Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 19


Dalam kesuraman senja yang indah dengan calitan warna kemerahan dan lembayung, dia duduk di muka pintu pondok kecilnya itu sambil menjulurkan kaki ke bawah menyaksikan panorama yang seringkali menjadi saksi air matanya gugur.

Keindahan alam tidak mampu mengubati kerinduan terhadap buah hati yang sudah dewasa itu. Terang lagi bersuluh tidak betah lagi dia hidup dalam persembunyian sebegitu. Seksa segenap jiwanya mengenang perpisahan melebihi satu dekad itu berlalu begitu sahaja. Jikalau dipanjangkan lagi tempoh itu ia hanya menambahkan derita pada hati yang sedia terluka. Lagipun setelah lima belas tahun berlalu dia yakin, tiada lagi ugutan yang mampu menggetarkan hatinya seperti mana keputusan dungu yang diambil ketika dia baru mengenali erti kematangan hidup dahulu.

"Aku Jay. Utusan daripada Tun Sidek dan Johari."

Sepantas kilat dia mengangkat wajah. Merenung muka seorang lelaki yang pertama kali dilihat. Bahan buangan berupa bekas sarang telur dan kepingan kotak keras yang sedang dipilih itu terlepas dari genggaman. Cepat-cepat dia berlalu. Tidak dia endahkan nilai sisa buangan yang bakal diperolehi setelah ditolak ke kilang kitar semula nanti. Ah, beberapa ringgit sahaja kerugian tak mungkin membuatnya gigit jari meskipun memang benar nilai itulah yang sedang ditagih demi kelangsungan hidupnya dua beranak. Tindakan melarikan diri lebih utama daripada barangan yang sedang dikutip itu.

Tanpa sebarang amaran, dia memecut pergi. Fikirnya hanya dia seorang yang berlari, rupa-rupanya tidak. Lelaki bernama Jay itu pantas mengejar.

"Adrian Rudy anak kau, kan?"

Serta-merta pecutan yang sedang dibuat diperlahankan lalu berhenti tatkala belakang bajunya direnggut oleh lelaki muda itu. Dalam keadaan termengah kelelahan dia memusingkan tubuh. Menghadap pemuda yang sedang bercekak pinggang. Dada pemuda itu kelihatan turun naik namun, wajahnya bersih dari kejerihan.

"Apa kau nak dengan anak aku?" soalnya dengan nada ancaman setelah lelahnya beransur kurang.

Lelaki bernama Jay itu senyum. Sinis sekali. Renungan tajam turut menyertai.

"Aku tak dapat arahan untuk apa-apakan anak kau."

"Kalau macam tu, berambus! Jangan pernah kacau aku lagi." usirnya lalu berpaling untuk menjauh.

"Tapi, kalau kau nak anak kau selamat, kau yang perlu pergi dari hidup dia!"

Tidak jadi dia melangkah. Wajah dipalingkan dan berlabuh tepat pada raut yang dikira pernah dilihat tetapi terlalu samar bayangannya. Entahlah.

"Apa maksud kau? Kenapa aku perlu tinggalkan anak aku?" Usai berkata begitu dia bercekak pinggang. Mengiktiraf ancaman itu tidak mendatangkan sebarang ketakutan kepadanya.

Selama ini, dia sedar kehidupannya sentiasa berada dalam pengawasan bapanya. Namun, setelah sekian lama tak disangka orang tua itu masih gigih mengintip. Dia tidak malu atau segan apabila kedaifan hidupnya sampai kepada pengetahuan bapanya itu. Kerana itulah jalan yang telah dipilih semenjak dari hari pertama dia mengambil keputusan untuk lari dari Bumi Kenyalang dan menetap di Semenanjung.

"Kau fikir dengan kehidupan seperti ini kau dapat bahagiakan anak kau? Kau fikir kau mampu berikan apa yang Tun Sidek mampu berikan pada dia??"

Sejenak, dia tertunduk. Seakan baru tersedar akan kedaifan yang dilewati tidak terpakai pada dirinya seorang. Sebelum ini, telah dia mengheret isterinya ke dalam dunia itu. Kini, secara tidak langsung buah hati kesayangan pula yang dibawa masuk.

Kejamkah dia? Atau mementingkan diri?

Membiarkan anak isteri yang sepatutnya memperoleh kehidupan sempurna dibiarkan hidup dalam kemelaratan. Bukan pula sebentar. Bertahun-tahun.

Terlupakah dia bahawa bukan satu dua tempat yang menjadi singgahan mereka berteduh selama ini. Tidak kasihankah dia melihat warisnya yang satu itu akur sahaja mengharungi kesusahan demi kesusahan kehidupan mereka ini. Tidak terfikirkah dia untuk menghadiahkan satu kehidupan yang senang-lenang buat anak itu.

Jika direnung kembali, kepintaran dan kecerdasan anak itu amat berbeza berbanding anak-anak yang seusia dengannya. Maukah dia membiarkan aset penting itu terkapai dalam samudera kemiskinan lantas menenggelamkan potensi diri yang ada. Sedangkan jikalau dicongak, anak itu adalah pewaris tunggal harta kekayaan bapanya. Masih enggan lagikah dia mengakui akan kebenaran itu atau terhinakah dirinya kerana telah menjilat kembali ludahnya sendiri.

Dia, terdiam. Pemuda di hadapannya ditenung dengan satu pandangan kosong. Riak perwira sebentar tadi terkulai ke tanah. Kebenaran jelas berpihak di sisi lelaki di hadapannya.

"Kalau kau mahu lihat anak kau berjaya dan beroleh kesenangan, hantar anak kau ke tempat ini. Biarkan dia di situ dan jangan sesekali kau berhubung dengan dia. Atau, anak kau akan dibawa pergi secara paksa dan kau langsung tak dapat ketemu dia selama-lamanya."

Akhir kalam pemuda itu membuatkan dia terkedu. Dia telah diberi kata dua. Dia disuruh membuat pilihan. Antara perasaan sendiri atau masa depan anaknya yang pasti.

Gigitan nyamuk yang mengenai betis segera ditampar. Kemudian, digaru bekas gigitan itu. Khayalannya kabur. Benaknya masih kuat teringatkan akan pertemuan dengan lelaki bernama Jay itu. Bahkan wajah itu. Dari lenggok bahasa, dia tahu lelaki itu tentu berasal dari Bumi Kenyalang juga. Namun, itulah kali pertama dan terakhir mereka bertemu.

Persyaratan itu telah disepakati. Dengan berat hati dia melepaskan anak kesayangan demi sebuah kehidupan yang lebih sempurna dan gemilang tanpa sebarang ranjau dan halangan andai anak itu masih setia di sampingnya.

Ketika anak kesayangan berada di tahun pertama universiti, dia nekad. Dia enggan lagi bersabar menjadi pemerhati dari kejauhan. Namun, sekali lagi halangan tercipta. Pertemuan bersama Johari mengubah keputusan yang diambil.

"Dasar manusia tak berguna!!!" herdik Johari dengan satu tumbukan di wajah.

Dia terjatuh dalam keadaan terpinga-pinga memandang lelaki yang dianggap sebagai teman terpaling rapat. Namun dia segera bangkit kembali. Sengatan di hujung bibir tidak dihiraukan. Memang dia bersalah dan dia mengaku salahnya!

"Kau terlalu pentingkan diri! Kau tak fikir apa perasaan orang di sekeliling kau. Apa yang kau fikir hanyalah kepentingan diri kau sahaja!!" marah Johari dengan mata mencerlung memandangnya.

Selama mereka membesar bersama-sama itulah kali pertama dia melihat wajah itu dalam keadaan teramat marah. Bengis sekali.

"A-aku-..."

"Diam!! Kau tak pernah tahu betapa sengsaranya arwah ibu kau terkenangkan kau yang jauh dari dia... Waktu dia sakit... Waktu dia nazak... Kau tak pernah tahu apa derita yang kami tanggung sepeninggalan kau kecuali kehendak dan kemahuan kau saja yang kau peduli!!" sembur Johari lagi.

Seandainya lelaki itu datang untuk mengingatkan dirinya akan bencana yang ditinggalkan dahulu, memang benar, belum pernah sekali dia terlupakan akan kesan-kesan hitam yang dipalitkan ke atas keluarganya itu. Namun, tempikan dan amukan itu berjaya menyedarkan dirinya tentang sesuatu. Bencana itu terlalu besar kesannya. Bukan nama dan maruah keluarga sahaja yang dicalar. Bukan dia seorang yang merana dan derita tetapi keseluruhan ahli keluarganya. Jiwanya, terkulai di situ.

"Kedangkalan, kebodohan dan sikap gopoh kau tu tak patut kau wariskan pada anak kau. Kau tak layak memiliki dan punyai pewaris sebaik anak kau tu. Jikalau aku di tempatnya seharusnya aku malu mempunyai ayah macam kau!"

Tanpa perlu Johari menghayunkan tangan untuk memukul, cukup dengan kata-kata itu sahaja dia sudah terpukul dengan dahsyat sekali. Angan untuk bertemu dan bersatu dengan buah hati kesayangan sekali lagi dipendamkan.

Dibawa diri jauh ke ceruk kampung itu demi menghalangi diri bertemu dengan anaknya sendiri. Apabila rindu menyapa, diintip juga anak itu dari kejauhan. Halangan yang sengaja diciptakan tidak mampu memenjara diri dari terus duduk menetap. Meski dari kejauhan, hanya sedetik dapat melihat sudah cukup menampal lompong rindu yang mekar di hati.

Kini, janji yang disematkan oleh Jay terbukti. Anaknya sedang memegang tampuk kuasa di syarikat. Cuma, hatinya berdegil. Jiwanya berdegil. Dia ingin bertemu. Segera bertemu secara berhadapan. Ingin diraih anak itu. Ingin didakap dan dipohonkan keampunan kerana telah mengundang kesulitan dalam kehidupan anak itu. Cukup bersemuka secara depan-depan sudah membahagiakan dirinya. Hasilnya biarlah ditanggung kemudian. Kerinduan tidak bertepu dan bentakan hati tidak lagi tertanggung. Dia enggan peduli lagi. Dalam masa terdekat ini dia mahu menemui anaknya itu. Buah hati kesayangan dunia dan akhirat.

Toot! Toott!! Toottt!!

Getaran yang datang dari telefon jenis non pintar yang dibiarkan tidak jauh dari jangkauan dicapai. Suatu pemberian dari tuan kebun yang baik hati itu. Nombor tidak dikenali tertera. Meskipun curiga dijawab juga panggilan itu. Manalah tau kalau-kalau majikannya yang menelefon.

"Kamal..." seru satu suara milik seorang lelaki di hujung talian.

Dahinya sedikit berkerut. Tidak mengenali empunya suara.

"Siapa?"

"Aku, Jay. Ingat lagi aku?"

Mukanya pucat lesi. Mengapa setiap kali hasrat hati mahu ditunaikan ada sahaja halangan yang hadir?

Previous: Bab 18
Next: Bab 20

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.