Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 4


Melalui kiriman mesej di dalam aplikasi WhatsApp yang diterima daripada ketua pasukan, Suraya mendapat makluman tentang lawatan tapak yang bakal mereka lakukan pada jam 10.00 pagi nanti yang terletak di Taman Greenwood. Jikalau pada minggu lalu dia lebih banyak terperap di pejabat sahaja, pagi itu dia hadir dengan mengenakan kemeja berlengan panjang berwarna putih serta sepasang jeans berpotongan longgar dan selendang berwarna kelabu melilit di kepala.

"Hai, Hadi. Selamat pagi!"

Ceria lantunan suaranya mencerminkan perasaan teruja yang sedang dirai. Tak sabar betul nak turun ke tapak projek!

Hadi, cuma menganggukkan kepala. Langsung tidak menoleh. Teman sekerja itu sedang tekun menilik telefon pintarnya. Agak tipikal. Spontan minda teringatkan Hanis yang lebih banyak bermain dengan telefon pintar sejak akhir-akhir ini. Malangnya, dia belum bersempatan menanyakan gadis itu akan hobi baru yang agak pelik itu. Kemudian nanti dia akan bersemuka dan bersoal jawab dengan temannya itu.

"Anne, dalam setengah jam lagi kita gerak."

Suara Zamri mencantas lamunan. Suraya menoleh ke arah lelaki berkulit sawo matang yang sedang duduk bersilang pangku sambil silih berganti memandang dirinya dan telefon pintar di tangan. Meski berusia di penghujung empat puluhan, lelaki itu kelihatan fit dengan tubuh badan yang tegap dan wajah yang macho.

Kebanyakan staf teknikal di syarikat mudah dikenali melalui cara pemakaian mereka. Hari itu Zamri mengenakan t-shirt polo berwarna hitam dan sepasang jeans tona yang sama. Cekak rambut hitam berbingkai halus menghiasi kepalanya. Memakai cekak rambut di kalangan staf lelaki di syarikat sudah menjadi trend agaknya. Hampir setiap hari dia terserempak dengan staf lelaki yang berfesyen sebegitu.

Dipusingkan kerusi beroda lima itu untuk menyahut tetapi tidak sempat kerana lelaki itu sudah bangun dan beredar dengan beberapa orang staf yang lain ke muka pintu. Dia menghantar pemergian itu dengan mata yang terkebil-kebil. Jam di pergelangan tangan lalu dikerling. Lima belas minit sebelum jam 9.00 pagi. Nak ke mana mereka tu?

"Diorang pergi breakfast. Kau dah makan?"

Persoalan yang melintasi di fikiran dijawab oleh Hadi. Dipusingkan pula kerusi ke arah lelaki itu yang duduk bersebelahan dengannya. Dalam kumpulan itu, selain daripada Ken dan Aidil, terdapat dua buah stesen kerja yang belum berpenghuni. Kata Hadi, bila-bila masa ianya akan diduduki. Nampaknya mereka bakal menerima ahli baharu tidak lama lagi.

"Belum. Tapi aku ada tapau nasi lemak ni. Makan dekat sini ajelah. Kau, macam mana? Kenapa tak ikut diorang?"

"Hari ni aku puasa."

Gulp. Suraya menelan air liur. Berasa segan atas soalannya sebentar tadi dan juga mengenangkan amalan lelaki itu.

"Aku puasa ganti, lah... Sebab sebelum ni aku pernah accident and warded. Betul-betul kena waktu bulan puasa. So, nak tak nak kenalah ganti, kan? Benda wajib."

Seperti tahu-tahu sahaja apa yang bermain di fikirannya, Hadi menjelaskan. Suraya menarik satu senyuman. Dalam serba salah, dia meminta izin untuk makan di hadapan lelaki itu. Lalu, tiada lagi perbualan yang berlangsung. Sambil menjamah sarapan paginya dia meneropong isi ruang pejabat yang mula hingar dengan staf yang memenuhi stesen kerja masing-masing. Ada yang sedang bersarapan sepertinya ketika ini, ada yang sedang bermain dengan telefon dan ada juga yang sudah memulakan tugas.

"Okay, Anne. Dah ready?" soal Zamri ketika dia kembali dari pantri untuk membuang sampah dan mencuci tangan.

"Yup." sahutnya dengan pandangan berlabuh sebentar ke arah ketuanya itu.

Good.”

Suraya senyum kecil menerima pujian ringkas itu.

Tools?" tanya Zamri lagi.

Pantas dia menepuk lalu menggalas beg komputer riba yang berisi alatan untuk melakukan kerja-kerja di tapak projek.

Very very good. Jom!" kata Zamri kemudian sebelum turut menggalas sebuah beg sepertinya ke bahu.

Suraya tersengih sebelum mengangguk perlahan.

"Mr. Lee baru gerak dengan beberapa orang bos. Diorang mesti pergi minum dulu tu.” maklum Zamri ketika mereka tiba di lapangan parkir di tingkat bawah tanah.

Alarm pacuan empat roda ditekan dan dia memasukkan beg yang digalas di bahagian belakang tempat duduk. Suraya turut melakukan perkara yang sama setelah lelaki itu memberi ruang kepadanya untuk berada di bahagian belakang itu. Usai menutup pintu dan berpaling, Zamri sudah berada di belakangnya dengan tangannya menghulurkan segugus kunci.

"Boleh drive, kan?"

Gugup. Juga cuak. Langsung tidak terfikir dengan tindakan dan arahan lelaki itu namun, serta-merta dibuang fikiran keruh itu dengan menganggukkan kepalanya.

"Saya yang drive?" soalnya biar terang lagi bersuluh kunci itu sedang disorong dekat dengannya dan hanya mereka berdua sahaja yang berada di situ ketika ini.

Zamri mengangkat kedua belah kening. Kunci masih berbuai di tangannya. Walau berasa sedikit hairan, disambut jua gugusan itu lalu tempat duduk pemandu dikuasai.

"Betul ni saya drive?" soal Suraya buat kesekian kali sebelum enjin dihidupkan.

"Sama aje macam kereta biasa. Cuma yang ni besar dan tinggi. Relaks je." tutur Zamri selamba.

Lelaki itu duduk bersandar sambil melunjurkan kaki. Kemudian, dikeluarkan telefon pintar dari poket jeans sebelum diam dan tenggelam dalam urusan peribadinya. Langsung membiarkan Suraya mengemudikan perjalanan itu sendirian.

Gemuruh, datang menyapa. Dia merasainya hadir kerana harus memandu sebuah kenderaan yang belum pernah dipandu sebelum ini. Namun, melihatkan reaksi bersahaja Zamri dan keinginan untuk membuktikan keupayaan, digagahkan diri menyentuh stereng kenderaan itu. Sedikit terketar tangannya saat jari-jemari berlabuh di atas tombol gear sebelum perlahan-lahan tombol automatik itu ditukar dan pedal minyak ditekan.

Sepanjang perjalanan menuju ke Gombak yang mengambil masa hampir setengah jam menggunakan bantuan navigasi dari Google Maps itu, dadanya tidak henti melompat bintang. Bimbang seandainya berlaku sebarang kesilapan dalam pemanduan yang berakhir dengan tragedi.

'Ya Tuhanku, mohon dijauhkan.'

Syukur, perjalanan itu hampir tiba ke destinasi. Toyota yang dipandu, perlahan menyusuri lorong yang membelah di antara deretan beberapa buah blok bangunan kedai yang sepi. Zamri mengarahkannya supaya dia memberhentikan kenderaan di hadapan sebuah lot yang belum beroperasi di mana terdapat dua orang lelaki sedang duduk seperti sedang menantikan kehadiran mereka. Siap mematikan enjin dan memikul beg di bahu, Zamri menghulurkan sebiji topi keledar keselamatan berwarna putih. Lelaki itu pula sudah siap memakainya. Tanpa sebarang kata, mereka berdua maju mendekati kedua orang pemuda itu.

“Faisal, Naim. Ni aku kenalkan staf baru. Korang jangan kacau dia lebih-lebih ye.” ucap Zamri berbaur amaran tatkala mendekati mereka berdua.

"Anne, yang ni rigger. Yang tu CME. Dua-dua dari AceAir. Rigger untuk standby kalau antena perlukan adjustments macam azimuth change, tilting, height."

Terangguk-anguk kepala Suraya tanda faham akan profil yang sedang dikenalkan itu.

“Hai. Saya Anne.”

Satu senyuman kecil melirik di bibir memeterai perkenalan yang berlangsung.

“Saya O. Yang ni pulak P.” sahut salah seorang daripada mereka sebelum kedua-duanya tergelak besar.

Walaupun berasa sedikit tersinggung kerana dipermainkan, dia tidak dapat menahan gelak dengan jenaka yang dibuat oleh lelaki yang memakai kaca mata yang bertugas sebagai staf CME atau Civil, Mechanical dan Electrical itu.

“Hadap ajelah diorang ni.” sampuk Zamri seperti sudah lali akan sikap mereka itu.

Keduanya hanya tersengih-sengih. Lelaki yang bernama Naim menyerahkan segugus anak kunci kepada Zamri.

Zamri, mengetuai kumpulan itu mula memasuki premis melalui sebuah pintu menggunakan kunci yang baru diperolehi sebentar tadi. Keempat-empat mereka mendaki anak tangga untuk naik ke tingkat tiga. Untuk sampai ke sebuah penthouse di bahagian bumbung pula, mereka harus memanjat sebuah tangga besi yang agak usang. Pergerakan mereka mendahului dirinya yang sengaja dilambatkan. Ketika tiba gilirannya dengan penuh berhati-hati, Suraya memanjat satu per satu tangga besi yang terjulur ke bawah itu. Setiap langkah diambil dengan cermat. Kemalangan boleh terjadi di mana-mana.

" Familiar?" tanya Zamri sebaik mereka tiba di atas bumbung kedai yang landai dan luas itu.

Suraya memerhati keadaan sekitar. Cuaca yang sesekali redup memberi kelegaan namun, ketika matahari kembali terik, bahang yang dipancarkan mampu melebatkan renik peluh di dahi. Dia senyum. Ketika menjalani latihan industri dahulu, dia tidak berkesempatan melakukan lawatan ke tapak projek kerana belum memperoleh lesen untuk masuk ke tapak. Meskipun begitu, dia mengenali suasana ketika itu menerusi gambar-gambar yang direkodkan di dalam laporan yang diteliti sebelum ini. Kepalanya mengangguk sedikit.

"Sebenarnya, kita tak ada tugas nak dibuat pun. Mr. Lee yang arahkan abang bawak Anne ke sini. Tapi, kalau Anne nak try buat static test apa salahnya." kata Zamri lagi. Fokusnya jelas ke arah sebatang tiang dengan sebuah panel antena 4G terpasang padanya. Dua buah yang lain berada di sektor masing-masing bagi mendapatkan lingkungan liputan pada sudut 360° darjah.

"Jadi, apa tujuan kita naik ke sini sebenarnya?" soal Suraya hairan. Penat juga mendaki anak tangga tadi. Bukan sepuluh tetapi berpuluh-puluh. Dah sampai ke atas tak ada kerja yang boleh dibuat?

Zamri tersengih memandang sambil bercekak pinggang.

"Warm up."

"Hah??"

Dia makin terpana. Direnung Zamri yang sibuk melepaskan pandangan ke sekeliling rooftop itu. Tiada riak senda.

"Jom. Turun."

"Hahhh??.."

Bukan main kuat dia bersuara hinggakan dua orang kontraktor itu berpaling memandangnya. Sesi panaskan badan yang agak luar biasa dan sedikit ekstrem. Seperti tadi, dengan penuh waspada dia mengekori langkah Zamri untuk turun ke bawah seterusnya kembali ke pacuan empat roda. Tercungap-cungap dia mengejar lelah ketika lelaki itu menekan alarm, membuka pintu, duduk dan menghidupkan enjin kenderaan.

'Fuuhhh...'

Dia menghela panjang.

"Abang nak ke AceAir. Ada brief dekat sana. Agak-agak dalam satu jam lagi abang balik ke sini. Nanti kalau-kalau Anne nampak Mr. Lee, terus follow je Mr. Lee tu. Kalau nak try buat test boleh jugak. Tak faham, Anne boleh tanya dua orang tu." pesan Zamri sebelum menukar gear dan pergi.

Dalam keadaan masih terpinga-pinga, dilihat kenderaan itu berlalu.

Biar betul?!

Dia benar-benar disapa kehairanan dengan sikap Zamri sejak mereka berada di tempat parkir lagi. Akhirnya, diambil keputusan untuk mencari satu tempat duduk yang boleh dijadikan tempat untuknya membuat satu ujikaji ke atas tapak tersebut. Topi keledar keselamatan di kepala lantas dibuka. Sejuk sikit kepalanya itu sebaik angin Barat datang menghembus.

Diperhati keadaan sekitar bangunan kedai itu dengan teliti. Laluan jalan raya yang lebar namun lengang. Tiada apa-apa di tempat lapang itu kecuali beberapa buah kenderaan yang di parkir. Pokok hiasan pun boleh dikira dengan jari. Ternyata lot kedai itu merupakan sebuah lot yang baharu dibina. Hanya tiga buah kedai sahaja yang kelihatan beroperasi iaitu sebuah dobi layan diri, kedai makan dan sebuah kedai serbaneka. Lot di hujung bangunan kedai itu pula seperti sebuah pejabat tetapi, ianya tertutup rapat. Antara kedai makan atau dobi, dia memilih untuk menumpang duduk di kedai dobi sahaja. Dobi layan diri itu pula kelihatan lengang. Sesuailah untuk melepaskan penat dari duduk di kedai makan itu semata-mata mendengar suara perbualan pelanggan.

Sebuah bangku panjang yang terletak di bahagian hadapan kedai dobi menjadi port lepaknya. Saat ini dia berkira-kira pula untuk melaksanakan tugasan secara sukarela itu sebelum beg itu dibiarkan sahaja dalam pelukannya. Topi keledar keselamatan diletakkan di sisi. Bahaya. Dia tidak berniat untuk membahayakan keselamatan diri dan barangan milikan syarikat andai sesuatu yang buruk berlaku. Buat kesekian kali, dia hanya duduk termenung di situ. Mujurlah kedai makan itu kedengaran riuh. Tidaklah sunyi sangat suasana.

"Ehem."

Suraya mengangkat kepala yang tertunduk semenjak tadi. Hampir sahaja terlelap jikalau dibiarkan lebih lama begitu. Melalui ekor mata, dia dapat melihat seorang lelaki sedang tercegat berdiri di laluan pejalan kaki. Amaran waspada muncul namun apabila dilihat lelaki itu seakan tercegat sahaja di situ dia kembali menundukkan wajah. Barangkali pengunjung kedai makan itu, tekanya.

"Suraya..."

Terkedu.

'Orang tu, panggil aku?'

Sekali lagi dia menoleh. Memerhatikan wajah yang berselindung di balik sepasang kaca mata hitam.

'Siapa pulak? Tak kenal, lah. Tapi, memang nama aku yang dia sebut tadi.'

"Excuse me. Encik salah orang ke?" soalnya dengan sopan. Pelukan ke atas beg itu ketat dan erat. Bimbang harta syarikat itu disamun.

"No, Suraya Anne."

Terpana. Nama penuhnya pula disebut. Ketika menyedari lelaki itu melangkah dan berdiri tercegat di hadapannya, pelukan makin diperkemaskan dan wajah segera ditundukkan. Jaraknya pula dangkal. Irama jantung mula berubah. Gundah.

Kerana perasaan ingin tahu itu, didongakkan wajah. Merah merona terpancar dan wajahnya kembali dijatuhkan.

"It's me." tutur Dr. Adrian sambil menjatuhkan kaca mata yang dipakai. Dalam posisi badan yang sengaja dibongkokkan sedikit agar paras mereka dalam kedudukan selari, wajah Suraya disoroti. Ada sedikit rasa kecewa namun, dia tidak menyalahkan gadis itu andai tidak mengenalinya. Kali terakhir mereka bertemu adalah pada minggu lalu di hari pertama gadis itu melaporkan diri untuk berkerja. Pertemuan yang tak mungkin dilupakan dan tak ingin dilupuskan.

"Oh, Dr. Adrian..." ungkap Suraya dengan suara agak perlahan. Ya. Dia tahu lelaki itu bernama Dr. Adrian meskipun baru sekali bertemu. Bergementar jiwanya saat ini. Peristiwa di bilik mesyuarat bernombor dua kembali terawang di minda. Malu! Sungguh dia masih malu tatkala terkenangkan peristiwa itu. Hisy! Kenapa muncul sekarang? Muncullah tahun depan ke, kan bagus? Mungkin, masa tu perasaan malu tu dah pun basi.

"Apa dah jadi? Kenapa awak dekat sini sorang-sorang?" tanya Dr. Adrian masih belum puas menatap wajah mulus di hadapannya.

Ada tiga titik kecil yang selari di bawah mata yang menarik pandangan untuk memerhatikannya. Titik yang kelihatan sempurna menetap di situ. Dan dia, tidak jemu untuk menatap titik itu. Juga wajah itu. Warna merah pudar yang menjelma seketika tadi sudah tiada. Dr. Adrian hairan bagaimana fenomena unik itu boleh muncul dan hilang dalam sekelip mata.

Tiada balasan. Suraya diam bungkam. Dr. Adrian menahan sabar. Bukan ingin menyibuk tetapi, jikalau sudah berkerja di bawah satu syarikat yang sama, menjadi tanggungjawabnya untuk mengetahui alasan gadis itu yang jelas berseorangan di situ.

"Awak okay ke?" soal Dr. Adrian lagi. Dikawal suaranya agak tidak kedengaran cemas. Kali ini, satu anggukan diberikan. Lega.

"Doktor, terima kasih. Saya okay. Zamri ada di AceAir. Saya duduk sini sebab nak tunggu Mr. Lee datang." jelas Suraya sebab dia berada di situ. Diangkat wajahnya. Tetapi, sebentar. Masih segan melihat Dr. Adrian yang tetap tercegat di hadapannya.

"It's Adrian."

"Oh, sorry, Dr. Adrian." sahutnya mengimbas wajah Dr. Adrian sepintas lalu. Dapat dilihat tiada lagi kaca mata hitam itu. Dipegang di tangan.

"Please call me Adrian." balas Dr. Adrian sedikit tegas. Keinginan untuk bergaul dengan gadis itu tanpa batasan formaliti tanpa segan terluah.

Suraya, menelan air liur. Dia belum terbiasa dengan pendedahan interaksi di dalam sesebuah organisasi. Tetapi dia tahu dan sedar, Dr. Adrian itu bukanlah calang-calang orang. Dan dia, sedari kedudukan diri. Satu nafas yang dalam ditarik. Baru menyedari belum habis tubuhnya melepaskan penat dengan beban yang dibawa bersama. Terasa lenguh bahunya akibat memikul beg yang agak sarat dengan alatan ketika mendaki berpuluh anak tangga kemudian, kembali turun. Tanpa menghiraukan jarak sejengkal yang memisahkan mereka, dia bangun. Tiada sedikit pun rasa bersalah ketika Dr. Adrian terpaksa mengundur dan membetulkan kedudukan atas tindakan spontannya itu. Sambil membetulkan beg dibahu, dia berkata,

"Maaf, Dr. Adrian. Saya rasa saya okay je sendirian dekat sini."

Sehabis lembut bicaranya. Tindakan Zamri sahaja berjaya mengganggu emosi dan fizikal kini, datang pula seorang lelaki narsistik merumitkan keadaan. Narsistik? Ya. Lagak angkuh di bilik mesyuarat dahulu masih segar diingatan. Jangankan lagak, riak wajah yang dipamerkan dahulu juga masih jelas di matanya. Apatah lagi nada dan perbualan. Ciri-ciri itu sesuai betul bila dipadankan!

"Maaf kalau buat you tak selesa, Suraya Anne. Tapi, I tak boleh biarkan you sendirian. Bos you dah lama sampai. Mari." tutur Dr. Adrian dalam lagak yang budiman.

Sejenak, fikiran Suraya melayang teringatkan kata-kata Irene sebelum ini dan pesanan Zamri ketika berada di pejabat tadi. Mulutnya sedikit terbuka. Kemudian ditutup. Mata yang terbuka luas dilabuhkan tepat kepada sepasang mata yang jernih itu.

"Bos..," ucapnya lemah.

Ya. Dia terlupa bahawa pembatas di antara mereka berdua ialah lelaki itu seorang bos manakala dia seorang pekerja bawahan. Dia mengeluh, perlahan sekali.

"I'm sorry. I'm so sorry."

Segan. Kepala menunduk ke bawah. Kesal dan tanpa segan-silu diakui kesilapan. Dipandang kosong kasut hitam di kaki dan kasut sukan yang juga berwarna hitam milik lelaki itu. Sepi.

"Urm, kalau macam tu marilah, bos!" ucapnya dengan wajah ceria yang dibuat-buat. Kecewa, malu, terasa dan pelbagai perasaan suram yang melanda segera dibungkus dalam lipatan memori. Topi keledar keselamatan dicapai. Melihatkan Dr. Adrian masih kaku, dia melangkah terlebih dahulu. Namun dua tiga langkah yang diambil, dia dipukul rasa terkejut apabila bahunya terasa ringan.

"Been there before. "

Terkebil-kebil, dia mencerna kejadian yang baru sahaja berlaku. Apa maksud lelaki itu?

Previous: Bab 3
Next: Bab 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.