Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 35


Titisan terakhir minuman itu disedut menggunakan sebatang penyedut minuman. Kemudian, gelas tinggi itu diangkat lalu dikuis-kuis seketul kiub ais seperti seorang pemancing menarik kail pancingan. Sebiji ais tersangkut sebelum dibawa ke mulut. Ketap ketup ketulan kecil itu dikunyah.

"Best tak kerja dengan Dr. Adrian?"

Soalan daripada Lisa yang duduk bertentangan meluncur dibawa angin. Masuk ke telinga kanan lalu keluar melalui telinga kiri. Amy yang duduk bersebelahan pula menopang dagu setia menanti berita sensasi. Kedua-duanya tersengih seperti kerang busuk. Sharon pula buat tak kisah. Sibuk berbual di telefon.

"Biasa je. Dia bagi arahan, kitorang buat kerja." Acuh tak acuh, Suraya menjawab.

"Ek eleh... Tak kan itu aje?.. Ceritalah dekat kitorang. Tak payah sorok-sorok, lah." sampuk Amy tak berpuas hati.

Suraya mengerling dua orang teman itu. Seorang di hadapan seorang di sebelah kanan.

'Tak sangka lelaki tu ada fan club di syarikat.'

"Takde sembunyi apa-apa, lah. Memang benda tu yang aku hadap hari-hari. Tanyalah Hadi dan Eugene tu."

Amy dan Lisa berbalas pandang sebentar.

"Hambar betul." getus Lisa.

"Okay, okay. Apa dia suka buat waktu tak busy? Apa dia suka minum? Dia ada main games tak dalam handphone?" soal Amy penuh semangat.

"Kau lupa benda paling pentinglah. Dia ada girlfriend tak?" celah Lisa tiba-tiba.

Suraya terbatuk kecil. Sikap sambil lewa yang ditunjukkan sebentar tadi berubah sekelip mata. Kepada kedua gadis itu ditutup gelagatnya dengan satu sengihan.

Teman wanita?

Alamak! Perkara yang paling penting telah terlupa untuk ditanyakan. Entah-entah, Dr. Adrian memang sudah mempunyai seorang kekasih lepas tu senang-senang aje dia mencantas kekasih orang untuk dibuat suami.

Aduiii!.. Lupa! Sungguh!! Jikalau tidak diingatkan oleh Lisa tadi rasanya sampai ke hari perkahwinan mereka tiba pun belum tentu dia terfikir untuk menanyakan soalan itu.

"I rasa you all berdua ni dah salah tempat bertanya. Lain kali tanya Jessica, secretary network department. Tentu dia tahu." celah Sharon tiba-tiba.

Suraya segera berpaling. Patutlah. Dah habis berbual di telefon. Satu senyuman kelat terukir. Berterima kasih kepada wanita itu kerana menyelamatkannya dari terus disoal. Amy dan Lisa pula serentak menggeleng. Laa... tadi mau, sekarang malu pula.

"Kerja, okay?" bisik Suraya kepada Amy ketika melihat Lisa dan Sharon rancak berbual sesama sendiri.

"Alhamdulillah. Aku rasa lebih okay dari sebelum ni. Thanks, Anne. Thanks sangat-sangat." tutur Amy disambut dengan perasaan lega dari Suraya.

Sejak dari pertemuan sebelum ini, dia mengharapkan keadaan Amy bakal berubah dari terus menjadi mangsa keadaan. Syukurlah Dr. Adrian cepat mengesan situasi tegang ketika pertikaman lidah itu berlaku. Kemudian, bertindak dengan tepat membawa Amy untuk meluahkan perkara yang sebenar menimpanya selama ini.

"Okay, Anne. Kitorang naik ofis dulu, eh. Take care."

Lambaian daripada Sharon dibalas. Amy dan Lisa ikut berlalu. Dilirik jam di tangan. Menghampiri dua petang. Dia sudah berjanji dengan Hadi untuk bertemu di situ bagi menyerahkan alatan yang ada pada pegangannya kerana pada petang itu, Hadi perlu ke Cheras untuk satu tugasan.

'Belum selesai solat ke?'

Ditatap jam pada tangan berulang kali. Solat Jumaat rasanya sudah lama selesai.

'Jammed, kot.'

"Panjang umur..." gumamnya perlahan. Telefon di dalam poket seluar yang bergetar dikeluarkan. Bukan nama orang yang ditunggu sebaliknya nombor Pak Long. Tanda waspada menyapa. Belum pernah dia menerima panggilan daripada Pak Long melainkan ketika belajar dahulu. Itu pun kerana Pak Long mahu berhubungan dengan Hanis. Alasan koman, bateri telefon habis atau tak mendengar bunyi telefon.

"Assalamualaikum." katanya terlebih dahulu sebelum mendengar salamnya dijawab.

"Yaya, boleh balik kampung sekarang?"

Tanpa sebarang mukadimah, Pak Long menyoal.

Suraya tidak tertipu. Bergelombang dadanya ketika ini. Apa lagi yang menyebabkan efek sedemikian pada dirinya melainkan mengenang keadaan abah.

"Kenapa dengan abah, Pak Long?"

Bergetar suaranya. Bimbang.

"Hospital."

Tiada masa memikir dan bersoal-jawab. Sepantas kilat dia berlari tidak menghiraukan pandangan pelik segelintir orang yang terkejut dengan aksi ributnya itu. Mujurlah warung itu hanya terletak kira-kira seratus meter di belakang bangunan syarikat. Tidaklah jauh dia perlu memecut balik.

Menyedari keadaan yang pasti sibuk di lobi ketika ini, satu-satunya pilihan yang ada diambil. Lif barang yang terletak dalam laluan yang diambil segera dituju. Lapang dadanya melihat keadaan lengang seperti selalu. Kedua kakinya, makin dipecut laju.

Pinnnn!!!

Pucat lesi wajahnya sebaik bunyi hon kereta menjerit kuat. Tubuh terkaku di tengah-tengah laluan keluar dan masuk ke kawasan parkir syarikat.

"Suraya!! Kenapa ni?"

Suara Dr. Adrian yang agak kuat menyedarkan dirinya yang masih beku. Spontan dia menoleh. Melihat Dr. Adrian sedang menjengulkan kepala melalui tingkap kenderaan.

"Abah! Saya kena balik kampung sekarang!" maklumnya. Namun, belum sempat dia menyambung langkah seribu itu, Dr. Adrian terlebih dahulu bersuara.

"Mari!.. Saya hantarkan." sahut Dr. Adrian.

Suraya mengerutkan dahi.

"Barang?.." soalnya. Kedudukannya masih berdiri di tengah-tengah lorong itu. Tidak bergerak dan teragak-agak. Komputer riba dan beg tangannya masih di tingkat atas. Hanya dompet dan dua biji telefon pintar sahaja yang berada dalam posesi ketika ini. Satu miliknya, satu lagi untuk diserahkan kepada Hadi.

"Nanti I call Jessy. Mari!"

Tidak lagi memikir, didekati kereta tersebut sebelum pintu bersebelahan pemandu dibuka. Tali pinggang keledar ditarik dan dia duduk bersandar sambil memandang ke depan dengan wajah yang serius. Jari-jemari bermain sesama sendiri. Hati kecil tak henti memohon akan keselamatan abah. Tiada informasi terperinci yang diterima kerana dia terlalu buru-buru untuk segera pulang. Mengingati hal itu, telefon di dalam poket seluar dikeluarkan. Nombor Pak Long ditekan.

Dr. Adrian pula sengaja mendiamkan diri sambil fokus kepada arah pemanduan. Dibiarkan Suraya menyelesaikan kemelut yang sedang dihadapi terlebih dahulu.

"Kenapa dengan abah?" soal Dr. Adrian setelah melihat Suraya selesai berbicara di telefon.

Suraya menjeling sekilas. Dia tak salah dengarkan? Lelaki itu memanggil bapanya dengan panggilan abah. Mudah sahaja lelaki itu menyesuaikan diri dengan peralihan fasa itu.

"Abah, rebah dalam bilik air. Pak Long kata dia rasa tak sedap hati sebab abah tak datang berjemaah dari Subuh tadi. Habis solat Jumaat, Pak Long terus ke rumah dan bila jumpa, abah dah... pengsan masa tu." ceritanya sedikit terketar.

"Hospital?" tanya Dr. Adrian.

Suraya mengangguk.

"Bertenang, okay. Tarik nafas satu per satu. Saya akan temankan awak. Kita sama-sama doakan yang terbaik. Semoga abah tak apa-apa."

Lembut sekali pertuturan lelaki itu seperti sedang memujuk seorang kanak-kanak kecil. Cuma, hati Suraya tidak terpedaya. Mana mungkin! Hati tak tenang jiwa tak tenteram.

Dikerling papan tanda Sungai Besi. Kereta yang dinaiki masih dalam daerah kotaraya. Kenderaan di jalanan pula tidak pernah tidak sibuk. Bertali arus.

'Cepatlah sampai!'

"Suraya, saya dah fikir masak-masak."

"Hmm?.."

Dia tersentak sedikit. Persimpangan Nilai telah mereka lewati. Sudah jauh rupanya perjalanan yang diambil. Semenjak tadi, dia mengelamun panjang. Dr. Adrian pula langsung membiarkannya begitu. Barangkali sengaja memberinya ruang bersendirian.

"Hujung bulan kita kahwin."

Oh!

Suraya menoleh ke arah lelaki itu yang sedang memandang ke depan. Wajahnya tenang tetapi serius.

"Nanti kejap!" tahannya dari membiarkan lelaki itu terus membuka mulut menceritakan rancangan persediaan perkahwinan tanpa pengetahuannya itu.

"Kenapa?" soal Dr. Adrian sekilas melirik.

"Awak, ada girlfriend?"

"Kalau ada macam mana?"

Pipinya terasa panas. Belum habis rasa segan terkenangkan pertanyaan daripada Amy dan Lisa tadi, datang Dr. Adrian seakan memerlinya. Mulut terkunci rapat. Dia tidak punyai jawapan selain rasa malu andai lelaki itu benar-benar mempunyai seorang teman wanita dan dia pula dengan mudah menjadi perampas hak orang.

"Haih... Awak ingat saya ni jenis tak setia ke?" tanya Dr. Adrian berserta satu keluhan kecil.

Menunduk pula wajah Suraya. Terlalu malu.

"Tak ada, Suraya. Betul... Kalau ada, awal-awal lagi saya tolak pinangan abah."

Lega. Benar-benar lega. Buat seketika mereka berdua menyepikan diri dari berkata-kata.

"Betul hujung bulan ni kita kahwin?" soal Suraya mencari kepastian. Sementelah tiada lagi keraguan tentang status lelaki itu barulah dirasakan tepat untuk berbincang hal perkahwinan itu pula.

"Ya. Nanti saya bagitau abah tentang perkara ni." jawab Dr. Adrian dengan tenang. Sebenarnya, hasrat bapa Suraya itu semestinya berjaya mengganggu urusan hariannya sebelum ini. Setelah bertanya kepada seseorang yang lebih alim, dia disaran melakukan solat sunat Istikharah. Sudah beberapa kali solat itu ditunaikan dan, tiada permohonan yang dipinta olehnya melainkan urusan itu dipermudahkan. Sehingga saat ini hasrat itu tidak lagi menjadi gangguan kepada titik fokusnya. Malah, dia dapat merasakan apa sahaja perkara berkaitan perkahwinan itu mudah sahaja untuk diuruskan.

"Lagi... dua minggu??.."

Suraya menarik panjang. Diintip reaksi lelaki itu. Tetap sama.

"Kenapa?" soalnya lagi.

"Kenapa, kenapa?" soal Dr. Adrian pula.

"Yelah. Lagi dua minggu? Kenapa cepat sangat? Dengan kursus kahwin pun belum pergi." tuturnya sebelum berasa sedikit segan. Entah mengapa, persoalan perkahwinan bersama Dr. Adrian itu walaupun dibayangi perasaan malu, seakan mudah sahaja untuk dibincangkan.

Jikalau sebelum ini saban waktu dia berdoa memohon tempoh itu dipanjangkan. Dan, setiap malam pula meratib bimbang memikirkan kehidupan bersama-sama. Tetapi, dari hari ke hari setelah mengenali sikap Dr. Adrian, perasaan itu makin menghilangkan diri pula. Diganti dengan perasaan gementar menantikan hari bersejarah itu berlabuh.

"Saya dah register nama kita berdua untuk hadir kursus kahwin dan clinical test pada minggu hadapan,"

Mulut Suraya sedikit terbuka. Tanpa pengetahuannya?

"Dan, semua dokumen, surat atau sijil untuk keperluan nikah saya dah siapkan. Cuma tunggu sijil kursus kahwin dan HIV test sahaja." terang Dr. Adrian panjang lebar. Sebenarnya, dia telah merancang untuk bertemu dengan bapa Suraya pada hujung minggu itu bagi menyampaikan hajatnya secara rasmi. Namun, disebabkan situasi kecemasan yang sedang berlaku ini membuatkan dia terus terfikir untuk menghantar Suraya sekaligus memaklumkan hasratnya tersebut.

"Pantas." ucap Suraya sepatah. Tak sangka dalam kesibukan, lelaki itu mampu menguruskan perkara itu. Tidak sepertinya yang langsung tidak ambil peduli. Iyalah, kalau dah tarikh pun belum bincang jadi, dia jalani sahaja kehidupan seharian seperti biasa.

"Mestilah. Dari biarkan bakal isteri saya ni dikebas orang lebih baik saya bertindak sekarang."

Oh. Sekarang fahamlah dia.

"Maksud awak, Eugene? Hei, dia main-main aje, lah."

"Are you sure dia main-main? Kenapa saya tengok pandangan dia pada awak lain macam je. Please, Suraya. Have I told you before how those eyes are leering on you. "

'Damn it!'

Maki Dr. Adrian di dalam hati.

"Adrian, awak dah salah faham. Jangan main tuduh aje. Mungkin sebab saya sorang saje ahli perempuan, itu pasal diorang suka mengusik. Tak perlulah ambil serius." tutur Suraya sedikit berang.

Kedengaran lelaki itu tertawa lucu. Dah tentu dibuat-buat. Belum sempat Dr. Adrian membalas, telefon pintarnya bergetar. Nama Hadi terpapar. Alamak! Baru teringat akan janji yang terpaksa dimungkiri itu.

"Hadi!.. Sorry. Aku ade emergency, lah." maklumnya sebaik menyambut panggilan tersebut.

"Bagi saya telefon tu." arah Dr. Adrian.

Suraya melayangkan pandangan sebaik mendengarkan suara yang tegang itu. Kecut. Kerana wajah yang tenang itu kelihatan betul-betul tegang. Sedang merenungnya tajam. Dihulurkan telefon pintar tersebut tanpa berlengah.

"Hadi, tolong jangan call Suraya. You may contact Nazril. He has the spare."

Klik.

Talian diputuskan. Suraya tergamam. Telefon yang dihulurkan pantas diambil kembali.

"Awak tau tak yang selama ni saya berusaha elakkan diri dari sebarang gosip murah-.."

"And I just helped you make it grand."

Suraya menepuk dahi. Selepas episod dirinya dikaitkan dengan Zamri sebelum ini, dia mengambil langkah berhati-hati apabila perlu keluar berkerja atau berkerjasama dengan orang lelaki di pejabat. Nampaknya, dalam sekelip mata usaha itu lebur.

"Fine." sahutnya lantas berpeluk tubuh dan memandang ke luar. Resah, gelisah, geram, terkilan dan bermacam lagilah yang dialami ketika ini. Apa kena sebenarnya dengan dia ni? Datang bulan ke apa? Orang tengah bimbang dia ajak gaduh. Hisy, tak kena masa betul!

"Can you at least... try to comfort me." ujar Dr. Adrian setelah masing-masing mendiamkan diri dalam tempoh yang agak lama.

Apa??

Suraya tertawa lepas. Seperti Dr. Adrian dia buat-buat geli hati.

"Kenapa pulak? Saya sepatutnya yang lebih berhak untuk dipujuk dalam situasi sekarang ni!" tekannya dengan sengaja.

Sepi. Dan sepi itu lama bermaharajalela.

"Yup. Saya minta maaf, Suraya. Kadang-kadang, saya tak pandai nak uruskan perasaan cemburu saya ni."

Cemburu? Rasanya ini kali pertama lelaki itu meluahkan rasa cemburunya tanpa berselindung. Perasaan takut terhadap lelaki itu kembali. Kerdil sahaja. Tetapi tetap memunculkan diri di situ. Pelik. Kenapa dia takut apabila lelaki tu cemburu?

'Sebab kau anggap diri kau milik dia.'

Bisikan hati membuatkannya sedikit terperanjat. Dikerling sekilas lelaki itu. Belum pernah gagal berterus-terang dengan perasaannya. Bagaimana pula dirinya? Itulah masalahnya. Dia tak alami apa yang dirasakan oleh lelaki itu. Tidak pula rasa cemburu apabila Lisa dan Amy sering bertanyakan perihal lelaki itu. Tergugat apatah lagi.

'Isy, ada yang tak kena ke pada otak aku ni?'

Ditoleh sekali lagi ke arah lelaki itu. Lirikannya berbalas. Laju dia melarikan.

"Awak cemburukan siapa, Adrian?" soalnya hairan.

"Suraya!.. Seronok ke mainkan saya macam ni?" ujar Dr. Adrian dengan suara yang tertahan.

Suraya terpana. Dia, dituduh pula bermain dengan perasaan. Bibirnya terbuka untuk mengucapkan sesuatu namun, sejenak, dia menutupnya dan menarik nafas yang dalam.

"Adrian, do you have trust issues?" soalnya dengan suara yang mengendur. Apa masalah lelaki itu langsung dia tidak tahu. Diambil berat salah. Tak ambil berat lagilah salah.

Diam.

Lama sekali.

Mungkin, pertanyaan itu tak sepatutnya dilontarkan. Tapi, apa boleh buat. Dah terlanjur dia berkata. Perlahan, satu keluhan kecil dilepaskan.

"Adrian, saya betul-betul tak faham. Sehabis baik saya bercakap dengan awak. Saya tanya sebab saya nak tahu apa masalah awak. Saya memang tak tahu dengan siapa yang awak cemburukan tu. Saya dan Eugene memang tiada apa-apa and you know it very well. Sebab tu saya pelik bila awak cakap awak cemburu. Cemburu dengan siapa lagi?.." jelasnya penuh berhemah. Andai lelaki itu bukan siapa-siapa pada dirinya, pasti dibiarkan sahaja salah faham itu berlaku. Tetapi, lelaki di sebelahnya itu adalah bakal suaminya. Biarlah segala salah faham yang terlewat dirungkaikan dan tidak berlanjutan lagi. Masih ada perkara penting yang harus mereka hadapi selain daripada hal itu. Telinga, menangkap satu keluhan kasar yang terlahir dari lelaki itu.

"Sorry. I'm just jealous... Of everything."

Air muka Suraya serta-merta berubah.

"Jangan cakap yang awak ada sikap cemburu buta..." getusnya sedikit gusar.

Dr. Adrian menjeling ke arahnya sebentar. Sejuring senyuman kelihatan.

"Selagi awak belum sah jadi isteri saya selagi itulah saya jealous."

"Kalau dah sah?"

"Lebih lagi. Tapi, pada masa tu kita terikat pada satu ikatan yang kukuh. Yang tak mudah untuk dileraikan."

Ucapan itu tak ubah seperti sebuah janji untuk sumpah setia hingga hujung nyawa. Suraya terkedu. Lelaki itu jelas dengan tujuannya. Benar-benar mengotakan kata sejak kali pertama berterus-terang akan perasaannya. Dia ingin bertanyakan tentang perasaan yang satu itu. Ingin mendengar dengan kedua telinganya. Ingin menyaksi dengan kedua matanya. Ingin tahu apakah perasaan yang lelaki itu punyai terhadap dirinya tetapi dia malu. Terlalu malu. Seumur hidup belum pernah dia membicarakan soal hati dan perasaan dengan mana-mana lelaki.

"Just rest, Suraya. Nanti dah sampai saya bagitau, okay."

Bungkam. Secara rasmi topik itu telah ditutup. Dipalingkan wajah ke luar tingkap. Memerhati saujana warisan alam yang kehijauan. Mungkin betul tindakan Dr. Adrian. Simpan dahulu perkara itu kerana ketika ini mereka sedang mengejar perkara yang lebih utama. Abah.

Previous: Bab 34
Next: Bab 36

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.