Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 47


Lebih kurang jam 8.00 malam dia sudah tercegat di hadapan cermin. Sedang mengenakan sehelai selendang di kepala. Selendang merah bata milik arwah mummy yang dibeli dari sebuah butik premium itu cocok dengan warna kulit kuning langsat yang dimilikinya. Selendang kegemaran arwah mummy itu pada mulanya disimpan sahaja di dalam almari sebelum diletakkan pula di bawah bantal tidur. Apabila rindu, selendang itu sesekali menjadi selimut tidurnya. Namun, kerana perasaan itu tidak pernah luntur waima terpadam, akhir-akhir ini selendang itu seringkali pula menghiasi kepalanya. Malah, haruman yang sering digunakan oleh arwah mummy turut dikenakan olehnya. Haruman sitrus berbaur vanila lembut dengan sedikit bauan kulit kayu manis. Dan dia pula gemarkan haruman sitrus. Pilihan arwah mummy itu kena dengan seleranya kerana menggabungkan kegemaran mereka berdua.

Sebiji kerongsang kecil yang dikepit di bibir diambil sebelum disematkan di bahagian atas dada. Siap. Beg galas dicapai dan dia duduk di birai katil menunggu ketukan pintu daripada Dr. Adrian.

Siang tadi, kerja menemani lelaki itu tamat kira-kira jam 3.00 petang. Balik ke hotel sempat dia melelapkan mata. Dapatlah tidur dalam sejam dua. Dr. Adrian pula terus senyap tanpa khabar. Agaknya tentu lelaki itu juga sedang mengambil peluang yang ada merehatkan diri kerana dari pagi lagi sudah berkejar ke Kota Kinabalu kemudian terus memulakan tugas. Setelah melihat dengan matanya sendiri akan kesibukan lelaki itu terbit rasa kagum dengan semangat dan wawasan lelaki itu ketika sedang berkerja. Tak kenal erti mengalah!

Seakan tahu apa yang sedang bermain di fikiran ketika ini, telefon pintarnya tiba-tiba bergetar. Nama Dr. Adrian terpapar. Terukir sedikit senyuman. Panggilan itu disambut mesra.

"Suraya, saya ada di lobi. Sedang jumpa seseorang. Awak boleh turun sendiri?"

Dia tersenyum tipis. Belum habis lagi sibuknya!

"Of course, boss. See you." Sedikit berjenaka dia menjawab. Telinga sempat menangkap ketawa halus dari lelaki itu.

Dia, tersipu sendirian. Malu apabila terkenangkan satu per satu momen di antara mereka berdua sebenarnya tidak satu pun tercicir dari benaknya.

Sebelum menyarungkan kasut yang diletakkan di belakang pintu, sempat dia menilik cermin besar yang melekap pada dinding bersebelahan pintu bilik air itu buat kali terakhir. Puas hati dengan penampilan yang ringkas itu key card dicabut daripada slot dan dia menarik daun pintu rapat.

Lorong yang agak panjang dilewati sendirian. Sunyi. Dia menginap di tingkat lima dan perlu menggunakan lif untuk turun. Semakin hampir untuk turun makin berdebar pula hatinya. Memikir keputusan lelaki itu dalam mengizinkannya untuk terus berkerja. Andai disuruh berhenti bagai mana? Sungguh dia terlupa membincangkan perihal itu sebelum ini.

Lobi yang luas dan berbentuk L memanjang ke belakang membuatkan dia tercari-cari keberadaan Dr. Adrian. Setiap langkah yang diambil disertai satu harapan besar tersimpan di dada. Dilewati kawasan penyambut tetamu kemudian menuju ke arah beberapa booth di bahagian belakang. Wajah-wajah yang tidak dikenali. Telefon kemudian dikeluarkan. Namun belum mahu membuat sebarang panggilan.

Dia kembali semula ke bahagian depan. Kelibat Dr. Adrian yang berada di bahagian entrance membuatkan dia hampir berlari anak mendapatkan lelaki itu tetapi, hati kecil memberi tanda waspada. Diperhati Dr. Adrian yang sedang menuju ke arah sebuah kenderaan bersama seorang wanita. Keduanya berwajah gembira sebelum wanita yang anggun bergaya itu memasuki kenderaan diikuti suaminya juga! Telefon yang dipegang hampir-hampir terlepas menyaksikan peristiwa itu.

"Jumpa seseorang."

Seseorang yang istimewakah? Lelaki itu kelihatan tertib tetapi agak mesra. Berubah terus air mukanya. Hati dan perasaan terasa sakit. Kenapa pulak sakit?

Segera dilarikan pandangan tatkala adegan yang ditonton dirasakan tidak enak pada matanya walhal tiada langsung sebarang adegan yang intim. Ketika lirikan bertembung dengan lirikan salah seorang staf hotel yang sedang bertugas di pintu utama itu, cepat-cepat dia pamerkan sebuah senyuman paksa sebelum laju dia melangkah keluar.

Dia tidak mempunyai hala tuju. Sambil berjalan perlahan, peristiwa sebentar tadi kembali terbayang. Wanita itu seakan pernah dilihat tetapi, tidak dicamkan. Gaya yang anggun dan gerak yang gemalai bak tuan puteri. Pandangan dijatuhkan. Terus terlihat ke arah kaki yang bersarung kasut sukan hitam itu. Terasa jatuh standardnya ketika itu juga.

'Arghhh! Kenapa penampilan tiba-tiba jadi isu pulak? Selama ni aku tak pernah fikir pun pasal gaya ke, anggun ke...'

Bunyi hon yang lama ditekan mengembalikan kesedaran yang melayang. Dia sedang tercegat di bahu jalan di sebuah persimpangan. Dilihat lampu isyarat bertukar merah. Cepat-cepat langkah yang besar diambil melintasi jalan raya menuju ke arah sebilangan pengunjung yang sedang berjalan-jalan di tepi sungai yang dipanggil Waterfront.

Sesampai di tepi tebing itu dia membuang pandang ke laut lepas. Di bawah suluhan lampu yang terang benderang, kelihatan deretan bot yang terapung tidak bergerak. Bayu laut bertiup sederhana. Agak dingin suhu di luar.

Langkah disambung kembali. Sambil berjalan dia berpeluk tubuh. Berpapasan dengan pelbagai ragam pengunjung sama ada tempatan mahupun asing. Ada yang berjalan berdua juga berkumpulan. Tua, muda malah kanak-kanak. Ada juga yang bersendirian sepertinya tetapi jarang.

Perut tiba-tiba disapa rasa lapar. Dijenguk jam di pergelangan tangan. Rupa-rupanya sudah hampir setengah jam semenjak dia keluar tadi. Niat di hati mahu kembali saja ke hotel kerana terang lagi bersuluh janji untuk makan malam telah diingkari. Namun, perasaannya berbolak-balik. Meneka-neka lelaki itu tentu sedang menantinya di hotel, malas pula mahu bersemuka selepas adegan yang dilihat itu.

Akhirnya, dia memutuskan untuk duduk mengambil angin sebentar sebelum mencari jalan pulang. Ditemukan sebuah bangku panjang yang berpenghuni. Dua orang gadis muda yang sedang rancak berbual tidak menghiraukan kehadirannya tatkala hujung bangku itu diduduki. Lega sedikit setelah agak lama berjalan tadi.

Sambil duduk bersandar menikmati pemandangan malam, nama Dr. Adrian kembali muncul di fikiran. Geram dan marah. Hairan. Kenapa tiba-tiba dia rasa nak marah pada lelaki itu?

'Sebab kau isteri dia! Kau ada hak untuk marah.'

Bukan. Dia pasti bukan itu jawapan yang tepat.

'Sebab dia suami kau dan kau cem-..'

Pantas ditepis bisikan demi bisikan yang melintasi. Apa yang dirasai itu terlalu asing bagi dirinya. Segala perasaan yang berkumpul dan beraduk menghentam dadanya sekaligus. Makin memberat kemudian, merebak pula ke tubir mata. Bergenang air jernih di situ. Dihela satu nafas yang panjang. Ditutup pelupuk mata membujuk titisan itu kembali ke sarang. Jiwa yang berduka melayang teringatkan kedua orang tua tercinta. Tiada lagi tempat untuk mengadu atau melepas rindu. Ketika ini, dia ingin benar berbicara dengan seseorang. Yang pasti bukan teman akrab tetapi arwah mummy!

"There you are..," ujar Dr. Adrian dengan lafaz yang tercungap. Seperti jagoan yang baru menamatkan acara pecutan.

Terpana. Emosi yang kacau-bilau bertempiaran. Lelaki itu rapat di samping dan dengan selamba merangkul bahunya. Direntap bahu kirinya itu namun makin kemas pula pegangan itu.

"Kenapa, Suraya? Kenapa jalan sorang-sorang dekat sini?" tutur Dr. Adrian sambil mengawal nada suaranya.

Suraya diam membisu. Berat mulutnya untuk bersoal jawab mengenangkan perasaan sakit di hati yang sedang membengkak ketika ini.

"Oh, ada orang main gitar dekat situ. Bolehlah saya petik lagu Suraya." ucap Dr. Adrian setelah puas menunggu penjelasan daripada gadis itu.

Suraya mengerling ke arah bunyian yang didengari. Baru perasan seorang lelaki sedang bermain gitar di satu sudut dengan sebatang mikrofon di hadapannya.

"Saje. Ambil angin." sahutnya bagi menahan Dr. Adrian daripada mengotakan janjinya.

Dr. Adrian menarik senyuman tipis. Ungkapan acuh tak acuh itu membuktikan ada sesuatu yang telah berlaku.

"Bohong. Kenapa tak tunggu saya?"

"Tunggu awak selesai dating? Tak kuasa!"

Dr. Adrian mengetap giginya sambil memandang ke depan. Jadi, itulah penyebab Suraya membawa diri ke situ.

"Jom, balik hotel. Saya dah buat reservation."

Tiada balasan apatah lagi tindak balas.

Sepi.

Dr. Adrian menahan sabar. Memang dia yang bersalah di dalam hal itu tetapi, kedatangan Miss Carol tidak dijangkakan langsung. Tiba-tiba muncul ketika dia selesai bertemu dengan Encik Zul, pengurus SS Systems yang bertindak sebagai kontraktor di negeri ini. Fikirnya setelah wanita itu menelan alasan untuk bertemu keesokan hari dia akan terlepas dan dapat bersama Suraya. Rupa-rupanya, tidak. Miss Carol meminta pula untuk dihantarkan pulang ke hotel yang diinap kerana bimbang dengan keselamatan dirinya bersama-sama dengan pemandu yang tidak dikenali itu. Che Puteh pula awal-awal lagi sudah mengundurkan diri. Kurang sihat katanya.

Dalam serba terpaksa dia akur dengan permintaan wanita itu. Apabila kembali ke hotel penginapan, dicari Suraya di kawasan lobi. Tiada. Dibuat pula beberapa panggilan. Hampa. Seruannya langsung tidak disambut. Akhirnya, ditemui penyambut tetamu yang bertugas. Setelah bersoal jawab didapati isterinya itu telah pun keluar. Puas pula menyoal kakitangan yang melihat akan kelibat gadis itu sebelum salah seorang staf lelaki memaklumkan melihat Suraya berjalan ke arah Waterfront. Terus dipecut ke situ dan hampir-hampir dia tersilap mengambil laluan yang betul. Namun, jikalau sudah ditakdirkan untuk bertemu sembunyilah sejauh mana pun tetap akan dapat ditemui jua.

Tanpa sebarang bicara, Suraya bangun dari duduk dan mula mengatur langkah. Dr. Adrian tersentak. Bingkas bangun mengejar isterinya itu. Dipaut tangan yang kaku lalu beriringan mereka berjalan pulang ke hotel.

Kembali ke bilik, Suraya masih mendiamkan diri. Dr. Adrian masuk meskipun tidak dipelawa. Gadis itu membuka kasut kemudian menghampiri almari pakaian. Dilepaskan beg dan selendang yang dipakai sebelum bergerak pula ke bilik air. Sebentar kedengaran bunyi air di sinki kemudian senyap.

Dr. Adrian tegak berdiri memerhati dengan hati yang patah akibat daripada insiden tidak dirancang itu. Ketika Suraya mahu menuju ke katil dan melewati dirinya, kesabaran bertemu titik akhir. Tangan gadis itu segera dicapai. Dr. Adrian tidak mampu lagi menahan perasaan kecewa terhadap dirinya sendiri tatkala wajah mendung itu menjadi santapan mata.

"I'm sorry, sayang." lirih sekali ucapan Dr. Adrian. Digenggam kemas tangan yang tak kan mungkin dilepaskan lagi setelah ijab dan qabul diangkat.

"Berhenti panggil saya sayang, boleh tak!" bentak Suraya sambil cuba merungkaikan tautan. Sedar usaha itu sia-sia tetapi tak mungkin dia berputus asa. Siapa yang gembira bila ditipu?

"Saya jelaskan, okay?.." ujar Dr. Adrian lalu dipandu tubuh yang sengaja diberatkan ke birai katil. Jauh hatinya melihat wajah itu sentiasa menoleh ke arah bertentangan.

"Tadi tu Carol Amani. HR Manager," ceritanya lalu menarik sebelah tangan yang terkulai di atas ribaan itu. Dipegang dan dielus perlahan. Dia perasan, Suraya mulai menunjukkan minat. Kepala itu tidak lagi terteleng ke arah berlawanan. Sebaliknya tunduk melihat tangan yang sedang bertautan.

"Dia datang untuk maklumkan yang saya dipanggil oleh unit siasatan dalaman syarikat berhubung kes pecah amanah."

Serta-merta Suraya mengangkat wajah. Memandang tepat ke dalam matanya. Berat tuduhan yang diterima dan semahu-mahunya dirahsiakan daripada pengetahuan gadis itu namun, kerana itulah satu-satunya cara yang dapat menyelesaikan salah faham itu dia umumkan jua. Biarlah. Nilai dirinya tidak mungkin berkurang jika kejujuran yang dipilih.

"Sorry... Tuduh awak dating tadi,"

Wajah yang diselaputi rasa segan kembali ditundukkan. Kolam mata yang bergenangan ditahan dari tumpah. Sebenarnya, lopak air mata itu merupakan bukti dia tidak mampu lagi melawan amukan perasaan yang sedang menyerang dirinya. Dia keliru. Juga hairan. Dadanya terlalu sakit ketika melihat adegan Dr. Adrian bersama wanita itu tadi. Dan mengapa dia dibaluti perasaan sakit itu dia sendiri tidak mengerti.

"Ada... something dalam kepala awak." tutur Dr. Adrian sebelum melepaskan satu keluhan kecil.

"Something?" soal Suraya sebaik wajah diangkat kembali. Tak mungkin lelaki itu boleh membaca perasaan yang sedang menyerang dalam dirinya ketika ini.

"Suara kecil yang suka berprasangka... Don't, listen to her. Kalau ada apa-apa berterus-terang aje dengan saya."

Dia tertunduk lagi sebelum kembali membalas tatapan Dr. Adrian.

"Awak... okay, tak?" soalnya menukar topik perbualan. Dah tebal berinci pipinya akibat salah faham itu. Lebih baik isu utama itu ditanyakan pula.

Dr. Adrian, merebahkan tubuh ke tilam. Lengan, dijadikan sebagai bantal. Sebelah lagi tangannya masih erat bertaut. Bahagia. Diambil berat dan diberikan perhatian. Difahami dan dilayani.

"Menyesal kahwin dengan saya?"

Sengaja, dia bertanya. Sejuring senyuman makin melebar melihat sepasang mata yang sedang terjengil itu.

"Awak tak perlu bimbang, Suraya. Saya dipanggil cuma untuk membantu siasatan." cerita Dr. Adrian kemudian. Dia perasan akan perubahan wajah Suraya sebentar tadi. Dari tegang beransur prihatin. Dia teka sudah tentulah gadis itu sedang bimbangkan dirinya setelah perkara sebenar dijelaskan.

Suraya membawa bola matanya bertembung dengan tatapan lelaki yang sedang berbaring itu. Satu anggukkan kecil diberikan.

"Erm, Adrian...boleh saya tanya sesuatu?" soalnya setelah hening menjadi santapan halwa telinga.

Dr. Adrian mengangguk memberi keizinan.

"Awak nak saya jadi isteri awak selama-selamanya?" ucap Suraya menggebu ingin meluahkan rasa ingin tahu yang dipendam. Sejak lelaki itu mengucapkan kata-kata itu, ia membaluti hatinya seperti gulungan azimat yang dijampi. Ucapan itu terlalu dalam maknanya. Dan dia ingin memahami hingga ke dasar tentang makna itu. Lirikan yang dihantar, tepat terpanah ke dalam mata lelaki itu. Satu gelengan yang diberi berjaya meretakkan harapan yang baru berputik. Terus berubah air muka Suraya. Dan kolam mata yang hampir surut tiba-tiba berubah pasang.

"Kita tak hidup selamanya di dunia ni jadi, tak validkan kenyataan tu. Saya nak awak jadi isteri saya sampai syurga." ungkap Dr. Adrian sambil merenung sepasang mata yang kelihatan samar berkaca-kaca. Cantik. Terlalu cantik mata itu apabila disimbahi genangan air mata. Dia, bingkas bangun. Tangan yang digenggam dielus perlahan. Perasaan yang dikandung terlalu sukar untuk dijelaskan dengan kata-kata. Sebelah tangannya diangkat lalu berlabuh di pipi mulus yang sedang menunduk itu. Mungkin segan melihat aksinya yang tiba-tiba bangkit kemudian merapat.

Suraya, langsung terkedu. Juga beku dengan sentuhan mesra yang diberikan. Belum sempat mengemis penjelasan demi penjelasan, loceng pintu berbunyi. Dr. Adrian bingkas bangun. Pesan makan malam yang dibuat olehnya telah tiba. Sekaligus mematikan keinginan masing-masing untuk menyampaikan hasrat yang sedang bersarang dalam fikiran.

Previous: Bab 46
Next: Bab 48

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.