Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 25


Dia merenung ke luar tingkap. Sayup pandangannya berlabuh ke arah kaki langit yang membiru. Bukan sesuatu yang mudah menghadapi situasi apabila orang tersayang kembali kepada Pencipta. Mental dan fizikal dipaksa berkerja sehingga ke batas yang tertinggi demi menanggung dukacita yang tak mungkin kembali. Sekujur tubuh lelah. Namun, tidak dipasak sebagai penat yang sia-sia kerana bagi Suraya ianya adalah suatu Ihsan yang dituntut ILAHI.

Pagi itu, energi yang hilang mulai kembali sedikit demi sedikit. Wajah abah yang tenteram ditatap penuh kesyukuran. Tangisan untuk arwah mummy disimpan di ruang paling dalam. Seluruh jiwa dan raga bersedih namun, kesedihan yang meratapi begitu tak mungkin dapat mengembalikan mummy ke dunia ini. Didorong diri supaya belajar menerima hakikat yang hakiki.

Jam 8.00 pagi, Dr. Adrian muncul membawa sarapan. Dengan wajah yang segar lelaki itu tampil santai dalam t-shirt hitam berleher bulat dan sepasang jeans. Rambut yang agak panjang itu kemas diikat. Dia masih berdiri di tepi tingkap ketika melayangkan sekilas pandangan lalu menarik baju panas yang membalut tubuh rapat. Abah pula sedang duduk di sofa. Menilik telefon pintar. Sibuk melayani pertanyaan demi pertanyaan daripada teman sejawat dan rakan taulan.

Sarapan yang diberikan tidak bersambut. Sebaliknya, dia mahu turun ke tingkat bawah membeli sendiri sarapannya. Kepada abah diberi alasan tekaknya mahu memakan sesuatu yang lain. Nak kecewa ke nak terasa ke, dia tak kisah. Sikap lelaki itu tak mungkin dia mahu berkompromi. Jikalau boleh nama lelaki itu sendiri mahu dipadamkan dari benaknya. Tetapi, manalah boleh! Kalau dah berkerja bawah jabatan yang sama dan bos sendiri pulak tu.

Diendahkan wajah mendung lelaki itu ketika memerhatikan dia beredar meninggalkan wad tadi. Suraya tidak peduli lagi dengan apa yang lelaki itu rasa. Abah ada untuk melayan. Lagipun, jelas sangat reaksi gembira yang ditunjukkan oleh abah sewaktu Dr. Adrian sampai tadi. Tak pula kekok atau segan seperti kelmarin ketika pertama kali bertemu. Entah apalah yang dilihat oleh abah dalam diri lelaki itu. Andai sikap buaya darat itu diceritakan, dia tidak pasti mahukah abah bergembira lagi dengan kehadiran lelaki itu.

Suasana yang sedikit riuh di bawah itu berlawanan dengan ruang wad yang sunyi yang baru sebentar ditinggalkan. Di aras yang menempatkan aneka kafe, kedai-kedai dan juga kemudahan mesin ATM, dia makan sendirian. Namun, fikirannya tenang dan lapang tanpa perlu menonton wajah Dr. Adrian itu.

Setelah selesai urusannya, Suraya kembali ke tingkat atas. Lemah langkah yang diambil ketika kembali ke wad. Berapa lama lagi lelaki itu nak menempel di situ. Menyesal pula memberikan butiran lelaki itu kepada pihak hospital sebagai waris kepada pesakit. Kan dah sesuka hati dia nak datang tak kira masa. Sambil berpeluk tubuh disertai wajah yang sengaja dimasamkan, dia melangkah masuk ke dalam wad tersebut. Mana mungkin dia mahu memaniskan wajah untuk lelaki itu kecuali abah seorang.

Sebaik dijengulkan kepala, dilihat hanya abah yang berada di dalam. Boleh jadi sedang tidur melihatkan kelopak matanya yang terpejam rapat dan tubuh yang berbaring tidak bergerak. Entah berapa jam agaknya waktu tidur yang diperolehi oleh abah pada malam tadi. Seperti dirinya yang terkadang beberapa kali terjaga akibat tidak selesa, apatah lagi abah yang sedang bermuram durja mengenang isteri tercinta.

Dia, tidak jadi masuk. Berura-ura mahu ke taman mini di luar yang berada di tingkat itu juga yang belum berkesempatan untuk dijejaki. Pintu bilik wad itu kembali ditarik rapat. Baru sahaja hendak berpaling, susuk tubuh lelaki itu masuk di dalam skop penglihatan. Sedang bersandar di sebuah tiang besar yang berada di antara dua barisan sofa di luar wad. Mati-mati diingatkan lelaki itu telah pulang rupanya tidak. Sedang khusyuk melihat telefon pintar. Mesti belum menyedari kehadirannya itu. Dia mengira-ngira mahu beredar secara senyap-senyap.

"Suraya... Sini!.." arah satu suara.

Dia mengeluh. Gagal melarikan diri. Dengan perasaan malas dia berpaling. Lambat langkah diambil menuju ke arah bosnya itu. Mahu atau tidak lelaki itu perlu juga dihadap.

"Dah makan?"

Diam.

Dr. Adrian merenung wajah yang berbekas letih itu. Entah kenapa dari semalam wajah masam itu ditontonkan kepadanya sedangkan kepada orang lain tidak pula. Dia pasti ada sesuatu yang dilakukan oleh dirinya yang mengguriskan perasaan gadis itu. Tetapi, dia tetap bersabar melayani mood gadis itu meskipun perasaannya sendiri sedikit tercuit.

"Ini... Satu minggu aje cuti yang awak ambil. Cukup ke?" tanya Dr. Adrian meminta kepastian. Ditunjukkan paparan permohonan cuti yang dibuat melalui email pada malam tadi.

Spontan Suraya menolak sedikit telefon yang dekat dengan wajah dan diambil beberapa langkah yang mengundur ke belakang. Boleh juling mata dibuatnya melihat dengan jarak dekat begitu.

Melihatkan gelagat gadis itu, segera Dr. Adrian menyimpan telefon ke dalam poket jeans yang dipakai.

"Kenapa?" soal Suraya dengan jarak satu meter memisahkan mereka.

"How about two weeks? Temankan abah awak."

Suraya diam. Lama. Memikir apa yang pernah difikirkan telah pun diluahkan oleh lelaki itu. Dia tidak kisah andai bercuti tanpa gaji. Demi abah, dia memang sanggup.

"Kenapa? Sayang gaji kena potong?"

Bulat mata Suraya memandang lelaki itu. Penanda aras angin di kepalanya mencanak kepada 25 knots.

"Awak ingat saya mata duitan ke?? Kalau abah mintak saya berhenti kerja untuk temankan dia, sekarang jugak saya hantar notis berhenti 24 jam!!" tegasnya dengan nada sedikit kuat. Sisa amarah kelmarin terbina kembali. Perbuatan lelaki itu yang tanpa segan menilik Maksu Azah yang sudah berumur lebih dari separuh abad itu dilihat dengan mata kepalanya sendiri. Bukan sekali pula ditiliknya. Berkali-kali. Dia perasan sangat tapi, sengaja dibutakan matanya kerana terlalu geram. Eeiii... Jenis lelaki pantang tengok perempuan berdahi licin rupanya!

Sepatutnya, dia memberi ruang dan masa untuk melihat sejauh mana tindakan lelaki itu dahulu dari terus melulu memaafkan. Tengok? Selain mata keranjang, mulutnya boleh tahan laser bila bercakap. Huh!

Suraya menarik tangan berpeluk tubuh. Bergelora dadanya mengenang tuduhan tidak berasas yang baru terlempar. Diseru dirinya supaya bersabar menahan kemarahan. Lagipun, ketika ini mereka sedang berada di hospital. Jikalau di luar tadi, rasanya lebih dari itu kemarahannya dihamburkan.

Dr. Adrian pula langsung terkedu. Gurauan itu diambil serius dan disalah erti. Tetapi, memang dia bersalah pun kerana tiada sepotong dari pertuturannya sebentar tadi silap. Jelas dan terang seakan menyindir gadis itu pula.

"I'm sorry. It's a joke. No hard feelings." kata Dr. Adrian menyesali kebodohan dalam berkata-kata.

Bungkam.

Dr. Adrian menyeluk kedua belah tangan ke dalam poket. Tertunduk-tunduk dia memerhati ke arah lantai. Bukan sedikit kata kecaman terlontar di dada ketika ini. Sudahlah gadis itu baru ditimpa malang, datang pula dia dengan kata-kata sebarangan. Hisy, apesal tak pandai jaga mulut ni?

"Awak tahu tak yang kes parents awak ni di klasifikasi as a hit and run accident?" tuturnya setelah merasakan topik yang sepatutnya ringan sebentar tadi lebih baik ditutup. Andai Suraya enggan membuat sebarang keputusan dialah yang bakal menetapkan keputusan tersebut. Cuti selama dua minggu akan tetap diberikan kepada gadis itu.

Belum habis Suraya melayani perasaan geram, Dr. Adrian menukar topik yang panas kepada lebih hangat. Darah merah kabur. Pucat lesi wajahnya ketika mendengar makluman tersebut.

"Duduk, Suraya." arah Dr. Adrian sebaik terpandangkan wajah yang pudar itu.

Akur. Sebuah sofa paling hampir diduduki. Kedua belah tangan saling bertautan. Erat. Kelopak mata dipejamkan.

"Pagi semalam, pegawai penyiasat datang jumpa abah awak. Soal siasat bersama abah awak mengesahkan siasatan awal punca nahas tu." jelas Dr. Adrian yang mengambil tempat di sebelahnya. Suaranya diperlahankan. Enggan urusan sulit itu didengari oleh sesiapa.

Suraya terus menyepikan diri. Semalaman bersama abah bukan dia tidak mahu bertanyakan tentang kemalangan itu. Bimbang abah belum bersedia membuka mulut. Malah, dia takut sekiranya isu itu membuatkan abah kurang selesa dan serba salah. Tak sangka pula teorinya itu silap.

Langgar lari. Bukan kemalangan kecil yang diakibatkan oleh pemandu tersebut malah, melibatkan nyawa. Dia kehilangan seorang ibu akibat perlanggaran itu!

Sebenarnya, dia sudah puas memujuk diri untuk menerima dan menjalani takdir itu dengan tenang. Bahkan, baru sedikit hati terpujuk dengan rayuan itu. Tetapi, setelah diketahui penyebab kematian mummy itu, dia tidak pasti mampukah dirinya bertenang lagi.

"Polis dah tangkap ke pemandu tu?" soalnya sebaik kelopak mata dibukakan.

Marah? Dendam?

Belum dikesan dalam lingkungan jiwanya namun, perasaan ingin tahu membuak. Ingin tahu kenapa pemandu itu tegar sekali bersikap begitu. Di mana sifat kemanusiaan? Andai ketika perlanggaran itu berlaku dan pemandu itu mengambil tanggungjawab dengan melaporkan segera, mungkinkah pada saat ini mummy masih dapat dia lihat dan sentuh walaupun sedang berbaring di atas katil hospital?

Dipejamkan kembali kelopak mata mengusir kemungkinan yang tak kan mungkin berlaku kerana realitinya telah berlalu. Saat ini arwah mummy telah selamat berhijrah ke alam yang baharu.

'Pergilah, mummy... Yaya pasrah.'

"Belum."

Suraya menghela panjang.

"Abah awak kata tiba-tiba sebuah kereta yang dipandu laju dengan keadaan terhuyung-hayang datang dari arah bertentangan. Masa tu jalan yang abah awak ambil tu gelap jadi, abah awak tak cam kereta jenis apa. Dan, disebabkan nak elak perlanggaran, kereta abah awak terbabas and you know the rest..,"

Cerita dari Dr. Adrian didengari dengan teliti. Dada yang berombak dipujuk. Suraya berpeluk tubuh. Mendengar cerita itu kembali mengingatkan dirinya arwah mummy yang telah tiada. Sebak memunculkan diri. Dihela nafas sedalam yang mampu. Dipancing perasaan itu memencil pergi.

"Suraya, kita akan cari pemandu tu sampai dapat." ujar Dr. Adrian seakan suatu janji.

Udara yang ditahan dihembus perlahan. Suraya mengangguk kecil namun dapat ditangkap anggukan itu oleh Dr. Adrian.

"Boleh saya tanya sesuatu?"

Walau Suraya tidak menyahut Dr. Adrian tahu gadis itu menantikan pertanyaannya.

"Parents awak buat apa dekat sana?"

Suraya menjeling sekilas. Sengketa, baru sahaja dibungkus di salah satu ruang benak buat sementara waktu. Renungan yang tidak pernah putus dari lelaki itu dibalas dengan perasaan segan. Terlalu kasual, bersahaja dan relaks formaliti yang berlingkar di antara mereka. Dia bimbang kerana tabir yang dijatuhkan itu seakan menjadi kunci untuk privasinya dicerobohi. Tetapi, tak mengapakan? Lelaki itu cuma membantu ketika musibah itu berkunjung tanpa diundang. Mungkin sempadan itu boleh dilonggarkan sedikit buat lelaki itu untuk sementara.

"Mummy ada bagitau nak jumpa kawan waktu sama-sama menetap di rumah anak yatim dulu,"

Oh. Terungkai teka-teki yang menjadi tanda tanya Dr. Adrian mengapa kemalangan itu terjadi di kawasan yang agak jauh dari bandar.

"Cuma, setahu saya, rumah kawan mummy bukan di situ." jelas Suraya kemudian. Setahunya, rumah Makcik Fauziah terletak agak jauh dari kawasan kemalangan itu. Dia sendiri berasa hairan apabila mendapat tahu tentang lokasi kemalangan itu.

"Boleh jadi mereka sesat. Nanti, kita tanya abah awak," ulas Dr. Adrian.

Suraya diam. Mengakui kebarangkalian itu boleh berlaku.

"Suraya, saya tak tahu nak kata sama ada takdir atau kebetulan tapi, masa kejadian tu berlaku, beberapa batang lampu jalan di kawasan kemalangan tu terputus bekalan elektrik. Dan, kawasan tu pulak berada jauh dari rumah penduduk. Kita cuma mampu berdoa semoga ada saksi yang tampil, okay?" tutur Dr. Adrian panjang lebar. Ada sesuatu berkenaan kemalangan itu yang tidak kena pada matanya. Namun, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan apatah lagi meneka-neka.

Suraya menganggukkan kepala. Mengutus doa agar kata-kata lelaki itu makbul. Dia pasti tidak menyimpan sebarang dendam. Tetapi amarah. Kepingin benar dia melihat dengan mata kepalanya pelaku yang pengecut itu. Sudahlah cuai lari pula dari tanggungjawab. Bedebah betul!

"Awak... okay?"

Senyap.

Dr. Adrian melayan kebisuan itu sebentar sebelum ia tidak mampu dihalangi lagi.

"Suraya, what did I do wrong? Tolong terus-terang dengan saya. Dari semalam awak macam ni." Dr. Adrian memecahkan kesunyian.

Suraya mengetap bibir. Balutan kotak sengketa yang terlilit tadi kembali terlerai. Jadi, dah habis bincang isu kemalangan? Ditoleh kepalanya ke arah yang lain. Kalau dah tak suka bayang-bayang pun tak mahu dilihat.

"Suraya, you're so intense-.."

Belum habis Dr. Adrian berkata-kata, terdengar sekilas tawa yang sengaja dibuat-buat. Dr. Adrian buntu. Apakah ada cara lain yang dapat dilakukan olehnya agar gadis itu membuka mulut dan mengatakan hal yang sebenarnya? Sesungguhnya kesabaran yang diperam itu ada batasan. Pengajaran sebelum ini telah mengajarnya supaya berhati-hati dalam menuturkan kata-kata dan tindakan. Namun, sabarnya berbaki sedikit sahaja lagi. Andai dijolok Dr. Adrian bimbang kejadian sebelum ini kembali berulang.

"Suraya-.." Dr. Adrian tidak jadi menyambung bicara.

Gadis itu bangkit seperti kata-katanya umpama angin lalu yang menyentuh sebentar kemudian pergi. Perlahan, satu keluhan yang kecil terkeluar. Kepala menggeleng dengan kedegilan dan kerasnya hati gadis itu. Belum sempat Suraya mencapai tombol pintu dia menahan. Hanya sepatah yang terucap,

"Bye."

Previous: Bab 24
Next: Bab 26

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.