Yaya tak mungkin berputus asa. Tapi, Yaya boleh putus asa kalau abah ada sikap macam ni. Tak adil untuk orang lain dan tak rela diri Yaya ni teruskan. Kalau Yaya nak sekalipun, biarlah ikut saluran yang betul. Macam Hanis."

"Abah, lupa tadi." akui abah sebelum melepaskan satu keluhan kecil.

"Kalau setakat abah canang tentang kerja kosong tu, Yaya boleh terima. Tapi, kalau sampai gunakan jawatan abah, yang tu Yaya tak terima. Tapi, abah tak perlu risau. Dari dulu lagi Yaya dah tahu ke mana Yaya nak pergi." luah Suraya lagi lantas membuatkan abah termenung panjang. Meski telah menerangkan niatnya ia jelas terpalit kecacatan. Apa boleh buat. Isu intergriti dah jadi seperti kudis buta kebelakangan ini. Sukar untuk dihapuskan namun masih boleh dirawat.

Transisi skrin yang bertukar warna itu menarik perhatian Suraya untuk kembali fokus kepada paparan yang terbentang di hadapan mata. Lirikan, melihat satu email rasmi berada di barisan pertama di antara barisan yang lain. Font gelap menandakan ia belum dibaca ditekan. Tekun sekali dia membaca sebelum mulutnya melopong dan dadanya diserbu kemuncak kegembiraan. Maklum balas tidak terus dilakukan. Sebaliknya, bingkas dia bangun meninggalkan kamar tidurnya untuk mencari kedua orang tua. Khabar gembira itu harus disampaikan kepada mereka terlebih dahulu.

“Yaya, mummy tak kisah pun kalau Yaya belum dapat kerja. Lagipun, baru beberapa bulan Yaya balik ke rumah. Bila Yaya dapat kerja nanti tinggallah mummy sendirian lagi.”

Belum sempat Suraya menyandarkan tubuh ke kerusi posturnya berubah tegak. Lirih suara mummy menyambut kedatangannya yang baru menyertai mereka berdua yang sedang minum petang di beranda. Dia, terpana. Berita baik yang mahu diumumkan terbantut buat seketika.

Spontan dia melirik ke arah abah yang sedang tekun membaca akhbar sebelum cetakan keras bersaiz kompak itu dilipat dua dan dibiarkan di atas meja. Lantas, cawan berisi teh O panas pula dicapai. Seteguk minuman disisip. Mata yang dilindungi oleh sepasang kaca mata untuk membaca bersilih ganti memerhatikan mummy dan Suraya.

Ketika pandangan abah berselisih dengannya, Suraya berucap tanpa suara. Menanya abah apa yang berlaku kepada ibu kesayangan. Di saat genting begini, Suraya amat memerlukan bantuan abah untuk menjadi perisai yang membela dirinya. Juga membela keputusan yang telah diputuskan. Dia ingin segera menimba dan meraih pengalaman dalam bidang pekerjaan. Tekad untuk sama-sama berada di dalam kelompok individu yang memiliki pekerjaan tidak mampu disengkang lagi. Makin ditangguh makin terseksa jiwa dan raganya.

Dia, tidak pernah berasa cemburu dengan keupayaan Hanis yang terlebih dahulu menjawat jawatan. Sepanjang mengenali gadis itu iaitu dengan lebih tepat lagi semenjak mereka berdua dilahirkan ke dunia ini, belum pernah lagi perasaan begitu wujud di antara mereka berdua. Kata ibu Hanis, iaitu Puan Sharifah Hassanah, mereka itu kembar lain ibu. Lahir di hari yang sama, waktu yang hampir sama. Perbezaan mereka hanyalah tempat kelahiran. Sumpah. Sekelumit rasa cemburu belum pernah wujud di dadanya buat gadis yang dianggap seperti adik kandungnya itu. Dia, cuma tidak sabar. Ya. Tidak sabar untuk beralih posisi dari seorang penganggur kepada penjawat.

Dan, sungguh dia tidak menyangka pendirian mummy jauh tersasar daripada abah dan dirinya sendiri. Alahai, gundah-gulana pula dibuatnya memikirkan keluh-kesah mummy itu.

"Nor, bila dah tamat belajar apa lagi yang budak-budak harapkan kalau bukan kerja," kata abah seakan memujuk isteri kesayangannya itu. Dia memahami perasaan isteri dan anaknya itu. Masing-masing punyai keinginan sendiri.

"Yaya, abah pun tak pasti kenapa tiba-tiba mood mummy jadi sentimental akhir-akhir ni." maklum abah setelah mummy tidak menyahut.

Mulalah dada Suraya resah melihat reaksi mummy itu. Reaksi yang sudah beberapa tahun tidak dilihat itu muncul kembali. Reaksi gusar melepaskan anak kesayangan untuk berdiri dengan dua kaki sendiri.

Suraya sengih kelat. Abah membalas serupa.

"Eh, eh... Abang sindir Nor, ke?" tukas mummy tidak berpuas hati mendengar kata-kata abah sebentar tadi.

Abah tergelak. Suraya cuba mengikut rentak. Hanya mampu tersenyum sumbing. Persoalan mummy langsung dibiarkan sahaja oleh abah. Tentu mummy sendiri tahu jawapan kepada usikan abah itu. Sengajalah tu nak menduga emosi mummy.

"Abang, Nor faham maksud abang tu... Tapi, baru sangat Yaya balik ke sini...dah kena pergi lagi sekali." ujar mummy masih lagi dengan nada sedihnya.

Aduh. Payah! Suraya menarik bibir rapat. Tiada lagi rasa lucu melihat telatah mummy tatkala diusik oleh abah. Dia, menatap wajah mummy dalam. Wajah yang sentiasa kelihatan cantik pada padangan matanya itu dipandang dengan perasaan berbelah-bagi. Mummy memiliki sepasang mata yang dalam dan tajam. Juga berkening lebat. Mukanya berbentuk bujur dengan dagu yang tirus. Meski wajah mummy sering kelihatan serius, sebenarnya mummy bukanlah seseorang yang pandai menyembunyikan emosi. Kata abah, mummy ibarat open book. Terkandung persoalan dan jawapan dalam material yang sama. Tak perlu bersusah payah menebak atau menembak. Ketika ini wajah muram itu benar-benar meresahkan Suraya. Kenapa dengan mummy ni?

"Nor, tak kesian ke dekat anak kita yang dah berhempas pulas belajar bertahun-tahun tetapi disuruh duduk rumah saja?" tanya abah kepada mummy yang terus kelihatan sugul.

"Agaknya mummy Yaya lupa kot macam mana lagaknya dia waktu muda-muda dahulu. Tak sempat tamat belajar mummy dah mula berkerja, tau." tambah abah sengaja mengubah topik.

Mulut Suraya terbuka membentuk huruf O.

"Hah? Betul ke abah?.. Yaya tak tahu pun." Pertama-tama dia bersuara setelah agak lama mendiamkan diri. Jelas dia terperanjat kerana apa yang dia tahu, mummy tidak pernah berkerja. Dikerling ke arah mummy yang mula kelihatan tidak senang duduk apabila fokus kini tertumpu kepadanya pula.

"Ha'ah. Masa mummy kerja tu, abah dan mummy baru bertunang. Kitorang, tamat belajar terus kahwin. Mummy berhenti kerja pulak bila dapat tahu Yaya ada dalam perut. Mummy bimbang keselamatan Yaya sebab masa awal kandungan tu kerap sangat berlaku pendarahan." cerita abah panjang lebar dan dia mendengar dengan khusyuk.

"Jadi, sebab Yaya, mummy tak dapat kerja lagi?" soalnya sambil melirik ke arah mummy kesayangan. Ada perasaan serba salah bertamu di hati sebaik mendengarkan kisah itu.

"Eh, taklah. Sebenarnya, mummy pun tak larat dah nak kerja masa tu. Staf di ofis tak cukup. Mummy Yaya dah macam sotong buat kerja. Tak cukup kaki tangan. Kerap pulak balik lambat." sampuk abah terlebih dahulu memaksa Suraya beralih pandang kepada abah pula.

Dia terangguk-angguk memahami. Sisa kesedihan yang terlahir mengenangkan dialah penyebab karier mummy terputus di tengah jalan separa terbenam mendengar penjelasan abah.

"Mummy tak pernah menyesal dengan keputusan mummy, tau. Mummy bahkan gembira sebab keputusan mummy berakhir dengan Yaya yang ada depan mata mummy ni. Penyejuk hati mummy," tutur mummy lembut seperti memahami isi tersirat yang tidak terlahir di bibirnya ketika ini.

Suraya menarik senyum. Bahagia sekali. Perasaan yang berbaki langsung tertanam. Lengan mummy dipaut lalu dilentokkan kepalanya di bahu itu. Mummy mengelus tangannya perlahan. Pengorbanan yang mummy dilakukan bukanlah kerana dirinya semata-mata. Kerana mengalah dengan sistem yang membebankan. Walaupun secara tidak langsung kehadirannya juga memberi sedikit peranan dalam keputusan mummy dahulu. Suraya terharu. Benar-benar terharu dengan kesudian mummy demi keluarga kecilnya itu.

"Dan, abang pulak! Jangan buat U turn. Nor tengah sibuk fikirkan tentang Yaya, cerita Nor pulak yang abang bangkitkan." rungut mummy tidak berpuas hati.

Abah tertawa. Suraya lantas menjarakkan diri dan ikut tertawa. Kali ini dia benar-benar diketuk rasa lucu melihat adegan kedua orang tuanya yang belum berkesudahan itu.

"Laa...betul apa? Abang tak reka cerita. Tempat kerja tu tempat Nor buat latihan, kan? Waktu latihan pun dah bertimbun kerja, inikan jawatan tetap."

"Mana ada. Nor tolaklah tawaran tempat latihan tu."

"Habis tu tempat Nor kerja tu tempat mana pulak?"

"Itu tempat latihan tak jadi."

"Laa... Tempat latihanlah tu."

"Okayla, okaylaa… Tak perlu ribut-ribut sebab Yaya, abah dan mummyku..,"

Suraya menyampuk sebelum sempat perbahasan itu berlanjutan. Kedua tangannya naik memberi isyarat sabar kepada orang tuanya. Dan hampir saja dia berdiri demi mendamaikan gaduh-gaduh manja mereka itu. Dia, berdehem beberapa kali sebelum tersenyum sumbing.

"Sebenarnya abah dan mummy... Yaya, dah dapat kerja!.." ujarnya dengan nada sedikit tinggi. Kegirangan jelas kedengaran. Kiri dan kanan dia berkalih pandangan. Melihat abah dan mummy dengan perasaan teruja. Abah dan mummy pula sama-sama memandangnya dengan perasaan tidak percaya.

"Betul ni, Yaya??" sahut abah.

"Tak... Tak boleh!!" ucap mummy dengan suara melebihi nota suara Suraya sebentar tadi.

Kedua-dua mereka serentak bersuara. Namun, kata-kata mummy terlebih dahulu membuat Suraya terpempan.

"Mummy, kenapa? Mummy betul-betul ke maksudkan apa yang mummy cakap tadi tu? Mummy tak izinkan Yaya berkerja?" soalnya cemas. Kedua tangan mummy terus disauk olehnya. Riak bercahaya ketika mengumumkan berita itu berubah malap. Dia menantikan mummy membuka mulut. Dan, tiada yang lain dalam hatinya ketika ini selain mengharapkan halangan itu tidak wujud.

Tiba-tiba, mummy tertawa kecil.

"Mummy gurau ajelah, Yaya. Saje... Nak tengok reaksi anak mummy tu..."

"Aduhai!.. Mummy!!... Mummy dah berjaya buat Yaya bimbang, tau!"

Baik abah mahupun mummy kedua-duanya tertawa besar mendengar ucapan darinya itu. Suraya melirik semacam pula ke arah abah. Eh, lain macam ketawa abah. Berdekah-dekah seperti seronok pula melihat keadaan dirinya ketika ini.

"Abah pun sama kan?.. Dah pakat dengan mummy untuk kenakan Yayalah ni? Sorang pura-pura setuju... Sorang lagi tak. Eeiii... Sungguh-sungguh Yaya percaya, tau!" ujarnya dengan mata yang tajam menjurus ke arah abah.

Makin galak abah tertawa. Tekaan tepat seratus peratus. Mulut, ditarik muncung seperti paruh burung. Elusan mesra di belakang tubuh sekelip mata mengubah mood untuk merajuk kepada satu senyuman simpul. Suraya melirik ke arah mummy yang tersenyum mesra menatap wajah buah hati tercinta.

"Tunggu sekejap. Yaya pergi ambil laptop." tuturnya buru-buru meninggalkan mereka berdua untuk menyampaikan berita besar yang baru diterima tadi.

Previous: Prolog
Next: Bab 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.