Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 29


"Boleh ke, abah kau duduk sorang-sorang dekat rumah tu?.." soal Hanis sebaik menyertai Suraya yang sedang duduk bersendirian di ruang tamu.

Dilarikan pandangan dari buku yang sedang dibaca ke arah Hanis yang sudah bertukar penampilan dari pakaian formal ke pejabat kepada t-shirt dan seluar tidur Hello Kitty.

Awal petang tadi, setibanya dia di rumah, suasana yang sunyi menyambut kedatangannya. Kedua ahli rumah itu tiada kerana mempunyai urusan di luar. Hanis terpaksa menghadiri satu majlis rasmi yang diseliakan oleh jabatannya di Putrajaya manakala, Kak Rin pula sibuk dengan urusan perniagaan yang baharu diceburi.

"Entahlaa... Tapi, aku tengok abah tu macam takde apa-apa je. Sekarang ni pulak, banyak masa dia dekat surau. Setiap lima waktu tak pernah dia miss."

"Hmm... Eloklah macam tu. Risau jugak aku kalau-kalau abah kau sunyi ke apa bila tinggal sensorang." luah Hanis lantas duduk di sisinya.

Luahan Hanis sebentar tadi berasas. Sebelum ini, telah Suraya bincangkan perkara itu dengan abah. Seandainya abah mahu, dia sanggup untuk berhenti kerja dan menemani abah di kampung. Namun, abah menolak. Abah telah mengambil cuti tanpa gaji selama tiga bulan. Katanya mahu digunakan waktu dan kesempatan itu untuk mendekatkan diri kepada Yang ESA. Malah, beria-ia menyuruh dia kembali berkerja daripada duduk di kampung menemaninya. Oleh itu, Suraya telah membuat janji dengan abah. Dia akan pulang ke kampung pada setiap hujung minggu demi menemani abah.

"Entahla, Han. Susah nak cakap. Lebih-lebih kalau dah abah yang beria-ia suruh aku balik ke KL. Nampak sangat dia macam dah okay walaupun aku tahu, tak sebenarnya..." sahut Suraya sedikit lirih. Juga seperti belum yakin sepenuhnya dengan pendirian abah itu. Bahunya, terasa disambar kemudian dielus. Kata-katanya mempunyai maksud yang mendalam. Tak perlu dijelaskan Hanis terlebih dahulu dapat membacanya. Tenang hatinya kerana dianugerahkan seorang teman yang memahami hati dan perasaan.

Ketika terdengar gemerincing bunyi kunci, mereka berdua sama-sama menoleh ke arah pintu masuk. Ucapan salam kedengaran diberikan lantas serentak disambut oleh mereka berdua.

"Yaya ke?" tanya Kak Rin agak kuat sebaik pintu ditolak dari luar.

"Ya!.." sahut Suraya sambil memandang ke arah daun pintu. Sengaja mahu melihat reaksi wanita itu yang telah berminggu tidak ketemu.

Tanpa berlengah, sebaik membukakan kasut, Kak Rin bergegas menghampiri dan duduk di sebelahnya. Haruman pewangi semerbak bertebaran. Wanita itu kelihatan anggun mengenakan sepasang sut kelabu yang dipadankan dengan sehelai selendang berona coklat cair. Sebuah beg bimbit yang dipegang diletakkan di atas meja. Kini, dia berada di tengah-tengah sofa dengan dua orang teman setia mendampingi. Bahunya dipeluk mesra oleh Kak Rin sebaik Hanis meleraikan pautan.

"Takziah, Yaya. Maaf sebab tak dapat datang jenguk Yaya dan abah Yaya dekat hospital sebelum ni. Schedule akak sebelum resign padat sangat." ucap Kak Rin menjelaskan sekali lagi keadaan dirinya walhal sebelum ini, wanita itu telahpun menjelaskan situasinya itu setelah berita malang itu sampai kepada pengetahuannya.

"Takpe, kak. Yaya faham. Takde apelah." kata Suraya pula sambil senyum sedikit. Kesibukan wanita itu telah lama difahami. Ditambah kebelakangan ini pula, Kak Rin sibuk menguruskan hal ehwal penubuhan bisnes yang akan beroperasi tidak lama lagi. Kerjaya sebagai pramugari bakal ditinggalkan kerana wanita itu dan suaminya telah sepakat untuk menjalankan sebuah bisnes agensi pelancongan.

"Abah Yaya, okay?"

Seperti Hanis, dia terharu kerana mempunyai seorang lagi teman yang mengambil berat akan dirinya.

"Inshaallah. Yaya harap okaylah." tuturnya penuh pengharapan.

"Orang lelaki ni memang macam tu, Yaya. Susah nak kesan perasaan dia. Diorang ni lagi kuat memendam perasaan berbanding kita, tau. Kak Rin harap abah Yaya dan Yaya sendiri dapat jalani ujian ini dengan tenang. Lagipun, kak Rin pun pernah alami. Cuma, akak kehilangan seorang ayah." cerita Kak Rin.

Suraya terpana. Sebelum ini, maklumat itu tidak pula diketahui. Sebagaimana dia seorang yang gemarkan privasi, Kak Rin dua kali lima. Dijeling ke arah Hanis. Terdiam dengan sepasang matanya merenung dalam ke arah Kak Rin. Nampaknya, teman baik itu sama-sama tidak mengetahui.

"Tapi, kalau bab move on tu Kak Rin tak pasti berapa lama diambil hinggalah mereka dapat terima realiti kehilangan tu dan jalani hidup seperti biasa."

"Maksud akak?" soal Suraya ingin tahu. Baginya, tiada perbezaan sama ada kehilangan seorang ibu atau bapa. Kedua-duanya merupakan orang yang dikasihi dan disayangi.

"Bagi Kak Rin sendiri, akak ambil masa beberapa minggu sebelum mampu move on. Kalau tak, setiap kali bangun tidur aje mesti menangis dulu sebab teringatkan arwah. Lagipun, akak memang manja dengan arwah."

"Mesti sedih gile kan, kak?" getus Hanis tiba-tiba.

Kak Rin menoleh sebelum mengangguk. Satu senyuman kelat terbias.

"Sebab nak elak terlalu fikirkan tentang arwah, akak sibukkan diri. Tapi, tak bermaksud akak terus tak sedih selepas tu. Tiba hari-hari yang penting, ketiadaan ayah tu terasa sangat. Cuma, bila kita sentiasa ingatkan diri untuk redha dengan ketentuan tu, Inshaallah hari-hari yang kita lalui terasa tenang dan biasa-biasa saja." tambah Kak Rin panjang lebar.

"Yaya pun berdoa dan berharap supaya Yaya dapat terima takdir ni dengan hati yang lapang. Dan, dapat jalani hari-hari mendatang dengan tenang. Tapi, tak semestinya terus melupakan. Yaya dapat rasakan di salah satu sudut dalam hati Yaya ada satu tempat istimewa khas untuk arwah mummy." Suraya berterus-terang. Spontan bahunya dielus lembut oleh Kak Rin sebelum tangan itu menjauh. Dilirik sebatas senyuman. Rasa yang dialami tak kan mungkin dapat difahami melainkan kepada insan yang turut merasainya.

"Tapi, lain pulak dengan mama akak. Dia tak macam akak bila hadapi ujian tu. Mungkin sebab pasangan dia, kan? Satu tahun masa yang diambil oleh mama, barulah kitorang adik-beradik nampak mama dah okay macam biasa. Kalau tak, terkadang nampak mama termenung dan tiba-tiba menangis. Mungkin sedang terkenang. Sedih, kan?" tutur Kak Rin lagi.

Suraya diam bungkam. Dilayangkan pandangan ke arah Hanis sekilas. Gadis itu seakan terpaku setelah mendengar kisah duka itu. Pandangannya jatuh ke ribaan pula. Terfikir andai dia mampu menjadi seperti Kak Rin. Berjaya mengharungi episod lara itu dalam tempoh yang singkat. Namun, bagaimana pula dengan abah? Adakah abah sama seperti mama Kak Rin?

Rupa-rupanya bukan mudah untuk bangkit setelah melalui episod perpisahan alam ini. Ternyata, apa yang tersangka milik kita bukanlah milik kita sepenuhnya.

"Dah berapa tahun ayah Kak Rin meninggal?" tanya Hanis menenggelamkan lamunan yang baru berlangsung.

Kak Rin tersenyum tipis. Reaksinya nampak bersahaja semacam soalan itu sudah biasa diajukan kepadanya.

"Lebih kurang tiga tahun lepas."

"Sekarang, mama Kak Rin macam mana? Tinggal dengan siapa?" soal gadis itu lagi seperti ingin tahu segala-galanya tentang kisah hidup Kak Rin.

Kak Rin senyum lagi. Senang agaknya kerana diambil peduli.

"Mama okay. Dulu-dulu, mama berniaga kecil-kecilan. Lepas arwah ayah takde, bisnes batik arwah, mama pula ambil alih. Dia tinggal sorang-sorang. Tak mahu tinggal dengan anak-anak katanya."

Tiada lagi kata perbualan. Masing-masing seperti mengambil kesempatan kesunyian itu membawa diri ke alam khayalan. Terkenang lalu mengenang. Melayari lalu mengaliri memori.

"Erm... Korang, nak tahu tak?.." ucap Suraya mengembalikan perhatian mereka kepada dirinya pula.

"Tak lama lagi aku, kena kahwin..." umumnya sedikit teragak. Berita itu, mahu atau tidak harus juga disampaikan. Kerana setelah ketiadaan mummy, mereka berdualah tempatnya untuk mengadu.

"Kau biar betul! Jangan main-main, boleh tak?" marah Hanis disertai riak geram dan jengkel. Sedang dia terkenangkan nasib malang Suraya, boleh pula temannya itu dengan selamba membuat pengumuman. Pengumuman nak berkahwin pula tu!

Kedua tangannya, memegang kedua belah bahu Suraya lantas dibawa tubuh itu untuk berhadapan dengannya seorang.

"Jangan main-main!" gertaknya dengan kedua biji mata dibulatkan.

"Yaya... Yaya cakap apa ni?.. Main-main ke betul-betul?" soal Kak Rin ingin tahu.

Lantas Suraya menjatuhkan pautan dibahunya lalu duduk bersandar dengan kedua tangannya berpeluk tubuh. Digelengkan kepala mengenangkan desakan yang diterima dari kanan dan kiri itu.

"Betul." sahutnya bersungguh-sungguh.

Kak Rin dan Hanis berbalas pandang. Lama.

"Okay. Cuba cerita bagi kami berdua ni jelas." pinta Kak Rin lembut.

Suraya menarik nafas yang panjang. Sebenarnya, kepulangannya ke rumah sewa tadi dengan menaiki kereta api. Sengaja. Selain mahu menenangkan fikiran dengan melihat keindahan alam sepanjang perjalanan, diambil kesempatan itu dengan merenung akan kehidupan yang telah dilewati dan bakal dilewati. Sikit masa lagi dia bakal berkahwin dengan lelaki pilihan abah itu. Diam-diam, dia merencana dan mengukur kebarangkalian kehidupan bersama lelaki itu. Bahagiakah dia nanti? Akan wujudkah perasaan kasih dan sayang kepada lelaki itu? Atau, derita yang akan diperolehi? Tiada jawapan yang meyakinkan kerana keyakinan yang hak belum dicapai. Akhirnya, sepanjang perjalanan tiada lain yang berpusu dalam fikiran selain bimbang dan bimbang.

"Abah pinangkan Dr. Adrian untuk aku."

"Apa???" Hanis terjerit kecil.

Berdesing corong pendengaran Suraya lantas ditutup sebentar sebelah telinganya itu. Tidak menyangka berita itu benar-benar memberi kejutan yang besar kepada temannya itu.

"Dr. Adrian? Siapa Dr. Adrian?" celah Kak Rin dengan wajah yang kerut-merut.

"Bos Yaya... Jangan bimbang, kak. Muda dan handsome. Tapi, belum tentu dapat jamin kebahagiaan. Yaya, kau biar betul? Ceritakan dari A to Z. Sekarang!" Hanis bersuara cemas.

Suraya mengangguk malas. Diceritakan peristiwa bermula dari hari abah pulang dari hospital sehinggalah pada momen penting yang menyaksikan abah meminang lelaki itu di hadapannya. Sekali lagi, dia merona hanya teringatkan peristiwa itu.

"Yaya, Yaya… Apa dah jadi ni?.. Yaya dah bercakap dengan abah Yaya?" soal Kak Rin berwajah simpati. Tiada lagi selendang di kepalanya. Sambil mendengar rentetan itu dibuang tudung itu dari meliliti kepala.

"Dah. Habis kering air mata tapi, abah tetap dengan keputusan abah. Yaya tak mampu buat apa-apa. Jadi, Yaya ikut ajelah." jawabnya dengan perasaan bersahaja. Bukanlah dengan mudah dia mengalah. Puas. Dia dah puas memujuk abah sehinggalah datang hari keputusan dari Dr. Adrian itu. Akhirnya, dia mengambil keputusan untuk berserah sahaja kepada takdir.

Kak Rin menggeleng. Tidak tahu apa yang patut diperkatakan. Hanis pula diam termenung. Antara percaya atau tidak menerima berita yang menggemparkan itu.

"Adrian, kata apa?" soal gadis itu.

"Dia terima. Tapi, mintak tempoh." sahut Suraya.

Hanis menepuk dahi.

"Aku tak tahu nak cakap apa lagi, Yaya. Situasi kau betul-betul terbalik. Sempat lagi Adrian mintak tempoh. Tak ubah seperti gadis Melayu terakhir." Hanis cuba berjenaka tetapi tiada sambutan. Malah, dia turut mempamerkan senyuman kelat memikirkan keadaan teman baiknya itu.

"Kak Rin tak berani masuk campur, Yaya. Sebab, kalau dah permintaan orang tua ni jadi payah sikit. Lebih-lebih lagi kita anak perempuan dan abah Yaya memang ada hak menentukan siapa bakal suami Yaya," tutur Kak Rin memberikan pendapatnya.

"Yaya kenal rapat ke dengan bos Yaya tu?"

Suraya menoleh. Membalas tatapan Kak Rin sebelum satu gelengan diberikan.

"Laa... Kalau tak kenal macam mana boleh sampai meminang ni?"

Dijungkitkan bahu pula. Jawapan itu tiada dalam simpanannya. Hanya abah yang tahu kenapa dan mengapa hasrat itu diluahkan.

"Hanis... Hanis kenal ke?" tanya Kak Rin lagi tak ubah seperti seorang detektif.

"Tak berapa jugak. Sebab accident tulah baru kenal. Kalau tengok luaran nampak baik. Siang malam ada dekat hospital tolong Yaya." cerita Hanis membongkar kisah dahulu.

Suraya diam. Peristiwa lalu kembali terimbau. Dia tidak berani menyangkal akan kebaikan lelaki itu ketika dia berada di dalam tempoh kesusahan sebelum ini.

"Oh... Patutlah. Mungkin dari situ abah Yaya tengok dan berkenan." Kak Rin meneka.

Hanis mengangguk beberapa kali. Mula terpercaya dengan teori itu.

"Tapi, tak sangka bos Yaya tu setuju, kan? Nampak sangat dia memang sukakan Yaya, lah. Kecil tapak tangan nyiru ditadahkan." ngomel Kak Rin lagi. Mendapat pula sokongan daripada Hanis.

Tiada sesiapa di antara mereka berdua yang mengetahui dalam diam, Hanis memanjat kesyukuran di atas perkhabaran itu. Dia percaya dan yakin dengan pilihan bapa Suraya meskipun dia sedar teman baiknya itu tidak rela. Rasanya, sesiapa sahaja yang berada di sekeliling Suraya dan Dr. Adrian, menyedari betapa perhatian yang berlebihan jelas tertumpah daripada lelaki itu kepada gadis itu. Entah apa agaknya yang ada dalam kepala Suraya. Walau menerima layanan yang luar biasa, dia tetap tak sedar-sedar bahawa suatu harapan sedang ditadahkan oleh lelaki itu.

Yaya, Yaya... Lurus betul, kutik hati kecil Hanis sambil merenung jauh ke arah teman tersayang.

Suraya pula masih berwajah selamba. Tidak termakan dengan usikan tersebut. Malukah dia untuk bertemu mata dengan lelaki itu di pejabat keesokan hari? Ah, dia enggan memikirkan perasaan itu. Rasanya lebih elok merancang untuk duduk berbincang. Hasrat kecilnya agar lelaki itu memanjangkan lagi tempoh sebelum mereka berdua disatukan secara sah. Ya. Lagi panjang lagi bagus!

"Yaya... Oi, Yaya! Berangan pulak..." seru Hanis.

Suraya tersipu setelah disiku oleh teman karibnya itu.

"Apa?" soalnya memandang Hanis dengan rasa tidak puas hati.

"Kak Rin tanya tu, bos kau tu umur berapa?"

"Entah. Tiga puluh, kot?"

"Orang mana?"

"Entah."

"Tinggal mana?"

Bahu dijungkit sedikit. Panjang gelengan kepala Kak Rin melihatkan jawaban yang acuh tak acuh daripada Suraya itu.

"Takpelah. Lepas kahwin nanti korang boleh kenal dengan lebih mendalam." ucap Kak Rin kemudian. Tak mampu berkata apa lagi mengenangkan perhubungan Suraya dan bakal suaminya itu terlalu jarang ditemui di zaman serba moden ini.

"Tak sangka kau lagi ekspres dari aku." getus Hanis perlahan.

Serta-merta Suraya menoleh. Titisan jernih mula bergenang di tubir mata. Rupa-rupanya, dialah yang terlebih dahulu merendahkan tali persahabatan itu ke tingkatan yang bawah. Setelah berkahwin nanti sudah tentulah perkahwinannya yang menjadi keutamaan. Namun, dalam diam dia berikrar untuk tidak mengabaikan perhubungan mereka itu walau apa pun yang berlaku. Kedua tangan Hanis dirasakan berlingkar di bahunya. Kemudian, sentuhan kedua dari Kak Rin pula. Suraya membalas. Sama-sama, mereka bertiga teresak kecil.

"Kak Rin sayangkan korang macam adik-adik sendiri. Sekarang, semuanya nak bawak haluan masing-masing. Sekejap betul akak dapat bersama korang." ucap Kak Rin.

Hanis mengangguk tanda setuju. Suraya bungkam. Meratapi dalam diam lapisan demi lapisan kekusutan yang makin membebankan.

Previous: Bab 28
Next: Bab 30

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.