Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 12


Tepat jam 10.00 malam telefonnya berbunyi. Suraya menyambut panggilan itu dengan perasaan bersedia. Setelah bercakap sepatah dua, telefon itu disimpan dalam poket beg komputer riba. Kemudian, beg itu digalas. Dikerling sekilas bayangannya pada cermin. Santai dalam jersi hitam berlengan panjang dan jeans lusuh yang berpotongan longgar. Sehelai tudung sarung instant berwarna kelabu pudar pemberian Kak Rin tersarung di kepala. Tudung dari kain jenis chiffon itu sangat selesa dan mudah digayakan. Lebih-lebih lagi dia akan melakukan tugasan pada waktu malam. Tidak perlu bersusah payah untuk berias gaya.

"Aku pergi dulu." katanya ketika melintasi Hanis yang sedang menonton televisyen.

"Okay, babe. Hati-hati. Apa-apa call." pesan Hanis.

Suraya tersengih usai menyarungkan kasut ke kaki dan membuka pintu. Tiba di tingkat bawah, dapat dia lihat kereta yang sama yang dinaiki olehnya kelmarin di parkir di kawasan drop off. Tanpa menunggu lama, dia bergegas membuka pintu kereta dan menyapa ala kadar Dr. Adrian yang sedang sibuk melayani telefon pintar di tangan.

"Kita ke ofis dulu." ujar Dr. Adrian lantas menukar gear dan kereta mula bergerak.

"Kenapa tak terus buat kerja?" soal Suraya ketika tali pinggang keledar ditarik dan dikemaskan. Beg komputer riba dibiarkan sahaja di atas ribaan.

"I ada beberapa perkara nak disiapkan di ofis. Lagipun kita akan gunakan kereta company."

"Kenapa kena guna kereta company pulak?"

Dah alang-alang kenderaan lelaki itu ada kenapa tak digunakan terus. Lainlah ketika dia melakukan kerja dengan Zamri yang menunggang motosikal ke pejabat. Memang patutlah kenderaan syarikat digunakan ketika turun ke tapak projek.

"Kereta yang company provide adalah privilege untuk staf on site. Jadi, gunakan saja even you ke ofis naik kenderaan sendiri. Lagipun, dalam kereta tu lengkap dengan alatan jadi senang nak buat kerja." terang Dr. Adrian panjang lebar.

Suraya mengangguk kecil tanpa melihat reaksi lelaki itu. Wajah, sentiasa dihadapkan ke depan. Walaupun perbualan mereka makin santai perasaan segan tetap utuh di sanubari. Belum sesekali terlupa akan kebiadabannya tempoh hari terhadap lelaki itu.

"Tapi, kenapa kita tak terus buat kerja sekarang?"

Diulangi lagi persoalan yang belum diberikan jawapan yang memuaskan.

"Are you playing dumb, Suraya?" soal Dr. Adrian. Sempat, dia terkedu sebaik soalan itu terkeluar. Sebenarnya, dia gembira apabila gadis itu bertanyakan bermacam soalan kepadanya. Tidaklah janggal dan canggung suasana.

Melalui ekor mata dilihat Suraya menoleh memandangnya buat seketika.

'Kasarkah pertanyaannya itu?'

Dr. Adrian menggaru dahi dengan hujung jari sebelum tangan kembali berlabuh ke stereng. Sedikit sesal dengan keterlanjuran kata.

"Tapi, kita boleh je lakukan test tu sekarang, kan?" ujar Suraya pura-pura selamba. Perasaan tersinggung yang singgah sebentar tadi ditepis. Salah dia juga berani menyoal macam-macam. Tapi, sememangnya dia tidak tahu. Sebab itulah dia bertanya. Lagipun, awal-awal lagi dia sudah mengingatkan dirinya tentang sepak terajang dunia pekerjaan. Ia bukan seperti anak-anak kecil yang baru mengenal dunia. Sentiasa ada yang membantu waima sekecil-kecil perkara. Dunia pekerjaan dunia yang keras dan sengit. Lebih-lebih lagi dunia yang banyak di pelopori oleh kaum lelaki. Tentulah lebih perit untuk berjuang di dalam bidang itu bersama-sama.

"Yes, you are right. Tapi, kita tak mahu ganggu customer kalau buat pada waktu macam ni." jelas Dr. Adrian kemudian setelah seketika menyepi.

Suraya membuat nota minda. Akan diabadikan dalam buku kecilnya apabila tiba di pejabat nanti.

Dua puluh minit perjalanan, mereka tiba di pejabat.

"Saya tak bawak ID." maklum Suraya ketika mereka berdua melewati pintu utama di mana seorang pengawal keselamatan sedang bertugas.

Pengawal itu mengangkat tangan sebaik menyedari kehadiran mereka dan dibalas oleh Dr. Adrian.

"Never mind. Kita ke my office." sahut Dr. Adrian pantas membuka langkah.

Suraya mengekori hingga lif yang dinaiki tiba di tingkat tujuh. Suasana suram mengiringi langkah mereka ketika masuk ke ruang pejabat. Hanya sebuah bilik yang kelihatan cerah. Barangkali pejabat lelaki itu, tekanya.

"Duduklah di mana you selesa." arah Dr. Adrian lantas menekan beberapa suis dan sebahagian daripada ruang itu bertukar terang.

Keadaan di aras tujuh itu tidak banyak berbeza dengan arasnya di tingkat enam. Suraya terus mengekori sehinggalah ketika hampir tiba di bilik lelaki itu barulah sebuah meja yang kosong didekati dan beg komputer riba diletakkan di atas meja tersebut.

"Dah makan?" tanya Dr. Adrian. Tidak jadi melangkah masuk padahal sebelah tangannya sudah memegang tombol pintu.

Suraya lantas menoleh dan mengangguk.

"Tidur?"

Angguk lagi.

"Alright." ucap lelaki itu ringkas sebelum membuka pintu selebar-lebarnya dan menghilang.

Suraya terus melabuhkan punggung dan mengeluarkan buku bacaan dan juga buku nota. Halaman ke 290 menjadi tatapan. Buku yang diusung ke sana ke mari belum dapat dihabiskan kerana masa yang ada terkadang banyak dihambat dengan tugasan dan rutin harian. Ralit dia menyambung bacaan itu. Tidak menyedari lena terlebih dahulu menghanyutkan dirinya.

"Suraya..,"

Sayup, dia mendengar namanya diseru. Perlahan-lahan dia membukakan kelopak mata. Buat seketika dia terkebil-kebil sebelum wajah merona kerana telah menyedari situasi yang sedang dihadapinya. Dia tertidur dengan buku tebal itu dijadikan sebagai alas. Walaupun tak selesa tidur dengan keadaan begitu tetapi kerana mengantuk punya pasal semacam aje dia lena. Selamba, dia menggosok mata dan menutup mulut yang menguap. Tidak perasan bahawa Dr. Adrian ralit memerhatikan dirinya hinggakan satu senyuman menguntum di bibir lelaki itu.

"You tidur atau tak siang tadi?" soal Dr. Adrian sedikit tegas. Agak lama dia bersendirian di dalam pejabat menyambung kerja membuat analisis ke atas laporan yang diterima, terdetik pula di hati untuk memantau keadaan Suraya. Kelu ketika melihat gadis itu tertidur berbantalkan lengan di meja kerja. Tidak sanggup melihat Suraya tertidur begitu, dia memberanikan diri untuk mengejutkan.

"Tak biasalah nak kena tidur siang. Malam tadi dah tidur banyak. Tiba-tiba, siang kena tidur lagi. Saya dapat tidur tak sampai satu jam, kot." akui Suraya dengan suara sedikit serak. Tekaknya terasa kering dan dia mengutuk dirinya kerana terlupa membawa bekalan botol minuman. Seperti memahami keadaannya, Dr. Adrian menghilang dan kembali dengan sebotol air mineral di tangan. Tanpa dipelawa laju Suraya menyambar air tersebut dan meneguk.

Lega.

"Terima kasih," ujarnya sambil mendongakkan kepala sebentar. Leher yang lenguh digosok menggunakan sebelah tangan.

"Dah nak pergi site ke?" soalnya.

"Belum." sahut Dr. Adrian.

'Apa? Kalau macam tu buat apa dikejutkan tadi? Potong stim betul orang tengah sedap-sedap tidur.'

"Apa kata you tidur dekat bilik I. Ada sofa... At least taklah sakit-sakit badan."

Darah merah menyerbu wajahnya. Lantas pandangan ditundukkan. Kedua belah tangan di ribaan menggenggam buku lima. Dikerling beg komputer riba.

'Alamak, handphone dalam tu pulak.'

Ekor mata melirik ke arah pintu yang tertutup rapat. Hanya membuatkan akalnya mati. Kenapa awal-awal tadi tak terfikir langsung akan situasi begini?

"Suraya?.. Kenapa?" tanya Dr. Adrian sambil jari-jemarinya mengetuk-ngetuk meja.

Suraya menarik nafas yang dalam. Ngeri untuk membayangkan adegan yang tidak sepatutnya berlaku di dalam pejabat itu.

"Are you afraid of me?" teka Dr. Adrian. Dan, melihatkan kelakuan Suraya dia pasti terkaannya memang betul. Dipendam rasa kecewa yang hadir. Dia tidak boleh menyalahkan secara membabi-buta. Gadis itu berhak mempunyai pendapatnya tersendiri. Dan, pendapat itu tepat pula pada situasi mereka ketika ini. Dr. Adrian kehilangan kata-kata. Namun dia mahu cuba satu cara. Kad akses di dalam poket baju kemeja dikeluarkan. Tali yang melilit dirungkaikan kemudian, dipakaikan ke leher Suraya. Gadis itu kelihatan terkejut tetapi, memberanikan diri mendongak ke arahnya. Dr. Adrian melemparkan segaris senyuman. Kelat.

"Kalau I nak buat sesuatu pada you, I tak pilih ofis, Suraya." ucap Dr. Adrian.

Senyap.

'Maksudnya dia nak buat sesuatu dekat aku kat tempat lain?'

"Look." Dr. Adrian menunjuk ke arah siling di suatu sudut. Besar harapan semoga gadis itu berhenti dari berprasangka. Sorotan Suraya mengikuti pergerakan jari telunjuk Dr. Adrian.

'CCTV! Oh, malunya!'

Masih memerah wajah Suraya ketika ID yang tersangkut di leher dipulangkan kembali kepada Dr. Adrian.

"Be professional. Kita ada di sini pada jam ni untuk berkerja,"

Setepek! Berganda malunya.

"So, pukul 2.00 nanti kita gerak. Sekarang, you pergi masuk ofis I dan tidur di situ. I buat kerja di sini." kata Dr. Adrian selamba lalu beredar dan muncul kembali dengan menatang sebuah komputer riba.

Kata lelaki itu dikotakan dan tanpa sebarang bicara Suraya bingkas bangun dan melangkah memasuki pejabat lelaki itu dengan bibir tertutup rapat dan kepala yang menunduk.

'Malu, malu, malunyaaa!!!'

"Tutup lampu!"

Hampir melompat dirinya kerana terperanjat namun, dipatuhi arahan lelaki itu. Suis lampu ditutup. Suasana menjadi malap kerana ruang itu mendapat biasan cahaya dari luar. Seperti mana di dalam kereta lelaki itu, dia mendapati haruman mint frost turut memenuhi segenap ruang bilik sederhana besar itu. Meja kerja dengan beberapa buah fail yang kemas diatur serta dua buah kabinet kaca di kiri dan kanan. Kedua-duanya dipenuhi dengan fail tebal. Sebuah sofa sederhana panjang di sudut kanan didekati dan dia melabuhkan duduk di situ. Perhatian yang diberikan oleh lelaki itu membuatkan Suraya malu dengan sikapnya yang cepat berprasangka. Tanpa menunggu lama, sebiji bantal hiasan dijadikan alas kepala dan sekali lagi dia terlelap dibawa lena dalam masa sebentar.

Tidurnya terganggu lagi. Cahaya lampu membuatkan matanya perit dan silau. Tetapi, kali ini dia tidak lagi terkejut. Cuma rasa mengantuk yang berbaki masih memberati.

"Jom." ujar Dr. Adrian setelah menyedari gerak gerinya yang mula tersedar.

Suraya bingkas bangun dan keluar tanpa melihat ke arah lelaki itu yang sedang berkemas di meja kerjanya. Pertama-tama dituju terus ke pintu utama untuk ke ruang restroom. Tudung di kepala dibuang dan wajah dibersihkan beberapa kali buat menghilangkan rasa mengantuk itu.

"Pakai ni." arah Dr. Adrian ketika meletakkan sehelai zip up hoodie di atas ribaan Suraya.

Suraya terpana. Namun tetap menyambut pemberian itu. Perasaan sedia malu bertambah malu mengenangkan sikap prihatin lelaki itu lebih dari dirinya sendiri. Beg komputer riba di atas ribaan diletakkan di tempat duduk belakang dan disarung baju panas lelaki itu dengan selamba. Hangat dan selesa melingkari diri setelah berjam dia menahan kesejukan ketika berada di dalam pejabat tadi.

Kawasan parkir bawah tanah itu sunyi sekali. Hanya kenderaan Dr. Adrian yang kelihatan ganjil kerana dua yang lain adalah sama jenisnya dengan yang mereka gunakan ketika ini. Suasana malap dalam kenderaan diterangi oleh dome light.

Dr. Adrian mula mengeluarkan alatan yang bakal digunakan. Sebiji inverter yang diletakkan di bawah tempat duduk penumpang digunakan sebagai penukar voltan. Suraya membantu melekatkan plug komputer riba pada inverter tersebut. Sebuah telefon pintar yang digunakan sebagai test phone turut dikeluarkan lalu wayar pengecas disambungkan antara komputer riba dan telefon itu. Begitu juga dengan GPS dan sebiji usb dongles.

"Banyak juga tools yang digunakan." getus Suraya perlahan namun masih dapat didengari dalam keadaan sunyi begitu.

"Hmm... Tapi, tak lama lagi company akan bertukar kepada App based. Soon... Very very soon." ujar Dr. Adrian diiringi dengan sejuring senyuman.

Tak sengaja Suraya melirik dan tertanya-tanya keadaan yang menyebabkan mood lelaki itu tiba-tiba bertukar ceria buat seketika.

"Alright... Kita ke Setapak dulu." ucap lelaki itu setelah selesai membuat penyambungan dan membuka perisian Google Earth.

"Hmm..." sahut Suraya berserta senyuman dan riak tidak sabar.

"Mengantuk lagi?" soal Dr. Adrian sambil sebelah tangan memegang stereng. Sebelah lagi menahan komputer riba di atas ribaan. Sebenarnya, ketika melihat Suraya tertidur di tingkat atas tadi dia sudah diserang dengan perasaan serba salah. Boleh jadi dia telah melakukan kesilapan dengan memilih gadis itu sebagai pembantu. Namun, setelah perancangan berjalan separuh, mahu atau tidak, aturan asal harus diikuti.

"Adalah sikit." jawab Suraya malu-malu.

Dr. Adrian merenung kemudian berkata,

"Tak jadi nak suruh you jadi driver."

"Why you guys asyik suruh saya jadi driver?"

Spontan dikemam bibir kerana menyedari kata-kata itu telah terkeluar dari mulutnya tanpa dapat ditahan.

'Eh? Lupa ke dia tu bos? Suka hati dialah nak arahkan orang!'

"You guys? Maksud you?"

'Kan? Dah kena menjawab.'

Suraya senyum pendek. Dibuat-buat.

"Takde apa, lah."

"No. I've heard you complaining twice now. Ada apa ni, Suraya? Ada sesiapa ke yang buli you di ofis?" tanya Dr. Adrian ingin tahu. Sesungguhnya dia tidak mampu bersabar lagi ketika berhadapan dengan aduan demi aduan dari gadis itu. Dan Suraya pun satu. Sudahlah mengadu, tidak pula dijelaskan aduannya. Mana tak sasau dia memikir.

"Sorry. Maybe saya tak cukup tidur kot. Jadi, banyak pulak songeh memalam ni. Can we start now, Dr. Adrian?"

Dr. Adrian menghela panjang. Dia membuang pandang ke luar sekilas lalu kembali menoleh. Dua kali perhatiannya ditolak. Dua kali!

"Sebenarnya, I nampak you pandu kereta ni di Greenwood dulu." jelas Dr. Adrian.

Tiada sahutan. Dan, dua kali juga dia terpaksa menelan rasa terkilan kerana perhatiannya dipinggirkan.

"You, boleh baca map?" soalnya lagi setelah dirasakan topik itu enggan dibincangkan oleh Suraya. 

"Boleh."

Itulah jawapan yang diharapkan. Bukankah sebelum ini gadis itu sendiri yang meluahkan perasaan tidak puas hati kerana dinilai kemampuannya terlalu awal dari tempoh masa yang diberikan. Dia yakin tiada kesilapan dalam keputusan memilih Suraya cuma, gadis itu belum terbiasa dengan sistem kerja yang dilakukan.

"Kalau macam tu you pegang laptop ni. I dah mark spot and route yang kita akan ambil untuk SSV. Jangan risau... Short drive test tapi mungkin ambil masa waktu static test nanti." jelas Dr. Adrian membuatkan Suraya menganggukkan kepala beberapa kali.

Komputer riba bertukar tangan dan sepanjang perjalanan Suraya memegang ia seperti menjaga nyawanya sendiri. Ketika melalui jalan yang berbonggol, dipegang kejap alatan itu. Begitu juga ketika membelok atau brek ditekan.

"Alright! Malam ni kita jadi burung hantu..," usik Dr. Adrian tanpa menyedari sense of humour itu sedikit sebanyak menipiskan dinding pertahanan yang dibina oleh Suraya terhadap lelaki itu.

Sejak bila pula dibina kubu itu? Sejak kali pertama bertemu ia terbina sendiri tanpa dia sedari.

Kenderaan yang dinaiki berhenti di sebuah petak parkir berhadapan dengan sebuah kedai serbaneka yang dibuka 24 jam. Suraya melirik kiri dan kanan. Lengang pada jam 2.30 pagi. Tetapi, kawasan itu terang benderang.

"First thing first, call NOC untuk alarm status." kata Dr. Adrian tidak jemu memberi tunjuk ajar.

Suraya mengangguk dan memerhati lelaki itu mencapai telefon pada holder dan mendail suatu nombor.

"Oh, it's Azlan. Your boyfriend... Nak cakap dengan dia untuk tanya site status?" tanya Dr. Adrian selamba di bawah biasan cahaya yang menaungi mereka berdua.

Suraya tergamam. Bulat biji matanya.

"Hei, dia bukan boyfriend sayalah!" tuturnya sedikit bengang. Namun, dia terkelu apabila mengerti suaranya itu dapat didengari oleh Azlan di hujung talian.

'Ciss!! Main-mainkan orang rupanya.'

Dia, terus mengangkat sebelah tangannya. Berani untuk membuat percubaan merampas telefon itu. Tetapi, gagal sebaik sahaja jari-jemarinya bertemu dengan telapak tangan Dr. Adrian yang terlebih dahulu memintas dari mengelakkan pergerakannya pergi lebih jauh. Seperti terkena renjatan, cepat-cepat dia menarik kembali tangannya. Bergoyang komputer riba yang dipegang tatkala tubuhnya dipusingkan sedikit untuk memandang ke luar tingkap. Terlalu malu dan terlalu geram dengan sikap lelaki itu yang bergurau tidak kena tempat. Setelah mendengar talian diputuskan dia tetap dengan posisi begitu. Sengaja.

"Suraya, I minta maaf, okay. Come. Let's start working." ucap Dr. Adrian dengan nada yang lembut. Dalam diam dia senang kerana sangkaan tentang perhubungan Suraya dan Azlan lupus.

Hampir ke angka 6.00 pagi mereka tiba di tingkat bawah tanah itu. Walau bagaimanapun, masih menanggung tugas yang belum selesai. Mereka akan melaksanakan tugasan yang sama sekali lagi. Tetapi ia akan dilakukan pada waktu siang keesokannya pula.

"Penat?" tanya Dr. Adrian.

Tanpa sengaja Suraya menguap. Pantas ditutup mulut dengan belakang tangan. Dr. Adrian, memerhati tanpa jemu.

"Nak tidur." ujar Suraya separa bermaya.

"Boleh solat?"

Suraya mengangguk.

"Jom naik ke surau. Lepas tu I hantar you balik. Rest well. Nanti, I akan hantar email untuk tugasan seterusnya."

Bagai burung belatuk Suraya mengangguk sambil memerhati Dr. Adrian mengemas peralatan yang digunakan. Tiada lagi bantahan dan bicara. Hati kecil berteriak ingin segera pulang.

Previous: Bab 11
Next: Bab 13

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.