Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 48


"Adrian missing. Sejak tadi dia tak jawab call aku."

Maklumat ringkas yang diperolehi cukup memberinya isyarat sesuatu telah berlaku. Apatah lagi apabila lelaki itu telah dikaitkan dengan sebuah kes berprofil tinggi baru-baru ini.

Segera, nombor lelaki itu dihubungi. Beberapa kali cubaan yang gagal, dia sedar memang ada sesuatu yang tidak kena. Pantas, dia meminta izin daripada majikannya itu untuk keluar rehat lebih awal dari jadualnya.

Sedikit buru-buru, dia memecut kenderaan yang dipandu menghala ke arah Sungai Wei. Bimbang andai terlewat sedikit, malapetaka besar bakal berlaku. Dan semestinya memang patut dia kebimbangan. Peristiwa ngeri yang pernah dilihatnya sebelum ini memberi tanda waspada bahawa lelaki itu boleh bertindak di luar akal fikiran yang normal.

"Heii!! Apa dah jadi? Siapa lagi yang buli kau ni??" soalnya dengan perasaan cemas. Dia, terkejut sangat. Bercampur gerun. Melihat keadaan budak lelaki itu yang sedang bersandar lemah pada dinding kolah mandi dengan keadaan tidak berbaju. Dadanya merah dengan goresan yang baru terlakar. Titisan darah segar yang mengalir langsung tidak dipedulikan oleh budak lelaki itu.

"Hei!! Kau okay tak ni?" soalnya lagi seraya menggoncang bahu budak lelaki itu.

Kelopak mata yang tertutup itu perlahan-lahan terbuka. Namun, pandangan itu kelihatan kosong. Tiada kesakitan. Tiada tanda tanya. Tiada juga permintaan.

"Siapa yang buat dekat kau macam ni??" soalnya untuk kesekian kali. Matanya tertinjau-tinjau keadaan di dalam bilik air besar itu. Mencari-cari sekiranya terdapat budak-budak jahat yang sedang bersembunyi di situ. Dan, pada jam 3 pagi sebegitu dia tahu, hanya dia dan budak itu sahaja yang berada di situ. Dia ke situ pun kerana terjaga dari tidur tadi untuk pergi membuang air kecil. Puas hati dengan pengawasannya dia kembali fokus kepada budak lelaki itu. Budak lelaki yang pernah ditolongi dahulu.

Satu gelengan yang tidak bermaya dipamerkan. Budak itu kelihatan terlalu lemah. Jika berlama-lamaan begitu dia bimbang sekiranya budak itu kehilangan lebih banyak darah. Dia ingin segera beredar untuk mendapatkan bantuan. Tetapi, niatnya seakan diketahui. Belum sempat dia bangun, perbuatannya itu dihalang. Sekali lagi budak lelaki itu menggeleng.

Dia bungkam. Keadaan budak lelaki itu tidak jauh berbeza dari kali terakhir dia menemuinya. Terdampar lesu di atas lantai bilik air tanpa sesiapa pun yang berani untuk menghulurkan bantuan. Tetapi, tidak dia. Dia tidak gentar untuk membantu. Malah, berlawan dengan tiga orang ketua samseng itu. Apatah lagi anak-anak buahnya yang seramai tujuh orang itu. Sekali langkah silat dibuka berterabur bilis-bilis itu melarikan diri. Huh! Apabila berkumpulan berani dan berlagak.

Sekiranya dia tahu ada lagi kaki buli yang berlagak samseng di asrama ini tahulah dia kerjakan mereka semua. Malah, lebih dari sebelum ini dia akan lakukan. Itulah janjinya pada diri sendiri supaya tidak ada lagi kegiatan buruk itu berlegar di asrama yang mereka inap itu. Dia, tak akan biarkan nasib yang menimpa budak lelaki itu berjangkit kepada budak-budak yang lain pula.

Pandangannya, kembali berlabuh pada budak itu. Simpati betul dia melihat keadaannya. Sambil matanya melilau mencari akal memujuk budak itu agar mendapatkan bantuan, lirikannya tiba-tiba berhenti pada sesuatu yang berkilat.

"Kau?.. Kau cederakan diri kau sendiri???"

Bunyi hon yang ditekan kuat menyebabkan dia terpaksa melirik ke arah cermin pandang belakang. Bertempiaran lamunan silam menghilang. Dapat dia lihat sebuah pacuan empat roda berada di belakang kenderaan yang dipandunya sebelum ia memintas perlahan.

"Woiii!! Tak reti parking ke??" sergah pemandu kenderaan itu yang tiba-tiba berhenti bersebelahan kenderaannya.

Cermin tingkap yang suku diturunkan dibuka sampai habis. Jari telunjuk memberi isyarat kepada pemandu lelaki yang agak berumur itu ke arah petak parkir yang mahu dimasuki. Dia tidak melihat di mana kesilapan yang telah dilakukan ketika ini. Isyarat ke kiri telah dinyalakan. Cuma menanti sebuah kenderaan yang sedang berundur untuk keluar sementelah dia pula mahu mengambil tempat parkir yang ditinggalkan itu.

"Tak sabar betul!" dengusnya setelah pacuan empat roda itu berlalu.

Sebaik petak kosong itu berjaya dimasuki, tergesa-gesa dia menuruni kenderaan lantas menguncinya. Laju langkah diambil menuju ke arah blok bangunan kedai dua tingkat yang tidak terlalu sibuk itu. Dan, terus saja dia mendapatkan sebuah lorong bertangga untuk ke tingkat atas. Dengan langkah yang lebar dipanjat anak tangga itu dua mata sekaligus.

Sesampai di premis yang amat dikenalinya itu, perasaan cemas di pejabat tadi mulai muncul kembali. Seperti jangkaannya pintu hadapan itu tidak berkunci. Ditolak perlahan pintu besi itu sebelum masuk ke dalam ruang legar. Ruang yang lapang berdindingkan papan lapis dan kaca itu diperhati. Kosong.

Dibawa langkah ke laluan belakang. Terus ke sebuah bilik sederhana besar yang merupakan sebuah bilik latihan peribadi yang menempatkan beberapa alatan senaman. Daun pintu ditolak dan sepantas kilat dia menerpa ke arah sekujur tubuh yang basah dengan darah merah pekat.

"Adrian!! Berhenti!!!" tuturnya lantang lantas memegang kejap pergelangan tangan yang sedang memegang pisau berbentuk segi empat tepat itu. Bau hamis darah merengsa di lubang hidung. Melihatkan aliran yang sederhana pada dada dan juga beberapa tompokan kecil pada kemeja yang terbuka itu membuatkan dia sedar bahawa dia tiba tepat pada masanya.

Diperhati keadaan sekeliling. Bagasi lelaki itu terdampar di suatu sudut. Jadi, pertama-tama tempat yang dituju oleh lelaki itu sebaik tiba di lapangan terbang adalah tempat latihan itu!

"Zik..," ucap Dr. Adrian perlahan.

Dia kembali melihat ke arah temannya itu. Masih dengan mata terpejam dan beku tidak bergerak.

"Shit happens." tutur lelaki itu lagi. Sejuring senyuman terlakar. Sebentar.

Perlahan-lahan, dia menarik pisau kecil yang berdarah itu dari pegangan. Tiada bantahan. Jari jemari lelaki itu sempat ditilik. Tompokan yang memerah menghiasi buku limanya.

Puas menilik, dia bingkas bangun. Mencapai sehelai kertas nota yang berada di dalam sebuah bakul yang tergantung pada peg board di belakangnya sebelum pisau cukur itu dilipat bersama kertas kecil tersebut lalu, dimasukkan ia ke dalam poket seluarnya. Kemudian, dia beredar pula ke bilik air untuk mencuci tangan sebelum kembali. Lokar kecil yang berada di satu sudut didekati. Sebuah kotak pertolongan cemas dikeluarkan.

Dia, kembali menghampiri kedudukan lelaki itu yang bersandar di dinding dengan kedua kaki melunjur ke hadapan. Kemeja yang dipakai terbuka separuh. Mendedahkan bahagian dada yang coret-moret dengan parut lama andai diperhati dengan teliti. Juga, yang sedang berconteng merah itu.

"Kitorang sentiasa ada dengan kau, Adrian. Susah senang, salah dan silap," ujarnya membuka bicara menenangkan situasi.

"Dan, jangan lupa... Kau, dah ada Suraya. Isteri kau." Dia mengingatkan sambil sebotol antiseptik dan kapas dikeluarkan.

Tiada balasan. Malah, tiada juga sentakan ketika dia mencuci luka melebihi lima garisan itu.

"Dulu, kau sendiri ingatkan aku..,"

Dia berhenti sejenak. Mengerling reaksi Dr. Adrian yang sejak tadi jauh dari sebarang ekspresi dengan kedua mata merenung kosong ke depan. Antiseptik telah selesai digunakan. Kini, dia mengeluarkan beberapa keping plaster luka pula.

"Ingatan yang buatkan aku tak takut untuk keluar dan bertemu dengan sebilangan orang," katanya sambil fikiran terkenang ketika dia berusia lapan belas tahun. Mendapat kunci kebebasan dalam membuat pilihan kehidupan. Keluar dari lingkungan sistem rantaian sosio kehidupan dengan berkerja siang dan malam membanting tulang akhirnya, dua tahun kemudian dia memilih untuk berusaha dengan kedua tangannya. Pusat latihan itu disewa olehnya dengan bantuan Dr. Adrian sebagai sebuah pusat pengajaran seni mempertahankan diri.

"Kesusahan itu peluang," tambahnya lagi sebelum lirikan kembali terlontar kepada lelaki itu. Kesusahan yang ditimba semenjak kecil hingga dewasa hanya membuatkan dia matang ketika usia masih dini. Hanya membuatkan dia faham kehidupan yang senang-lenang tidak datang bergolek melainkan ranjau sentiasa mengancam di sepanjang laluan.

Tiada sahutan. Masih beku umpama patung cuma, ianya bernyawa. Dia tidak tahu cara apa lagi yang patut digunakan untuk menenangkan perasaan sahabatnya itu. Perasaan yang belum pernah dia alami. Hanya mampu melihat temannya itu dari kejauhan tetapi tidak dalaman. Dia tahu lelaki itu sedang menanggung satu perasaan yang berat hinggakan mampu mencederakan dirinya sendiri. Dan dia, pernah mengesyorkan Dr. Adrian agar bertemu pakar yang berkelayakan. Namun, seruannya itu belum kelihatan diambil peduli.

"Kau mampu untuk lawan mereka, Adrian. Ini bukan kali pertama kau dikenakan sejak masuk ke syarikat." tuturnya lagi sebelum mengemaskan tampalan yang terakhir. Cukuplah untuk menahan darah dari terus mengalir sebelum ia berhenti sendiri. Lagipun, tirisan itu tidak terlalu dalam. Namun, sudah cukup memberi peringatan untuknya sentiasa berwaspada akan hari-hari mendatang.

"Tapi, kali ni bukti tu jelas ada nama aku." ujar lelaki itu datar sebelum terdiam.

"Aku tahu. Aku dengar perbualan Miss Carol dan Che Puteh." sahutnya setelah siap mengemaskan kotak pertolongan cemas lalu sama-sama duduk bersandar. Kes pertukaran pembekal dan alatan itu melibatkan nilai kontrak hampir satu juta ringgit. Tentulah lelaki itu bimbang. Tak sangka, licik betul orang yang mengenakan Dr. Adrian memanipulasi bukti untuk mengaitkan ia dengan lelaki itu.

"Zik..." seru lelaki itu sekira-kira agak lama mereka duduk termenung tanpa sepatah bicara.

"Erm."

Diam. Dan dia terus menanti namun tiada satu patah lagi yang kedengaran.

"Adrian, aku nak tanya," tuturnya pula.

"Dah berapa kali kau buat benda ni?" soalnya. Tiada niat untuk mengecam cuma, mengambil peduli. Setahunya, kali pertama dan terakhir kira-kira lima belas tahun yang lalu. Melihatkan tiada balasan, dia menoleh ke sisi. Lelaki itu sedang merenung. Jauh sekali.

"Beberapa bulan lepas masuk company. Aku stress. Diorang tak respect aku. Takde langsung kecuali sedikit. Terlalu sedikit,"

Dia melangut terpana. Hal itu tidak pernah disuarakan oleh lelaki itu kepadanya.

"Tapi, aku tak buat macam ni, Zik. Aku-.. aku dah tak nak buat benda ni. Jadi, aku guna mata pen cucuk tapak tangan aku ni. Tadi pun aku dah guna cara tu tapi, tak berjaya. Rasa tu...terlalu dalam." cerita lelaki itu lagi.

Dia, pantas menoleh.

"Maaf, Adrian. Aku dah cuai. Tak perasan apa jadi pada kau." getusnya sedikit kesal. Seingatnya, pada awal kedatangan lelaki itu ke syarikat ia telah menjadi satu isu yang agak panas. Jawatan konsultan teknikal yang dipegang oleh lelaki itu pertama kali diwujudkan. Seterusnya mencetuskan perasaan tidak puas hati beberapa pihak. Tak sangka keadaan haru-biru itu sebenarnya telah memberi kesan kepada emosi lelaki itu.

"Zik..."

Lamunan terpadam. Segera dia menoleh.

"Aku-.. aku bukan sengaja nak buat balik benda ni! Aku cuma-.. Aku cuma-..,"

Wajah lelaki itu kelihatan serba salah. Seakan baru tersedar akan sesuatu. Kemudian, sepi. Luahan itu tidak disempurnakan. Sekali lagi, dia sabar menanti. Hanya mengingatkannya pada kali pertama lelaki itu memberi alasan hingga berjaya membuatkan dia terkesima.

"Aku tak nak duduk sini tapi, aku tak boleh pergi. Aku nak lari dari sini tapi, aku dah janji dengan papa. Aku takut tengok air kolah tu tapi, aku kena guna air tu. Aku tak tahu macam mana nak buang sesak dekat dada ni sebab tulah aku toreh diri aku. Rasa sakit lebih aku suka dari rasa yang padat ni."

Dia, menarik panjang. Sangkanya itulah kali pertama dan terakhir perbuatan itu dilakukan. Setelah lelaki itu mengetahui asal usulnya yang berasal daripada golongan konglomerat dan bukan golongan bertaraf rendah seperti dirinya itu tentunya tiada lagi erti kepayahan dalam kamus hidupnya. Rupa-rupanya tidak. Kecelaruan itu tidak mengenal darjat dan pangkat.

"Aku malu sebab Suraya tahu tentang kes ni."

Dua kali berturut-turut lamunannya diusir. Lantas dia menoleh dan memandang sahabatnya itu dengan perasaan bercampur-baur. Ucapan itu menjadi jawapan kepada perbuatan lelaki itu pada hari ini.

"Suraya, tahu tak kisah silam kau?"

Kekesalan, menyentuh jiwa sebaik melihat satu gelengan yang lemah dari lelaki itu.

"Suraya tak boleh tahu! Dia tak boleh tahu apa-apa pun tentang perkara ni!!"

Dia menarik dalam sebaik mendengar nada tinggi itu terpacul.

"Sebenarnya... aku bimbang sebab, kes ni kes yang besar. Nama aku jelas terpampang sebagai approval. Dan, sekarang aku jadi bimbang sebab, Suraya dah tahu!" tutur Dr. Adrian dengan wajah yang resah lantas tanpa sebarang amaran bangkit untuk berhadapan dengannya sebelum mencekak kolar bajunya. Tiada kemarahan dan amukan pada riak wajah itu kecuali pandangan yang kosong. Dia sedar lelaki itu tidak sengaja berbuat begitu. Tidak langsung berfikir sebelum bertindak lalu, dibiarkan sahaja kelakuan lelaki itu yang sedang melepaskan tekanan.

"Sejak dari semalam aku berfikir sampai aku rasa macam nak pecah kepala aku ni mencari bukti yang aku ada untuk berikan pada diorang. Dan aku dah tak rasa apa-apa sebab terlalu banyak perkara yang sedang bermain dalam fikiran aku ni,"

Diam. Dia masih membiarkan sahabat baiknya itu berbuat mengikut kehendak hati. Kolar yang dicengkam terasa menjerut leher namun dia tidak takut atau bimbang. Menanti sahaja lelaki itu selesai meluahkan perasaan yang terpendam.

"Aku tak rasa apa-apa sejak dari pagi tadi. Masa dalam flight, aku mula rasa kosong dan, aku dah puas tekan mata pen tu. Jadi, sebab tulah aku ke sini. Aku gunakan punching bag. Tapi, aku tetap tak rasa apa-apa walaupun dah penat aku menendang dan menumbuk," luah lelaki itu lagi lantas dengan perlahan-lahan melepaskan cengkamannya sebelum kembali bersandar lemah.

Dia menarik lega. Nafas yang sempit sebentar tadi lapang dihela.

"Aku tau kau ada simpan pisau cukur dalam bilik air." Dr. Adrian menambah kemudian.

Wajah yang lesu itu dipandang lama. Menggariskan betapa banyak tekanan emosi yang sedang dipikul ketika ini. Ditepuk peha lelaki itu beberapa kali. Simpati. Terlalu.

"Kau tak perlu bimbang. Kita ada Zaf." ujarnya ringkas.

"Aku takut."

"Apa maksud kau? Apa yang kau takutkan?"

"Suraya."

Dia terdiam. Jawapan yang sama diulangi. Sepantas kilat dia membuat kesimpulan bahawa lelaki itu lebih bimbangkan kepercayaan Suraya terhadapnya.

"Suraya aje?" soalnya sekadar menduga.

Angguk.

"Adrian, kau tak bersalah dan tak perlu takut dengan mereka." katanya berbaur pujukan.

Satu keluhan yang berat kedengaran dilepaskan.

"Kau yakin?"

"Tentulah yakin. Ini bukan kali pertama kita buat benda ni. Mencari maklumat bukan satu kerja susah dengan adanya adik aku tu."

"Mudah kau cakap." kata Dr. Adrian setelah lama mendiamkan diri.

Dia, terkelu menerima keanehan jawapan lelaki itu.

"Adrian, pertama sekali, kau kena terangkan kepada Suraya siapa diri kau yang sebenar." nasihatnya kerana dia sedar tidak lain tidak bukan keanehan yang muncul itu disebabkan oleh rahsia yang disimpan daripada pengetahuan Suraya.

Wanita itu berhak untuk tahu. Meskipun dia tidak jelas akan perasaan wanita itu namun, dia pasti apa sahaja hubungan yang diiringi dengan sesuatu yang samar bakal mengakibatkan kemusnahan dan kemelaratan.

"Tak...tak boleh." sahut Dr. Adrian masih berdegil. Kedua tangannya yang berada di atas peha menggenggam buku lima.

"Baik. Buat masa sekarang dia tak perlu tahu. Tapi, lambat laun kau perlu berterus-terang dengan dia."

"Aku tak tahu... Aku tak pasti. Adakah dia akan terima kalau dia tahu nanti."

"Kau tak boleh terus buat kesimpulan. Kalau kau yakin dengan perasaan dia, kau tahu dia akan terima kesemuanya," pesannya seraya memanjat pengharapan semoga ikatan mereka berdua itu kekal berpanjangan tatkala saat pendedahan itu muncul. Dia, melirik ke arah lelaki itu yang senang menyepikan diri. Lalu, seperti kebiasaan yang dilakukan oleh lelaki itu terhadapnya dahulu, dia melakukan ia pula.

"Jom. Kita ada banyak benda nak dibuat. Aku panggil Zaf." tuturnya dengan sebelah tangan erat memegang bahu lelaki itu.


















PENAFIAN : PERBUATAN MENCEDERAKAN DIRI SENDIRI ANTARA PERBUATAN HARAM DAN DILARANG DI SISI AGAMA ISLAM. BAB YANG DITONJOLKAN TIDAK SAMA SEKALI MEMBENARKAN ATAU MENGGALAKKAN PERBUATAN INI.

p/s : Sekiranya ANDA sedang dalam keadaan tertekan/stress yang melampau sila dapatkan bantuan daripada ahli keluarga, rakan, guru (sekiranya ANDA pelajar) atau boleh menghubungi kaunselor di Talian Kasih : 15999 atau Aplikasi WhatsApp : 019-2615999. Atau hubungi talian HEAL 15555

Usaha, yakin, tawakkal pada DIA dan beri semangat pada diri sendiri untuk pulih. Anda tidak pernah sendirian^^❤️~

Previous: Bab 47
Next: Bab 49

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.