Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 3


Cuaca di luar cerah dan meriah. Riuh suara perbualan dan perbuatan yang kedengaran membuatkan suasana di dalam stor dapur itu diwarnai kesuraman kecuali, bunyi bilah kipas pengudaraan yang kedengaran sejak tadi. Lirikan, dibawa ke arah pintu masuk. Memerhati satu sosok yang tiba-tiba muncul dengan satu jag pengisar di tangan. Dari gerak-geri yang sibuk itu dapat dilihat wanita itu sedang menuang sesuatu ke dalam bekas-bekas isian yang banyak disediakan di atas kabinet bawah di tepi pintu itu.

Berada di dalam ruang itu bagaikan berada di sebuah pasaraya di bahagian utensil. Pelbagai jenis periuk belanga, pinggan mangkuk dan perkakas dapur yang lain tersimpan di situ. Cuma, alatan itu kelihatan usang tidak seperti produk baharu pasaraya. Kerana, ruang yang dibina di luar rumah itu asal muasal permulaan perniagaan katering ibu dan bapa Hanis. Kini, dijadikan stor sahaja kerana Mak Long dan Pak Long telah pun memiliki sebuah lot perniagaan yang tidak jauh dari taman perumahan ini.

Pandangan Suraya berlabuh kepada sebiji bakul di atas meja. Sudah hampir penuh bakul bersaiz sederhana dengan timbunan bawang besar yang telah dikupas kulitnya. Namun, beg guni sepuluh kilo yang berdekatan kelihatan tidak susut pula isinya. Seperti beg guni itu sentiasa menambah isiannya setiap kali ia diambil.

Sepasang kaki yang sedang bergoyang-goyang di bawah meja ditendang sedikit. Gangguan itu cukup mengalih fokus seseorang yang duduk bertentangan. Kepala yang sedang menunduk naik sedikit. Kedua kening yang semulajadi tebal dan berlekuk bulan sabit itu spontan terangkat. Serangan balas dirasai di kaki. Suraya bermain mata memberi isyarat. Mulut menjuih ke arah guni. Lalu mata merenung dalam dengan perasaan geram. Serta merta mulut Hanis terbentuk huruf O. Terangguk-angguk kepala gadis itu sebaik memahami isyarat yang dihantar.

"Aaa...Kak Ipah!.. boleh tak akak tolong Anis dengan Yaya kupas bawang?" laung Hanis kepada salah seorang pekerja katering ibu dan bapanya.

Latifah yang mesra dipanggil Kak Ipah menoleh. Satu anggukan diberi.

"Kak Ipah sibuk ke?" soal Hanis lagi meminta kepastian sebaik melihat Latifah tercari-cari sesuatu di sebuah rak berhampiran.

"Ape arr kau ni... Dah mintak tolong baru nak tanya." kecam Suraya sambil membaling kecil sebiji bawang yang togel ke dalam bakul. Beberapa serangan di bawah meja dihantarkan. Teman itu menyahut cabaran sebelum mengambil langkah defensif. Kedua kaki naik ke atas kerusi lantas dilipat sila. Lidah dijelirkan merai kemenangan melarikan diri.

"Tak sibuk dah. Mak Long suruh Kak Ipah blender cili kering, serai, bawang putih. Semua tu dah siap." sahut Kak Ipah lembut lantas mencapai sebiji bakul besar dan mendekati mereka berdua. Tempat bersebelahan Suraya diambil. Satu senyuman berbalas ketika pandangan mereka berdua bertautan.

"Jadi, apa lagi yang belum siap?" tanya Hanis sebaik wanita itu memulakan kerja.

"Bawang aje. Yang lain dah beres. Kalau bahan sampingan ada lagi yang perlu disiapkan. Macam ulam-ulaman dan buah-buahan... Tapi, Mak Long dan Kak Nor tengah buat. Tu... dekat depan."

"Kuih?" tanya Hanis lagi.

"Tempah."

Suraya dan Hanis berbalas pandang dan saling menganggukkan kepala tanda mengerti. Disebabkan kekangan masa, malam tadi barulah dia dan Hanis dapat pulang ke kampung. Itupun setelah dijemput oleh abah yang kebetulan menghadiri sebuah seminar di Kuala Lumpur. Sebab itulah kedua teman akrab itu tidak sempat mengikuti akan perancangan yang dibuat oleh kedua orang tua mereka sejak dari awal.

Sebenarnya, pada hari ini, kedua buah keluarga mereka sudah sepakat untuk mengadakan satu kenduri kesyukuran bersempena mereka telah tamat belajar dan memperoleh pekerjaan. Dan, memandangkan hanya hujung minggu itu sahaja jadual katering kosong dari sebarang tempahan, maka minggu itu dipilih untuk diadakan majlis tersebut.

"Riuh betul dekat luar. Ramai ke orang yang datang, Kak Ipah?" soal Suraya pula ingin tahu.

"Ramailah jugak."

Suraya dan Hanis kembali berbalas pandang. Hanis, yang pertama memutuskan renungan dengan beralih tumpuan kepada bebawang sambil bibir dimuncungkan tanda tidak puas hati. Fikiran serentak melayang mengenang peristiwa yang baru setengah jam berlalu tadi.

"Kak Long!.. Pergi bawak guni bawang ni masuk stor. Kupas bawang dekat situ." arah ayahnya ketika dia dan Suraya sedang menyediakan perkakasan untuk kerja-kerja merewang di bawah bangsal di halaman.

"Kenapa kupas dalam stor pulak, ayah? Kan semua kerja buat dekat sini." bantahnya lantas berhenti dari mengeluarkan ulaman kacang panjang dari karung plastik ke dalam sebuah bakul besar.

"Sini dah penuh dengan orang." kata ayahnya lagi sambil bercekak pinggang. Bukan hanya suara yang garang, mata yang sedang mencerlung itu gerun untuk ditatap.

Namun, Hanis sudah terbiasa dengan sikap tiba-tiba protective itu. Renungan yang tajam itu dibalas selamba.

"Apa yang penuhnya, ayah? Luas apa tempat ni?" sahutnya sedikit hairan dengan alasan yang diberikan. Suraya yang sedang membentangkan tikar mengkuang di atas pentas mudah alih itu dijeling sekilas. Melihat kelebaran pentas itu, ia muat sangat untuk menampung lebih kurang sepuluh orang berserta barangan. Tiba-tiba jadi tak muat. Pelik betul!

"Kak Long, ayah tak ulang banyak kali. Nak duduk dekat stor atau dapur? Pilih!"

Pandangan dan jelingan beberapa orang tetamu yang mendengar perbualan itu langsung tidak diendahkan oleh Pak Long. Tentu mereka hairan dengan sikapnya itu. Tetapi, dia tidak peduli. Anak perempuannya itu sedang meniti kedewasaan. Tumbuh pula menjadi seorang wanita yang rupawan. Bukan satu dua lirikan dari sang teruna yang mengekor pergerakan anaknya itu sejak tadi. Dia perasan sangat. Sebab itulah disuruh anaknya buat kerja di dalam dari duduk beramai-ramai di luar begitu.

Ikutkan naluri seorang ayah, mahu melepaskan anaknya itu belajar di universiti pun pelbagai sekatan diberikan. Begitu juga ketika anaknya mendapat tawaran berkerja. Beberapa syarat dan kata dua diberi. Apabila teman baiknya anaknya itu turut mendapat kerja di kota dan duduk serumah pula, dia bersyukur bukan kepalang. Adanya teman baik anaknya itu berkurang sedikit rasa gusar memikirkan keselamatan dan pergaulan anaknya itu.

"Jadi makcik bawanglah kita hari ni, ye." usik Kak Ipah membuatkan Suraya tergelak.

Dipandang ke arah Hanis yang berwajah serius sedang membuat kerja. Dari tadi senyap dan seperti tenggelam dalam lamunan.

"Tapi, tak adil. Makcik bawang dalam stor. Entah kenapalah ayah suruh kupas bawang dekat sini tadi." rungut Hanis sebaik kata-kata Kak Ipah sebentar tadi berjaya mencantas lamunannya.

"Kira okay, lah. Dalam ni taklah panas sangat. Selesa je..." kata Suraya memujuk rakan dan dirinya sendiri. Ketika pertelagahan kecil antara Hanis dan Pak Long berlangsung, dia segera menjadi orang tengah. Ditarik tangan Hanis dengan seguni kecil bawang merah turut dibawa bersamanya. Dia, enggan melihat Hanis berbantah-bantah bapanya di hadapan orang ramai. Lagipun, kedudukan stor ini lebih baik dari duduk di dapur yang terkebelakang kedudukannya. Dari stor ini, mereka masih dapat melihat keadaan di luar meski tidak sepenuhnya.

"Kak Ipah dengar tempat kerja Yaya, dekat dengan tempat kerja Hanis. Jadi, korang berdua ni duduk serumahlah?"

Suraya dan Hanis menukar lirikan sekilas. Mereka sedar, kawasan kediaman mereka itu tidaklah sebesar mana. Meski perumahan mereka merupakan lot rumah yang berasingan, tetapi, berita kecil pun boleh jadi berita besar. Ada sajalah perkara yang mahu dijadikan berita sensasi!

"Ha'ah. Kami pergi kerja pun sama-sama, kak. Naik tren. Entahlah... Mungkin betul apa yang Mak Long selalu sebut tu. Kami ni memang kembar lain mak agaknya. Susah benar nak berpisah jauh-jauh ni." cerita Suraya lalu tersengih.

Kak Ipah ketawa kecil.

"Untung korang berdua. Dapat merasa belajar tinggi-tinggi dan berkerja di bandar besar. Kak Ipah ni macam nilah dari dulu. Terperap aje di kampung." tutur Kak Ipah sayu seakan sedih mengenangkan nasib hidupnya.

Siapa tidak kenal Kak Ipah yang rumahnya di belakang sekolah. Kehidupannya boleh dikatakan kurang bernasib baik berbanding orang lain. Di kala kanak-kanak, dia sudah bergelar sebatang kara. Mujurlah Pak Teh Yusuf yang merupakan seorang pesara guru mahu mengambilnya sebagai anak angkat. Membesar Kak Ipah dirumah orang tua itu dengan penuh kasih dan sayang oleh Pak Teh dan isterinya.

Namun, tatkala keduanya telah tiada, anak Pak Teh yang menetap di bandar kembali menuntut hak. Kak Ipah baru berusia lima belas tahun ketika itu. Pelajarannya tercicir dan dia diusir keluar. Kak Ipah menumpang pula hidup di rumah Cikgu Besah sebelum tragedi yang sama berulang buat kali kedua. Ketika peristiwa yang menggemparkan seluruh kampung itu berlaku, Suraya dan Hanis baru berusia sepuluh tahun.

Jahat betul!

Perbuatan mereka terhadap Kak Ipah tidak dapat dia tafsirkan kecuali dengan satu perkataan itu. Ketika sudah dewasa, barulah dia memahami mereka itu berhak cuma, cara mereka mengambil hak itu tidak dijalankan secara berhemah. Mengapalah sanggup dilayani seorang anak yatim piatu yang tidak berupaya begitu sekali. Mujurlah semangat Kak Ipah untuk meneruskan kehidupan tidak pernah goyah. Terakhir, Kak Ipah diambil oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat sehinggalah Kak Ipah berusia lapan belas tahun. Keinginan untuk terus tinggal di kampung itu tidak pernah lenyap dalam diri Kak Ipah. Betapa Kak Ipah sayangkan tempat lahirnya itu hinggakan kembali lagi ke tempat yang pernah melukainya tidak sekali tetapi dua kali.

"Kak Ipah muda lagilah. Baru nak masuk tiga puluh, kan? Lagipun, zaman sekarang ni macam-macam kursus disediakan. Asalkan akak minat dan mahu berusaha. Amacam?" cadang Hanis enggan membiarkan Kak Ipah meleburkan semangat dengan mengeluh kekurangan diri.

Suraya mengangguk-angguk menyetujui. Dapat dia lihat, Kak Ipah termenung seperti sedang memikirkan sesuatu.

"Tapi, akak tak pandai komputer. Kesian diorang nanti kalau dapat pelajar macam Kak Ipah." luah wanita itu perlahan.

"Laa... Kak Ipah jangan risaulah. Anis dengar, pusat komputer dah ada tenaga pengajar. Kali ni, diorang buat kelas komputer di hujung minggu pulak. Mungkin sasaran mereka untuk golongan pekerja yang nak belajar. Rugi tak digunakan kemudahan tu, kak. Nanti, Anis tanya Abang Chik. Dia kerap pergi ke situ, kan?" usul Hanis lagi. Nampak benar Hanis bersungguh-sungguh mahu melihat Kak Ipah mengubah nasib hidupnya itu.

"Betul tu, kak. Belajar komputer tak susah mana pun. Yaya pasti sekejap aje Kak Ipah akan mahir gunakan komputer tanpa bantuan sesiapa." dorong Suraya pula.

"Tak apa. Nanti Kak Ipah cakap sendiri dengan Abang Chik."

Suraya dan Hanis bertukar lirikan. Bukan mereka berdua tak tahu sikap malu tapi mahu antara Kak Ipah dan Abang Chik yang merupakan rakan sekerja itu. Tapi, sikap Kak Ipahlah yang paling ketara. Menolak sejak sekian lama pelawaan Abang Chik yang mahu menukar hubungan mereka menjadi satu perhubungan yang halal. Abang Chik pun satu. Setia betul padahal sudah lebih sepuluh tahun mereka berdua berhubungan begitu!

Tepat jam 3.00 petang, tetamu mulai hadir ke majlis yang sederhana tetapi meriah itu. Majlis dibuka dengan alunan selawat kemudian bacaan doa oleh anak-anak dari sebuah pusat tahfiz yang dijemput khas.

Suraya tercegat di bawah pohon mempelam di laman rumah ketika menyaksikan acara dimulai. Dia, bukan sengaja berada di situ sendirian. Tadi, ketika sedang berbual bersama mummy dan tetamu yang hadir di bawah khemah itu, dia perasan ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya. Patutlah, bendera merah tiba-tiba naik. Kelam kabut dia meminta izin untuk masuk ke dalam.

Diperhatikan suasana yang kebiasaan sepi berubah riuh. Lorong dua hala yang lebar di hadapan rumah terpacak dengan dua buah khemah yang besar dan sebuah bersaiz kecil hinggakan terpaksa mengambil keseluruhan ruang di hadapan rumah Aunty Lela. Jiran berketurunan India yang baik hati itu mengizinkan kawasan hadapan rumahnya itu digunakan. Bahkan, Aunty Lela turut ada bersama-sama sepanjang aktiviti rewang itu berlangsung pada pagi tadi. Seperti tercari-cari sesuatu, dia memerhati gelagat tetamu yang hadir. Di satu sudut di sebuah khemah yang diasingkan untuk tetamu lelaki dan wanita, kelihatan abah sedang rancak berbual sambil menjamah makanan.

"Yaya…" gamit mummy dari salah sebuah meja yang ada di bawah khemah yang paling dekat dengan kawasan rumahnya.

Pandangan lantas beralih ke arah mummy sebelum dia menganggukkan kepala. Didekati kumpulan yang terdiri daripada mummy, Mak Long dan Hanis sambil tersenyum simpul. Di samping itu, terdapat juga tiga orang tetamu yang duduk di situ.

"Yaya ni, Nor?" soal salah seorang wanita yang agak sebaya umurnya dengan mummy.

Tanpa berlengah, Suraya menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan ketiga-tiga tetamu yang tidak dikenali itu.

"Sebayalah dengan Hanis." sampuk Mak Long pula.

Suraya tidak mengenali gerangan tetamu tersebut. Tetapi, mengikut perbualan yang berlangsung, tetamu itu seseorang yang dikenali dan rapat. Dilemparkan pandangan ke arah Hanis yang tak jemu menatap telefon di tangan. Dia ditampar rasa bengang. Lalu dihampiri teman karibnya itu dan melabuhkan punggung di sebuah kerusi yang kosong sementara jari telunjuk mengenai tepat ke pinggang temannya itu. Hanis kelihatan tersentak sebelum tersipu malu. Cepat-cepat telefon disimpan ke dalam poket baju kurung yang dipakai. Cantik betul Hanis pada petang ini mengenakan kurung berona baby blue dan tudung bawal berwarna keemasan. Kena dengan kulit hitam manis dan wajah jelita yang diwarisi dari Mak Long yang berketurunan Jawi Peranakan itu.

"Hisy budak-budak ni... Tak kenal ke Mak Jah kantin ni?" rungut Mak Long dengan riak sedikit kesal melihat gelagat kedua anak gadis itu.

Suraya dan Hanis berpandangan seketika sebelum masing-masing ketawa kecil.

"Laa... Mak Jah nampak lain. Dulu, masa sekolah menengah berisi sangat. Sekarang, kurus sangat pulak. Tak cam tadi." akui Hanis lalu diiyakan oleh Suraya.

"Ha'ah. Makin cantik pulak. Mak Jah sihat, tak?" tanya Suraya dengan senyuman bermain di bibir.

"Alhamdulillah. Sebelum ni Mak Jah sakit. Kena kencing manis. Sekarang, dah sembuh."

Masing-masing meluahkan rasa kesyukuran tatkala mendengarnya.

"Bila lagi?" soal Mak Jah membuatkan lapan pasang mata terpaku ke arahnya.

"Laa... Kahwinla... Belajar dah habis, sekarang dah kerja. Tunggu apa lagi... hah, Long?.. Nor?.. Kalau dah ada calon tu nikahkan aje..." tukas Mak Jah seraya membuatkan Suraya dan Hanis berbalas isyarat mata dan mencapai sepakat untuk segera beredar dari situ.

"Alaahhh Kak Jah... Ada jodoh nanti segera kami buat. Kak Jah orang pertama saya jemput." seloroh Mak Long.

Suraya dan Hanis sama-sama menahan perasaan geli hati. Tak jadi nak angkat kaki. Gembira kerana orang tua mereka arif dalam mengulas isu yang sering mencabar mental dan emosi para ibu yang mempunyai anak gadis yang sudah menginjak dewasa. Melihatkan arah perbualan yang mula menyimpang, mummy mengubah topik perbualan bertanyakan tentang keadaan anak-anak tetamu itu pula. Lega.

Previous: Bab 2
Next: Bab 4

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.