Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 6


Selesai merapikan tudung di kepala, Suraya bergegas keluar dari bilik. Kedua orang tuanya sedang duduk di ruang tamu dalam persalinan baju kurung dan melayu. Segak sekali penampilan abah bersampin tenun tangan hadiah daripada mummy bersempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ke 25 tahun. Kalau bab melaram, berilah pada abah. Sakan bergaya. Tetapi, Suraya gemar akan rupa abah ketika bergaya. Rambut ikal yang dipotong pendek sentiasa disapu minyak agar tidak kering. Sebagai seorang pegawai kerajaan, pekerjaan banyak mempengaruhi penampilan abah. Jikalau tidak ke pejabat, abah gemar mengenakan kemeja berlengan panjang dan sepasang seluar slack hatta ke kedai kopi apabila dipelawa oleh teman kejiranan. Namun, apabila santai di rumah cukup sehelai pagoda dan berkain pelikat.

"Marilah kita pergi... Tak sabar mummy nak tengok apa lagi yang tak cukup." kata mummy sebaik terpandangkan kelibatnya di situ.

"Mummy ni macam dia pulak nak terima menantu." usik abah membuatkan Suraya tergelak kecil.

"Apa tu?" soalnya sebaik tawanya mati. Sambil tercegat berdiri di belakang salah satu sofa yang ada, lirikannya jatuh kepada sebuah bungkusan plastik putih di atas meja.

"Kain alas meja. Mummy Yaya ni punya tak sabar nak dapat menantu sampaikan senyap-senyap dia beli kain tu secara online. Dua jenis pulak tu." sahut abah terlebih dahulu.

Suraya kehilangan kata. Tak mungkin ibunya terpengaruh dengan kata-kata Mak Jah dahulu!

"Abang jangan fitnah Nor, ye. Nor bukan tak sabar nak bermenantu... Nor cuma geram tengok kain-kain ni semua. Dahlah cantik, murah pulak tu."

Suraya menarik lega mendengar penjelasan mummy itu.

'Hmm.. Dah nama orang perempuan kan?'

"Tapi, kenapa mummy beli kain alas meja? Bukan kain pasang?" soalnya kehairanan.

Mummy, tersipu-sipu dengan senyuman.

"Nak buat macam mana, Yaya. Kain pasang dalam almari tu banyak lagi yang belum berjahit. Nak beli cadar mummy baru beli tiga bulan lepas. Kali ni sengaja mummy buat kelainan sebab mummy tak pernah ada stok kain alas meja ni."

Suraya menepuk dahi. Abah tergelak besar. Karenah mummy yang satu ini kadang kala mengundang perasaan geram kepada dirinya. Tabiat yang gemar berbelanja tanpa berfikir panjang itu sering mendatangkan kesan yang buruk sahaja. Tetapi kata mummy, berbelanja begitu mampu menjadi terapi minda buatnya.

'Alasan, mummy... Alasan!'

"Habis tu, kenapa sampai dua?" Dia memprotes. Sedikit tidak puas hati dengan bilangan yang dibeli.

"Mummy tak tahu yang mana satu mummy nak. Dua-dua kain ni cantik sangat."

Makin galak pula abah ketawa. Suraya mengeluh perlahan. Kesal pulak kerana disebabkan oleh dialah mummy pandai berbelanja di atas talian. Sebelum ini, beria-ia mummy meminta mengajarkan cara-cara menggunakan aplikasi membeli-belah itu. Kerana tidak mahu mummy ketinggalan dengan kemajuan teknologi diajarkan juga kaedah menggunakan beberapa aplikasi atas talian. Sekarang, hadapilah hasil tuaiannya itu.

"Alah, tapi tak rugi pun... Mummy dah tanya Mak Long, dia berkenan dengan warna maroon ni." sahut mummy menafikan sebarang risiko dalam pelaburannya itu.

Suraya menjeling kain berwarna merah bata yang ditarik keluar sedikit oleh mummy dari bungkusan. Tidak dinafikan sememangnya cantik. Kepala, digelengkan beberapa kali. Abah langsung tidak mahu campur tangan. Bagi abah, apa saja yang menjadi kegembiraan mummy, kebahagiaan juga bagi dirinya.

"Yaya tak tahu nak cakap apa lagi. Tapi, kalau boleh, mummy janganlah membeli sampai tahap membazir." Dia mengingatkan dengan lemah-lembut.

Mummy tersengih sambil berjanji akan cuba untuk mengurangkan kuantiti beliannya selepas ini.

Sambil berjalan beriringan dengan mummy ke arah dua buah khemah yang dipasang di tengah-tengah jalan, dia memerhatikan keadaan sekitar. Lorong di hadapan rumah sekali lagi ditutup buat sementara bagi meraikan majlis yang bakal berlangsung. Keadaan itu mengingatkan dirinya akan majlis kesyukuran yang diadakan sebelum ini. Cuma, ianya berbeza kerana majlis kali ini lebih meriah dengan lantunan selawat dan alunan nasyid yang tidak henti dari tadi.

Jauh di sanubari, terdetik perasaan sayu mengenangkan langkah demi langkah yang bakal diambil oleh Hanis selepas ini. Rupa-rupanya, nekad Hanis bulat. Walaupun puas dia memujuk agar perkenalan mereka itu dilanjutkan buat satu tempoh lagi, gadis itu enggan. Tempoh pertunangan yang diizinkan oleh Pak Long dan Mak Long sudah seperti satu rahmat buat Hanis dari terus terjun melangsungkan perkahwinan. Dan walaupun nampak buru-buru, Suraya sentiasa menyokong keputusan temannya itu.

Bungkusan yang mengandungi kain yang dibelikan oleh mummy terbuai mengikut rentak gerakannya. Dikerling jam di tangan. Sudah jam 11.00 pagi. Mujurlah cuaca pagi itu agak redup. Dia sudah bersiap cantik untuk majlis itu. Sepasang baju kurung Pahang berwarna biru gelap menjadi pilihan.

"Yaya, mari tolong mummy." pinta Puan Norlin.

Masing-masing memegang hujung kain yang berbidang lebar itu untuk dihamparkan di meja panjang yang bakal diletakkan dengan dulang lauk pauk. Raj, anak bongsu Aunty Lela yang baru tamat persekolahan datang menghampiri dengan membawa sebiji bakul mengandungi kotak tisu dan sudu garpu pakai buang. Lalu, remaja itu mula menyusun kerusi ke setiap meja makan yang ada. Suraya pula terus sibuk menghamparkan kain alas di setiap meja bulat. Mummy pula sedang mengeluarkan kotak tisu untuk diagihkan ke setiap meja yang ada.

"Nor!"

Sapa seorang tetamu wanita yang baru tiba. Seperti magnet, Suraya berpaling untuk melihat gerangan tetamu yang menyapa itu. Terkesima dia buat seketika menyaksikan kehadiran yang anggun dari wanita itu. Bukan sahaja penampilan yang menawan, rupa klasik seperti seniwati era hitam putih itu membuatkan dia tenggelam dalam pesona.

"Ya ALLAH, Kak Azah!.. Lamanya tak jumpa!.." sahut Puan Norlin sambil merangkul wanita yang bernama Azah itu.

"Yaya, mari sini. Mummy rasa Yaya dah lupa siapa ni."

Tersipu-sipu Suraya mendekati sambil tersenyum malu. Dihulurkan tangan menyalami wanita itu. Puan Azah, terus menariknya ke dalam pelukan. Suraya terpempan. Setelah beberapa detik barulah wanita itu meleraikan rangkulan sambil tersenyum memandangnya.

"Teringat dekat Azura, Nor."

Tangannya terasa erat dipegang. Sedangkan dia, masih dibiar kekeliruan.

'Siapa pulak Azura?'

"Yaya, inilah makcik Azah. Makcik Azah ni Mak Usu kepada Hanis." jelas Puan Norlin menyedari wajah keliru yang terpamer di hadapannya.

"Panggil Maksu aje, Yaya." Puan Azah menyampuk.

Suraya senyum sebelum mengangguk kecil.

"Kali terakhir Maksu jumpa Yaya rasanya lima belas tahun lalu. Yaya kecil lagi waktu tu. Tentu dah lupa dekat Maksu."

Suraya masih tersipu. Patutlah dia tidak mengecam wanita itu. Mummy, mempelawa Puan Azah duduk di meja bulat berhampiran. Dia pula kembali menyambung tugas mummy yang tertangguh sebentar tadi. Sesekali, terdengar suara mummy dan Maksu Azah ketawa. Dia tertanya sendirian. Hanis, tidak pernah menyebut nama Maksu Azah sebelum ini. Mungkinkah dia yang tidak begitu prihatin sewaktu Hanis bercerita?

"Akak datang dengan siapa?"

Suraya mendengar mummy menyoal ketika kotak tisu terakhir diletakkan di atas meja. Kemudian, dia kembali ke meja panjang untuk menguruskan bungkusan sudu dan garpu.

"Azlan. Tu, dia yang berbaju hijau tu."

Entah kenapa Suraya turut menoleh melihat empunya diri yang merupakan sepupu kepada Hanis. Seorang lelaki muda di dalam t-shirt polo berwarna hijau gelap sedang berbual dengan ahli keluarga Hanis di bawah khemah kecil di perkarangan rumah. Dari agakannya, lelaki itu lebih kurang sebaya dengannya.

Selesai kerja-kerja di bawah khemah itu, mereka bertiga beransur pula ke dalam rumah. Suraya sudah tidak sabar untuk bertemu dengan teman baiknya itu. Senyap-senyap, dia menyelinap ke dalam bilik tidur Hanis yang dipenuhi dengan sanak saudara yang sedang menjadi penonton memerhatikan wajah Hanis disolek oleh seorang juru mekap. Cantik sekali wajah mulus itu di matanya. Terpandangkan dirinya di muka pintu, melingkar sebuah senyuman di bibir Hanis. Suraya membalas.

Sebaik Hanis berpaling, dia keluar dari situ. Beredar ke sebuah bilik yang berfungsi sebagai stor yang berada bersebelahan sahaja dengan bilik tidur rakannya itu. Selok belok di dalam rumah itu sudah berada di dalam kepalanya. Rumah keluarga Hanis itu sudah seperti rumah keduanya. Setiap sudut dalam rumah itu menjadi saksi keakraban hubungan persahabatannya dengan Hanis. Dan, setiap sudut itu juga menyimpan pelbagai kenangan ketika dia datang bertandang untuk bermain di rumah itu.

Daun pintu ditutup rapat. Gelap dan dia tidak berhasrat membuka suis lampu.

"Yaya, apa kata tahun pertama kita kerja, kita explore pulau dulu."

"Wow, bagus tu. Sepanjang kita belajar, bebudak marine tak habis-habis promote ke pulau. Tak sabar aku nak jejak kaki. Biasa tengok gambar aje." luahnya dengan perasaan teruja. Ketika itu, mereka baru menamatkan pelajaran dan masih menunggu untuk panggilan berkerja. Di halaman rumah itu, mereka duduk berbual dan berbincang tentang masa hadapan. Tentang perancangan yang ingin dilaksanakan bersama-sama, tentang impian kehidupan dan tentang bucket list.

Air mata yang ditahan sejak tadi tumpah jua. Hanis, bakal menjadi tunangan orang sebentar lagi. Fakta yang dalam diam membuat perasaannya bertukar hiba. Hilanglah satu-satunya teman baik yang dia ada selama ini. Mungkin juga, impian mereka kelmarin. Sebenarnya, sejak dari mula Hanis bersuara untuk melangsungkan pertunangan, dia sudah berasa kehilangan. Dia belum bersedia menghadapi hari di mana Hanis akan memulakan satu fasa baru di dalam kehidupannya. Irfan, akan membawa Hanis jauh dari hidupnya.

"Yaya!"

Suraya terkejut. Cepat-cepat disapu titisan air mata yang tumpah. Ketukan yang bertalu di pintu mati sebaik dia memulas tombol. Hanis menyerbu masuk lantas mengunci pintu dari dalam. Gadis itu juga enggan menyalakan lampu. Membiarkan kegelapan menemani bicara mereka berdua. Sejak kecil lagi bilik stor itu merupakan spot persembunyian mereka berdua. Menyorok dari dimarahi oleh Mak Long atau pun bersembunyi kerana enggan bermain bersama-sama adik lelaki Hanis yang gemar mengekor ke mana sahaja mereka berdua pergi.

"Kau nangis, kan?"

Suraya membisu. Tidak mahu menafi.

"Aku ingat kita dah habis bincang tentang hal ni."

Suraya tetap mendiamkan diri. Hanis mencapai tangannya dan menggenggam erat. Wajah itu sedang merenung wajahnya. Menantikan sebuah penjelasan.

"Aku sedih sebab kau akan pergi jauh dari hidup aku lepas ni," Suara yang agak lemah terpacul. Belum sempat Hanis membuka mulut, Suraya memberi isyarat tangan. Diam.

"Dalam masa yang singkat kau bertunang… Tak mustahil bulan depan atau hujung tahun ni kau kahwin pulak. Aku, macam mana?"

Sepi.

"I hate you, Han." tambahnya kemudian.

Hanis terpaku. Mungkin tidak menyangka perasaan sebenar yang dirasai oleh teman baiknya itu. Dengan satu senyuman pendek, kedua tangannya diangkat memegang bahu Suraya.

"First, apa yang kau cakap tu semua betul. Second, untuk pengetahuan kau, aku dah terangkan awal-awal lagi dekat Irfan. Kau dan aku macam adik-beradik kembar. Aku tak boleh tinggalkan kau, kau sebahagian dari aku. Lastly, I hate you too, Yaya." ungkap Hanis panjang lebar. Matanya memandang ke dalam mata Suraya.

Lama mereka begitu sebelum kedua-duanya tergelak kecil. Suraya terpujuk. Hanis, menyapu alur basah yang berlinangan di pipi Suraya. Buat seketika, mereka berpelukan meraikan perasaan yang sedang diluahkan.

"Jom." kata Suraya terlebih dahulu.

Hanis mengangguk.

"I love you to death, Yaya." bisik Hanis.

"I know you do." sahut Suraya ceria sebelum mereka tertawa bersama-sama.

Majlis pertunangan itu berjalan dengan lancar. Pihak lelaki membawa tiga buah dulang hantaran dibalas lima daripada pihak perempuan. Wang hantaran dan tempoh pertunangan dibincangkan. Jurucakap pada hari itu adalah abah. Patutlah lain macam abah melaram. Hanis yang duduk menunggu di dalam bilik dibawa keluar oleh Mak Long menuju ke sebuah pelamin comel yang dihias indah dengan bunga-bungaan. Sepersalinan baju kurung moden berona pic lembut itu menyerlahkan penampilan Hanis yang sedia cantik jelita. Senyuman tidak putus di bibirnya. Ibu Irfan mendekati dan duduk di sisi. Acara menyarung cincin mulai riuh dengan sanak saudara yang tidak mahu ketinggalan mengabadikan detik bahagia itu. Masing-masing berebut dengan jurugambar untuk mendapatkan shot yang terbaik. Suraya tersenyum. Sempat juga dia bergambar dengan Hanis yang kini sudah sah bergelar tunangan orang itu di atas pelamin.

Previous: Bab 5
Next: Bab 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.