Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 15


Getaran halus yang dirasakan di dalam lif sebentar tadi dirasakannya lagi. Suraya menyeluk poket seluar. Mengeluarkan telefon pintar sambil mendekati stesen kerjanya. Meja kerja Hadi yang kosong dilirik sepintas lalu. Lelaki itu tiada di mana-mana. Tetapi dia tahu Hadi sudah tiba melihatkan beg komputer riba dengan rantai kunci tiga biji Ford Mustang terletak elok di atas kerusi.

"Kenapa?" soalnya sambil meletakkan beg ke atas kerusi sebelum dia turut melabuhkan punggung dengan bersandar pada beg tersebut.

Panjang umur... Baru terdetik di fikiran sudah muncul. Di hujung talian, kedengaran Hadi terbatuk kecil dan berdehem berberapa kali bagi menghilangkan suara paraunya itu.

"Kau dah sampai belum?"

Pertanyaannya tidak dijawab sebaliknya dia pula yang disoal. Jam tangan diimbas. Lima minit melewati 9.00 pagi. Kebanyakan staf sudah memenuhi stesen kerja masing-masing. Dia tiba tadi pun ngam-ngam tepat pada waktu pejabat. Gara-gara membaca hingga lewat malam tadi membuatkan dia terbabas tidur. Sudahlah uzur syarie. Lagi menambah kenikmatan tidurnya. Sedar-sedar dah jam lapan. Terkocoh-kocoh dia bersiap dan menunggu bas. Hanis pula, awal pagi sudah keluar kerana perlu menghadiri satu mesyuarat khas di Putrajaya.

“Dah. Kenapa? Nak pergi breakfast, ke?”

Lapar pula perutnya. Dia cuma sempat membeli sekotak sandwich sahaja di warung seberang jalan. Dan, belum sempat menyantapnya.

" Breakfast tu kau simpan dulu. Kau ni tak baca email ke? Ada meeting dekat aras satu ni. Bilik nombor dua.”

Suara Hadi di hujung talian kedengaran bengang.

Suraya membulatkan biji mata. Email? Email apa pulak? Mungkin, dia terlepas pandang. Bilik Mr. Lee dikerling. Bertambah cemas jadinya. Pintu bilik itu masih bertutup rapat. Jikalau jam begini pintu itu masih rapat bermakna Mr. Lee belum tiba. Mungkin saja Mr.Lee terus ke bilik mesyuarat.

'Ah, sudah!!'

Kalut dia mengeluarkan buku nota dan sebatang pen. Tiada masa lagi untuk semak email dan sebagainya. Lantas, dia bergegas keluar dari pejabat.

Usai berada di aras satu itu, Irene disapa ringkas. Penyambut tetamu yang mesra dan menawan itu menggelengkan kepala melihat lagaknya seperti lipas kudung.

Sewaktu memegang tombol pintu bilik mesyuarat, hati kecil memohon agar tiada urusan yang melibatkan Dr. Adrian. Sesungguhnya, dia belum bersedia untuk bersua muka dengan lelaki itu lagi. Dan, kembali ke bilik keramat itu lagi hanya mengingatkan dirinya akan peristiwa pada hari pertama dia melapor diri dahulu. Kenangan itu tak pernah pudar meski pernah cuba dilupakan. Malah, apa saja perkara berkaitan lelaki itu ingin benar dia padamkan. Namun entah kenapa ianya agak sukar. Lebih-lebih lagi mengenang insiden pada minggu lalu itu. Jikalau ada hatta di hujung dunia ubat yang mampu menghapus memorinya bersama Dr. Adrian, dia sanggup pergi mendapatkannya. Begitulah perasaan jauh hatinya terhadap lelaki itu.

Sebaik menjenguk ke dalam bilik mesyuarat, kelihatan Hadi dan tiga orang lelaki yang tidak dikenali olehnya sedang duduk menunggu. Lega perasannya kerana mesyuarat itu belum bermula.

Suraya, melangkah masuk. Memerhati sekilas bilik mesyuarat yang sudah bertukar rupa itu. Tiada lagi meja kopi dan sofa di bahagian tengah. Susun atur itu digantikan dengan sebuah meja besar berbentuk oval.

Belum sempat dia duduk, Hadi memperkenalkan Nazril, Ben dan Ricky dari tingkat tujuh. Patutlah dia tidak mengenali mereka bertiga. Nazril yang bermata sepet itu menyambut perkenalan itu dengan mesra. Senang hatinya. Namun, Ben dan Ricky kelihatan dingin. Tiada segaris senyuman. Hanya melirik sebentar ke arahnya sebelum kedua-duanya kembali berbual.

Gementar menyapa.

Meski deria keenam mengesan sesuatu yang tidak enak dari kedua lelaki itu, dia pura-pura berlagak selamba. Tempat yang paling hujung diambil kerana hanya tempat itu sahaja yang kosong. Selebihnya agak dekat kedudukannya dengan kepala meja. Dia, lebih selesa berada di situ dari terlalu ke hadapan.

Usai duduk terus dirisik keberadaan Mr. Lee dari Hadi. Rupa-rupanya, Mr. Lee berada di Johor Bahru ketika ini. Mereka sebenarnya sedang menantikan seseorang untuk mengetuai mesyuarat itu.

Masa yang terluang itu, digunakan oleh Suraya membelek buku nota yang dibawa bersama. Lebih separuh dipenuhi dengan coretan tangannya. Dari muka surat pertama bermula terus sahaja dia tenggelam dalam bacaan tanpa menghiraukan keadaan sekelilingnya ketika ini.

Apabila dia tersedar, dapat dirasakan dirinya seakan diperhatikan. Dan, entah kenapa dadanya tiba-tiba berubah rentak. Dia melirik dengan ekor mata. Memang benar dia sedang diperhatikan. Satu susuk sedang berdiri dekat di samping. Pen yang diputar-putar, terpelanting lalu bergolek di atas meja. Namun, sempat ditangkap oleh satu tangan ketika ia hampir jatuh ke bawah. Suraya mendongak. Pipi spontan memerah. Nampaknya hajat di hati untuk tidak bertemu dengan lelaki itu tidak kesampaian. Direndahkan kembali wajahnya. Pen yang berada di tangan lelaki itu selamba dicekau lalu kepala menunduk menatap buku tanpa menyedari empat orang saksi sedang terpaku.

Setelah menyedari tindakannya sebentar tadi mendapat keseluruhan perhatian, Dr. Adrian segera beredar ke hadapan dan berdehem beberapa kali. Wajah selamba dipamerkan kepada anak buahnya itu.

"Morning. Sorry guys, lambat lima minit. Well, team coordinator tak dapat join sebab meeting ni lebih kepada schedule and task. Never mind, you all under one big team and boleh jumpa those people kemudian. Lagipun, yang turun ke site adalah kita."

Suraya mengetap bibir sebaik mendengar ucapan Dr. Adrian. Perkataan kita itu kurang digemari. Dia berdoa agar Mr. Lee dapat kembali ke ibu pejabat dengan segera. Ada sesuatu yang ingin dibincangkan dengan lelaki itu.

"Nazril. You're the team leader and please organize the schedule accordingly." ucap Dr. Adrian lagi sambil berdiri di hujung meja bertentangan dengan kedudukan Suraya. Gadis itu masih menunduk. Ucapannya langsung tidak mendapat perhatian. Nampaknya insiden kelmarin masih memberikan kesan yang mendalam. Dr. Adrian menahan perasaan melihat raut di hadapannya itu. Kerananya, wajah muram durja itu menjadi hidangan paginya. Tumpuan, dikembalikan kepada ahli pasukan yang lain.

"You guys boleh bincang siapa yang akan ke North, South or stays in KV. Tapi ingat, team Ken turut terlibat sama." terang Dr. Adrian lagi. Disembunyikan riak terkilan sambil melirik satu per satu wajah di hadapannya. Hanya lima orang yang hadir? Hah! Okay lah dari tiga. Keluhan dan kekecewaan itu hanya mampu bergema di dalam dirinya. Dadanya, kembali ketat di saat wajah yang terakhir ditatap.

"Suraya Anne, ada apa-apa nak cakap? You seem to be distracted." tegurnya. Tiada niat untuk memalukan gadis itu tetapi, ketika ini fokus gadis itu kelihatan di awang-awangan.

"Urm, saya nak bercakap dengan Mr. Lee dulu sebab he is my superior and not you... Dan, Mr. Lee tak pernah bagitau pun saya akan join this team in advance." sahut Suraya lancar dan lantang. Dapat dirasakan kerusinya ditendang perlahan beberapa kali oleh Hadi. Marah agaknya dengan kelancangan mulutnya itu. Dia menjeling sedikit. Tiga orang yang lain pula masih bingung dengan tindakannya. Manakala Dr. Adrian terkaku di tempatnya.

Sunyi.

"Adrian, kalau dia tak mahu terminate aje. Ada lebih kurang sepuluh orang dalam team ni. Cukup untuk cover West Coast. Lagipun kalau dengan perempuan leceh. You kena booked dua bilik berasingan. Belum tambah time menstrual dia tu. Lagi kacau." sampuk Ben membuatkan Ricky tergelak besar.

Merah padam muka Suraya. Wajah berani sebentar tadi kembali jatuh ke bawah. Semangat yang baru dicas merosot jatuh. Fakta itu menjadi bahan gurauan dan sindiran oleh sesetengah manusia!

"Don't be silly, Ben!! Have some respect!" herdik Dr. Adrian sambil memandang tajam Ben yang kelihatan bebas dari rasa bersalah. Dr. Adrian sedar, jarak usia lebih dua tahun darinya itu seringkali memberi erti kepada Ben bahawasanya dia perlu dihormati sebagai orang yang lebih tua dan berpengalaman. Ah, jikalau sepuluh bersikap seperti Ben, musnah kredibiliti kumpulan itu. Pengalaman itu sepatutnya makin mematangkan fikiran. Menambah nilai diri. Bukan dipergunakan.

"Suraya, you may go and talk to Mr. Lee if you want to." tutur Dr. Adrian dengan intonasi yang datar.

Wajah yang sedia muram makin kelam. Perlahan-lahan gadis itu bangun dan berlalu dari bilik mesyuarat. Reaksi itu meninggalkan rasa yang bercampur baur di dada Dr. Adrian.

Sudah lebih sepuluh minit Suraya duduk di dalam petak kubikel itu. Berjurai air mata namun tidaklah sampai tersedu. Dia menangis bukan kerana dimalukan sebentar tadi. Tetapi, memikirkan budaya diskriminasi jantina itu bukan salah tanggapan darinya semata-mata. Ia memang jelas wujud di tempat kerjanya itu. Tak mampu dia membayangkan seandainya dia direkrut di tingkat tujuh itu sejak dari awal.

Setelah dirasakan agak lama memencilkan diri, dia keluar menuju ke sinki. Tisu ditarik dan dibasahkan sedikit lalu dilap ke wajah. Kemudian, dia mencuci tangan. Sekali lagi ditarik helaian tisu untuk mengeringkan tangannya pula.

Belum sempat tisu yang direnyuk itu masuk ke dalam tong sampah, Suraya terpana sebaik pintu tandas itu ditolak kasar oleh seseorang. Wajah Amy yang masam ditambah dengan mata yang memerah membuatkan dia dihurung cemas. Gadis itu ingin beredar sebaik menyedari kewujudannya di situ namun, secepat kilat dia menahan.

"Amy!.. Kenapa ni? Apa dah jadi?" soalnya bimbang.

Gadis itu diam. Hanya gelengan pantas menjadi jawapan.

"Amy, jangan macam ni. Bagitau aku... Kenapa dengan kau ni?" soal Suraya lagi. Keadaan Amy sedikit mengganggu dirinya.

"Tolonglah... Tolong tinggalkan aku sendirian!" tutur Amy dengan suara yang dipaksakan keluar tanpa iringan tangisan.

Suraya terkedu. Permintaan gadis itu menyedarkan dirinya bahawa dia telah melangkaui sempadan. Satu nafas yang panjang ditarik. Tangan yang berlabuh di lengan gadis itu segera dijatuhkan.

"Okay. Aku minta maaf. Tapi, aku ada kalau kau perlukan bantuan." tuturnya sebelum melangkah keluar memenuhi permintaan gadis itu.

Sebaik beredar, alangkah terkejut Suraya melihat kewujudan Hadi di situ. Sedang bersandar di laluan yang menghala ke arah restroom itu sambil memegang telefon pintar.

Adakah kerana lelaki itu Amy berduka hiba sebentar tadi? Apa dah berlaku?

"Kenapa kau ada dekat sini?" tegasnya. Sedikit terkejut kerana suara yang terpacul keluar dengan tenang sedangkan dia berniat untuk menyergah lelaki itu.

Hadi, segera menegakkan tubuh sebaik menyedari kehadirannya.

"Tunggu kaulah." jawab lelaki itu selamba.

"Mana kau tau aku kat sini?"

"Aku teka."

"Kau ada nampak siapa-siapa masuk tadi?" soal Suraya masih curiga dengan keberadaan lelaki itu.

"Tak. Aku baru je sampai," bagitahu Hadi dan reaksi wajahnya seakan pelik dengan soalan yang diterimanya itu.

Suraya menarik lega. Mempercayai seratus peratus kejujuran Hadi.

"Jom," ujar Hadi pula lantas berlalu.

Suraya diserang rasa hairan. Tidak pasti ke mana Hadi mahu membawanya tetapi kata hati menyuruh agar dia ikut sahaja langkah lelaki itu. Dijeling butang lif yang ditekan. Lega. Hadi mahu membawanya ke teres.

Sesampai di situ, Suraya terlebih dahulu mendekati mesin layan diri. Dua tin minuman dibeli. Kopi buat Hadi dan soda buat dirinya. Mereka terus duduk di salah satu bangku berdekatan. Pandangan kilas ditebarkan ke sekeliling. Hanya mereka berdua sahaja yang ada di situ kerana waktu masih awal. Namun, bunyi bising kenderaan yang bertali arus membuatkan keadaan tidak sunyi.

"Kau, okay?" tanya Hadi memulakan bicara.

Geleng. Dengan Hadi dia senang berterus-terang.

"Dr. Adrian mengamuk tadi."

"Kenapa?" soal Suraya dengan perasaan terkejut. Dilayangkan lirikan ke wajah lelaki itu kemudian dia menunduk. Air mukanya ketara berubah. Serba salah kerana dialah yang menjadi punca.

"Bukan marahkan kau! Dia marah Ben yang asyik bantah setiap cadangan dia bagi," jelas Hadi bimbang jika gadis yang dianggap seperti adik itu tersalah sangka.

"Kalau kau nak tau, Ben, memang begitulah sikapnya. Siapa saja dari team teknikal yang tak kenal dengan dia yang mulut lepas tu. So, aku harap kau bersabarlah kalau kena apa-apa dengan dia." maklum Hadi tanpa dipinta.

"Hmm..."

Segaris senyuman ditarik. Alasan mulut lepas tidak menjadikan seseorang untuk bebas berucap sesuka hati. Di manakah letaknya personaliti yang berintergriti andai sikap itu dengan sewenangnya dimainkan.

"Jadi, meeting tu macam mana?" soal Suraya mengubah tajuk agar bicara tentang lelaki bernama Ben itu tidak lagi diungkitkan.

"Adjourned until next notice,"

Sepi. Hanya laungan hon kenderaan di bawah yang sesekali memecah keheningan itu.

"Kalau kau nak tahu lagi, meeting tu tamat pun bukan sebab kau. Team tak cukup macam mana nak duduk bincang. Tapi, aku rasa kalau macam ni gayanya, silap-silap esok lusa Dr. Adrian yang bagi-bagikan region. Kalau dapat KV best, lah. Tapi, dapat South atau North lagi best."

"Apa yang best?"

"Boleh claim dan, allowance outstation pun besar jugak."

Oh.

"Itu yang kau fikir... Elaun?"

Hadi sengih lalu menganggukkan kepala. Dia tidak malu mengakui kebenaran itu. Sebenarnya ketika ini dia sedang berhempas pulas mencari duit lebih buat memenuhi tabungan kahwinnya. Andai tiada aral yang melintang, tidak lama lagi dia berhajat memohon kedua orang tuanya menghantar rombongan meminang gadis pilihan yang telah berjaya mencuri hatinya itu.

"Sebenarnya, kenapa dengan kau ni? Aku tak sangka kau berani bercakap dengan Dr. Adrian macam tu tadi." ujar Hadi membuang lamunan sendiri kepada gadis yang mempunyai sikap berani itu. Rasanya, terlebih berani kot.

Teguran itu membuatkan Suraya berkalih pandang memerhatikan bangunan-bangunan tinggi yang mengelilingi bangunan pejabat mereka. Hal yang satu ini sukar pula untuk diterangkan dengan kejujuran kepada Hadi. Agak rumit.

"Aku cuma nak dengar penjelasan dari Mr. Lee sendiri. Aku tak kata sesuatu yang berlawanan dengan fakta." tuturnya membela diri.

"Dia juga superior Anne."

"Tapi aku tak lapor diri pada dia."

"Mr. Lee sendiri kena lapor diri pada dia!" tekan Hadi membuatkan Suraya membulatkan biji mata.

Dipandang lelaki itu dengan perasaan tidak percaya.

"Tipu... kan?"

"Anne, kalau kau nak tahu... kesemua operasi teknikal melalui dia. Takde pengecualian. Bahasa mudah Dr. Adrian tu bos untuk technology and operation department. Pangkatnya lebih kurang macam CTO." jelas Hadi bersungguh-sungguh lantas membuatkan Suraya tertunduk menatap permukaan laluan yang diturap dengan batu granit.

'Chief Technology Officer.'

"Mana kau tahu? Bukan konsultan ke?"

Hadi tergelak besar. Lucu dengan kedangkalan gadis itu. Dan tidak percaya dia menjadi saksi melihat salah seorang staf dari tingkat enam mampu membuat Dr. Adrian yang disegani itu terdiam. Berbanding khabar angin tentang kelakuan staf di tingkat tujuh yang lebih ekstrem terhadap lelaki itu, staf di tingkat enam lebih mesra dan mudah berkerjasama. Jadi, apabila Suraya tiba-tiba membantah arahan Dr. Adrian dia memang terkejut. Gadis itu, pandai menyembunyikan taringnya. I like!

"Kau memang noobie, Anne. Sebenarnya tak ramai yang tahu perkara ni tapi aku rasa beruntung sebab tahu." sahut Hadi. Berbangga kerana mempunyai seorang bos muda yang berwawasan seperti Dr. Adrian.

Suraya, segera mencapai tin minuman yang beralaskan tisu yang diletakkan di antara mereka berdua. Penutup tin itu pantas dibuka. Rakus dia meneguk hingga terpejam kedua belah mata menahan perit yang melewati kerongkong. Pujian melambung terhadap Dr. Adrian ditelan hingga ke dasar. Masih keras menafikan kebolehan lelaki itu kerana kesalahan terhadap dirinya sebelum ini.

"Elok sangat kau pergi jumpa Dr. Adrian. Aku betul-betul maksudkan. Kalau kau sayang dengan kerja kau, baik kau buat apa yang aku cakap ni sebelum kau sendiri jadi buah mulut staf yang lain." pesan Hadi membuatkan dia terfikir akan hebatnya kesan yang telah dia berikan hanya kerana sepotong ayat itu.

Bingkas, Suraya berdiri. Kesalahan Dr. Adrian tetap kesalahan yang sukar untuk dimaafkan. Namun, kehormatan namanya perlu dijaga.

"Terima kasih, Hadi."

Tekad dibulatkan. Hadi mendongak. Senyum kerana nasihatnya diendahkan.

Suraya terus bergegas. Telefon yang disimpan di dalam poket dikeluarkan. Ketika sedang menanti lif untuk turun, nombor Dr. Adrian dihubungi. Beberapa kali cubaan dan tidak berhasil akhirnya, dia mengambil keputusan untuk memberanikan diri ke tingkat tujuh.

Ketika berada di tingkat itu, kakinya bagai berat pula untuk melangkah masuk ke dalam pejabat. Mundar-mandir dia di hadapan pintu. Resah.

Bunyi lif mengejutkan dirinya. Spontan tubuhnya kaku tidak bergerak. Berpura-pura menilik sesuatu pada telefon.

"Suraya..,"

Dihentikan lakonan. Wajahnya pucat lesi. Apabila lelaki itu berada betul-betul di hadapannya barulah dia mengangkat wajah dan satu senyuman kelat terukir.

"Come." ujar Dr. Adrian sebelum melangkah.

Tetapi, lelaki itu tidak masuk ke dalam pejabat sebaliknya, melalui lorong bersebelahan pintu kecemasan. Kedatangan itu seakan difahami. Oleh itu tak perlulah dia membuka mulut terlebih dahulu meminta pertemuan itu berlangsung secara privasi.

Perasaan Suraya diketuk ketika melewati lorong itu namun, sebentar. Tiada lorong sempit kelmarin. Dia dibawa terus ke sebuah kawasan lapang yang terhad. Di tengah kawasan itu terdapat sebuah bilik utiliti. Mereka duduk di atas ground beam yang dibina mengelilingi kawasan tersebut. Di sepanjang ground beam itu terdapat parit lebar yang ditanam dengan pelbagai jenis tumbuhan hiasan.

"You, okay? Ada apa?" soal Dr. Adrian. Sesungguhnya dia gembira melihat kehadiran gadis itu tadi. Namun, dari riak wajah itu jelas tercalit resah.

"Suraya?.." serunya lagi apabila pertanyaannya sebentar tadi tidak dijawab. Kalau ikutkan, dia enggan bersabar. Memang dia tak mampu bersabar apabila berada dekat dengan gadis itu tetapi, sikap yang satu itu perlu dididik. Lesson learned. Cukuplah peristiwa kelmarin.

"Saya nak mintak maaf." tutur Suraya dengan wajah menunduk.

"Kenapa?" soal Dr. Adrian tidak memahami.

Suraya mengetap bibir.

"Hal dalam bilik mesyuarat tadi."

"Maksud awak?"

"Saya cakap macam tu tadi."

"Yang mana?"

Suraya mengangkat wajah yang sekian lama tertunduk. Dipandang lelaki itu dengan perasaan geram pula.

"Awak main-mainkan saya, ke? Banyak sangat ke saya bercakap masa dalam meeting tadi?"

Suara berbaur marah itu terpacul. Dr. Adrian tidak terus menjawab. Sebaliknya, hanya memandang gadis yang duduk kira-kira dua kaki jaraknya itu sebelum sejuring senyuman terukir.

'Hisy, makin geram pulak aku tengok.'

Rungut Suraya di dalam hati.

"You may think you speak little but your actions speak louder, Suraya. Awak tak rasa ke setiap pandangan, lirikan, jelingan, senyuman, gerak geri dan yang lain-lain juga sedang bercakap tanpa perlu awak buka mulut. Saya faham apa yang awak cakap masa meeting tadi. Tapi, saya nak tahu kenapa awak muram." tutur Dr. Adrian panjang lebar. Tidakkah gadis itu sedar setiap perbuatan itu menunjukkan kenaifan dirinya.

Suraya, diam sambil memuncungkan mulut. Dahinya berkerut-kerut memikirkan perbuatan yang menjadi kesilapan selain daripada pertuturan yang agak lancang di dalam bilik mesyuarat itu tadi.

'Apa benda yang aku buat kat dia tadi selain dari melawan cakap?'

"Stop it, Suraya!" dengus Dr. Adrian hanya membuatkan Suraya terkedu dan cepat-cepat mengalihkan pandangan. Dr. Adrian menarik nafas yang dalam. Memang payah betul untuk mendidik dirinya bersabar dengan gadis itu.

"Boleh tak saya nak minta sesuatu?" ucap Dr. Adrian membuatkan Suraya kembali menoleh.

"Next time, jangan buat muka macam tu lagi di depan sesiapa saja."

"Tak nak." Pantas Suraya menyahut dan dengan selamba dijelirkan lidahnya.

"That's it. I'm done. Please, Suraya... Listen to me-.." ujar Dr. Adrian separuh geram. Tubuh yang bersandar ditegakkan. Mau saja dia maju mendekati gadis itu tetapi ditahan dirinya itu.

"Kenapa dengan awak, Dr. Adrian? Siapa awak nak kawal gerak-geri saya?" desak Suraya dengan perasaan bengang. Kalau begini perbualan itu berlangsung barangkali perang dingin bakal tercetus untuk kali kedua. Orang nak bincang elok-elok tapi dia sibuk nak arah itu ini!

"Dengar sini, Suraya. Awak berada dalam bidang yang banyak dikuasai oleh lelaki. Awak tak tahu berapa pasang mata yang memerhatikan awak sejak dari hari pertama awak masuk kerja. Tak kira dari level mana pun ada saja mata-mata yang perhatikan awak, tahu tak?"

Suraya diam terkelu. Sekali imbas, kata-kata Dr. Adrian nampak tak logik. Tetapi, mengenangkan Zamri membuatkan dia terfikir sejenak.

"Biasalah tu... Ada mata mestilah memerhati. Tapi, saya biasa-biasa saja. Jadi, buat apa nak bimbang?" tuturnya masih membela diri. Dikerling lelaki itu sebentar sebelum pandangan dijatuhkan.

"Cakaplah apa saja... Nafikan apa yang boleh. Pandangan mata takkan silap. Awak seorang yang cantik."

'Terlalu cantik.'

Tambah Dr. Adrian di dalam hati. Dilihatnya wajah gadis itu makin menunduk ke bawah.

"Suraya, saya tanya kenapa awak muram tadi? Sebab hal minggu lepas? Sebab saya?" duga Dr. Adrian sedangkan dia pasti itulah jawabannya.

"Erm." sahut Suraya tanpa memandang.

"Maafkan saya?" pinta Dr. Adrian.

"Erm..,"

Lega perasaan Dr. Adrian. Seandainya gadis itu tidak datang menemuinya tadi dia pasti, angan yang tersimpan terpaksa dilupakan. Dia baru berkira-kira membuat akujanji kepada dirinya sendiri untuk tidak lagi mengganggu perasaannya dengan kehadiran gadis itu. Namun, kehadiran Suraya sebentar tadi mengubah segalanya. Dia, sedar satu perkara. Kesabaran kunci segala-galanya.

Ketika ini, jiwanya bergembira dengan jawapan gadis itu. Bermakna, perbuatannya sebelum ini telah dimaafkan. Hati, kembali berbunga. Kembali menadah harapan.

"Tapi separuh je." tambah Suraya kemudian.

Dr. Adrian tersentak.

"Separuh? Hanya separuh maafkan saya?"

Hilang terus perasaan lega tersebut.

"Bukan. Maksud saya, rasa marah tu dah tinggal separuh. Separuh lagi sebab saya tak bersedia untuk bertemu... awak." ucap Suraya sambil mencuri lirikan ke arah Dr. Adrian sebelum memalingkan wajah.

"Kenapa?"

"Sebab awak pernah tengok saya menangis."

"Oh my goodness, Suraya. Dari planet mana awak datang ni? Apa yang nak dimalukan dengan menangis? And it suited the situation." kata Dr. Adrian hambar. Masih tebal rasa bersalah dengan kekasarannya tempoh hari.

"Sebenarnya, selain abah, awak lelaki pertama tengok saya menangis." akui Suraya penyebab rasa malunya itu. Malah, mengakui perkara itu juga makin menambahkan rasa malu yang sedia bersarang.

"Huh? That is interesting. No. You are interesting, Suraya." ucap Dr. Adrian seraya memancing Suraya untuk menoleh. Segaris senyuman terlewat di bibir Suraya. Renungan tajam dari Dr. Adrian berjaya menakutkan bibir itu dari terus merekah.

Suraya berasa tidak selesa. Bingkas dia berdiri memutuskan renungan panjang itu.

"I better get back to work, Dr. Adrian. Sekali lagi saya minta maaf atas sikap saya ketika meeting tadi. Saya pergi dulu." tuturnya buru-buru sebelum bergegas pergi.

Dr. Adrian memerhati dalam keadaan tertanya-tanya hingga kelibat Suraya menghilang. Sekali lagi gadis itu menokok jarak yang sedia jurang. Kali ini tanpa dia berbuat sesuatu yang tidak disenangi oleh gadis itu. Bertambah rasa hairan dan bertambah rasa ingin tahu penyebab gadis itu berkelakuan sebegitu.

Previous: Bab 14
Next: Bab 16

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.