Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 5


Bedak asas dalam bentuk serbuk yang

mempunyai ciri-ciri tiga dalam satu itu ditempek ke wajah menggunakan berus mekap. Hanya lapisan yang paling nipis dikenakan setelah krim muka terlebih dahulu disapu tadi. Pelembap bibir turut dioleskan. Beberapa lapisan dicalit kerana sejak akhir-akhir ini bibirnya terasa agak kering. Mungkin faktor cuaca yang panas kebelakangan ini ditambah seharian duduk di dalam pejabat berhawa dingin.

Suraya memerhati penampilan dirinya di dalam sebuah cermin besar yang tergantung di bilik tidur. Berpuas hati dengan wajah yang dirias ringkas sebelum selendang mahu dikenakan. Dia, tidak gemar bermain dengan alat mekap. Alatan miliknya boleh dikira dengan jari. Puas disuruh oleh Hanis supaya menambah itu ini tetapi, Suraya tetap tidak berminat. Cukuplah produk asas yang dimiliki untuk melindungi kulit wajah dari anasir yang tidak diingini.

Sebentar lagi, Suraya dan Hanis mahu keluar ke pusat bandar. Ikutkan hati mahu sahaja Suraya terperap di rumah namun kata Hanis, bosan berhujung minggu begitu. Jadi, lebih baik mengambil angin dengan keluar berjalan-jalan setelah berhari-hari terperangkap di dalam pejabat. Kotak ingatan, terkenang peristiwa ketika berada di tapak projek tempoh hari yang mampu menewaskan mental dan fizikalnya andai tidak dipujuk diri supaya bertahan. Sejenak, dipejamkan kelopak mata. Menolak kenangan yang dirasakan pahit itu jauh ke sudut paling belakang dalam kotak memori. Betul juga kata Hanis. Sesekali release tension apa salahnya. Sebaik kelopak mata dibukakan, lirikan tertuju kepada jam meja yang diletakkan bersebelahan dengan sebekas alat solek di atas laci kayu empat lapis itu. Tepat ke angka 10.00 pagi.

Dilayangkan pandangan ke arah Hanis di dalam sehelai kemeja dress labuh berbelang hitam putih yang turut menilik diri di sebelahnya. Belum puas menilik cermin agaknya. Dikerling lagi sekali temannya itu atas dan bawah. Sangat jarang dia melihat Hanis dalam penampilan begitu kecuali jikalau ada majlis tertentu untuk dihadiri.

"Cantik terlajak ni. Ada apa-apa ke?" soal Suraya sedikit curiga ketika menyarungkan kasut yang turut dijadikan fungsi dua dalam satu. Ke pejabat dan keluar berjalan-jalan.

"Sekali sekala apa salahnya." Hanis menyahut sambil lewa sebelum menonong beredar terlebih dahulu.

Suraya memerhati dengan perasaan hairan. Kesangsian, diperam dahulu kerana dia sedar lambat-laun tanda tanya itu akan terjawab juga.

Seperti kelaziman, mereka berdua mengambil perkhidmatan keretapi yang terletak tidak jauh dari apartmen. Hanya perlu berjalan kaki sahaja untuk sampai ke situ. Hampir setengah jam kemudian, lokasi yang dituju tiba. Tempat pertama yang dikunjungi sudah tentulah restoran memandangkan mereka tiba di situ hampir ke waktu tengah hari.

"Lepas ni, nak ke mana pula?" soal Suraya melihatkan makanan yang dijamu semakin susut. Kunyahan terakhir spaghetti dengan sos carbonara itu ditutup dengan menyedut air berkarbonat. Hanis pula telah lama selesai mengisi perut.

"Kau ada apa-apa nak shopping?" tanya Hanis pula.

Suraya menggelengkan kepala.

"Kalau macam tu, kita window shopping ajelah. Okay?"

Hanya anggukan dan senyuman menjadi jawaban. Mereka beredar keluar dari restoran makanan segera itu menuju ke tingkat atas menggunakan tangga bergerak. Belum sempat sesi penjelajahan ke segenap ruang kompleks Suria KLCC selesai, masing-masing mengadu kepenatan. Hanis memberi cadangan untuk mengambil angin di sebuah taman yang terletak di luar. Cadangan itu disambut baik oleh Suraya.

"Nasib baik redup, kan? Kalau tak, aku tak sanggup duduk bawah panas terik macam ni." keluh Hanis sambil tertinjau-tinjau ke sekitar kawasan.

Suraya mengangguk bersetuju. Cuaca agak terik ketika ini namun, redup kerana dibayangi oleh lindungan pepohon hiasan.

“Assalamualaikum.”

Suraya terlebih dahulu mendongakkan kepala. Terpana dengan kehadiran seorang lelaki di situ. Tanpa dipelawa, lelaki itu terus saja duduk bersebelahan Hanis. Namun, dalam jarak yang selamat. Hati Suraya makin dijentik hairan. Ditarik Hanis rapat kepadanya dengan tangan berlingkar di atas bahu gadis itu. Hanis tersipu dengan aksi protektif itu namun, ditutupi dengan tawa kecil.

Sorry lambat. Tadi ada member minta tolong hantarkan ke bengkel kereta. Dah makan?”

Tanpa mempedulikan gelagatnya itu terus sahaja lelaki itu berbicara.

“Sudah. You?” soal Hanis selamba.

"Eh…nanti dulu! Kau ada lupa nak bagitau aku apa-apa, tak?" tanya Suraya mencelah dari dibiarkan teraba-raba dalam gelap. Kesangsian yang bermain di dalam kepala terjawab namun, dia ingin memastikan dari mulut temannya itu.

"Kau tengok dengan teliti dan cuba teka." sahut Hanis sambil tersenyum-senyum.

Bergaris tiga dahi Suraya memikirkan pemilik raut hitam manis yang tampan itu. Redup renungan lelaki itu diserikan dengan senyuman di wajah yang berjambang kemas. Setelah diamati sekian lama dia membulatkan biji mata. Hanis dan lelaki itu mulai tersengih-sengih.

“Irfan Muhsin??” soalnya dengan perasaan terkejut.

Kedua temannya itu sama-sama menganggukkan kepala. Spontan, Suraya tergelak besar. Sungguh tidak dia sangka akan menemui lelaki itu lagi. Sebenarnya, hubungan mereka bertiga amat rapat walaupun lelaki itu merupakan senior mereka sewaktu di universiti dahulu. Hanis, mula membuka mulut menceritakan peristiwa pertemuan semulanya dengan lelaki bernama Irfan itu.

"Banyak sangat kenangan kita bertiga, kan? Tapi yang paling aku tak boleh lupa waktu korang kenakan aku tu... Hisy!!.." ujar Suraya geram. Bahu Hanis ditampar kuat seperti belum puas melepaskan rasa itu.

Hanis dan Irfan sama-sama tertawa. Lantas, kejadian yang berlaku pada tahun akhir Irfan di universiti itu kembali terimbau. Sungguh dia sama sekali tidak menduga Hanis dan Irfan telah lama merancang untuk mengenakannya. Selesai kelas Wireless Communications, dia dan Hanis menuju ke makmal untuk menyiapkan papan litar elektrik yang bakal menjadi bahan presentation mereka untuk kelas Analog Circuit. Beberapa orang pelajar turut berada di makmal ketika itu. Baru sebentar melabuhkan punggung ke kerusi, Hanis meminta diri untuk keluar ke tandas.

"Suraya Anne!"

Hanya mendengar lelaki itu menyebut namanya Suraya tahu siapa empunya diri. Dimitry Mikael merupakan pelajar pertukaran yang berasal dari Rusia. Suraya segera berpaling sambil sengih menempel. Mikael sedang berdiri di muka pintu. Wajah itu seakan menunjukkan dia memerlukan sesuatu.

"Saya mahu pinjam pemutar skru, boleh?"

Laju Suraya mengangguk lantas menarik laci meja. Pemutar skru yang bersaiz kecil itu dikeluarkan. Dia kembali berpaling. Belum sempat mahu bangun, lelaki itu terlebih dahulu menahan.

"Baling saja. Awak tahu saya pandai tangkap."

Acap kali dia terasa geli hati mendengarkan setiap patah perkataan yang keluar dari mulut pemuda itu. Masih pelat namun, bersungguh-sungguh mahu mempelajari Bahasa Melayu dan mempraktikannya. Meski kedengaran lucu, seringkali Suraya menahan perasaan untuk ketawa sebagai tanda sokongan terhadap usaha Mikael yang patriotik itu.

"Okay. Ready?" soalnya dan pemuda itu mengangguk dengan kedua tangannya tertadah.

Suraya terus sahaja membaling selepas habis mengira tanda sedia. Balingannya itu tepat kepada sasaran dan dia dapat melihat Mikael menyambut pemberiannya. Tetapi, pemuda itu tiba-tiba rebah ke lantai. Kesemua pelajar yang ada di situ bergegas mengerumuni. Dia, turut mendapatkan Mikael yang terbaring. Bulat biji matanya. Tak mungkin! Darah merah mengalir dari bawah tangan yang memegang pemutar skru yang sedang terbenam di dada. Suraya mulai panik. Dadanya berdebar hebat. Wajahnya juga pucat lesi.

"Mika!.. Mika!!..." panggilnya kuat sambil duduk bercangkung di sebelah tubuh Mika yang kaku tidak bergerak.

"Mika! Please, Mika. Please…." serunya lagi. Tetapi, lelaki berambut coklat itu tetap diam membatu.

"Yaya!!!"

Dia mendongakkan wajah sebaik mendengar Hanis memanggil namanya. Dia, perlukan Hanis untuk mententeramkan perasaan takutnya itu. Cuma, dia hairan kerana wajah Hanis tenang sahaja melihat kejadian yang sedang berlangsung. Tiada riak terkejut atau bimbang. Irfan, turut berada di sisi gadis itu. Wajah mereka seirama.

Suraya, terkelip-kelip memandang kedua wajah itu.

"Boo!!!"

Jerit Hanis dan Irfan. Mikael yang terbaring tiba-tiba tergelak besar.

'Hah!!!'

Suraya membulatkan biji mata. Air jernih yang baru hendak melentur terbenam. Keningnya sedikit terangkat memandang Hanis dan Irfan yang sedang terbahak-bahak ketawa. Begitu juga pelajar-pelajar yang lain. Terpinga-pinga dirinya sebelum dia mulai memahami situasi yang berlaku. Mereka semua sedang mengenakannya! Bertubi-tubi tumbukan dihadiahkan kepada Mikael sebelum Hanis dan Irfan pula menjadi sasaran. Dikejarnya kedua orang sahabatnya itu sehingga ke pintu gerbang kampus.

"Rindu dekat Mika."

Suara Hanis memecahkan bayangan memori Suraya. Dia menoleh ke arah Hanis di sisi. Tersenyum pendek sambil menganggukkan kepala. Sekali lagi mereka tenggelam seketika di dalam memori mengingati lelaki bernama Mikael itu.

"Korang tau tak ada satu kumpulan volunteer yang pergi ke benua Afrika untuk menyediakan bekalan elektrik buat sekolah-sekolah di pedalaman. Beberapa orang senior kita join dan Mika pun ada. Sekarang, diorang di Namibia." maklum Irfan membuatkan Suraya dan Hanis sama-sama tergamam.

"Dari mana you tahu?" soal Hanis seakan kurang percaya dengan maklumat itu.

Irfan senyum sebelum melirik dengan pandangan penuh bermakna.

"Nanti I bagi satu link untuk buka website group tu. I kerap juga follow nak tengok perkembangan kerja-kerja diorang."

Seperti akujanji, kedua teman baik itu sama-sama menganggukkan kepala.

"Mari. I hantar balik. Dah lama you all dekat sini, kan?" pelawa Irfan sambil bingkas berdiri.

Hanis menurut, diikuti Suraya. Dalam hati, tidak sabar Suraya mahu pulang. Bukan alasan letih semata tetapi, kerana ada banyak persoalan mengenai Irfan yang ingin ditanyakan kepada Hanis. Pandangan dan aksi dua orang temannya itu agak mencurigakan pada matanya.

Dia, sedang duduk santai di ruang tamu sambil mengeringkan rambut yang basah dengan sehelai tuala kecil ketika Hanis keluar dari bilik tidurnya dan duduk menyertai. Alat kawalan jauh ditekan. Sitkom The Nanny sedang bersiaran. Baguslah. Rancangan komedi itu antara rancangan kegemaran tak lapuk dek zaman yang masih relevan ditonton sehingga kini. Komedinya bersahaja tetapi terkena tepat ke batang hidung. Cuma, kerana ianya buatan barat, humor yang dipersembahkan lebih terarah kepada budaya di sana.

"Dah kenapa muka tu?" soalnya sebaik terpandangkan wajah temannya itu. Dah macam pelakon opera Cina akibat ditempek dengan bedak sejuk yang tebal.

"Itulah. Keluar tadi... Dah banyak naik jerawat pasir dekat muka. Eei...tak sukanya." sungut Hanis sambil mencemikkan bibir. Jari-jemarinya menekan-nekan wajah seperti membuat urutan.

"Dah dapat jumpa buah hati nak merungut pulak." perli Suraya.

Hanis tidak menjawab sebaliknya cuma tersengih. Pandai Hanis menyimpan rahsia. Rupa-rupanya hubungan mereka berdua mulai mesra setelah Hanis berjaya menamatkan pelajaran. Cuma, baru-baru ini perhubungan itu bertukar semakin rapat. Patutlah asyik berkepit dengan telefon akhir-akhir ini!

Sitkom komedi yang ditonton tamat bersiaran lalu Suraya bingkas bangun dan menuju ke biliknya. Hanis pula menghilang ke dapur. Ingin membancuh minuman katanya.

"Yaya!"

Dia yang sedang berdiri di jendela melihat pemandangan kotaraya nun di kejauhan berpaling. Hanis sedang bersandar di muka pintu dengan segelas air di tangan. Suraya mengangkat kedua belah keningnya.

"Bulan depan aku nak bertunang."

Sikat yang dipegang terlepas dari genggaman. Mulut sedikit terbuka. Hanis tersengih melihat sorotan itu.

"I. Hate. You." ujar Suraya menyebut kata-kata itu satu per satu. Sikat yang terjatuh digapai.

Pantas, Hanis menghilangkan diri ke bilik tidurnya sebaik menyedari gerakan Suraya untuk menyerbu. Baru saja tangan dihulurkan ke tombol, pintu kedengaran dikunci dari dalam. Suraya berdiri di luar pintu sambil tangan bercekak pinggang dan perasaan bengang.

"Hanis! Kau tau kan aku sayangkan kau. Tapi, kau baru je couple dengan dia... Tak ke terlalu awal?" tuturnya dengan suara sedikit tinggi.

"Kita dah lama kenal dia, kan? Dari U lagi..."

Hanis membetulkan. Dapat Suraya rasai yang Hanis juga berada di sebalik pintu itu.

'Arrghh! Perlu ke bercakap macam ni?'

"Sharifah Yuhanis! Bukak pintu!!" laungnya keras.

Tidak perlu menunggu lama, selak yang mengunci kedengaran dibuka. Suraya tersenyum sinis. Tentu Hanis sudah masak dengan sikapnya yang satu itu. Andai suara keras itu mula bergema temannya pasti yang dia sedang serius.

"Kau nak marah sebab aku nak bertunang ke?" tanya Hanis. Hanya kepala sahaja yang tersembul keluar. Mungkin menjadikan daun pintu sebagai perisai andai dia diserang secara tiba-tiba lagi.

"Eh, tak kuasa aku," ujar Suraya masih bercekak pinggang dan wajah pura-pura garang.

"Aku bengang sebab tak ada angin ribut tiba-tiba dapat berita gempar ni. Paling kurang pun bagilah hint. Ini semuanya dalam satu hari tau, tak? Mula-mula aku dapat tahu korang bercinta, tiba-tiba nak bertunang pulak. Kau biar betul? Mak Long tahu, tak?" tembaknya bertubi-tubi. Puas hatinya dapat menjelaskan apa yang dipendamkan secara depan-depan.

"Sebab diorang tak tahulah aku kena rancang untuk bertunang dulu. Kalau tak, kau tau kan apa akan jadi?"

Suraya terdiam. Mengenali Hanis dan keluarganya dari kecil dia tahu serba-serbi tentang mereka. Pak Long, seorang ayah yang terlalu mengawasi kehidupan anak-anaknya. Mak Long pula agak longgar dalam disiplin namun, ada kalanya satu kepala sahaja dengan Pak Long.

"Hmmm... Tau. Takde tunang tunang kau terus kena kahwin."

"Sebab tu aku bagitau kau ni. Nak tanya pendapat kau, lah. Nak bagi alasan apa supaya aku dapat lalui proses bertunang tu."

Suraya mengeluh perlahan. Wajah gadis yang sedang menikus di balik pintu ditenung sebentar.

"Jom, bincang." ucapnya lantas daun pintu terbuka lebar bersamaan dengan lebarnya senyuman Hanis ketika ini.

Previous: Bab 4
Next: Bab 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.