Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 11


“Anne, kau dengan Abang Zam tu rapat semacam je... Ada apa-apa ke?”

Suraya terbatuk kecil. Kerongkong terasa perit. Mujurlah teh tarik ais itu belum sempat disedut. Kalau tak, malanglah nasib orang yang berada di hadapannya ketika ini. Sekotak tisu yang berada di atas meja dicapai. Satu jelingan tajam ke arah dua orang lelaki di hadapannya dilontarkan. Aidil yang duduk bersebelahan Hadi hanya tersengih. Tiada langsung riak bersalah di wajah mereka berdua. Bengang.

"Korang berdua ni masuk ofis selain dari bekerja, buat part time reporter, eh?" sindirnya bermodalkan wajah yang sengaja dibuat garang.

Kedua pemuda itu tergeleng-geleng.

"Habis tu?"

"Tak adalah... Abang Zam tu sikit-sikit mintak tolong kau je. Cara cakap dengan kau pun lain, lah. Kitorang yang duduk semeja ni meremang bulu tengkuk dengar, tau." tutur Hadi bersahaja.

Suraya membulatkan biji mata. Aidil sudah ketawa terbahak-bahak hingga meraih perhatian seorang dua pengunjung di warung. Warung itu hanya terletak di seberang bangunan pejabat. Suraya duduk termenung. Memikirkan rasional di sebalik kata-kata Hadi.

"Tapi, aku rasa biasa je." sahutnya. Tidak membela Zamri tetapi, dirinya sendiri.

"Tulah kau. Bila dah lama-lama baru nak perasan. Masa tu dah terlambat. Orang tu dah jauh angau."

"Hisy, sudahlah. Tak nak aku dengar cerita macam ni lagi. Geli." tepisnya dengan niat supaya kedua pemuda itu mengubah topik perbualan.

"Kitorang tak cerita. Kitorang bagitahu perkara sebenar. Baik kau hati-hati." sampuk Aidil sekadar memberi peringatan.

Cepat-cepat Suraya menggelengkan kepala.

"Dah dah..," putusnya.

"Hari ni korang makanlah apa yang korang nak. Aku belanja." ujarnya lagi membuatkan kedua-duanya benar-benar melupakan topik yang baru diutarakan.

"Serius?"

"Alright!"

Hadi dan Aidil sama-sama tersengih gembira.

"Dah kenapa nak belanja?" tanya Hadi masih kurang percaya.

Padahal, yang dicanang itu hanyalah makan percuma.

"Alah, korang kan senior aku dekat ofis. Banyak tolong, beri tunjuk ajar... Semua tulah. Terima kasih banyak-banyak, eh."

Hadi dan Aidil berkongsi rasa bangga. Mempunyai seorang junior yang mengenang jasa. Aidil menjadi orang pertama yang bangkit menuju ke sebuah meja bufet untuk mengambil makanan kemudian, Hadi pula. Dia pula hanya menjamah dua keping sandwich sahaja pada tengah hari itu kerana sarapan paginya adalah nasi lemak sotong dengan kuantiti yang agak lebih dari biasa. Tiada angin tiada ribut, tiba-tiba aje makcik warung buat acara sambil membeli dapat nasi lebih. Terpaksalah dia terima alang-alang sudah terbiasa membeli dengan makcik di

warung yang berdekatan dengan stesen LRT itu.

"Eh, Abang Zam!.. Jom makan sama. Anne belanja." seru Hadi kepada Zamri yang tiba-tiba muncul.

Suraya pura-pura tidak mendengar. Tanpa sebarang komen, lelaki itu terus sahaja mengambil makanan dan duduk di sebelahnya. Baik Hadi mahupun Aidil serentak terbatuk kecil.

Sengajalah tu!

Suraya, mula buat aksi berlebihan. Merenung tajam dua sekawan itu sambil membuat muka. Masing-masing membalas selamba. Sesekali, mereka berdua memberi isyarat melalui mulut dan mata kepadanya. Zamri yang sedang leka menjamah makanan langsung tidak menyedari keadaan itu. Rimas dengan serangan psikologi itu, Suraya mengeluarkan telefon pintar. Perhatiannya kini tertumpu kepada Candy Crush dan bukan lagi dua orang papparazi di hadapannya itu.

Kembali ke pejabat, dia mencapai beg komputer riba dan bergegas mengikuti langkah Zamri untuk keluar. Kata Zamri, mereka berdua perlu menghadiri sebuah mesyuarat di Batu Tiga. Meski tiada klu yang diberikan dia menurut sahaja arahan itu.

"Waktu Anne mula-mula masuk kerja dulu, abang fikir cukup bulan mesti Anne hantar resign letter. Tapi abang silap. Anne ni boleh tahan mental dengan fizikalnya.”

Zamri memecahkan kesunyian yang melanda di antara mereka sejak pacuan empat roda itu meninggalkan syarikat.

'Jadi, betullah aku kena ragging?'

Bibir menguntum senyuman kecil. Melindungi prasangka yang boleh ketahuan andai dibiar dalam keadaan bisu.

“Itulah. Beauty and brain seiring.” Sengaja, dia membuat jenaka bagi menutup rapat perasaannya.

'Masuk bakul angkat sendiri. Gasaklah!'

Terdengar Zamri tergelak kecil. Lelaki itu duduk bersandar berlunjur kaki dengan kedua belah tangan berpeluk tubuh. Sepasang cermin mata hitam melekap di wajah. Entah melelapkan mata dia tidak pasti. Kesunyian ditamatkan dengan menekan butang radio dan suara DJ radio mula berkumandang menemaninya.

Sebaik tiba di Batu Tiga, kenderaan yang dipandu keluar dari Lebuhraya Persekutuan memasuki daerah perindustrian yang padat dengan bangunan-bangunan mega pula. Kontena Nasional dilewati sebelum kenderaan memasuki sebuah kawasan berpagar yang dikawal ketat oleh pengawal keselamatan. Tiada bicara yang keluar dari mereka berdua. Tatkala turun dari kenderaan dan menuju ke pintu utama bangunan itu pun masing-masing masih menyepikan diri. Selepas Zamri mendaftarkan kehadiran mereka dan memperoleh pas lawatan, barulah lelaki itu membuka mulut.

"Sebenarnya, Abang Zam sorang je yang patut pergi. Tapi, entah macam mana last minute call dari Mr. Lee, Anne pun kena dibawa sekali." cerita Zamri yang sesekali melontar pandangan ke belakang. Tangga kecemasan digunakan oleh mereka untuk naik ke tingkat satu.

"Kena? Kenapa kena bawak saya?" soal Suraya hairan. Sebagaimana Zamri berasa pelik, dia apatah lagi.

"Entah. Tak perasan pulak abang nama Anne ada dalam list email."

Makin menjadi-jadi teka-teki yang bermain di fikiran. Malah, terpukul kerana sedar akan maksud Zamri itu sebentar tadi. Siapalah dirinya jika mahu dibandingkan untuk duduk semeja bermesyuarat bersama-sama mereka yang terpilih itu. Antah berkumpul sama antah, beras bersama beras. Mujurlah Zamri berjalan mendahului di hadapan. Tidaklah terlihat perubahan riak wajahnya yang tidak tersengaja mendung itu.

Seakan sudah mengetahui selok-belok tempat itu, Zamri terus mengambil laluan yang membawa mereka melewati suatu lorong yang memperlihatkan ruangan pekerja yang sedang sibuk di balik dinding bercermin. Suraya terpempan sebentar. Di sana sini dipenuhi dengan paparan skrin komputer. Beberapa buah yang bersaiz besar melekap pada dinding. Manakala di setiap meja tidak satu pasti dua buah desktop yang memaparkan peta, data dan pelbagai nilai bacaan yang kurang difahami olehnya sendiri.

Apabila tiba di bilik mesyuarat, terdapat dua orang lelaki sedang tekun menghadap komputer riba. Sibuk benar hinggakan kedatangan mereka berdua langsung tidak disedari. Zamri pura-pura terbatuk kecil bagi menarik perhatian mereka berdua. Helahnya menjadi.

“Anne, kenalkan Azlan dan Kit, NOC engineer." ucap Zamri. Jari telunjuknya menunjuk ke arah seorang demi seorang lelaki yang diperkenalkan.

Suraya hanya mampu tersenyum kelat.

"Encik Musa dan Josh mana?" Zamri bersuara lagi.

Suraya pula diam tidak berbunyi. Hanya mengekor gerakan Zamri yang menarik kerusi untuk duduk.

"Belum sampai lagi. Sekejap lagi, kot."

Salah seorang dari lelaki itu menjawab.

"Erm, you, anak Che Nor, kan?.."

Spontan Suraya mengangkat kepala sebaik mendengar nama panggilan mummy disebut. Tiga pasang mata memandang namun hanya sepasang yang melekat di matanya ketika ini. Sedikit kerutan di dahi terukir.

"Azlan, sepupu Hanis."

Lelaki itu mengingatkan. Terkebil-kebil Suraya memikir sebelum dia menutup mulut dengan tangannya. Melopong kerana tergamam. Dianggukkan kepala beberapa kali. Baru teringat identiti lelaki yang merupakan anak kepada Maksu Azah itu. Tak sangka lelaki itu berkerja di situ. Dan tak sangka akan bertemu pula.

"Sorry, tak perasan." ucapnya malu-malu kucing. Apa tidaknya, perbualan kecil itu tiba-tiba sahaja membuatkan dirinya menjadi perhatian.

"Oh, kalau dah kenal tu baguslah." celah Zamri menamatkan terus perbualan yang tiada lagi sambungan.

Seperti yang dikatakan memang benar Encik Musa dan Josh tiba tidak lama kemudian. Suraya mengenali mereka pun setelah dirisik melalui Zamri. Tetapi, mereka tidak berdua. Sebaliknya bertiga. Di tengah mereka berdua, Dr. Adrian hadir dengan wajah yang sentiasa cool itu. Encik Musa dan Josh kelihatan sebaya dalam usia lewat empat puluhan. Kedua-duanya tidak henti berbual. Kadangkala kedengaran tawa besar. Entah apa yang mereka bualkan hingga ketika duduk pun perbualan itu masih rancak diteruskan. Yang peliknya, perbualan itu seakan dikongsi sesama mereka berdua sahaja. Dr. Adrian seakan tidak berminat untuk ikut mencelah. Hanya mendiamkan diri.

Ketika Dr. Adrian mengambil tempat duduk yang bertentangan dengannya di meja bulat itu, lirikan lelaki itu jatuh kepadanya. Suraya terus menundukkan kepala. Kecut nak menunjukkan wajah selepas kata-kata berani mati yang dilemparkan kepada lelaki itu tempoh hari. Itulah, terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata terpaksalah dia menghadap akibatnya. Tetapi, dia diselubungi rasa hairan kerana tidak pula dia menerima sebarang tindakan setelah mengecam Dr. Adrian tempoh hari. Mungkin, apa yang dikatanya memang benar. Dan, kebenaran memang sesuatu yang pahit. Telan sajalah, Dr. Adrian!

"Alright," tutur Encik Musa memulakan bicara dengan niat menarik perhatian kesemua yang ada.

"Let's start the meeting... Eh, kenapa you yang ada, Zamri?" tanya Encik Musa setelah menyedari anggota mesyuarat yang hadir pada hari itu agak ganjil.

"I requested him." sahut Dr. Adrian sebelum Zamri sempat menjawab.

"And her?.." soal Josh pula dengan jari telunjuk menunjuk ke arah Suraya seperti seorang pesalah kena tuduh.

Kesemua mata tertumpu kepada Suraya kini. Entahkan berapa tebal pipinya saat ini kerana dia sendiri tidak mempunyai jawapan akan keperluannya berada di dalam mesyuarat itu. Tanpa disedarinya, lirikan dibawa kepada lelaki yang duduk bertentangan dengannya itu. Meminta penjelasan kehadirannya di situ dalam diam.

"Suraya Anne, she's the night shift backup."

'Apa? Syif malam? Backup?'

Suraya menoleh pula ke arah Zamri meminta pertolongan tetapi, lelaki itu sekadar mengangguk tanda jelas terhadap situasi ketika ini. Jadi, dia seorang ajelah yang tak faham?

"Okay, then. Selesai. So, our project as per requested by Dr. Adrian adalah untuk NOC sending backup connectivity to all his special site if the sites goes down until connectivity restore. Dan, kalau pre-phase ini berjaya kita akan lanjutkan to entire region..,"

Ada di antara minit mesyuarat itu tidak difahami oleh Suraya namun, tetap dia gigih menyalin nota-nota untuk simpanan peribadinya.

Berada di Network Operating Centre membuatkan dia kagum dengan semangat mereka yang tidak kenal erti lelah dalam memerhati, memeriksa dan menyelia rangkaian jaringan perhubungan bagi memastikan rangkaian perhubungan berjalan dengan lancar dan mengikuti proses yang sepatutnya. Kesemua itu harus dilakukan demi keselesaan pengguna. Kerja yang memerlukan 24 jam komitmen itu bukan satu pekerjaan yang mudah. Sebab itulah ketika melewati meja staf NOC tadi, hanya beberapa kerat sahaja staf wanita yang kelihatan.

"Anne, ada peluang boleh kita jumpa lagi." titip Azlan sambil tersengih. Tanpa menanti jawapannya, lelaki itu beredar.

Suraya termangu di pintu bilik mesyuarat. Memerhati hingga kelibat lelaki itu menghilang. Kata-kata lelaki itu pula bagaikan angin lalu yang melintasi. Tak sempat untuk dihadam dan difikirkan. Apa yang memberati di fikiran lebih utama untuk direnungkan. Mengapa dia dimasukkan ke dalam pasukan itu tanpa sebarang notis awal. Mr. Lee terlupa nak bagitau ke?

"Balik ofis dengan I."

Suraya segera berpaling. Hanya mendapati sebidang dada berada di hadapannya. Dia berundur setapak.

"S-saya balik dengan Zamri." sahutnya pantas.

"Tak boleh. You balik ke ofis dengan I. I perlu jelaskan task yang bakal you buat nanti."

Kepala Suraya sudah terteleng kiri dan kanan. Dia tidak tahu mana satu arah yang diambil oleh Zamri. Ketika mereka ditinggalkan bertiga setelah selesai mesyuarat itu, Zamri terus bergegas keluar. Mungkin ke tandas. Segan hanya tinggal berdua menyebabkan dia mengambil keputusan untuk menunggu Zamri di muka pintu. Otaknya, ligat memikirkan alasan yang sesuai untuk menolak pelawaan lelaki itu.

"Come on, Suraya. I have no patience with traffic jammed."

Tiada alasan yang muncul akhirnya, dia mengangkat kaki yang serasa berat untuk melangkah mengikuti jejak Dr. Adrian keluar dari medan pertahanan pertama andai sistem telekomunikasi terganggu atau tergendala.

"You may ask and I will tell." tutur Dr. Adrian selamba.

Suraya tersentak. Pelukannya terhadap beg komputer riba dikemaskan. Aroma mint frost yang lembut disedut dalam. Tenang sebentar. Sejak meninggalkan kawasan perindustrian itu hanya sepi yang menemani mereka berdua di dalam kenderaan itu. Dia membuang pandang ke luar. Bertali-arus kenderaan dijalanan tetapi, tidak mengakibatkan kesesakan.

"Kenapa saya? Sedangkan saya tak tahu apa-apa pun. Maksud saya, saya masih baru jadi, tiada pengalaman." ujarnya sedikit curiga. Misi balas dendam lelaki itu terhadapnya, kah?

"I thought you sendiri yang kata nak turun site, kan?"

Oh, jadi betullah tekaannya. Suraya menjeling sekilas. Patutlah tiada sebarang tindakan atas kelancangan mulutnya hari tu. Rupa-rupanya lelaki itu membalas dengan membawanya masuk ke tim itu lalu terus disuruh berkerja pada waktu malam. Macam tu?

"Bukan sebab saya perempuan ke? Orang perempuankan senang kena buli, tak begitu? Terutama orang baru... Mudah aje disuruh buat itu ini tanpa membantah." getus Suraya menggoyahkan kebenaran yang cuba disamarkan.

Apa? Tidak betul ke apa yang dia fikir tu? Dari pertama kali keluar ke tapak projek bersama Zamri sehingga ke hari itu pun tindakan mereka semua seakan memberi interpretasi yang amalan buli dan diskriminasi wujud di tempat kerja. Tak sangka lelaki itu pun sekaki!

"Buli? Are you sure?" tanya Dr. Adrian serius. Dikerling gadis yang duduk membeku di sebelahnya dengan ekor mata. Tegang semacam reaksinya. Seperti marah kepadanya pula.

Suraya pula membisu tidak mahu menjawab. Frust!

"Suraya, I tanya you sekali lagi. You kena buli ke di ofis?" Sengaja, Dr. Adrian menekankan perkataan buli itu sementelah gadis itu sendiri yang membawakan isu itu sebentar tadi.

Bisu.

Sekali lagi Dr. Adrian menerima layanan yang dingin. Dia pelik. Mengapa gadis itu mudah mesra dengan sesiapa tetapi tidak dirinya. Mukanya nampak garang ke? Sekilas cermin pandang belakang ditilik. Tak pula. Tegas? Entahlah. Atau Suraya tahu siapa dirinya yang sebenar? Tak mungkin. Buntu. Tiada jawapan yang sesuai akan teka-teki itu melainkan diajukan sendiri kepada gadis itu.

"Saya tak tahu." Sambil mengetatkan pelukan ke atas beg yang dipegang Suraya menjawab ringkas.

"Tapi, you yang cakap tadi-.." desak Dr. Adrian.

"Bos, please laa... Saje saya serkap macam tu tadi. Takde pape lah..." ucap Suraya selamba. Cakaplah apa saja alasan asalkan dia tidak lagi disoal dengan bermacam soalan. Dadanya bergetar. Menyesal terlepas cakap kerana dia belum bersedia untuk menghebahkan perkara itu kepada sesiapa waima teman karib sendiri.

"Okay, okay...Baiklah. Tapi, kalau betul you kena buli, make a report. Jangan diamkan." pesan Dr. Adrian tegas. Dijeling sekilas gadis di sisinya itu. Tak sanggup rasanya andai ucapan gadis itu benar-benar suatu kenyataan.

Sekali lagi keadaan yang sunyi berlagu. Suraya membatukan diri. Terus menetapkan pandangan ke luar. Dada yang senak dikemaskan dengan berpaut pada beg itu lagi. Belum masanya untuk dia mendapatkan bantuan daripada pihak ketiga ke atas situasi yang dihadapi olehnya itu. Serkap jarang dan andaian semata-mata tak memungkinkan dia mendapatkan pembelaan yang sepatutnya. Jadi, lebih baik perkara itu didiamkan dari berlanjutan.

"Esok you tak perlu datang kerja,"

Suraya membulatkan biji mata.

'Amboi, protective betul!'

"Siang esok kalau boleh you tidur sebanyak mana yang boleh-.."

"Bos, ada apa ni? Saya tak faham lah." celahnya sebelum Dr. Adrian sempat menghabiskan kata-katanya. Wajah yang sentiasa cool itu ditatap penuh keliru.

"Night shift, kan? So, siang esok you dikira on standby, bukan ponteng. Jam 10.00 malam I pick you up di rumah. Ambil ni... Save nombor dan alamat rumah you." arah Dr. Adrian bersahaja seraya mencapai telefon pintar yang dilekapkan pada phone holder yang terpacak di sebelah tombol gear. Telefon itu diajukan kepada gadis bersebelahannya itu. Sebenarnya, dia tidak memerlukan maklumat itu. Fail peribadi gadis itu berada dalam pegangannya. Cuma, maklumat itu dipinta kerana dia berkeinginan momen itu terlakar. Momen yang bakal menjadi kenangan manis baginya melihat gadis itu sendiri menyimpan nombor telefonnya di dalam telefon pintarnya itu.

Sebelum tangan menyambut huluran itu, sempat Suraya menggigit bibirnya sambil menghalau siulan nakal yang tersalah sangka terhadap niat lelaki itu sebentar tadi. Dia, mendail nombornya sendiri pada skrin yang terpapar kemudian telefon itu dipulangkan.

"Alamat?"

"Esok." sahut Suraya lantas tiada lagi bicara yang mahu diucapkan. Hanya lelaki itu sahaja dibiarkan bersuara tanpa sebarang intervensi. Sepanjang perjalanan, Dr. Adrian menerangkan sebab musabab dirinya dibawa masuk dan perincian projek yang bakal melibatkan dirinya itu.

Previous: Bab 10
Next: Bab 12

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.