Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 26


Aroma mint frost yang menyelinap dalam suhu nyaman di dalam kenderaan itu tidak mampu menenangkan dirinya. Dia, sedang duduk di belakang tempat duduk pemandu. Abah duduk di sebelahnya. Tertidur. Mengenangkan satu-satunya orang yang dikasihi itulah yang membuatkan dia terpaksa berada di situ meski hati terlalu berat untuk mengikuti.

Sepi.

Ngauman enjin kereta hampir-hampir tidak tertangkap di cuping pendengaran. Sekilas pandangannya dan Dr. Adrian bersatu. Sama-sama berkalih. Ketika tiba untuk menjemput abah pada waktu tengah hari tadi lelaki itu tidak menyapa dirinya seperti biasa. Dia apatah lagi. Berkelakuan seperti lelaki itu tidak wujud di hadapan mata.

Suasana yang rancak dengan perbualan di antara abah dan Dr. Adrian bertambah rancak dengan kehadiran Hanis dan keluarga sebelum rakan jabatan abah pula tiba. Hampir satu jam kemudian, barulah teman jabatan abah mengundurkan diri.

Ketika dimaklumkan oleh abah bahawa Dr. Adrian bakal memandu mereka pulang ke kampung, cepat-cepat dia beralasan. Mahu menumpang orang tua Hanis yang memandu sebuah MPV. Harapan menggunung berkecai tatkala Pak Long meluahkan hasrat untuk bertolak pulang pada sebelah petang nanti kerana mahu mengambil kesempatan berehat sebentar di apartmen. Mahu atau tidak, paksa atau rela, dia akur dengan pelawaan Dr. Adrian dan kesudian abahnya.

Sekali lagi, pandangan bertemu. Terus dilarikan ke ribaan. Terfikir. Terlalu banyak budi yang dimakan. Adakah lelaki itu ikhlas? Atau mengharap balasan? Mau menyesalikah tindakannya meminta bantuan daripada lelaki itu sebelum ini? Akan tenangkah hatinya andai dia berterus-terang bertanyakan tentang keikhlasan itu?

Disandarkan kepala. Mata dipejamkan. Pertanyaan yang bermain di benak diabaikan. Namun, tak pernah minda lari dari memikirkan. Dia, belum pernah terlintas untuk berhubungan sedalam ini dengan teman sepejabat. Apatah lagi teman itu orang yang berpangkat darinya. Sisipan peribadi biarlah dilindungi dan menjadi rahsianya seorang. Dia tidak gemar andai privasi hidupnya berada di dalam diari individu lain. Apakah dia terlalu leka hinggakan terlepas pandang dan membenarkan lelaki itu melewati sempadan yang dibina sewenang-wenangnya?

Hampir dua jam perjalanan, mereka tiba di rumah. Ketika turun dari kenderaan, terdengar abah mempelawa Dr. Adrian masuk dan berseloroh meminta lelaki itu bermalam sahaja di rumah. Lega. Pelawaan itu ditolak dengan santun.

Melihatkan abah masih tercegat di halaman, Suraya masuk ke dalam rumah terlebih dahulu. Terus menuju ke dapur. Paip di sinki dibuka dan kedua belah tangan dicuci bersih. Dia ingin membancuh minuman buat tetamu. Minuman kordial sahaja yang dibancuh. Kemudian, secawan minuman panas buat abah. Siap dan ditatang dulang ke ruang tamu dalam langkah yang penuh hati-hati. Ruang yang lapang semalam tiada lagi. Kedudukan sofa dan meja telah kembali kepada keadaan asal. Tentulah Hanis dan ahli keluarganya yang membantu mengemaskan.

"Abah, jemput minum." Lemah lembut suara dituturkan buat abah tercinta sambil cawan minuman diletakkan.

"Bos, minum." ucapnya. Nada yang kontra digunakan. Tidak perasan reaksi terkejut yang dipamerkan oleh abah tatkala mendengar ucapannya itu.

"Yaya, mari duduk dulu." arah abah.

Langkah terbantut. Tidak jadi dia mahu ke dalam. Abah duduk di tempat yang sering diduduki sebelum ini. Bersebelahannya kosong. Tempat kosong itu tempat arwah mummy selalu duduki. Dibelai luka yang tiba-tiba menghiris di hati.

"Adrian kata Yaya ambil cuti dua minggu."

Suraya mengangkat wajah yang sejak tadi jatuhkan. Terlebih dahulu menjeling lelaki di hadapannya sebelum wajah abah dipandang.

"Ha'ah."

"Yaya tak rasa lama?"

Dia menggeleng.

"Abah, selama-lamanya Yaya duduk sini jaga abah pun, Yaya tak kisah." jawabnya jujur.

Ketiadaan mummy membuatkan dia berfikir panjang. Merenung keadaan abah yang bakal ditinggalkan bersendirian untuk menjaga diri. Mampukah abah melaluinya sendirian di rumah ini? Dia bimbang andai kesunyian itu memberi kesan kepada abah. Pernah juga terdetik di fikiran untuk meletakkan jawatan demi menjaga abah kesayangan.

"Mau Yaya duduk kampung lama-lama? Hari tu Yaya jugak yang tak sabar nak kerja." getus abah.

Sempat Suraya merona. Sebentar. Situasi tidak lagi sama. Tanpa menghiraukan kehadiran lelaki di hadapannya dia pula menyoal abah,

"Abah suka tak kalau Yaya duduk kampung?"

"Suka. Tapi, abah tak paksa. Yaya dah besar. Dah boleh buat keputusan sendiri."

Suraya senyum sedikit.

"Tapi, Yaya ikut aje apa kata abah," balasnya sambil memandang tepat ke dalam mata abah seakan berikrar untuk terus setia mendukung dan berkhidmat kepada orang tua tercinta.

Abah mengukirkan satu senyuman. Bahagia.

"Abah, Yaya nak masuk dalam dulu."

Dia meminta izin. Dibalas dengan satu anggukan daripada abah. Persetujuan itu membuatkan hatinya terasa bebas. Jauh dari lelaki itu adalah sebuah kedamaian. Usai kembali ke kamar dia terus ke bilik air untuk membersihkan dirinya dan mengambil wuduk. Setelah solat, duduknya di birai katil. Fikiran melayang mengingati Hanis. Telefon di dalam beg galas segera dikeluarkan. Nombor gadis itu dihubungi. Mahu memaklumkan kedudukannya itu yang sudah berada di kampung.

Setelah beberapa urusan berkaitan hal ehwal arwah ibunya dibincangkan, Hanis sempat menitip beberapa pesanan dan kata-kata semangat. Damai yang secebis makin luas ditimba. Rindu pula akan kehadiran teman karibnya itu di sisi.

Dr. Adrian berdiri sambil bersandar pada alang pintu gelongsor. Kedua tangan berpeluk tubuh. Melihatkan tanaman indah pelbagai jenis dan warna itu hanya mengingatkan dirinya kepada seseorang. Cantik orangnya. Lemah lembut dan juga penyayang.

"Mama!!"

Wanita muda itu tersenyum mesra hingga menampakkan barisan giginya yang menawan.

"Rudy, anak mama!.." sahut wanita itu ceria.

Kedua tangan lebar terbuka menyambut kepulangannya di hadapan pintu pagar sekolah.

Tidak dihiraukan pandangan sebilangan yang ada di situ yang menjadi pemerhati. Tubuh kecilnya terus terperosok ke dalam dakapan hangat yang tidak pernah puas memeluknya. Satu ciuman di dahi diperolehi. Dia senyum lebar.

"Ini untuk mama." ujarnya ceria.

"Wah, cantiknya lukisan Rudy!"

Pujian yang diterima membuatkan dia merasakan hanya dialah satu-satunya budak terpaling pandai melukis di dunia ini. Senyuman, tak lekang di bibirnya. Tangan kecilnya digenggam lalu dengan perasaan senang hati dia mengikuti langkah wanita itu.

Bunyi daun pintu dibuka dan ditutup membuatkan Dr. Adrian sedikit tersentak. Lamunan suka dan duka terusir. Dia berpaling dengan dada yang sebu melihat gadis pujaan dalam diam itu.

"Saya nak cakap sesuatu," ujar Dr. Adrian terlebih dahulu.

Suraya terpana. Baru perasan kehadiran lelaki itu di situ.

"Abah awak dah masuk bilik. Nak rehat katanya. Saya dah minta izin nak bercakap dengan awak." jelas Dr. Adrian seperti tahu apa yang sedang difikirkan oleh Suraya saat itu.

Tanpa sebarang bicara, Suraya melangkah. Terus ke ruang tamu. Duduk di tempat yang sama seperti tadi. Malah, lelaki itu juga.

"Ada apa?"

"Awak betul-betul nak berhenti kerja?"

Suraya mengetap bibir. Geram. Hal peribadi yang mahu disembunyikan menjadi umum pula. Mudah sahaja lelaki itu ikut campur.

"It's my problem. Not yours." katanya acuh tak acuh.

"Suraya Anne, saya berhak tahu-.."

"Sebab awak bos saya? Tak. Awak takde hak untuk tau pun selagi saya tak hantar resign letter. Awak tahu sebab kebetulan awak ada di sini dan dengar perbualan kami. Dan saya betul-betul tak suka bila orang luar ambil tahu hal saya," luahnya dengan wajah yang serius. Sekarang, teka-teki berkenaan sesalannya mula diperoleh jawapannya.

Dr. Adrian diam. Suraya menarik nafas yang dalam. Tetapi, pandangan tetap terarah kepada lelaki itu.

"Saya nak tanya,.." seru Suraya lagi setelah agak lama mereka berdua menyepi dari berbicara.

Dr. Adrian segera mengangkat pandangan. Dia tidak mempunyai niat buruk terhadap Suraya. Sementelah dia telah mendengar hajat Suraya yang berkira-kira mahu menemani bapanya tentulah keinginan untuk tahu itu datang. Ingin didengar oleh telinganya sendiri sama ada hasrat Suraya itu telah dimuktamadkan.

"Awak betul-betul ikhlas ke tolong saya dan keluarga saya?"

Dr. Adrian tercengang. Persepsi gadis itu terhadapnya semakin merudum. Selain bicaranya yang seringkali disalah ertikan dia tidak tahu apakah perbuatannya yang telah mencetuskan wasangka itu.

"Maksud awak? Apa yang awak nak cakapkan sebenarnya?"

"Tolong yakinkan saya yang awak tolong kami memang dengan niat untuk tolong semata-mata. Tiada niat lain." sebutir sebutir kata-kata itu diluahkan oleh Suraya sebelum pandangan dikalih ke halaman lalu terlepas dari melihat riak kecewa yang berganda dipamerkan oleh Dr. Adrian. Betul-betul kecewa kerana Suraya langsung menilai keikhlasan dirinya dalam menghulurkan bantuan selama ini.

"Ya. Saya ikhlas tolong." ujar Dr. Adrian hambar.

"Awak tak balik? Nanti lewat pulak sampai KL." tutur Suraya masih memandang ke luar.

Makin tersayat perasaan Dr. Adrian. Pertanyaan itu jelas menunjukkan gadis itu tidak suka melihat dia di rumah itu.

"Nope. Saya tak jadi balik. Pelawaan abah awak saya terima." sahutnya pura-pura selamba. Sebentar tadi bapa Suraya sekali lagi mempelawanya bermalam di situ. Dan, mungkin kerana alasan mahu menjaga hati dan perasaan, dia terus bersetuju. Bak kata pepatah, orang berbudi kita berbahasa.

Renungan tajam, terkilas sebelum Suraya bingkas bangun dan pantas meninggalkannya sendirian. Dia terdengar bunyi daun pintu ditutup sedikit kuat.

'Hmm... Garang awak tak pernah berkurang, Suraya.' Bisikan kecil itu terlahir dalam diri Dr. Adrian. Dilayangkan pandangan ke arah halaman. Memori silam mula bergentayangan di minda.

"Pandai betul berlakon. Hisy, geram!!"

Naik turun dada Suraya kerana marah sambil tudung sarung yang dikenakan dibuka lalu dihempaskan tubuh ke tilam. Amarah yang terkandung dipudarkan dengan bermain-main dengan telefon pintarnya.

'Huh! Dari marah tak tentu pasal lagi baik aku layan games.'

Jam 5.00 petang barulah Suraya keluar dari bilik itu. Mengagak Dr. Adrian berada di bilik tamu kerana kebiasaannya pintu bilik di rumah itu sentiasa dibuka bagi memastikan pengaliran udara keluar dan masuk berlaku. Tetapi, ketika ini pintu bilik tetamu itu tertutup rapat. Entah bila lelaki itu masuk ke situ dia sendiri tidak pasti. Sambil berkurung di dalam bilik tadi, selain bermain dengan telefon, dia membelek album-album lama yang disimpannya sebelum tertidur dengan mata yang basah dengan air mata kerinduan terhadap arwah mummy.

Dengan langkah yang cermat diatur, Suraya membawa diri di hadapan pintu bilik tidur abah. Pintu itu diketuk tiga kali dan dia mendengar suara abah menyahut. Tombol dipulas dan dijengulkan kepala ke dalam. Abah sedang duduk di birai katil.

"Abah buat apa?"

"Tak ada apa. Baru lepas solat Asar. Kenapa, Yaya?.." tanya Encik Ahmad Fauzi ketika Suraya duduk di sisi. Merangkul lengannya kemudian kepala dilentokkan ke bahu. Manja.

"Abah ajak bos Yaya tidur sini malam ni?" soal Suraya inginkan kepastian.

"Iye. Apa salahnya... Abah tengok dia berulang alik hantar Yaya sana sini. Lepas tu, ziarah abah. Sekarang, hantar sampai ke sini pulak. Tak sopan kita biarkan dia balik macam tu aje." jelas Encik Ahmad Fauzi.

Suraya membisu. Kini, Dr. Adrian menjadi tetamu abah. Dan, menjadi tanggungjawab untuknya menghormati keputusan abah sekaligus tetamu itu juga.

"Yaya, kenapa abah tengok Yaya macam marah dengan Adrian tu?"

Bahu sang anak dielus perlahan. Buah hatinya itu mampu membohongi orang lain tetapi, tidak dirinya. Sejak lelaki itu hadir pada awal pagi tadi dia melihat tingkah yang ganjil dari anaknya itu. Seakan menjauhkan diri. Adakah pemuda yang mula mendapat kepercayaan darinya itu telah berbuat sesuatu kepada anaknya?

"Adrian ada buat apa-apa ke pada Yaya?" soal Encik Ahmad Fauzi penuh hati-hati. Perasaannya lega bila anak gadisnya menggelengkan kepala.

"Tapi kenapa layan bos Yaya macam tu?"

"Yaya tak suka dia." sahut Suraya.

Encik Ahmad Fauzi senyum tipis. Mudah saja untuk buat anaknya membuka mulut. Hanya perlu berbicara dalam keadaan tenang dan lemah-lembut. Itulah bimbingan yang diberikan oleh arwah isteri sejak dahulu lagi.

"Tak suka? Tak suka yang macam mana?" umpannya lagi.

"Dia dah tahu hal keluarga kita. Yaya tak sukalah bila orang luar ambik tahu. Lagipun, Yaya cuma kenal dia sebagai bos aje." luah Suraya sambil bermain-main dengan jari jemarinya sendiri.

Fahamlah Encik Ahmad Fauzi akan keadaan anaknya itu.

"Yaya, selain dari kita dan keluarga Pak Long, abah gembira bila Adrian ambil tahu. Tanggungjawab sebagai seorang ketua ditunjukkan. Dan, tanggungjawab sebagai seorang saudara seIslam tidak diabaikan. Abah tak nampak apa yang salah dalam tindakan dia,"

Suraya bungkam. Sedar apa jua alasan yang diberikan tak mungkin memenangkan dirinya.

"Susah abah nak jumpa pemuda macam tu di zaman sekarang, Yaya. Dan abah bersyukur Yaya ditemukan dengan bos macam tu."

Suraya terkebil-kebil. Memandang motif bunga-bungaan pada karpet yang menjadi alas di lantai. Terlalu tinggi pandangan abah terhadap lelaki itu. Tak sanggup mahu membongkarkan segala-gala yang pernah berlaku di antara dirinya dan lelaki itu kepada abah. Biarkanlah abah dengan pengharapannya itu dan biarlah dia menelan semuanya sendiri.

"Yaya nak ke dapur. Memasak." beritahu Suraya sambil menegakkan kembali kepala yang lentok di bahu abah. Enggan lagi membahas perihal lelaki itu.

"Nak abah tolong?"

"Eh, abah ni... Yaya boleh buatlah," sahut Suraya merenung abah sebentar sebelum bingkas bangun dari katil. Kepala menggeleng terkenang lagak abah itu.

'Baru keluar hospital dah nak buat kerja.'

Rungutnya di dalam hati.

"Abah rehat, eh."

"Abah nak ke kubur..,"

Tombol pintu tidak jadi dipulas. Suraya berpaling. Wajah abah tenang memandang. Tidak sepertinya yang terkelip-kelip menahan perasaan yang sedang mengancam.

"Kita pergi sekejap, boleh?"

Spontan Suraya mengangguk.

"Yaya nak ke dapur kejap. Nak keluarkan barang masakan." dalihnya. Padahal, dia ingin melayani perasaan sebak itu sendirian.

"Pergilah. Abah nak ambil wuduk. Nanti abah bagitau Adrian. Kita naik motor aje."

Suraya angguk lagi kemudian beredar. Langkah yang longlai diambil. Fikiran mula dirasuk dengan kenangan bersama arwah mummy. Puas dikelipkan mata agar air yang bertakung tidak tumpah. Hampa. Belakang tangan menyapu air jernih yang mudah sahaja mengalir di pipi.

Dalam keadaan gundah pintu ruang sejuk beku dibuka. Ada kepala ikan dan sotong. Sekali lagi air mata menitis. Ikan merah kegemaran arwah dipandang sayu. Dibawanya ke sinki. Tangan dibasuh dan dengan menggunakan hujung tudung yang dipakai disapu lagi air mata yang mengalir. Sambil duduk berteleku di meja makan dia memujuk diri supaya bertenang. Ditarik nafas yang dalam. Setelah beberapa kali dilakukan barulah dirasakan gelora itu menghilang.

Dijeling jam pada dinding. Hari masih awal. Cuma, bahan masakan sahaja yang mahu diperiksa supaya mudah dia memikirkan menu untuk dimasak nanti. Selesai menjengah ruang peti sejuk dan kabinet akhirnya dia mengambil keputusan untuk menyediakan sup ikan dan sotong pedas.

Sepuluh minit bersendirian, abah dan Dr. Adrian muncul di dapur. Kata abah, lelaki itu juga mahu mengikuti. Dia tidak berkata apa. Sama-sama melangkah keluar dari rumah dan menaiki kereta menuju ke tanah perkuburan.

Previous: Bab 25
Next: Bab 27

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.