Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 37


Sesekali, dipejamkan mata yang terasa perit akibat terlalu banyak menangis. Duduknya tetap di tepi dinding itu. Tidak berganjak dari tadi. Ruang tamu senyap sunyi. Perbualan jarang sekali didengari. Jikalau ada sekalipun, perlahan sekali. Mungkin, hiba yang mengelilingi dirinya turut bertempias kepada mereka yang ada di situ.

Tangan Hanis, kemas melingkar di bahu. Meski jam sudah melewati ke tengah malam, Suraya sedar masih ada beberapa orang jiran yang sedang berbual di halaman mendengarkan sayup-sayup suara perbualan. Kematian abah, menjadi berita gempar penduduk taman. Belum sebulan mummy pergi kini, abah pula menyusul.

Urusan pengebumian selesai kira-kira jam 10.00 malam tadi. Di rumah, Pak Long mengatur majlis bacaan tahlil. Hanya kenalan rapat sahaja yang hadir di dalam majlis itu. Dia lihat, Pak Long dan Mak Longlah orang paling kuat menguruskan urusan itu sehingga selesai.

"Yaya..."

Suraya mengangkat wajah. Berkaca tabir penglihatan memandang Mak Long di hadapan. Pak Long duduk bersila di sisi. Ehsan dan Dani berada tidak jauh. Wajah-wajah mereka turut dibaluti perasaan sayu. Aunty Lela dan Kak Ipah pula bersimpuh dekat dengan pintu utama.

Jari jemari yang bertaut semakin erat tautannya. Terasa tangan Hanis mencengkam lembut bahunya. Ya. Mereka semua ada di sisinya menemani di saat berduka. Tetapi, kenapa hati tidak berasa lega dengan kehadiran mereka semua? Sebaliknya, dia berasa semakin hiba dengan perhatian yang diberikan.

"Mak Long harap, Yaya redha dan bersabar. Benda ni semua di luar jangkaan kita, sayang." tutur Puan Sharifah Hassanah dengan suara yang tertahan-tahan sebelum menggelengkan kepala beberapa kali. Matanya yang berair disapu dengan hujung tudung yang dipakai. Dia, belum habis bersedih mengenangkan rakan karibnya iaitu Puan Norlin yang telah pergi. Kini, Encik Ahmad Fauzi pula. Kasihan benar dia melihat keadaan Suraya. Gadis yang sudah dianggap seperti anak sendiri itu kelihatan lemah sekali.

Encik Syed Yusuf mengusap perlahan belakang tubuh isterinya. Meminta si isteri menahan rasa sedih kerana bimbang andai kesedihan berlebihan yang ditonjolkan itu hanya membuatkan Suraya bertimpa sedih dengan ujian yang sedang dialami.

"Pak Long percaya, Yaya boleh harungi dugaan ni. Yaya yang Pak Long kenal kuat semangatnya. Yaya hadapilah dengan sabar. Besar ganjarannya, Yaya." ujar Encik Syed Yusuf pula.

Pelbagai nasihat dan rasa simpati yang diterima oleh Suraya semenjak tadi. Kini, adegan di depan mata mula dilihat dengan fikiran yang kosong. Sistem pendengarannya seperti tidak berfungsi. Tubuhnya pula seakan membina sebuah benteng pertahanan kalis bunyi. Manakala kaki seperti tidak berpijak di bumi yang nyata. Nyaris dia percaya segala-galanya adalah mimpi jika tidak Mak Long datang mendekati dan memeluknya erat. Begitu juga dengan Aunty Lela yang menyayangi dirinya itu.

"Yaya, Aunty sayangkan Yaya. Sungguh-sungguh sayangkan Yaya sejak Yaya kecil lagi." luah Aunty Lela diiringi dengan tangisan halus.

Semerbak haruman jasmin yang digemari oleh wanita itu masuk ke lubang hidungnya. Bauan yang sebelum ini menyenangkan dirinya tidak memberi apa-apa makna ketika ini. Tangisan yang ditontonnya juga tidak memberikan kesan seperti mana dia merasai perasaan itu ketika hari pengebumian arwah mummy. Dia sendiri, berasa hairan dengan keadaan dirinya ketika ini. Hairan kerana satu perasaan itu tiba-tiba tidak muncul. Perasaan untuk gagah mengharungi musibah. Perasaan tabah untuk menjalani qada' dan qadar.

"Yaya, Kak Ipah doakan semoga Yaya tabah. Kak Ipah tahu Yaya boleh hadapi semua ni. Akak balik dulu, ye."

Kak Ipah, yang terkemudian menzahirkan simpati sambil menggenggam erat tangannya sebelum berlalu bersama-sama Aunty Lela. Suraya langsung tidak mengangkat wajah. Apatah lagi pandangan. Tiada penghormatan usai kesemua mereka beredar.

Hanis, tetap di sisi. Meski puas dipujuk oleh Mak Long agar dia bermalam sahaja di rumah mereka namun, Suraya enggan. Hanya gelengan menjadi jawapan saat tawaran itu dilakukan. Lantas Hanis menawarkan diri pula untuk menemani. Walaupun dia tidak mahu menyusahkan teman baiknya itu tetapi, dia tahu Hanis bulat dengan keputusannya.

"Yaya..." panggil Hanis sedikit berbisik.

Suraya membukakan kelopak mata. Tepat memandang ke arah jam loceng di atas meja di sisi katil. Lampu bilik telah di set pada tahap yang malap. Sudah hampir jam 1.00 pagi.

"Erm..." sahutnya perlahan. Dia sedang berbaring membelakangi Hanis yang berbaring di sebelahnya.

"Aku tak tahu nak cakap apa." ujar Hanis seakan berbisik.

"Kalau macam tu, diam." jawabnya juga perlahan. Matanya, kembali dipejamkan. Sedaya upaya dipaksa mata itu untuk lelap. Sebenarnya, dia terlalu mengantuk. Juga keletihan. Entah mengapa, mata itu pula berdegil. Memaksa dia berjaga semenjak tubuh direbahkan tadi.

"Yaya..," seru Hanis sekali lagi dengan cuitan dirasai di belakang bahunya.

Mungkin, memintanya untuk berpaling.

"Yaya... Kenapa berat sekali dugaan untuk kau?" soal Hanis tersekat-sekat. Gadis itu, dalam perjalanan pulang dari menghadiri sebuah seminar di Skudai ketika menerima perkhabaran duka itu. Terus dipandu kereta yang baharu dimiliki menuju ke hospital. Diam lebih banyak dilakukan oleh Hanis sejak siang tadi. Mungkin Hanis turut sama terkejut seperti mana Suraya yang masih terkejut dengan kehilangan kedua orang tua dalam masa yang singkat itu.

Sebagai menyahut permintaan temannya itu dipusingkan tubuh. Memandang teman karib yang sedang menangis perlahan.

"Aku minta maaf, Yaya. Aku tak dapat tolong kau." tambah Hanis lagi. Bahunya terhinjut-hinjut menahan sedu.

Sepasang mata yang berkaca akhirnya turut pecah. Teringat kata-kata yang pernah dititip oleh abah sebelum ini.

"Perancangan ILAHI itu rahsia dalam rahsia."

Siang tadi, selesai sahaja bermunajat di surau, dia kembali ke ruang ICU. Dia tidak pasti. Juga tidak tahu apakah tindakan yang harus dibuat ketika menemani orang yang sedang sakit seperti abah itu. Namun, apa sahaja perkara yang dirasakan sesuai dia lakukan. Mulutnya tidak henti mengalunkan bacaan al-Quran. Malah, sempat dia membisikkan ungkapan syahadah di telinga abah. Setelah itu, bersungguh-sungguh dia memohon ampun kemudian, merayu supaya abah kembali sedar sebelum jururawat yang mesra itu menghampiri dan menunjukkan salah satu bacaan pada mesin ventilator itu sedikit menurun.

Bacaan apa? Apakah indikator bacaan itu memberi maksud sesuatu yang buruk atau sebaliknya? Dia melihat jururawat itu memeriksa monitor kemudian, abah. Nada jururawat itu tenang tetapi pergerakannya cemas. Ketika dia diminta keluar dari ruang itu hatinya bergetar deras. Bersama-sama Dr. Adrian, mereka duduk menunggu. Lalu, tidak sampai sepuluh minit salah seorang doktor yang merawat abah menghampiri. Meminta persetujuan andai dia membenarkan penggunaan alat defibrillator ke atas abah.

Diam dia memikir sebelum dipandang Dr. Adrian yang setia menemani dalam genangan air mata. Kepala digelengkan beberapa kali. Andai sudah tertulis ajal abah sudah tiba dia pasrah. Untuk apa dipaksakan diberikan tekanan kepada tubuh yang sedia lemah dan sakit itu.

"Jangan macam ni, Han. Kalau kau tak dapat tolong aku, siapa lagi yang aku boleh harapkan?.." soalnya juga dalam sedu. Luka yang masih merah, tertoreh kembali. Baru sebentar dapat menabur bakti kepada orang tua kini, kedua-duanya sudah pergi.

Hanis, meleraikan tautan yang sejak tadi dipegang. Menyapu air mata yang membasahi pipinya.

"Kita tak boleh macam ni, Yaya," ujar Hanis setelah berasa sedikit tenang. Sebenarnya dia terlalu sedih dengan ujian berat yang sedang menimpa Suraya itu. Sungguh tidak terjangkau dalam fikirannya kedua ibu dan bapa Suraya akan pergi dalam tempoh terdekat ini.

"Jangan fikir kau sendirian, Yaya. Kita adik beradik, kan? Aku sayangkan kau. Aku nak kau jangan berputus asa, boleh?" tambahnya lagi.

Suraya membisu. Linangan air mata dibiarkan menitis. Tetapi, tidak lagi selebat tadi.

"Waktu arwah mummy pergi, kau mampu lalui dan bangkit. Kali ni bila abah pulak yang pergi aku harap kau gandakan usaha kau, Yaya. Kita sama-sama harungi ujian ni, okay. Jangan pendam dan simpan apa-apa pun dari aku, tau?.." tutur Hanis dengan bersungguh-sungguh. Apa yang termampu dilakukan ketika ini hanyalah memujuk dan menenangkan perasaan teman baiknya itu meski dia sedar mana mungkin bebanan yang menghempap itu dapat diringankan bersandar kata-kata cuma. Namun, jauh di sudut hatinya, dia yakin dengan semangat yang dimiliki oleh temannya itu.

Suraya membungkam. Hanya matanya sahaja yang tetap memandang ke arah temannya itu. Keinginan Hanis terlalu tinggi. Mampukah dirinya?

"Janji, Yaya? Please..." rayu Hanis lagi.

Kepala, mengangguk lesu. Memberi kata putus yang mudah dari membiarkan temannya itu tidak henti mengutus harapan. Hanis menepuk lembut bahunya meminta dia berehat. Kelopak mata dipejamkan manakala hati kecil memanjat doa memohon untuk bertemu kedua orang tua tercinta di alam mimpi.

Belum jam 5.00 pagi, dia sudah tersedar dari tidur. Hanis, masih dibuai lena.

Senyap-senyap, dia bangun dan beredar ke bilik tidur orang tuanya. Suis lampu ditekan dan diputar butang untuk memalapkan suasana. Di mana saja pandangannya jatuh pasti ada sahaja bayangan kedua orang tuanya.

Direbahkan tubuh ke tilam. Tercium bauan kasturi putih yang sering digunakan oleh arwah abah pada bantal kepala yang sedang digunakan. Bantal yang menjadi alas kepala mummy pula dipeluk dan dicium beberapa kali lalu dibawa ke dalam dakapan.

Sebelum ini, angannya panjang sekali. Mahu mempunyai kerjaya kegemaran di samping menjadi seorang anak yang membahagiakan kedua orang tua. Minat arwah abah dan mummy yang gemar melancong di dalam negeri meneroka daerah yang belum pernah dilawati ingin diikuti. Jadual kehidupan diatur hingga terlupa menambah nota kaki bahawa manusia cuma mampu merancang. Belum tentu mampu melaksanakan tanpa izinNYA. Ditarik nafas yang dalam. Ditabahkan hati yang mendendangkan irama kesunyian.

Rindu.

Terlalu rindu hingga serasa mahu pecah dadanya mengenangkan kerinduan yang tidak berpenghujung itu.

Beginikah rasa yang dialami oleh Kak Ipah dahulu? Apakah ini juga yang dirasakan oleh Kak Rin yang telah kehilangan seorang ayah? Begitu juga Dr. Adrian yang sedari kecil tidak pernah ada seseorang untuk dipanggil dengan gelaran ibu kemudian, bapa pula pergi tanpa diketahui keberadaannya.

Sakit. Pedih. Sengsara sungguh perasaan itu.

Dalam melayani perasaan hiba, dicapai telefon pintar yang turut dibawa ketika keluar dari bilik tadi. Nombor Dr. Adrian lantas dihubungi.

"Hmm..." sahut Dr. Adrian ringkas.

Barangkali lelaki itu sedang tidur ketika ini.

"Saya, rindu..." ucapnya perlahan.

"Hmm?.. Rindu? Rindukan siapa?" tanya Dr. Adrian setelah berdehem beberapa kali bagi menghilangkan suaranya yang serak itu.

"Abah... Mummy..," bisik Suraya perlahan sekali. Sepi.

"Macam ni ke yang awak rasakan dahulu, Adrian?"

Diam.

"Awak-.." seru Suraya lagi.

"Suraya, awak tidur tak?"

Dr. Adrian memintas percakapannya.

"Tidur."

"Ada rasa mengantuk lagi?"

"Tak," pantas dia menyahut sebelum kembali berbicara,

"Adrian, apa yang saya rasa sekarang, macam ni ke yang awak rasakan?" Diulangi pertanyaan. Dia ingin mengetahui apa yang dirasakan oleh lelaki itu setelah kehilangan kedua orang tua. Apa yang dialami oleh lelaki itu tanpa kehadiran ahli keluarga. Apa yang dilakukan oleh lelaki itu ketika hidup perlu berdiri dengan dua kaki sendiri. Tiada mereka semua. Tiada sesiapa. Dia ingin tahu jawapannya ketika itu juga!

"Tak, Suraya. Awak lahir dalam keluarga yang lengkap sementara saya... It's just me and papa. Situasi kita, berbeza. Terlalu berbeza." terang Dr. Adrian disertai dengan perasaan yang galau. Turut terkesan dengan derita yang sedang ditanggung sang gadis pujaan.

"Awak, pernah rindu pada ibu awak?" soal Suraya pula. Masih belum puas untuk tahu tentang perasaan itu.

"Always, Suraya. Always..,"

Suraya mengetap bibirnya. Ya. Rindu itu sentiasa memeritkan jiwa dan diri apabila bertamu.

"Suraya, saya nak minta maaf sebab terpaksa balik tadi. Ada urusan penting yang perlu diselesaikan di pejabat. Saya harap awak faham keadaan saya." jelas lelaki itu kemudian. Enggan membiarkan Suraya hanyut dengan persoalan yang boleh melemahkan jiwa dan menganggu emosi. Awal-awal pagi menelefon demi bertanyakan perasaan benar-benar mengganggu dirinya. Andai tiada batasan di antara mereka, mau saja dia memandu dan bertemu gadis itu pada jam itu juga. Mahu melihat gadis itu dalam keadaan tenang dan tenteram dengan kedua matanya.

Suraya, mengangguk sedikit walhal sedar lelaki itu jelas tidak nampak. Teringat peristiwa ketika menunggu jenazah arwah abah diuruskan siang tadi. Dr. Adrian tiba-tiba bergegas datang mendapatkannya. Berkali-kali memohon maaf kerana terpaksa pulang ke Kuala Lumpur pada waktu itu juga. Dia pasti lelaki itu berlaku jujur. Cukuplah perkenalan singkat sebelum ini membuka matanya akan sikap tanggungjawab yang dimiliki oleh lelaki itu. Tak kan semudah itu Dr. Adrian melepas tangan.

"Erm... Saya faham." tuturnya lembut.

"Now, go to sleep Suraya."

"Tapi, saya tak rasa mengantuk,"

Sepi.

"Adrian..."

"Hmm?.."

"Terima kasih. Awak, terlalu baik pada saya." ucapnya lalu memutuskan talian tanpa menunggu balasan dari lelaki itu. Telefon dibiarkan melorot ke tilam. Pelukan ke atas bantal yang didakap dikemaskan. Titisan jernih yang terpendam dilepaskan lagi tanpa halangan.

Previous: Bab 36
Next: Bab 38

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.