Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 20


Jarum pada jam dinding menunjuk tepat ke angka 9.00 malam. Selesai fardhu Isyak dan membancuh segelas kopi, dia membawa diri ke ruang tamu. Menyandarkan tubuh ke sofa sambil Working with Difficult People berada atas ribaan. Buku yang dibeli secara atas talian itu tiba melalui kiriman pos pada minggu lalu. Belum sempat dibelek dan dibaca. Namun ketika menyelak helaian pertama muka surat itu, dia dapat rasakan pembeliannya itu berbaloi. Memberi panduan dalam mengendalikan emosi, kemahiran sosial, strategi komunikasi dan lain-lain input yang bernilai.

Jarum jam ditilik lagi. Entah kenapa hatinya dipagut perasaan tidak tenteram. Senyap sahaja kedua orang tuanya itu. Langsung tiada khabar sama ada sudah sampai ke kampung ataupun tidak. Enggan terus tertanya-tanya, segera dicapai telefon pintar di atas meja kopi. Berhajat untuk menelefon bertanyakan berita. Sekurang-kurangnya apabila mengetahui keberadaan mereka hilanglah resah yang tiba-tiba membadai jiwanya itu.

Nombor mummy ditekan. Tiada jawapan. Dia mencuba lagi. Tetap sepi. Tiupan gelisah mengganggu fikiran. Kali ketiga dia memohon agar cubaannya itu berjaya dan semestinya berjaya kerana panggilannya dijawab. Namun ketika suara milik seorang lelaki yang tidak dikenali itu kedengaran di cuping telinga, langsung rasa gementar menangkap tangkai jantungnya.

"Encik, siapa?.." soalnya serius.

"Maafkan saya tapi, saya nak tahu dulu cik ni siapa?" tanya lelaki di hujung talian dengan tegas.

"Saya Suraya, anak kepada pemilik handphone yang encik bercakap ni." terangnya meski berasa hairan dengan situasi ketika ini.

"Jadi, cik ni anak kepada mangsa."

Terbeliak matanya mendengar ucapan tersebut.

"M-mangsa? Mangsa apa?" soalnya dengan perasaan cemas.

"Saya dari jabatan bomba... Saya minta maaf, cik. Ibu cik mungkin dah tiada. Kami sedang mengeluarkan mayat mangsa. Tapi, pemandu pula telah dibawa ke hospital. Sekarang, saya akan serahkan panggilan ini kepada pihak polis. Cik akan bercakap dengan pegawai polis pula. Takziah…"

Kemudian, suara lelaki itu hilang. Sebagaimana Suraya merasakan tubuhnya sedikit demi sedikit turut melayang. Ringan. Tiada apa-apa untuk difikirkan. Tiada debar. Tiada gemuruh. Tidak ada apa-apa yang terlakar. Di jiwa. Di minda.

"Cik..,"

Dia mendengar seseorang berseru memanggilnya. Dia terus mendengar. Meminta mengikuti arahan yang diberikan.

Bingung.

Banyak yang diperkatakan cuma perkataan hospital sahaja yang diulang-ulangi oleh dirinya sendiri.

Lantas, dia bangun menuju ke bilik tidur. Sehelai baju panas nipis yang kerap digunakan ketika berada di pejabat dikeluarkan daripada almari kanvas lalu disarung ke tubuh buat menutupi t-shirt berlengan pendek yang dipakai. Tudung yang banyak tersangkut di bahagian tepi almari itu disarungkan pula ke kepala. Beg galas di dalam salah satu laci dikeluarkan kemudian, dia keluar dan kembali duduk di ruang tamu.

Panggilan sudah tamat tetapi dia tahu dia perlu buat sesuatu. Ditatap skrin telefon yang masih menyala. Daftar panggilan masuk dan keluar terpapar ketika ini. Memerhati nombor di barisan pertama milik mummy yang baru sebentar di hubungi. Di barisan kedua pula nombor Dr. Adrian. Automatik nombor di barisan yang kedua itu disentuh.

"Suraya?.."

Sebentar sahaja panggilannya itu berjawab.

"Bos, tolong hantarkan saya ke hospital." katanya seperti sedang membaca skrip.

"Suraya! Apa dah jadi? Awak okay ke?"

Cemas suara lelaki itu kedengaran di hujung talian.

"Se-ka-rang." ucap Suraya satu per satu.

"Okay, okay... Tunggu. I'll be there... I'll be there, Suraya."

Sekali lagi tiada sebarang bunyi di hujung talian. Telefon masih melekap di telinganya. Nak buat apa? Dia tidak pasti. Matanya sedang merenung tetapi dia tidak nampak apa yang sedang dilihat. Fikiran sedang memikir tetapi tiada apa yang berhasil.

Lima minit.

Sepuluh minit.

Lima belas minit.

Dua puluh minit dan ketukan di pintu membuatkan dia bangun secara automatik. Terus menuju ke muka pintu sebelum sepasang sandal disarungkan ke kaki dan pintu dibuka. Tanpa sepatah kata dia keluar dan menarik pintu dan memusingkan kunci.

Dr. Adrian memandang penuh kehairanan. Wajah Suraya pucat lesi tetapi gadis itu nampak bertenaga. Cuma, pergerakannya agak pelik. Seakan robot.

"Su-.."

"Ke hospital Klang."

Suraya berkata terlebih dahulu. Betapa bimbangnya Dr. Adrian melihat keadaan Suraya ketika ini tetapi dia akur. Selagi gadis itu belum bersedia berkata-kata dia akan menunggu.

Hampir satu jam kemudian, kereta yang dinaiki berada di perkarangan hospital. Dr. Adrian memarkirkan kereta di kawasan parkir bertingkat lalu enjin dimatikan. Dikerling wajah suram yang duduk bersebelahan. Suraya masih diam membisu. Malah, tidak berganjak dari tempat duduk sedangkan tempat tuju telah tiba. Dr. Adrian menoleh kebingungan melihat aksi gadis itu. Juga buntu akan tujuan sebenar mereka ke situ.

"Suraya, jom..," tutur Dr. Adrian lembut.

Bungkam.

Dr. Adrian memerhati. Pandangan gadis itu semacam jauh dari realiti. Sedikit berani, Dr. Adrian mencuit lengan gadis itu. Suraya pantas menoleh. Terkebil-kebil memandang. Renungannya dalam tetapi kosong. Dr. Adrian pasti ada sesuatu yang sedang mengganggu gadis itu.

"Mari, Suraya. Kita dah sampai hospital." ujarnya sambil tersenyum. Pintu kereta dibukakan dan dia berhasrat untuk keluar namun dapat dirasakan hujung bajunya ditarik. Sepasang tangan milik Suraya sedang menahannya. Dia kembali duduk sambil membiarkan pintu kereta luas terbuka.

"Ke-.."

Dr. Adrian tidak jadi menyoal ketika dia menoleh dan melihat keadaan Suraya sedang tertunduk dan tersengguk-sengguk. Suara halus sedu-sedan mulai kedengaran. Terkejut bukan kepalang. Serba salah untuknya bertanya saat menyaksikan keadaan yang pilu itu.

"Suraya, please... Talk to me. You really need to say something. Please, don't do this to me. It hurt me, you know. What happened?" pujuk Dr. Adrian sayu. Makin kuat pula tangisan itu hinggakan Dr. Adrian terpaksa menutup pintu kereta bimbang berlaku salah faham andai pemilik kenderaan yang lalu-lalang terdengar. Enjin kenderaan itu kembali dihidupkan.

"It's alright, Suraya. Bagitahu saya. Apa dah jadi?" kata Dr. Adrian lagi.

Sepi.

Kedua belah tangan di atas peha menggenggam penumbuk. Terasa dirinya tidak berguna kerana tidak dapat membantu gadis itu yang sedang berduka lara sendirian. Dia ingin sekali tahu apa yang telah berlaku. Apa yang terjadi kepada gadis itu hingga menyebabkan wajah cantik itu pucat lesi. Mulut yang bijak mengomel meraung duka. Dan semangat yang waja itu lebur. Dia menginginkan jawapan ketika itu juga. Namun, tangisan Suraya belum reda. Tiada tanda-tanda gadis itu ingin meluahkan.

Dr. Adrian, hanya mampu diam memerhati.

Beberapa helai tisu dari kotak kecil kemudian ditarik dan dihulurkan. Tiada sambutan. Sudahnya dia meletakkan ia di telapak tangan Suraya. Dr. Adrian berulangkali menjadi saksi bisu.

Sepuluh minit kemudian, tiada lagi suara tangisan. Yang tinggal hanya sedu yang sesekali kedengaran. Suraya masih menunduk. Dr. Adrian makin tidak keruan.

"Suraya-.."

"Mummy meninggal. Accident. Abah di ICU."

Dr. Adrian terkelu. Terbayang wajah bapa Suraya yang tegas tetapi penyayang. Kemudian, wajah penuh kelembutan milik ibu Suraya. Meski bertemu sebentar, hubungan erat dan mesra yang dipamerkan oleh anak beranak itu meninggalkan kesan yang mendalam kepada dirinya. Cemburu. Ada juga bahagia. Keduanya bercampur baur. Tak sangka. Pemergian ibu Suraya turut memberikan tamparan hebat kepada dirinya sendiri. Lafaz istirja', lemah diucap kemudian.

"Suraya..," seru Dr. Adrian lembut.

Gadis itu mengangkat pandangan. Menadah dengan wajah yang lembab.

"Waktu ni awak kena banyakkan doa untuk mummy awak, Suraya. You may cry tapi... Janganlah sampai meratap," nasihat Dr. Adrian dengan harapan Suraya benar-benar mendengarkan kata-kata itu.

Suraya diam. Masih merenung jauh ke dalam matanya. Sekali lagi ia kosong. Bibir gadis itu bergetar seakan ingin membuka mulut untuk berkata-kata tetapi, sekian lama menanti sepatah bicara tidak keluar.

"Kalau awak belum bersedia nak masuk ke dalam kita duduk di sini dulu, okay?" cadang Dr. Adrian. Dipandang Suraya yang membatu di sisi.

"Just nod, or shake your head," tambah Dr. Adrian. Geleng.

"Kalau macam tu, mari kita masuk." ucap Dr. Adrian dengan segaris senyuman diukirkan. Satu anggukan kecil diterima.

Enjin kereta dimatikan. Dan mereka berjalan beriringan keluar daripada kawasan parkir. Langkah yang diambil sederhana. Sesekali Dr. Adrian menjeling Suraya di sebelahnya. Wajah itu sentiasa memandang ke bawah dengan kedua belah tangan berpeluk tubuh.

Tiba di kaunter pendaftaran, butiran bapa Suraya diberikan. Itupun hampir tidak kedengaran suara gadis itu menjawab pertanyaan daripada kakitangan yang bertugas. Akhirnya, Dr. Adrian sendiri yang menjadi jurucakap. Setiap pertanyaan yang dijawab dengan suara yang tenggelam timbul itu diulangi semula.

Selesai urusan di kaunter, mereka menuju ke tingkat atas yang menempatkan ruang ICU. Oleh kerana doktor belum selesai menjalankan rawatan kepada bapa Suraya, mereka berdua duduk menunggu di ruangan yang disediakan. Setengah jam kemudian Dr. Malini menghampiri.

"Boleh I tahu siapa waris Encik Ahmad Fauzi."

Melihatkan mulut Suraya masih terkunci rapat, Dr. Adrian cepat-cepat menjawab.

"She is Suraya dan anak kepada pesakit. I believe she's still in great shock, doctor. Her mother passed away due to the accident."

"Oh!" ucap Dr. Malini sedikit terkejut.

"Suraya, I'm sorry for your loss. Would you like me to check on you?" Penuh keprihatinan Dr. Malini bertanya.

Satu gelengan diberikan oleh Suraya.

"Hmm.., I think she's fine. She seems to know what's going on around her. I ada berita baik, Suraya. Bapa you okay. Tiada sebarang kecederaan. Masa dia tiba tadi dia dalam keadaan sedar and it's a good news. Tapi, sekarang dia dah tidur. Kami akan pindahkan bapa you ke normal ward. Sekejap lagi nurse akan bagitau wad mana bapa you admit, okay?" jelas Dr. Malini panjang lebar bersilih ganti memandang Suraya dan Dr. Adrian.

"Ibu Suraya dibawa ke sini juga?" tanya Dr. Malini.

Dr. Adrian mengangguk. Maklumat yang diperolehi ketika mendaftar tadi menyatakan jenazah ibu Suraya turut berada di hospital itu.

"Banyak-banyakkan bersabar. Selesai post mortem you boleh tanya nurse tentang urusan selebihnya, ya."

Suraya mengangkat wajah melihat air muka yang cenderung dan khuatir itu sedang menatapnya. Segaris senyuman yang sebentar, berjaya dihadiahkan kepada doktor berbangsa India itu.

"Your father... He needs you most. Stay strong, Suraya. Doa banyak-banyak."

Bahu yang jatuh dielus lembut oleh Dr. Malini. Kemudian, doktor yang baik hati itu berlalu. Suraya dan Dr. Adrian masih tercegat berdiri. Tidak pasti apa yang perlu dilakukan ketika ini.

"Suraya, ada sesiapa yang awak nak hubungi? Saya tolong call." kata Dr. Adrian setelah berfikir masak-masak bahawa berita kemalangan itu patut dihebahkan sama ada kepada ahli keluarga mahupun rakan taulan.

Suraya mendongak kemudian, tunduk. Dia berjalan ke salah satu bangku yang ada dan duduk. Di pandang ke arah Dr. Adrian yang masih tidak berganjak. Satu anggukan diberikan menandakan dia mahu lelaki itu mendekati. Dr. Adrian duduk di sebelahnya. Beg galas dibuka dan telefon pintar dikeluarkan.

"Tak ada saudara mara." Dia bersuara lemah.

Dr. Adrian segera menoleh.

"Maksud awak?"

"Abah... Mummy. Dua-dua yatim piatu. Saya anak tunggal."

Oh. Dr. Adrian melirik penuh simpati.

"Kawan?"

"Hanis."

"Saya call."

"Jangan. Dia tengah berkursus."

"It's fine, Suraya. Saya call untuk maklumkan sahaja. Boleh?"

Suraya diam. Namun anggukan yang diberikan membuatkan beban yang Dr. Adrian pikul sedikit berkurang. Adanya teman perempuan lebih baik ketika ini. Dr. Adrian tidak mampu melakukan apa yang boleh dilakukan oleh teman Suraya itu meski dia sendiri berkeinginan untuk mententeramkan gadis itu. Batasan perlu dijaga. Dr. Adrian masih ingat akan hukum hakam yang disyarah oleh seseorang yang dikenali tidak lama dulu.

Telefon milik Suraya disorong dekat kepadanya. Dr. Adrian menyambut dan melihat senarai nama dalam folder Contacts. Nama Hanis terpapar. Tentu seorang teman yang akrab dan baik. Ketika dihubungi, gadis bernama Hanis itu berjanji akan datang ke hospital setelah mendapat pelepasan daripada pegawai atasan.

Dr. Adrian menyerahkan kembali telefon kepada Suraya. Gadis itu masih senyap membisu. Cuma, tidak lagi menundukkan wajah. Terkadang lirikan terpaku pada jururawat yang sedang lalu-lalang. Kadang-kadang mengikuti gerakan doktor yang melintasi di hadapan mereka.

"Suraya, tell me. What do you want me to do now?" tanya Dr. Adrian menundukkan sedikit wajahnya ke arah Suraya.

Gadis itu seperti tidak mendengar. Masih menjadi pemerhati keadaan. Dr. Adrian berhajat untuk bangun. Ingin meninjau keadaan di dalam bilik bernombor lima. Lama lagikah mereka harus menunggu sebelum bapa Suraya dipindahkan?

"Stay." ucap Suraya perlahan.

Hujung baju Dr. Adrian sekali lagi terasa ditarik. Dr. Adrian kembali duduk. Merenung. Gadis itu enggan bersendirian. Sambil melunjurkan kakinya, dia berpeluk tubuh. Dia pasti sudah lebih dari satu jam mereka berada di situ.

Ketika seorang jururawat mendekati dan memaklumkan akan keberadaan bapa Suraya, bingkas mereka bangun dan mengikuti arahan yang diberikan oleh jururawat tersebut.

Langkah mereka menuju pula ke wad biasa sebelum deringan telefon dari dalam beg Suraya berbunyi. Hanis sedang memanggil. Sekali lagi telefon itu dihulurkan kepada Dr. Adrian meminta agar lelaki itu sahaja yang bercakap. Hanis sudah tiba dan sedang berada di bawah. Mereka bakal bertemu di bilik wad yang menempatkan Encik Ahmad Fauzi ketika ini.

"Yaya!.." seru Hanis sebaik tiba di hadapan bilik wad.

Sekali lagi esakan kecil kedengaran. Bukan satu tetapi dua. Dr. Adrian tersandar lemah.

Oh, Tuhan. Sungguh luar biasa aturanMu!

Previous: Bab 19
Next: Bab 21

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.