Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Prolog

Johnny, Johnny! Yes, papa

Eating sugar? No, papa

Telling lies? No, papa

Open your mouth… Ha ha ha!

Sejak dua menjak ni lagu budak-budak tu sering meniti di bibirnya. Macam mana tak dihafal kalau setiap hari ke rumah Hanis, dua orang adik teman baiknya itu sepanjang masa asyik mengulang lagu itu di kaca televisyen. Tak pasal-pasal, dia turut sama terikut-ikut.

Sambil berlagu riang, dia berlari anak melintasi tapak perhimpunan sekolah yang tidak lagi kelihatan lapang seperti biasa. Fungsinya pada hari itu telah ditukar kepada tapak parkir kenderaan pula. Berderet kereta diletakkan di situ. Seronok pula dia melihat. Seperti berada di sebuah pameran automotif.

Nun di padang, sayup-sayup kedengaran suara pengelola majlis berbicara melalui alat pembesar suara. Gegak gempita suasana di sana bergelombang hingga ke kawasan kompleks sekolah dan sekitar. Besar acara yang sedang berlangsung kerana hari ini sejarah telah tercipta di Sekolah Rendah Seri Mutiara. Sekolah yang terletak di pinggir bandar itu menjadi sebahagian anggota dalam temasya sukan peringkat kebangsaan. Kelebihan yang dimiliki itu hasil daripada kedudukan strategik sekolahnya yang terletak bersebelahan lapangan trek dan sebuah stadium tertutup. Untunglah dia dipilih menjadi antara sukarelawan oleh pihak sekolah untuk turut serta di dalam acara itu.

Jam, baru melepasi angka sembilan. Cuaca tidak terik dan tidak pula dingin. Sederhana dengan angin sepoi terkadang berhembus. Belon merah hati yang diikat dengan benang nylon dijeling sekilas. Melebar senyumannya hingga menampakkan lekuk lesung pipit di kedua belah pipi. Sebentar tadi, guru kelas yang mesra disapa dengan panggilan Cikgu Zaidi meminta bantuannya untuk membawa balik peralatan sukan yang langsung tidak digunakan kembali ke bilik stor. Meski alatan sudah disediakan oleh pihak penganjur, pihak sekolah turut bersedia membantu dari segi logistik dalam menyempurnakan acara itu. Nampaknya bantuan mereka tidak diperlukan langsung. Imbalan pertolongan, dia mendapat sebiji belon yang diambil oleh Cikgu Zaidi dari salah satu antara puluhan belon yang terikat di sepanjang laluan yang menuju ke arah padang itu.

Dengan variasi warna belon yang meriah, persekitaran sekolah kelihatan lebih bersemarak. Ditambah pula dengan papan tanda yang dipacak.

Sedang dia bersuka cita untuk kembali ke padang tiba-tiba, perutnya berirama keroncong. Spontan dipegang perut yang terasa kosong itu.

"Laparlah pulak." tuturnya perlahan. Dia, dah bersarapan sebelum ke sekolah tadi. Namun waktu sarapannya lebih awal dari kebiasaan kerana kehadiran sukarelawan di padang telah ditetapkan.

Langkah yang diambil dilowongkan ke sebuah bangunan satu tingkat yang terletak berhampiran dengan pintu pagar utama sekolah. Mulut kembali berlagu riang sambil berlari anak. Tidak sabar mahu membeli karipap di kantin dan tidak sabar mahu kembali ke padang. Yeay!!

“Eh.., tunggu!.. Tunggu!!!..” teriaknya kepada belon yang tiba-tiba terlepas dari genggaman. Beberapa saat yang dirasakan tiba-tiba terhenti dari bergerak dia hanya terpacak kaku. Diperhati sahaja belon tersebut berlalu sebelum kaki memecut laju. Belon itu terapung-apung perlahan menuju ke arah sebatang pokok hutan berhampiran kantin. Entah kenapa dan apa yang bernilai tentang belon itu dia sendiri tidak pasti hinggakan dia sanggup melompat dengan gagah dan berani ke atas sebatang tunggul pokok yang agak besar di bawah pohon yang rendang itu. Puas dicuba menangkap tali belon tersebut yang terbuai ke kiri dan ke kanan mengikut rentak sepoi bawaan angin.

"Isy!!.." Dia menggerutu sendirian. Liat benar rasanya tali itu untuk dicapai. Digandakan usaha. Sekejap tubuhnya senget ke kiri, seketika kemudian ke kanan pula. Jengkel pula melihat situasi itu. Seperti tali nylon itu sengaja mempermainkannya!

“Hisy, apa yang susah sangat ni??” keluhnya kasar. Hampir sahaja jari-jemari halusnya menyentuh tali tersebut angin sepoi membuai ia jauh. Isy, geram betul. Sebelum hatinya berbisik agar mengalah, dia mahu mencuba buat kali terakhir. Alang-alang menyeluk pekasam biar sampai ke pangkal lengan!

“Baiklah. Kau main tarik tali dengan aku yer. Nah! Sekarang aku dapat kau. Yeehaa!!!..”

Spontan, dia melompat sambil mata dipejam kuat dan kedua belah tangan didepakan.

'Aik! Tak jatuh? Kenapa aku tak rasa kaki aku atas tanah? Aku boleh terbang ke?'

Mata masih rapat. Hanya kaki sahaja yang dikuis-kuis cuba merasai tanah keras yang seharusnya menjadi tempatnya berpijak.

“Hoi, budak!! Dah rasa diri tu Superman ke? Jatuh atas batu ni tak ke bahaya? Menyusahkan orang betul!!”

Zinggg!!

Berdesing telinganya mendengar sergahan yang betul-betul dekat di cuping telinga. Kelopak mata dibuka perlahan.

“Arghhh!!!” Suara tempikannya kedengaran nyaring. Namun, tiada rontaan. Sebaliknya pegangan yang longgar bertukar erat pula. Dan dia sendiri tidak menyedari perlakuannya ketika ini. Tindakannya itu lantas membingungkan individu yang sedang membantu itu buat seketika.

“Eh! Lepaskan aku… Lepaskan aku!”

Seakan baru tersedar dari kesilapan, barulah dia bergelut seperti cacing kepanasan. Buntang matanya melihat individu yang sedang dipaut itu merupakan seorang lelaki yang mengenakan jersi sukan yang mendedahkan bahu.

'Peluh? Eeiii..Tak suka!!'

Mungkin, tanggapan itu terlolong di dalam dirinya tetapi tidak pula pada tindak tanduk. Wajahnya menyeringai kerana geli.

“Bisinglah kau ni!” dengus lelaki tersebut lantas menurunkannya dari pelukan.

“Eh, kita tak suruh pun pak cik tolong kita, tau? Kenapa nak marah pulak? Badan tu dahlah berpeluh pastu nak buat benda tak elok dekat kita. Eeiii!..” sahutnya berang. Dia tidak takut. Sedikit pun tiada rasa gentar untuk berhadapan dan bertatapan dengan lelaki tinggi lampai di hadapannya ketika ini. Lengan yang terasa melekit dengan peluh disapu menggunakan baju sukan yang dipakai. Lagak lelaki seperti seorang pemain bola keranjang itu ditenung tajam. Entah bagaimana dan bila lelaki itu turut berada di situ dia tidak perasan. Rasanya hanya dia seorang sahaja yang berlegar di kawasan lapangan itu tadi.

"Balik nanti nak report dekat mummy kita-.. Oo...Tak pun report dekat Cikgu Sharif. Cikgu tu garang tau!" bebelnya lagi meskipun menyedari lelaki itu mula membuka langkah untuk pergi.

Namun, tidak jadi pula. Lelaki itu berpaling sambil ketawa besar. Dia tidak dapat menahan lucu mendengarkan ancaman kecil yang datang dari budak perempuan itu. Walau perlahan ia jelas dipendengaran.

"Hello budak kecik! Kalau aku tak ada tadi kau dah masuk hospital tau tak? Tak nampak ke bawah ni banyak batu tajam? Ni? Kau nampak tak ada botol kaca bawah ni? Kalau terjatuh lepas tu terkena lutut ke, dahi ke tak ke boleh cedera parah? Mungkin banyak jugak kena jahit," marah lelaki itu pula sambil memegang batang tengkuknya yang masih berbekas lenguh akibat daripada pautan kuat budak perempuan itu tadi.

“Badan je nampak kecik tapi berat macam gajah!”Didongak ke atas. Melihat usaha gigih budak perempuan yang bertubuh kurus dan rendah itu masih belum berhasil. Sebenarnya, dia tidak sengaja berada di kawasan itu. Niatnya tadi cuma mahu mengambil angin sebelum perlawanan dimulakan. Tak sangka pula dia boleh berhenti melihat budak perempuan itu berusaha mengambil belon yang tersangkut itu. Awal-awal menjadi saksi dia tertawa di dalam hati melihat aksi tidak kesampaian budak itu. Namun, ketika menyedari niat budak itu untuk melompat sepantas kilat dia menghampiri. Mujurlah dia sempat menyambut budak perempuan itu tadi. Dia teramat pasti hanya dua jalan sahaja yang bakal berlaku ketika budak itu mendarat. Sama ada dengan kaki dan lutut ataupun terduduk. Yang pasti kedua-duanya berbahaya!

Menggunakan kelebihan yang dimiliki, dicapai tali yang tersangkut di celahan ranting pokok lalu dihulurkan dengan kasar ke arah budak perempuan tersebut. Di matanya, jelas wajah garang yang terpamer sebentar tadi berubah kemerahan.

Suraya, menyambut huluran itu dengan lemah. Tidak pernah dia menerima layanan sebegitu sebelum ini. Terlalu kasar untuknya. Kata-kata lelaki itu sedikit sebanyak membuatkan hatinya berasa sebal.

“Umur tu kecil lagi…akal pun tak berapa cukup. Ada ke patut panggil aku pakcik. Dah tu tak pandai nak cakap terima kasih ke kalau orang dah tolong!” kutuk lelaki itu lagi sebelum melangkah pergi.

Kecil pandangan Suraya terarah kepada lelaki memakai jersi bernombor lapan itu yang mulai menjauh. Naik turun dadanya mengikut rentak nafas yang terumbang ambing. Geram! Sedepa muncung bibirnya seiring dengan perasaan bengang kerana dihentam tanpa henti. Tubuh yang kaku berdiri semenjak tadi menunduk. Sebiji batu kecil di kaki dicapai.

“Aduh!!” Lelaki tinggi itu mengerang kesakitan sambil meraba belakang bahunya. Segera ditoleh ke belakang.

“Terima kasih pakcik!!!” teriak Suraya sambil menjelirkan lidah. Serta merta dia memecut laju berlari ke arah padang yang meriah dengan kehadiran penonton. Niat asalnya untuk berbelanja di kantin terbantut gara-gara peristiwa itu. Sebaik tiba di khemah sukarelawan, matanya liar mencari teman baiknya. Apabila terpandangkan sahaja kelibat rakannya itu yang sedang ralit menyaksikan acara lontar peluru di suatu sudut, segera dia mendekati. Namun, bantahan hati kecil di saat-saat akhir berjaya menenggelamkan niat untuk menghebahkan insiden yang baru sebentar berlaku. Malu!






p/s : saya masih dalam proses kemaskini setiap bab. Barangkali akan ambil sedikit masa sebab setiap kali ulang baca ada saja benda saya nak edit. Hihi^^~

Next: Bab 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.