Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 22


Jam 5.00 pagi Dr. Adrian bertolak pulang dari hospital ke studio untuk membersihkan diri dan menukar pakaian. Pemergiannya tanpa diketahui oleh Suraya kerana gadis itu tidak kelihatan di mana-mana. Hanya sepotong mesej di dalam pesanan WhatsApp dihantar sebagai makluman.

"Dia tetap nak ikut. Dah selesai urusan di kampung, dia terus shoot ke hospital." ujar Hanis di hujung talian.

Dr. Adrian menekan pedal minyak. Menambah kelajuan. Dia ingin segera tiba ke hospital. Mahu ada di sana menghulurkan semaksima bantuan.

"Sekarang you all tengah buat apa?" soalnya melalui alat Bluetooth yang dilekatkan di telinga.

"Tunggu post mortem. Belum siap lagi."

"Terus bawa ke kampung?"

"Tak. Akan diuruskan oleh pihak masjid di sini dahulu." jelas Hanis lagi.

"Bapa Suraya, macam mana? OK?"

"Alhamdulillah, okay. Hari ni doktor nak lakukan CT scan. Tapi, I dengar kalau tak ada apa-apa dalam masa terdekat abah dah boleh discharge." hurai Hanis kemudian.

Setibanya di perkarangan bilik mayat, kelihatan dua orang teman baik itu sedang menunggu di sebuah pondok rehat berdekatan. Irfan turut berada di situ.

Kedatangan Dr. Adrian disambut dengan sekilas pandang dari Suraya sebelum dia kembali melihat buku kecil di tangan dengan mulut yang terkumat-kamit. Gadis itu masih di dalam pakaian semalam. Wajahnya nampak lesu. Mata yang dalam itu kelihatan sedikit bengkak dan di bawahnya ada lebam yang agak samar tonanya.

"Semua dah breakfast?" soal Dr. Adrian saat Irfan didekati.

Pemuda itu menggeleng.

"I ada belikan sarapan. Apakata you all makan dulu. Masih banyak perkara perlu diuruskan selepas ni."

"Yaya, betul cakap bos kau tu. Banyak lagi urusan yang nak kita buat. Lagipun, Irfan kena masuk kerja. Kita saja yang ada untuk uruskan." kata Hanis lembut sambil meletakkan tangannya di atas bahu Suraya.

Tanpa mengangkat wajah, satu anggukan diberikan. Senang sedikit hati Dr. Adrian melihat keadaan Suraya pada pagi ini. Tiada pergerakan auto mode itu. Sarapan yang dibawakan pantas bertukar tangan.

"Yaya, sorry. Aku kena masuk kerja. Kau tahukan kerja aku macam mana. Tak boleh tinggal kalau tak ada pengganti. Inshaallah petang nanti aku cuba datang ziarah abah kau." tutur Irfan meminta diri.

Suraya tidak menyahut. Masih dengan isyarat anggukan kepala sahaja. Dia memahami tanggungjawab berat yang digalas oleh jurutera pelabuhan itu.

"Thanks untuk breakfast ni. Sorry tak dapat join sama. Inshaallah lain waktu." kata Irfan lagi kepada Dr. Adrian pula.

Dr. Adrian mengangguk sambil menjabat tangan yang dihulurkan. Irfan kemudian beredar bersama bungkusan sarapan berserta segelas kopi.

Sambil mengambil sarapan yang diletakkan tidak jauh dari duduknya, Hanis mempelawa Dr. Adrian makan bersama-sama. Ditolak sopan oleh lelaki itu. Hanya minuman yang menjadi santapan. Dr. Adrian mengambil tempat di hujung birai. Menjadi pemerhati melihat Hanis melayan teman baiknya itu dengan penuh kesabaran.

Naskhah yang dipegang diletakkan oleh Suraya ke atas tembok di belakangnya. Hanis menghulurkan sebuah bekas nasi lemak kepada Suraya. Gadis itu menyambutnya. Kemudian, dihulurkan pula sebatang sudu plastik. Diambil dan gadis itu mula menjamah makanan bersama sahabat sejatinya itu.

Jam, sudah menunjuk ke angka 7.30 pagi. Cuaca pagi itu gemilang cerah. Namun, baki kedinginan kekal terasa dalam kabut pagi yang hampir melenyap itu. Mereka bertiga masih lagi duduk di pondok menunggu itu menantikan urusan yang belum selesai.

Tidak beberapa lama menanti, Hanis menjadi yang pertama bangun. Dicuit bahu Suraya sebelum melangkah terlebih dahulu. Suraya dan Dr. Adrian serentak menoleh sebelum segera mengikuti.

Dalam perasaan yang berbaur, Suraya menyentuh penutup besi yang sejuk itu menggunakan telapak tangannya. Mulutnya masih terkumat-kamit. Surah Yasin yang memang dalam hafalan diulang baca. Wajahnya kelihatan tenang tetapi tiada sesiapa tahu gejolak di dada.

"Okay, ini dokumen tadi. Lebih baik, buat beberapa salinan. Permit pengebumian ini pula cik serahkan kepada penjaga tanah kubur dan lagi satu untuk daftar kematian di JPN." ucap lelaki yang bertugas sebagai pembantu pegawai di jabatan forensik.

"Jadi, sekarang ni kami kena buat apa, ya?" tanya Hanis kebuntuan.

Suraya, langsung tidak memandang. Hanya sedikit bait-bait kata yang tersangkut ke telinga. Selebihnya, perbincangan yang sedang berlaku itu diabaikan.

"Urusan hospital sudah selesai. Seterusnya urusan dengan pihak masjid pula. Kami, dah maklumkan kepada pihak mereka. Cik semua tunggulah. Sekejap lagi wakil dari Masjid Jamek akan sampai." jelas staf lelaki itu sebelum mengundurkan diri setelah menerima ucapan penghargaan.

"You tak pergi kerja ke?" soal Hanis kepada Dr. Adrian sebaik menoleh ke arah lelaki itu.

Dr. Adrian yang diam menjadi pemerhati semenjak tadi mengangguk kecil.

"No. I cuti."

"You, sudi ke ikut balik ke kampung?" tanya Hanis lagi dalam perasan berbelah-bagi. Pertolongan dari lelaki itu amat diharapkan pada waktu menekan sebegini. Sebenarnya, ibu dan bapanya berkeinginan untuk hadir di situ. Tetapi, dihalangi olehnya mengenangkan urusan yang ditanggung oleh pihaknya di sini masih mudah untuk diuruskan. Oleh itu, pembahagian tugas dilakukan. Orang tuanya disuruh untuk menguruskan hal ehwal di kampung sahaja seperti urusan pengebumian dan lain-lain.

"Boleh, Hanis. I sedia untuk menolong. Apa sajalah untuk memudahkan urusan Suraya dan keluarganya." sahut Dr. Adrian tanpa menghiraukan riak terkejut yang melintasi wajah Hanis sebaik mendengarkan kata-katanya itu.

"Okay, okay. Kalau macam tu, kita bincang apa yang perlu kita lakukan." cadang Hanis. Segaris senyuman ditarik menutupi pintu sangkaan yang tiba-tiba muncul. Waktu genting begini bukan masanya untuk bermain dengan spekulasi. Spekulasi yang bukan baru sebentar menjentik mindanya. Dari malam tadi dia melihat keadaan itu. Namun, dia tidak berani untuk menyerkap jarang. Ketika ini satu kesimpulan mudah diambil. Melihatkan sikap tanggungjawab yang terserlah dilaksanakan oleh Dr. Adrian, dia mahu beranggapan Suraya tersangatlah bertuah mendapat seorang bos sebaik lelaki itu. Titik.

Dr. Adrian, lekas mengangguk. Lega dengan sikap cekap dan mudah menyesuaikan diri gadis itu. Lima belas minit berlalu, sebuah van jenazah tiba. Staf lelaki yang membantu dalam pengurusan jenazah arwah Puan Norlin kembali mendapatkan mereka dan memperkenalkan diri sebagai Haji Omar selaku wakil dari pihak masjid.

Mengikut perancangan, Suraya akan menaiki van jenazah tersebut yang bakal membawa jenazah ke masjid untuk urusan mandi, kafan dan solat.

Melalui Haji Omar, mereka bertiga menerima penjelasan yang teliti berkaitan urusan yang akan dilaksanakan. Juga, bantuan yang boleh dilakukan oleh waris si mati bagi membantu arwah dalam perjalanan mereka ke alam seterusnya.

Sedari tadi, Suraya diam mendengar. Hasratnya tiada lain ketika ini melainkan untuk menghadiahkan amalan yang terbaik di saat jasad mummy belum dikandung oleh tanah. Hadiah terakhir, di saat dia mampu melihat jasad itu dengan kedua matanya. Juga hadiah terakhir, sebelum perpisahan itu dimeterai dengan bacaan talkin.

Sepanjang perjalanan singkat dari hospital ke Masjid Jamek, bibirnya tidak henti pula mewiridkan selawat dengan harapan pahala yang diperolehi ke atas ibadah itu dapat dihadiahkan kepada arwah mummy.

Sebaik tiba di perkarangan masjid, van jenazah itu berhenti berdekatan dengan sebuah binaan yang kecil. Suraya turun sebaik Haji Omar dan pembantunya itu turun. Tiga orang wanita sedia menunggu di hadapan bangunan kecil itu. Masing-masing mengenakan baju kurung yang dilapisi dengan apron plastik dan sarung tangan. Tidak jauh dari mereka beberapa orang lelaki turut menunggu. Barangkali ahli jawatan kuasa masjid. Suraya dikenalkan kepada kumpulan wanita itu yang bertugas sebagai anggota pengurusan jenazah masjid.

"Yaya..."

Dia tersentak. Matanya melirik Hanis yang muncul disebelahnya. Ditoleh pula ke belakang. Sekilas dia ternampak Dr. Adrian sedang berdiri tidak jauh dari situ. Hampir-hampir dia terlupa bahawa dia tidak berseorangan ketika ini.

Setelah beberapa detik menanti troli jenazah siap ditolak oleh jemaah lelaki itu ke dalam tempat mandi mayat, Suraya dan Hanis sama-sama memasuki ruang itu setelah dipelawa oleh anggota wanita itu.

Bilik kecil tempat mandi mayat itu mempunyai satu binaan simen yang dibina di tengah-tengah ruang. Di atas binaan itu, jasad mummy diletakkan. Di kiri dan kanan terdapat almari dan meja panjang. Alatan untuk kegunaan memandikan jenazah siap tersedia.

"Siapa?.." tanya salah seorang wanita yang mengenakan kaca mata.

"Anak." sahut Suraya ringkas.

Wanita itu senyum. Mesra.

"Mari tolong, nak. Hadiah terakhir untuk arwah ibu."

Suraya dipagut sayu. Namun, arahan itu dituruti. Ketika kain putih yang membaluti wajah mummy dibuka, air matanya mula bergenang. Tetapi, Suraya tekad. Dia, mahu mengabadikan saat-saat akhir bersama mummy di dunia ini sebaik-baiknya. Lama wajah itu direnungi. Tidak akan ada lagi ungkapan syahdu dari bibir yang pucat itu. Tidak akan ada lagi dakapan dari kedua tangan yang kaku itu. Dan, tidak akan ada lagi jasad itu di sana sini kerana jasad yang sedang ditatap itu sudah tidak bernyawa lagi. Bakal kembali ke rumah asalnya dalam pangkuan bumi.

Lamunan Suraya melayang ketika sehelai kain batik lepas dialaskan ke atas jasad mummy oleh salah seorang tukang mandi mayat. Kemudian, kain putih yang membaluti tubuh arwah mummy itu ditarik perlahan-lahan. Pancutan air yang sederhana dipancur keseluruhan jasad. Bibirnya dikemam kuat melihatkan warna air yang mengalir berubah merah. Dia menarik nafas yang dalam. Bau darah segar menghurung aliran nafasnya. Bau itu, pasti akan diingati selama ingatannya mahu mengingat.

"Sorry, Yaya. Aku terpaksa keluar dulu." bisik Hanis di telinganya.

Suraya mengerti. Gadis itu sejak kecil memang takutkan darah. Bersungguh-sungguh, dia memanjatkan doa memohon agar terus diberikan kekuatan dan ketabahan untuk tetap berada dalam urusan itu.

Dua orang wanita mula bersama-sama melakukan proses mengistinjakkan mayat. Pada mulanya, Suraya tercegat memerhati kerja-kerja yang dilaksanakan. Namun, wanita yang berkaca mata itu meminta agar dia turut membantu menampung kepala mummy bagi memudahkan kekotoran yang masih berbaki di dalam perut dapat dikeluarkan. Lebih kurang sepuluh minit, barulah ianya selesai sebelum gulungan kapas dihulurkan kepadanya.

"Bersihkan muka ibu." arah wanita berkaca mata itu lembut.

Suraya mengambil. Teragak-agak. Di pandang wajah mummy yang tertutup rapat matanya.

'Yaya, sayang sangat dekat mummy.'

Hati kecilnya berbisik lantas kapas itu disapukan ke kelopak yang tertutup. Kanan dan kiri. Kemudian, dicapai putik kapas baharu. Dibasahkan dan kelopak mata itu dibersihkan dengan penuh kelembutan. Usai tugas itu dia meminta wanita di hadapannya itu untuk memeriksa. Itulah pertama kali dalam hidup dia ikut serta dalam proses memandikan jenazah. Dia bimbang sekiranya kekurangan diri mencacatkan proses pengurusan itu.

Selesai kerja membersih, disirami pula jasad dari hujung rambut hingga ke hujung kaki dengan tiga kali siraman air mutlak. Lalu disiramkan tiga kali lagi di sebelah kanan. Begitu juga sebelah kiri. Dimiringkan pula kanan dan kiri. Kesemuanya dilakukan untuk meratakan air ke tubuh. Kemudian, menggunakan sabun jenis cecair, disabunkan jasad arwah dari hujung rambut hingga ke hujung kaki. Suraya menuruti apa sahaja arahan yang diberikan oleh para tukang mandi itu. Disuruh gosok dia gosok. Disuruh bersihkan kotoran yang tertinggal dicelah kuku dia bersihkan. Apa saja dia buat demi ibunda tercinta. Terakhir sebelumnya, siraman air kapur barus sebanyak tiga kali lagi. Kemudian, selesai urusan pemandian.

Kain batik lepas yang kebasahan ditarik perlahan ketika sehelai kain kering yang baharu digantikan. Sehelai tuala dihulurkan kepadanya. Masing-masing mengelap jasad arwah sehingga kering. Salah seorang dari wanita itu keluar sebentar lalu kembali dengan membawa kain kapan yang siap dipotongkan dengan lapisan plastik terselit di antara lapisan kain itu. Troli mayat yang digunakan dihamparkan di atasnya dengan kain kapan tersebut. Beberapa jemaah lelaki dipanggil bagi membantu memindahkan mayat ke atas troli pula. Urusan mengkafankan dimulai.

"Nak, mari. Nak cium ibu tak?"

Kelu. Debar dan bergetar tubuh Suraya tatkala jasad yang siap dikapankan didekati. Hanya wajah sahaja yang belum dilitupi. Wajah arwah mummy direnungi sebelum kedua belah tangan mendakap jasad yang beku itu.

"Mummy, Yaya sayang dan rindukan mummy. Inshaallah kita akan berjumpa lagi, mummy." ucapnya lantas satu kucupan terakhir yang agak lama dijatuhkan ke dahi mummy.

Buat kali terakhir juga kepalanya diletakkan di atas dada mummy. Didakap sepenuh hati jasad yang tidak lagi bernyawa itu. Hanya haruman kapur barus yang dihidu. Berakhir sudah haruman kasih ibu yang melingkari tubuh itu sepanjang dua puluh lima tahun hidupnya di dunia yang fana ini. Air mata yang tertahan, tumpah ketika wajahnya diangkat. Diseka dengan hujung baju panas yang dipakai. Kemudian, dia memaksa sebuah senyuman diukirkan kepada tiga orang wanita yang sedang memandangnya dengan perasaan hiba.

Sekali lagi, beberapa jemaah lelaki dipanggil. Suraya berhasrat untuk keluar dari situ kerana urusan seterusnya adalah solat jenazah pula. Ketika keluar, alangkah terkejutnya dia tatkala mendapati wajah-wajah yang ditemui di pejabat sedang berkumpul di sebuah pondok wakaf berhampiran.

"Anne!.." seru Amy yang bergegas meluru ke arahnya.

Satu pelukan erat diberikan. Begitu juga dengan Lisa dan Sharon yang turut ada menziarahinya.

"Takziah, Anne." ujar Amy dengan perasaan sayu.

Suraya mengukirkan segaris senyuman. Terharu dengan keprihatinan mereka semua.

"Aku basah ni. Tak payahlah peluk-peluk." katanya perlahan.

Mereka bertiga serentak menggeleng.

"Alah, sikit je basah kau. Takpe... Mari, yang lain-lain datang nak jumpa kau tu." ujar Lisa pula.

Mereka berjalan beriringan. Dapat dia lihat Mr. Lee dan teman dari tingkat enam. Kemudian, beberapa teman dari tingkat tujuh. Malah, ada di antara mereka yang tidak dia kenali. Masing-masing menghantar pandangan simpati kepadanya.

"Takziah, Anne. Banyak-banyakkan sabar dan berdoa. Aku nak masuk. Nak ikut solat jenazah." kata Hadi ketika menghampiri.

Tidak lama, lelaki itu beredar bersama Aidil dan beberapa orang staf yang lain menuju ke dalam masjid. Suraya mencari Hanis yang sedang duduk di bawah pondok. Dihampiri sebelum berlabuh di sebelahnya.

"Anne, sorry for you loss,"

Sambil mendongakkan kepala Suraya mengangguk kecil. Seperti tadi, hanya segaris senyuman mampu diukirkan.

"Ada sedikit bantuan dari syarikat," ucap Mr. Lee sambil menghulurkan sekeping sampul surat berwarna putih kepadanya.

"Apa saja bantuan yang you perlukan you boleh maklumkan pada I. Kalau you segan, Dr. Adrian ada. We'll try our best to help you out during this difficult time, okay."

"Terima kasih." sahutnya ringkas. Tidak banyak bicara dituturkan. Kerana dia, tidak mampu mengendalikan perasaannya dengan situasi ketika ini.

Tidak berapa lama duduk di situ, kedengaran suara dari dalam masjid melaungkan bacaan solat yang sedang ditunaikan hampir ke penghujung. Doa dibacakan dan Suraya menadahkan kedua tangan memohon ke hadrat ILAHI akan rahmatNYA tercurah kepada arwah. Ketika jenazah dimasukkan ke dalam van putih itu, sekali lagi dia menghampiri kumpulan lawatan dari syarikatnya itu.

"Terima kasih semua sebab sanggup datang ke sini. Saya tak mampu nak balas budi baik semua. Terima kasih, ye." ucapnya kepada teman-teman yang berada berhampiran. Terasa bahunya dan lengannya disentuh beberapa kali. Menyalurkan sokongan dan semangat kepadanya. Dengan perasaan bercampur baur, dia masuk ke dalam van bagi menemani perjalanan terakhir arwah mummy sebelum disemadikan. Dari dalam van itu dia melihat Sharon, Amy dan Lisa menyapu air mata yang gugur. Hari itu bukan dia seorang yang bersedih dan berkabung. Rupa-rupanya, masih ramai yang bisa berkongsi rasa itu meskipun mereka tidak mempunyai sebarang pertalian. Suraya tersenyum meskipun air mata terus mengalir tanpa diketahui bila ia akan berhenti.

Previous: Bab 21
Next: Bab 23

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.