Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 40


"Tan Sri, AZR Construction telefon untuk mengesahkan akan bertemu di KLIA pada jam dua belas nanti." maklum Mr. Tony.

Tan Sri Johari mengangkat lirikan dari skrin tablet kepada Antonio Hermas yang berdarah campuran Iban dan Melayu Melanau itu. Usia mereka berbeza hanya dua tahun. Sejak memasuki usia lima puluhan, lelaki itu sudah berkali-kali memohon untuk meletakkan jawatan. Dia yang enggan melepaskan. Belum bersedia menerima pembantu peribadi baharu yang entahkan serasi atau tidak apabila berkerjasama kelak.

"Tony..." serunya berbaur nada tidak senang sebelum kembali menatap tablet di tangan.

Dia, sedang membaca sebuah blog perniagaan yang memaparkan profil taikun perniagaan yang gah namanya di tanah air. Melihat wajah Tony, dia terlihat iras itu di dalam diri individu yang sedang dibacakan profilnya ketika ini. Malah, seiring dengan latar peribadi tokoh ternama itu, Tony turut menyimpan latar yang serupa iaitu bermula dari bawah.

Ketika Tan Sri Johari ditugaskan untuk menguruskan penubuhan sebuah syarikat jana kuasa di Bintulu, Tony berkerja sebagai budak pejabat. Daripada lelaki itu berkayuh basikal ke tempat kerja sehinggalah kini jenama Audi menjadi kenderaan rasminya. Lalu, ketika dia menubuhkan TSJ Group dibawa sekali Tony berkerja dengannya. Keserasian dalam perhubungan membuat persahabatan mereka melangkaui era dan zaman. Tony, menjadi saksi melihat bagaimana satu demi satu transisi kehidupannya berlangsung. Menjadi pendengar setia, menjadi penyokong kuat dan menjadi penasihat terbaik. Mereka berdua ibarat rakan baik yang sukar terpisah meskipun ketika itu darjat mereka jauh berbeza. Ah! Masih lagi taraf yang menjadi sandaran.

"Tapi, kalau Tan Sri mahu kita dah boleh bertolak sekarang." ujar Mr. Tony langsung tidak menghiraukan amaran yang diberikan tadi.

Lamunan Tan Sri Johari berkecai.

"Tony, dah berapa kali aku ingatkan. Jangan panggil aku macam tu." ujarnya sambil meletakkan gajet di tangan ke atas meja. Direnung sahabat lama yang sedang tercegat berdiri bertentangan. Bukan sahabat. Tetapi telah dianggap seperti ahli keluarganya.

"Aku tahu. Tapi, walau apa pun panggilan yang aku sebutkan, kau dan aku tahu diri kau tetap engkau yang kita sama-sama kenali. Jadi, untuk apa didebatkan tentang panggilan itu." balas Mr. Tony bersahaja.

Tan Sri Johari senyum hambar. Alasan itu sentiasa diputarkan oleh Tony apabila ditegur.

"Munira sihat? Anak-anak bagaimana?" soalnya menukar topik yang baginya terlalu kecil untuk diambil pusing. Lebih baik bertanyakan perihal keluarga Tony. Dia, memang begitu. Terlalu mengambil berat akan hal ehwal Tony dan keluarganya. Malahan, anak-anak Tony kesemuanya ditanggung perbelanjaan pelajaran olehnya sendiri. Tony menganggap ia sebagai satu pinjaman pelajaran. Tetapi, dia menyuruh mereka mengambil ia sebagai biasiswa peribadi. Sesungguhnya, pengorbanan isteri dan anak-anak Tony amat besar maknanya bagi dirinya. Mana mahu jumpa individu seperti Tony yang cekap dan amanah dengan tanggungjawab. Belum lagi dikira pengorbanan waktu yang diberikan oleh lelaki itu kepada syarikat miliknya melebihi keluarga sendiri. Dia sedar berapa banyak air mata telah gugur, berapa banyak hati dan perasaan telah terhiris akibat kepentingan dirinya. Namun, dia tidak lupa. Sesekali tidak melupai jasa Tony dan ahli keluarganya itu.

"Alhamdulillah. Cuma, Emrys... Masih begitu." sahut Tony dengan segaris senyuman.

Tan Sri Johari menganggukkan kepala beberapa kali. Memahami situasi Tony yang menghadapi kesulitan dengan salah seorang daripada tiga orang anak lelakinya iaitu Emrys. Berusia tiga puluh dua tahun pemuda itu belum mempunyai pekerjaan tetap meskipun berkelulusan ijazah daripada sebuah universiti ternama di tanah air. Pemuda itu lebih senang berkerja sendiri atau lebih tepat membuat freelance. Jikalau dia tidak silap, lelaki itu berkemahiran di dalam bidang senibina lanskap.

"Dia tak mahu berkahwin ke? Aku belum pernah dengar kau cerita Emrys berkawan dengan mana-mana perempuan."

Seperti soalan yang ditanyakan itu terlalu berat, Tony lantas menarik kerusi di hadapannya lalu duduk. Mereka bertukar pandang sebentar lalu kepala digelengkan.

"Dia betul-betul lain dari yang lain. Aku buntu. Kau tahu, sudah satu minggu aku tak nampak dia di rumah. Bila aku tanya Munira katanya sepanjang hari Emrys ada di rumah." luah Tony dengan wajah sedikit sugul.

"Maksud kau?"

"Dia berkurung dalam bilik. Katanya sibuk melukis pelan. Tapi, aku dapat rasakan dia seperti mengelak dari bertemu dengan aku. Entahlah, Jo. Aku punya empat orang anak. Tapi, sejak dua puluh tahun yang lalu aku rasa seperti punya tiga orang anak sahaja." cerita Tony lagi.

Terbit rasa simpati di hati Tan Sri Johari tatkala mendengar luahan itu. Anak-anak Tony iaitu Emira, Ezry dan Eddy kerap bersua muka dengannya apabila sesekali dia dijemput ke rumah mereka untuk sesuatu majlis. Namun, hanya mereka bertiga sahaja yang sering ditemui. Emrys pula, hanya dua kali sahaja dia pernah bertemu dengan pemuda itu. Pertama kali sewaktu pemuda itu masih kanak-kanak. Kedua pula, ketika pemuda itu mahu melanjutkan pelajaran. Emrys si bongsu itu memang lain kelakuannya berbanding kakak dan abang-abangnya. Selain gemar menyendiri, pemuda itu juga terkenal dengan sikap pendiam.

"Mungkin dia betul-betul sibuk." tuturnya sekadar mengambil hati Tony daripada terus mendiamkan diri.

"Aku faham kesibukan dia. Samalah macam aku yang juga sibuk. Tapi, aku tak faham kenapa dia seperti menjauhkan diri dari aku. Kebiasaannya anak bongsu ni lebih manja dan rapat dengan ibu bapa. Tapi dia tidak. Sedangkan aku melayan anak-anak sama adil. Tak kurang tak lebih."

"Mungkin, dah sikap dia begitu. Jadi, apa kau boleh buat," kata Tan Sri Johari pula.

Berat keluhan yang kedengaran dari mulut Tony sebaik mendengar kata-katanya itu. Seingat Tan Sri Johari selama lelaki itu berkerja dengannya belum pernah sekali dia mendengar keluhan sebegitu melainkan apabila lelaki itu mula membuka mulut bercerita perihal Emrys.

"Senang senang nanti aku mahu jumpa dia." tambahnya kemudian.

Tony, mengangkat wajah. Segaris senyuman terpamer. Barangkali menggantung sedikit harapan kepada Tan Sri Johari untuk menasihati anaknya itu. Namun, tidak lelaki itu ketahui bahawa Tan Sri Johari sendiri tidak mempunyai perancangan selebihnya. Dia, manalah pandai hendak memberi kata nasihat. Hubungan dengan anak perempuan sendiri pun renggang ini pula anak orang. Tetapi, kekurangan itu ditolak tepi. Besar hasratnya untuk bertemu pemuda itu yang sekian lama tidak ditemui. Andai berbual kosong bertanya khabar pun sudah memadai baginya.

"Oh, macam mana dengan Adrian?" tanya Tan Sri Johari sebaik teringat kepada Dr. Adrian.

"Maksud kau?"

"Dia masih menyiasat aku?"

Sebentar, satu senyuman sinis bermain di bibir Tony. Kepalanya mengangguk sedikit.

"Aku tak sangka budak muda tu jenis keras kepala. Tapi, aku kagum dengan semangat dia." ujar Tony lalu senyuman yang bermain di bibir merekah menjadi tawa.

Tan Sri Johari sedar lelaki itu bukan mentertawakan anak saudaranya. Tetapi, mengenangkan kelucuan apabila melihat teman akrab yang dikenali itu telah dimusuhi dalam diam oleh pemuda itu.

"Tak mengapalah. Dia masih mentah. Perjalanan dia masih jauh." ucap Tan Sri Johari datar.

Semenjak dia mengambil Dr. Adrian memasuki syarikat itu, dia menerima kehadiran pemuda itu dengan perasaan kecewa yang terpendam. Andai Tony dilayan dingin oleh Emrys, dia apa kurangnya. Dr. Adrian juga begitu. Dingin tiap kali bersua muka dengannya. Agaknya, memang tabiat orang muda zaman sekarang yang kurang mesra dengan orang tua.

Namun begitu, pandangan jujurnya terhadap Dr. Adrian pada pertama kali pemuda itu masuk ke syarikat tidak dipersetujui oleh Tony. Lelaki itu mengesyaki Dr. Adrian mempunyai niat yang lain selain menimba pengalaman. Lalu, Tony meminta izin untuk menyiasat pemuda itu. Benarlah seperti disangka. Dr. Adrian belum pernah sekali lalai terhadap gerak gerinya. Untuk apa dia menjadi orang yang disyaki, dia sendiri belum mempunyai jawapan tepat. Untuk menyoal bimbang pemuda itu melarikan diri seperti bapanya yang berbelas tahun menyembunyikan diri.

Kamal. Sebal hatinya sebaik terkenangkan lelaki itu. Sanggup meninggalkan anak yang masih mentah di rumah anak yatim lalu pergi begitu sahaja tanpa sebarang jejak.

Kejam!

Sungguh Tan Sri Johari tidak menduga begitu mudah sekali lelaki itu berputus asa dengan takdir hidupnya hingga sanggup membiarkan anak itu terkapai-kapai di tangan orang yang tidak dikenali.

"Kalau dia masih nak siasat apa yang aku buat, aku tak halang. Selagi tak melanggar undang-undang, dia bebas berbuat apa dia mahu sampai jawapan yang dia cari ditemui." getusnya hambar.

Soal Kamal ditolak tepi. Pencariannya ke atas lelaki itu masih menemui jalan buntu.

"Maksud kau... Kamal?" tanya Tony.

Tan Sri Johari mengangguk. Lemah.

"Aku rasa dia sedang mencari bapanya. Menyiasat aku untuk mendapatkan maklumat."

"Tapi, kenapa tak terus bertanya? Kan mudah."

Tan Sri Johari menjungkitkan kedua bahu.

"Selagi dia belum mahu buka mulut selagi itulah aku ikut saja rentak dia." ucapnya.

"Kau terlalu manjakan dia." kata Tony seakan memprotes setiap keputusan yang dibuat terhadap pemuda itu.

Sebelum ini ketika dia membiarkan anak gadisnya memilih haluan sendiri, Tony juga yang beria-membantah dan menasihatinya. Bimbang seandainya kehidupan anak gadisnya itu terumbang-ambing andai tidak dibimbing. Mujurlah dia mengikuti nasihat rakannya itu. Ketika ini pencapaian kerjaya anak gadisnya itu boleh tahan jika diukur.

"Bukan. Aku cuma memberi dia peluang dengan kemahiran dan kepakaran yang dia miliki. Kau nampak sendirikan hasilnya. Urusan syarikat langsung tidak dicampuri dengan urusan peribadi," tutur Tan Sri Johari menidakkan tafsiran demi tafsiran buruk terhadap layanannya kepada Dr. Adrian.

"Lagipun, syarikat ini lambat laun akan jadi milik dia juga walaupun berulang kali dia ingatkan aku yang dia tak mahukan syarikat ini. Katanya milik bapanya yang mutlak." ujarnya lagi lantas membuatkan Tony kembali tertawa. Seketika.

"Payah aku nak jumpa pemuda semacam dia zaman sekarang ni. Harta sendiri pun enggan diakui."

Segaris senyuman tawar ditarik oleh Tan Sri Johari.

"Dia terlalu berhati-hati. Itulah sebabnya."

"Dah kenapa pula?"

"Bimbang dengan sebarang kemungkinan. Mungkin bapanya sudah ada keluarga lain dan punyai waris yang lain. Juga bimbang sekiranya dia hanya dijadikan sebagai umpan untuk memaksa bapanya muncul kembali. Atau bimbang jika wujud perebutan kuasa. Dia cuma mengambil jalan selamat. Back off awal-awal."

"Kau seperti benar-benar tau apa yang bermain di fikiran dia." kata Tony.

Tan Sri Johari tidak menyahut. Sebaliknya tersenyum tipis dan menyandarkan tubuhnya ke kerusi yang sedang diduduki. Perjalanan hidupnya dan Dr. Adrian tidak seratus peratus sama. Tetapi mempunyai persamaan. Mereka sama-sama berdikari dalam mengemudi haluan perjalanan kehidupan. Hanya gerak hati yang mengilhamkan apakah langkah yang seterusnya patut diambil.

"Dia seorang anak muda yang berkebolehan. Kau lihat sendiri projek yang dapat dia tawan sedangkan Khairi telah dua tahun membida lesen untuk masuk Borneo. Hanya satu tahun tempoh yang Adrian perlukan dan lesen itu dalam genggaman dia. Rugi... Satu kerugian yang besar andai dia tinggalkan syarikat ni." luahnya dengan perasaan terkilan. Sebenarnya berat hatinya mahu melepaskan pemuda itu pergi setelah tamat tempoh perjanjian yang berlangsung di antara mereka. Namun, jikalau sudah kehendak lelaki itu begitu, siapalah dia untuk menghalang.

"Apa kata kau kahwinkan dia dengan Carol."

Renungan yang terkulai ke permukaan meja serta-merta diangkat. Terpaku dirinya buat seketika mendengar cadangan Tony itu.

"Kenapa perlu kahwin?" soalnya hairan.

"Dah kau sendiri yang kata rugi. Kalau kau nak ikat dia, aku tak nampak cara lain selain ini. Mungkin setelah menjadi menantu kau dan mengenali kau dengan sebenar-benarnya hatinya berubah lembut."

"Tapi, mau ke Carol?"

"Ah, anak itu. Sejak bila dia pandai membantah?"

Benar juga. Kenapalah dia tidak pernah terfikir mengenai perkara itu sebelum ini.

"Tapi, kalau Adrian pula yang tak mahu?"

"Kau belum cuba dah macam-macam andaian difikirkan. Cuba dulu. Jadi atau tidak lain cerita."

Dia diam. Mencerna kebenaran dan kebetulan. Fikiran, mula merancang.

Previous: Bab 39
Next: Bab 41

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.