Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 24


"Abah!.."

Encik Ahmad Fauzi menoleh. Sedang duduk di atas katil sambil memegang telefon pintar. Satu senyuman melekap di wajah. Katil yang boleh dilaraskan itu ditinggikan sedikit pada bahagian kepala. Manakala dua biji bantal disusun sebagai tempat bersandar. Sekali imbas tidak kelihatan seperti mangsa kemalangan. Jangankan luka, segaris calar pun tiada.

Suraya menerpa. Dibelek muka, kedua belah tangan, belakang badan dan kaki abah. Encik Ahmad Fauzi membiarkan sahaja gelagat anak gadisnya itu. Puas menyiasat Suraya duduk di birai.

"Sorry, Yaya lambat sampai." ucapnya. Beg yang digalas diletakkan ke atas kerusi. Tangan abah dicapai dan dikucup. Satu elusan di kepala membuatkan dia mengangkat wajah. Kaku dan serba salah melihat abah tetap dengan senyuman.

"Abah, macam mana tadi? Apa kata doktor waktu scan? "

Sekali lagi dia memerhati keadaan abah. Baru perasan tiada lagi IV drip di tangan. Lega sedikit. Abah tetap senyum. Gelisah pula melihat.

"Abah... Cakaplah. Kenapa senyum je?" getusnya gusar.

"Yaya, abah okay. Alhamdulillah, doktor kata tak ada sebarang kecederaan dalaman."

Suraya mengucap syukur. Tangan abah digenggam erat. Dada mula berombak. Sedari awal dia tak mampu untuk mengatakan hal yang sebenar. Terbuka sahaja mulut bukan kata-kata yang terkeluar tetapi, tangisan. Antara dua. Luahkan di saat itu atau kemudian saja. Jikalau terus dikatakan bimbang memberi tekanan bukan sahaja kepada dirinya sendiri malah abah juga. Dia menghela panjang. Wajah ditundukkan. Air mata yang mengugut di tubir disekang. Ditutup sekejap kelopak mata. Rapat. Hingga dirasakan tiada air jernih yang bergenang wajah kembali diangkat memandang bapa tercinta.

'Andai ditangguhkan mahukah abah memberi maaf kerana sengaja dilambatkan mendapat tahu?'

Wajah abah, tenang sahaja merenungi dirinya. Makin serba salah jadinya.

"Abah dah makan?"

Entah bagaimana soalan itu yang terpacul. Abah angguk. Ombak di dada berubah sedikit landai.

"Dah... Abah dah makan." sahut lelaki itu lembut.

Lantas dirangkul tubuh abahnya. Dakapan yang membawa pelbagai alasan. Gembira dengan keadaan abah yang sejahtera, sedih dengan pemergian mummy yang belum diketahui oleh abah dan rasa bersalah kerana terpaksa mengunci mulut.

Encik Ahmad Fauzi, membalas pelukan anak yang dikasihi. Erat.

"Sorry. Abah kena makan sorang-sorang."

Suraya melepaskan rangkulan. Abah menggeleng.

"Abah ada kawan baru. Dari tengah hari dia teman abah."

Sedikit terpinga-pinga Suraya menjarakkan kedudukan. Siapa pula yang datang melawat abah?

"Siapa?"

"Kawan Yayalah. Semua baik-baik. Senanglah hati abah bila tahu Yaya ada kawan pejabat yang baik hati macam tu."

Makin terkebil jadinya. Siapa teman pejabat yang datang menziarahi abah tetapi terlupa untuk memaklumkan kepadanya?

"Err, siapa nama dia, abah?"

"Hadi. Mr. Lee pun ada. Tapi, sekejap. Budak Hadi paling lama duduk sini. Dari tengah hari sampai ke petang. Sempat teman abah makan tadi. Tu, buah tangan." cerita Encik Ahmad Fauzi sambil memuncungkan mulut ke arah meja kopi.

Suraya melarikan pandangan. Melihat sebakul buah-buahan terdampar di situ.

'Hadi?'

Oh, tak sangka betul Suraya akan kebaikan lelaki itu yang berbuat baik di belakangnya. Kemudian nanti dia mahu ketemu. Mahu mengucapkan berbanyak terima kasih atas budi yang tidak mampu dibalas itu. Mengingati hal itu baru dia teringat akan permohonan cuti yang belum dibuat.

'Alamak! Betul-betul lupa.'

Nantilah pada malam nanti setelah dirasakan keadaan sedikit tenang. Saat ini tubuhnya masih penat akibat perjalanan yang ditempuh.

"Yaya, sorang aje?"

Seketika, terkelip-kelip Suraya menatap wajah abah. Hanya satu senyuman tipis yang terukir. Kemudian, angguk.

"Esok, Inshaallah abah akan terima tetamu. Pak Long dan Mak Long dan kawan-kawan abah di jabatan. Petang ni Yaya booked abah untuk Yaya sorang."

Entahkan petang atau malam. Tetapi rasanya ketika dia tiba tadi, hari sudah menghampiri waktu senja.

Encik Ahmad Fauzi senyum lagi. Senang melihat keadaan anaknya meski dia sedar ada sesuatu yang belum disampaikan oleh Suraya kepadanya.

"Yaya rehatlah." ujarnya kemudian.

Sebenarnya, Encik Ahmad Fauzi enggan membiarkan anaknya resah dan gelisah tidak tentu hala. Bukan dia tak perasan, tetapi sengaja dibiarkan. Kerana dia sendiri tidak tahu bagaimana mahu memulakan bicara atas suatu perkara yang maha berat itu. Memikirkan sahaja dada terasa ketat apatah lagi membuka mulut. Ingin dipastikan Suraya dalam keadaan tenang barulah dia akan memberanikan diri untuk berbicara.

Bagi anaknya, mungkin dia itu tidak tahu menahu. Tetapi, segala perjalanan bermula dari awal pagi tadi sehinggalah anaknya itu kembali semuanya dalam pengetahuannya. Tidak sabar Encik Ahmad Fauzi mahu bertemu dengan Dr. Adrian. Terlalu banyak kebaikan dan bantuan yang diterima dari pemuda itu. Benarlah. Dia tidak salah menilai sejak dari kali pertama bertemu.

"Okay." sahut Suraya sekaligus mematikan lamunan bapanya itu.

Digagau beg galas lalu bangun untuk memasukkan ia ke dalam lokar yang disediakan. Sepasang persalinan untuknya sempat dikeluarkan sebelum dia berlalu ke bilik air untuk membersihkan diri.

Bukan main gementar Suraya menebak berita ketiadaan mummy itu telah pun diketahui oleh abah. Tiba-tiba sahaja abah menyatakan mahu bersolat jemaah seterusnya membacakan surah Yasin dan tahlil bersama-sama. Puas dia menundukkan kepala. Enggan membiarkan abah menyedari air mata yang berjuraian ketika doa dibacakan tadi. Suraya pasti abah tahu tetapi, dia sendiri takut. Takut untuk berterus-terang dan takut untuk menyatakan fakta itu. Kerana kedua-duanya bakal membuatkan hatinya kembali remuk dan pincang.

"Yaya, abah nak tanya..." ujar Encik Ahmad Fauzi perlahan.

"Erm... Apa, abah?" soalnya sambil berpura-pura membelek bakul buah di hadapannya. Wajah abah dikerling sekilas dengan ekor mata. Tetap tenang. Jauh berbeza keadaan dengannya ketika ini.

"Mummy-.."

Encik Ahmad Fauzi tidak dapat meneruskan kata-kata. Bukan kerana melihat air mata yang meluncur laju di pipi anaknya itu. Tetapi, sebak dan sesak dadanya sehinggakan tidak mampu meneruskan. Suraya pula hanya mampu menangis dalam diam.

"Abah tahu Yaya... Abah tahu..," maklum Encik Ahmad Fauzi seraya memegang kuat bahu anaknya. Ditarik nafas yang panjang. Benarlah. Memikir sahaja sudah berat apatah lagi mengucapkannya.

Spontan, Suraya meluncur ke dalam pelukan bapanya. Barulah kedengaran esakan kecil dari bibir anak itu.

"Sabar, sayang... Dah sampai masa mummy yang pergi dulu." pujuk Encik Ahmad Fauzi. Dipejamkan mata. Menahan air mata yang dirasakan bergenang dari kejatuhan. Memujuk anak dan memujuk dirinya sendiri. Dia bernafas dengan perasaan yang galau. Ingin terlihat gagah di mata Suraya supaya anaknya itu turut tabah.

Dan, semestinya anak itu mampu. Darah yang mengalir dalam tubuh anak itu mewarisi kekuatan jiwa kedua orang tuanya. Cekal dan kuat semangat kerana, ketika usia sepuluh tahun isterinya Norlin telah menjadi yatim piatu. Lima tahun kemudian, barulah gilirannya pula. Dan sungguh aneh, anaknya turut merasa tempias nasib seperti kedua orang tuanya. Kehilangan orang tua di usia muda.

"Yaya, rindu mummy…" bisik Suraya dalam sedu.

Encik Ahmad Fauzi mengangguk lemah. Mengiyakan perasaan yang sama. Siapalah tidak merindui sosok yang ikhlas mencurahkan kasih tanpa mengharap balas. Melepas segala kemahuan diri demi keluarga tersayang. Meski tegas, bicaranya santun. Walau sudah berusia terkadang masih tersingkap kenaifan. Bukan dibuat-buat tetapi begitulah tabiat. Sekecil-kecil pertolongan yang diterima kekal teringat. Seseorang yang mengenang budi dan jasa. Itulah arwah sang isteri yang tercinta. Hati tersayat pedih. Jiwa membeku rindu. Semua sudah berlalu. Apa yang tinggal kini haruslah disyukuri.

"Kalau rindu mummy, panjatkan doa. Mohonkan keampunan..," Encik Ahmad Fauzi menyepi. Menelan duka nestapa buat seketika kemudian berkata,

"Banyakkan membaca ayat-ayat Al Quran dan hadiahkan pahalanya untuk mummy. Bila sedekah, niatkan atas nama mummy. Mummy tertunggu-tunggu hadiah dari Yaya. Inshaallah. Moga-moga ALLAH Yang Maha Agung terima amalan kita." ujarnya perlahan namun jelas. Ingatan untuk anakanda juga dirinya.

Suraya mendengar. Namun terus berdiam dalam sedu.

'Duhai anak, sungguh engkau lebih tabah dariku.'

Bahu Suraya yang dirangkul dielus lembut. Tiada lagi ucapan. Memberi ruang kepada diri masing-masing mengenang memori silam yang terasa jauh untuk digenggam. Bayangan si isteri terlayar di minda. Hati kecil memohon agar gambaran itu tidak terlupus oleh usia.

"Abah..." seru Suraya.

"Erm..."

"Sebab tu sikap mummy lain macam aje kan akhir-akhir ni. Tak sangka..." ucapnya setelah lama mereka membisu. Sekali lagi berjuraian air mata tanpa dapat ditahan. Sedaya upaya Suraya menguatkan diri dan semangat. Dia tidak mahu kelihatan seperti meratap. Dia cuma sedih. Terlalu sedih. Kerana sedih ke atas kematian itu suatu rahmat dari ILAHI. Satu fitrah. Dia, cuma meraikan perasaan itu.

Encik Ahmad Fauzi mengangguk. Bila disatukan kepingan memori, barulah logika ditemui. Namun, siapalah yang mampu melawan takdir dan kehendakNYA. Tabah dan redha sahaja yang boleh dilakukan.

"Malam ni malam pertama mummy di alam sana. Yaya doakan banyak-banyak untuk mummy. Minta dilapangkan kubur mummy." kata Encik Ahmad Fauzi lagi.

Suraya hanya membisu. Tiada lagi kata yang terungkap. Cukuplah dijawab dengan perbuatan sahaja.

Jam 5.00 pagi dia sudah terjaga. Tidurnya di sofa. Terdengar bunyi air dari bilik air, dikerling katil. Kosong. Ditegakkan tubuh lalu duduk bersandar. Diam menunggu. Bunyi selipar jepun yang basah bergesel dengan lantai makin kuat. Dia menoleh melihat abah keluar dari bilik air. Sama-sama, mereka berbalas pandang. Satu senyuman kecil diterima.

"Kalau mengantuk lagi, tidurlah. Abah nak solat. Nanti kita solat Subuh sama-sama." ucap Encik Ahmad Fauzi.

Suraya mengangguk sahaja. Memerhati abah menghamparkan sejadah. Berkain pelikat dan berbaju pagoda yang dibawa olehnya pada petang semalam. Dua persalinan baju bersih turut diselitkan.

Suraya kembali merebahkan tubuh. Dengan keadaan mengiring, diperhati perlakuan abah yang sedang solat sunat dua rakaat kemudian berwirid. Sewaktu kecil dahulu, dia pernah melihat perbuatan abah itu kerana ketika itu dia tidur sebilik dengan kedua orang tuanya. Setelah mempunyai bilik tidur sendiri kebiasaan itu tidak lagi menjadi tontonan ketika terjaga pada waktu dinihari. Sekali lagi, ungkapan tahlil didengari. Tenang, dia mendengarnya. 

Previous: Bab 23
Next: Bab 25

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.