Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 46


Dari dalam perut Hyundai Starex itu, pemandangan Laut China Selatan yang terhampar kebiruan dinikmati untuk kesekian kali sebelum dialih fokus ke arah jalanan yang agak sibuk dengan pejalan kaki yang mundar-mandir.

Bunyi batuk kecil yang datang dari arah depan mematikan khayalan yang panjang. Izudin, pekerja sub kontraktor yang ditugaskan membawa mereka ke lokasi yang ditetapkan menoleh sebentar ke belakang. Barangkali lelaki itu sedang ternanti-nanti pengakhiran kepada tugasan yang agak memakan waktu itu. Jangankan lelaki itu, dia turut terkontang-kanting menunggu. Rasanya sudah lebih dari setengah jam mereka duduk di situ. Apabila pandangan berselisih dengan Izz yang agak sebaya umurnya dengan Dr. Adrian, dilarikan lirikan ke arah berlawanan. Segan.

Kunjungannya ke Kota Kinabalu mengikut jadual kerja yang telah ditetapkan. Pertama kali berkunjung sudah tentulah dia teruja. Di dalam benak, sudah siap dilakar jadual peribadi untuk menerokai tempat-tempat baharu di samping melaksanakan kerja-kerja yang ditugaskan. Sebab itulah dia cintakan pekerjaan itu. Selain kerana ianya satu kerjaya, dia dapat menjelajah ke daerah baharu yang belum pernah diterokai sebelum ini. Sambil menyelam, dia minum air.

Dijeling Dr. Adrian yang duduk di kerusi sebelah. Fokus sejak dari bermula tadi. Melalui risikan kelmarin, barulah dia tahu tentang pekerjaan sebenar lelaki itu yang berkemahiran dalam bidang Network Architecture. Namun, Dr. Adrian lebih gemar melibatkan diri dalam troubleshooting dan mendiagnosis network daripada kerja-kerja designs. Lebih tepat, lelaki itu gemarkan kerja-kerja di lapangan.

Pagi tadi, ketika tiba di kota itu, Dr. Adrian terus saja bergerak ke tapak projek melaksanakan tugasnya. Dia pula disuruh mendaftar masuk ke hotel terlebih dahulu. Dua buah bilik di hotel itu telah didaftarkan ke atas nama mereka berdua. Bersendirian di bilik hotel, dia menyemak jadual dan membuat sedikit ulangkaji ke atas tugasan yang bakal dilakukan. Kemudian, makan tengah hari. Makannya sendirian kerana lelaki itu masih sibuk. Sikit pun dia tidak terasa kerana semakin lama berada di dalam bidang itu, skop pekerjaan itu mulai difahami. Jadual kerja terkadang lari dari rutin harian.

Bosan. Suraya menarik nafas yang jemu. Berkira-kira untuk turun mengambil angin di luar dari terperap di dalam kenderaan. Bola mata, kembali mengerling antara lelaki itu dan panorama di luar. Dr. Adrian fokus menatap komputer riba yang diletakkan di atas meja boleh lipat yang memisahkan dirinya dan lelaki itu. Sebuah modem dan beberapa telefon pintar bersambung dengan alat itu. Dilayangkan satu cuitan kilas pada belakang tangan yang sedang memegang tetikus itu. Tiada tindak balas. Lelaki itu langsung tidak mengangkat wajah. Apatah lagi membuka mulut.

"A-..," Sejenak, dia terdiam. Hampir-hampir memanggil dengan panggilan kasual.

"Urm... Dr. Adrian, saya nak duduk dekat luar." tuturnya separuh berbisik. Dipastikan suaranya rendah dan hanya lelaki itu seorang yang mendengarnya. Tiada balasan. Dia menggigit bibir. Hairan dengan defisit reaksi yang diterima.

"Do you mind if I use your phone later?"

Hampir tercabut jantungnya apabila Dr. Adrian tiba-tiba bersuara. Dihela nafas yang panjang.

"Hmm..." Dengan malas dia menjawab sebelum tubuh dipalingkan ke arah cermin tingkap. Perasaan mula menjauh apabila permintaannya sebentar tadi tidak dilayan tetapi dengan selamba lelaki itu pula yang meminta darinya. Rasa terkilan yang muncul disembunyikan dengan memerhati laut yang tenang bergelora. Melihat feri dan bot kecil terumbang dalam perjalanan sedikit berjaya mengalih perasaan yang terperam. Suasana petang yang damai tetapi sibuk. Langit biru ditatap sekilas. Kosong tanpa sejalur awan.

"Shit!!!"

Spontan Suraya tersentak.

"Crap! Crap! Crap!!!"

Meluap-luap kemarahan Dr. Adrian sambil telapak tangan memukul-mukul papan kekunci. Bergegar meja lipat itu akibat hentakan yang diterima. Sekali lagi, dia tersentak. Pertama kali melihat lelaki itu marah sebegitu. Laju jantungnya berdegup. Melalui ekor mata dia terpandangkan Izz yang menjeling sekilas bos mereka melalui cermin pandang belakang. Dia pula terus berpura-pura tenang dengan memandang ke luar.

"These things are starting to annoy me." gerutu lelaki itu lagi dengan telapak tangan masih menghentam papan kekunci tersebut.

Perasaan yang baru sebentar cuba ditenangkan kembali terganggu. Dia, tidak biasa berhadapan dengan situasi sebegitu. Terlalu kasar. Seumur hidupnya dia diasuh oleh kedua orang tua yang tidak pernah meninggikan suara terhadapnya. Ditarik nafas yang panjang. Helahnya berjaya. Seketika cuma. Jiwa berbisik ingin memencilkan diri. Jauh dari aura kemarahan dan kata-kata kasar yang didengari. Jauh dari lelaki yang sedang marah itu dan terselit, untuk jauh dari dunia baharu ini.

"Izz, take a break."

Dia mendengar Dr. Adrian memberi arahan dengan nada tidak sabar.

"OK. Thanks boss." ujar Izz lantas tanpa berlengah membukakan pintu kenderaan dan beredar.

Dia, memerhati lagak pemuda itu berjalan. Kemudian duduk di atas besi penghadang di sepanjang bahu jalan. Sekotak rokok dikeluarkan dan lelaki itu kelihatan selesa di situ.

Melihat ketenangan yang dirai oleh Izz, dia juga berura-ura mahu menyertai. Sebaik tangannya menyentuh pemegang pintu, sebelah lagi tangannya terasa disentuh dan dipegang kejap. Cemas jantungnya berdegup memberi isyarat niat yang baru muncul itu automatik terbatal.

"You, stay," ucap Dr. Adrian seraya melepaskan pegangan.

Wajahnya, masih terpanah ke luar. Kecewa. Dia terlalu ingin keluar dari situ. Situasi tegang sebentar tadi benar-benar memberi kesan kepadanya ketika ini. Dan masih dirasai saki-bakinya ketika ini. Dia benar-benar berasa tidak aman berada di samping lelaki itu.

"Maaf, kalau saya dah buat awak tak selesa." tutur Dr. Adrian baru menyedari kemarahan yang dilempiaskan sedang disaksikan oleh seseorang.

Suraya diam membatu. Sebenarnya dia faham lelaki itu sedang berperang dengan tugasan. Sedang melahirkan rasa kecewanya dengan kegagalan dalam melaksanakan tugasan yang sedang dilakukan. Cuma, dia tidak faham sesuatu. Kehadirannya di situ seperti tidak diperlukan. Dia tidak pasti untuk apa Dr. Adrian memintanya menemani melakukan tugasan itu bersama-sama. Jikalau sekadar menjadi pemerhati kerja-kerja yang dilakukan, lebih baik dia tidak ikut tadi. Lebih baik dia duduk melepak di hotel sahaja!

"Kenapa suruh saya ikut kalau saya ni cuma jadi tunggul aje?" soalnya berbaur tidak puas hati. Dipalingkan wajah merenung dalam lelaki itu.

"Tadi, saya bercakap dengan awak tapi awak langsung tak pedulikan saya." Lirikan dibawa ke arah komputer riba di tengah-tengah mereka dengan perasaan jengkel. Alat elektronik itu lebih dipedulikan dari dirinya sejak hampir satu jam yang lalu. Jadi, untuk apa dia dibawa mengikuti tugasan itu jikalau tugas itulah yang sepatutnya diutamakan. Sememangnya lebih baik dia melepak di bilik saja tadi!

Menyedari pandangan yang dilontarkan itu, Dr. Adrian segera menutup rapat komputer riba sebelum menarik nafas yang panjang dan melepaskan ia dengan berat. Kesal melihat rupa yang kelam tersedia di hadapannya kerana tiada lain penyebab melainkan dirinya sendiri. Sebenarnya, sengaja dia meminta Suraya menemaninya berkerja pada awal petang itu. Bimbang andai isterinya itu bosan sendirian di hotel. Tetapi, tak sangka pula dia telah melakukan kesilapan. Agaknya tentu gadis itu berasa jemu semenjak tadi.

"Saya mintak maaf buat awak macam ni. Saya dah silap plan. Tapi, saya betul-betul tak dengar apa yang awak cakap tadi. Mungkin terlalu fokus buat kerja."

Diam. Seketika sahaja sebelum Suraya pula membuka mulut,

"Saya sentuh pun tak perasan??"

Dr. Adrian menggeleng.

"Macam ni saya buat tadi takkan tak rasa?" soal Suraya dengan perasaan curiga lalu selamba dikuis belakang tangan lelaki itu yang terdampar di atas komputer riba. Dijeling lelaki itu yang menggeleng perlahan. Beberapa kali lagi kuisan diulang. Sengaja.

Dr. Adrian, menangkap tangan itu kemudian meramasnya. Kepalanya menggeleng lagi. Tersedar dari tindakan spontan itu cepat-cepat Suraya menarik kembali tangannya.

"Kalau saya dah mula fokus, apa-apa pun saya tak perasan. Sorry..." ucap Dr. Adrian perlahan.

Suraya senyum kelat. Permohonan maaf lelaki itu ditelan mentah-mentah. Kalau dah begitu sikapnya apa lagi yang boleh dipersoalkan.

"Awak sebenarnya tengah buat apa ni, Adrian?.." soalnya mengubah subjek perbualan.

"Stress testing."

"Ye, ye... Stress testing... Tapi apa yang di test?" rungutnya tidak berpuas hati dengan jawapan pendek itu. Bukan soalan baharu yang ditanyakan itu. Pagi tadi telah ditanyakan soalan yang sama. Cuma, jawapan ringkas itu membuatkan dia terpaksa mengulang ia lagi.

Dr. Adrian senyum tipis. Kemudian, perlahan melepaskan satu keluhan kecil.

"Network congestion. Untuk observe network performance dan mencari mana breaking point bila network overload dengan protocol and data type."

"Nampaknya stress test tu dah berjangkit pada awak." ulas Suraya bersahaja. Dia tidak membuat lelucon tetapi mendengar Dr. Adrian tertawa. Hambar.

"Hmm... Lebih kurang."

"Are you okay?" Kasihan pula melihat wajah mendung itu sedang tertekan lalu ditambah pula dengan amukan kecilnya sebentar tadi.

"I'm alright. Nampaknya saya kena clear the bottleneck and strengthen the weak points."

"Hmm, nampaknya begitulah. Tapi, saya yakin awak boleh buat."

Ucapannya disambut dengan senyuman tawar dari Dr. Adrian. Lelaki itu tentu masih tertekan. Galakan itu mungkin dianggap kosong tetapi tidak bagi Suraya. Melihat balik perjalanan projek yang didukung oleh lelaki itu dia tidak pernah ragu dengan kemampuan bosnya itu.

"Adrian, CMD tu untuk apa?" soalnya ingin tahu. Dari berbahas perkara yang sukar lebih baik ditanyakan perkara mudah. Erm, mungkin mudah buat lelaki itu tetapi tidak dirinya. Dia, merupakan graduan di dalam jurusan elektrik dan elektronik. Kemahirannya di dalam bidang telekomunikasi tidaklah terlalu mendalam. Sebab itulah selain daripada buku-buku ilmiah yang menjadi sumber utama gedung pengetahuannya, rakan sekerja menjadi punca kedua untuknya meraih ilmu dan kemahiran. Turun ke lapangan pula menjadi medan ketiga melaksanakan praktikal.

"Untuk run Iperf. Tengok Retry value ni. That packet loss are causing retransmission..." ujar Dr. Adrian lantas membuka kembali komputer riba yang ditutup dan dipusingkan sedikit kedudukan alat itu sambil jari telunjuk menyentuh skrin meminta gadis itu melihat kepada nilai yang ditunjuki.

Suraya mengangguk faham. Dikerling sebentar wajah suram itu.

"Dial pad pulak?" soalnya lagi.

"VoIP. Dari pagi tadi call failure or one works the other doesn't. Sebab tu saya naik angin. Problem yang sama pada kesemua site yang saya pergi." jelas Dr. Adrian akan keadaan tegang sebentar tadi. Meski sedang tertekan, dilayani setiap pertanyaan Suraya dengan penuh kesabaran. Dia gembira dengan sikap ingin tahu gadis itu. Tidak malu untuk bertanya.

Suraya, bungkam sebentar. Mula memahami alasan kemarahan lelaki itu sebentar tadi.

"Jadi, awak buat VoIP call guna apa? Skype?"

Belum puas, dia menanya lagi. Mahu menggali sebanyak mungkin ilmu dalam bidang yang baru diceburi itu. Skrin dengan command prompt memaparkan dua belas barisan nilai bacaan dalam kilobit diperhati penuh minat. Perisian lain yang bersusun turut diperhatikan.

"Hmm. Apa saja apps yang berkait dengan VoIP saya buat," tutur lelaki itu sebelum diam sebentar.

"Actually, saya sedang test semuanya termasuk VoLTE, audio, video, image, bla, bla, bla..." tambah Dr. Adrian diiringi dengusan kecil. Komputer riba itu kembali dipalingkan dan ditatap.

"Apa kata awak cuba disconnect semua tools and device?.. mungkin, salah satu device yang faulty atau pun setting problem." saran Suraya. Kadangkala situasi begitu pernah menimpanya ketika melakukan tugasan. Antara salah satu kaedah adalah dengan memeriksa keadaan alatan itu sendiri.

"Saya dah buat tadi." Kendur suara Dr. Adrian menjawab.

Suraya menggigit bibir.

"Urm, modem pun? Kalau belum, cuba tukar. Manalah tahu kalau-kalau modem tu yang sebabkan VoIP call failure.., " katanya tidak putus asa mencari penyebab masalah yang timbul. Namun, cadangan itu seakan tidak diendahkan.

"Adrian, cubalah..." pujuknya bersuara lembut.

Dr. Adrian mengerling ke arahnya sebentar sebelum memutuskan kesemua alatan yang bersambung kemudian ditutup dan dibuka kembali komputer riba itu. Lalu, satu per satu alat itu disambungkan pula dan modem yang baharu digunakan sebelum tetapan dibuka untuk memeriksa alatan yang bermasalah. Lama lelaki itu berdiam diri sebelum berkata,

"Well, you are right about something,"

Satu senyuman tipis bermain sebentar di bibirnya.

"The device is faulty. Tapi, network tetap jadi masalah utama."

Suraya menarik sebuah senyuman. Sedikit gembira kerana dapat membantu. Meskipun begitu, dia masih mendengar lelaki itu membebel sambil menukar tetapan di Windows Firewall.

"Actually, I'm having enough...this kind of bull-.." Dr. Adrian, tidak jadi meneruskan kata-kata. Renungan dari sang isteri dikerling.

"Kind of mud pie." katanya kemudian.

Suraya tergelak tidak semena-mena.

"Awak ni boleh tahan suka membebel, lah." tegurnya.

"Nope. Saya cuma meluahkan rasa tak puas hati."

Suraya menarik satu senyuman pula. Baru beberapa hari bergelar isteri banyak perkara baharu tentang lelaki itu diketahui. Juga, membuka sedikit matanya supaya tidak buru-buru menyimpul sebarang tanggapan terhadap lelaki itu.

"Malam ni dinner dengan saya," kata Dr. Adrian. Tidak bertanyakan pendapat tetapi memberi arahan.

Suraya menoleh ke luar tingkap sebentar. Melihat Izz sedang tekun dengan telefon di tangan. Manakala sebatang rokok yang tidak berasap terjuntai di bibir.

"Test malam nanti saya jadi driver."

Lirikan kembali ke arah suami. Hasrat lelaki itu kedengaran besar.

"Tapi-.." Jari telunjuk menunjuk ke belakang. Ke arah Izz. Tugas pada malam itu walaupun ringkas namun bakal memakan sedikit waktu. Dan Izz diarahkan untuk bersama-sama melakukan kerja tersebut.

"Then, he's the driver and we are the commander," tutur Dr. Adrian selamba.

Suraya terpana menatap wajah yang sedang serius itu. Mulutnya terbuka sedikit untuk bertanya namun, tidak jadi. Ia kembali dirapatkan.

"Tengah hari esok saya akan balik. Sekarang ni, saya bimbang untuk tinggalkan awak di sini," jelas Dr. Adrian sekaligus menjelaskan persoalan yang tidak jadi hendak ditanyakan itu.

Suraya kembali duduk bersandar. Ligat otaknya memikir. Baru tersedar selepas perkahwinan itu berlangsung, dia memiliki seorang pelindung yang bertanggungjawab untuk melindungi dirinya.

"Bagi telefon awak."

Permintaan Dr. Adrian mengganggu lamunan pendeknya. Suraya mengeluarkan telefon yang tersimpan di dalam beg silang sebelum menyerahkan ia kepada Dr. Adrian. Lelaki itu turut sama mengeluarkan telefonnya sebelum menaip sesuatu. Telefon kembali dipulangkan. Suraya melihat bahagian Contacts sedang terpapar.

"Rita. Dia lebih banyak buat documentation tapi, kalau perlu dia akan turun ke site."

"Jadi?"

"Esok dia teman awak buat drive test."

"Adrian! Senang-senang aje awak nak suruh dia ikut saya tanpa bersebab? Tak kesian ke kat dia kena duduk dalam kereta tak buat apa-apa? Bukannya sekejap, lama pulak tu."

"Saya lebih kesiankan awak." tutur lelaki itu selamba.

Suraya mengeluh kecil. Pelik. Dekat sebulan dia buat kerja ni baru sekarang nak rasa kesian?

"Cukuplah dengan saya. Sebenarnya apa masalah awak, Adrian? Terus teranglah dengan saya."

"Saya risaukan awak." kata Dr. Adrian tanpa memandang. Jari jemari sibuk menaip skrip di command prompt.

"Adrian..." seru Suraya perlahan. Memancing lelaki itu supaya jujur.

Dr. Adrian terpanggil. Menoleh.

"Alright. Sekarang awak dah jadi isteri saya, Suraya. Keluar berkerja pula dengan seorang pemandu lelaki. Have I told you before that I'm jealous of everything?"

Bungkam. Ada kebenaran yang telah disampaikan. Kembali teringat bahawa bukan sahaja seorang pelindung dianugerahkan kepadanya tetapi, pergerakannya juga telah terbatas kerana terikat dan tertakluk pada restu seorang suami.

Previous: Bab 45
Next: Bab 47

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.