Home Novel Keluarga Khas Buat Suraya Anne!
Bab 13


Sebaik waktu pejabat bermula, laporan menggunakan templat yang disediakan dalam perisian Microsoft Excel itu tekun dilaksanakan. Hampir dua buah laporan telah berjaya siap sebelum disimpan ke dalam satu fail khas. Masih berbaki satu laporan yang belum dibuat sebelum kesemuanya perlu dihantar kepada Mr. Lee pada jam 4.00 petang nanti.

Sesekali, perbualan pendek berlangsung di antara Suraya dan teman-teman di meja kerja berbentuk segi empat tepat itu. Sesekali, di antara tiga orang lelaki itu pula.

Menghampiri waktu rehat tengah hari, Amy dan Lisa mempelawanya untuk makan tengahari bersama-sama. Namun, oleh kerana telah sepakat dengan tim sendiri, pelawaan itu ditolak secara baik.

Hari itu mereka bertiga dibawa oleh Zamri ke tempat yang agak jauh dari pejabat kerana perlu menaiki kereta untuk sampai. Sebuah restoran nasi lemak yang terletak di atas sebuah kawasan berbukit dan daerahnya terselindung oleh litupan hutan semulajadi. Tetapi, ia dikenali ramai.

Terkejut bukan kepalang Suraya tatkala melihat barisan yang beratur untuk mengambil makanan. Namun, Zamri terlebih dahulu membuat rancangan. Awal-awal lagi lelaki itu sudah membuat tempahan meja.

"Abang Zam ni nak berhenti kerja ke?" solorohnya dengan selamba.

Mereka masih duduk di situ meski telah selesai menjamu selera. Hanya gelas minuman yang masih berbaki. Manakala pinggan nasi dan lauk-pauk licin dikerjakan oleh mereka.

"Ha'ah. Hujung bulan."

Suraya berasa terpukul. Tetapi, nampaknya dia seorang sahaja yang begitu. Hadi dan Aidil tenang sahaja mendengar pengumuman daripada Zamri. Dia, terlambat tahukah? Dijungkit kedua belah bahu.

'Oo... lupa pulak! I don't matter.'

Pada kesempatan itu, Zamri mula memberi bayangan akan tempat kerja dan tugas baharunya nanti. Dia tidak lagi dituntut untuk turun ke tapak projek sebaliknya lebih banyak berada di pejabat. Jikalau keadaan memerlukan, barulah dia berada di lapangan.

Menghampiri jam 2.00 petang, mereka kembali ke pejabat. Suraya bergegas menuju ke surau untuk menunaikan solat fardhu sebelum kembali menyambung tugasan.

Tanpa dia sedari ketika baki laporan itu disiapkan, jam sudah menghampiri ke angka keramat yang ditetapkan itu. Peti email ditekan dan fail khas itu ditukar kepada zip file sebelum dihantar kepada Mr. Lee.

"Well done, Anne!"

Suraya mendengar namanya dipekik dari dalam bilik pejabat Mr. Lee. Tipis dia tersenyum. Mr. Lee baru memuji ketepatan masa bukan hasil kerjanya. Semoga hasil kerjanya itu tidak mengecewakan Mr. Lee.

Usai tugasan itu dia mahu berehat sebentar. Tujuan itu dimaklumkan kepada Zamri dan pelepasan diberikan. Gontai langkah keluar dari tingkat enam itu diambil. Sebaik masuk ke dalam perut lif, butang ke tingkat terpaling atas ditekan.

Sesampai di tingkat itu, terus dia mendekati sebuah mesin layan diri. Puncak bangunan itu, lebih dikenali sebagai teres di kalangan staf syarikat. Singkatan daripada nama panjangnya iaitu Terrace Garden. Ia sebuah kawasan yang dibahagi menjadi dua iaitu, sebuah bilik utiliti dan sebuah kawasan rehat. Kedua-duanya diasingkan oleh sebuah tembok batu.

Berada di situ membuatkan tubuhnya kembali hangat. Tidak seperti berada di dalam pejabat dengan suhu penghawa dingin yang sentiasa rendah itu. Zip baju panas yang dikenakan lantas dibuka. Spontan fikiran melayang teringatkan hoodie Dr. Adrian yang belum dipulangkan. Terlupa. Kerana disembunyikan di dalam almari kanvas di dalam biliknya. Padahal baju itu sudah dibasuh dan dilipat kemas. Malah dimasukkan pula ke dalam sebuah beg kertas.

Setelah satu tin minuman diperolehi, Suraya mendekati sebuah bangku panjang yang menghadap ke arah ruang lepas. Beberapa buah bangku itu dan juga kerusi urut disediakan di situ. Ia diletakkan di bawah pelindung layar lebar bagi memayungi dari terik panas mentari.

Tumbuhan renek berwarna hijau memenuhi sebahagian besar landskap di situ. Manakala pokok bunga hiasan yang berwarna-warni berselang-seli melatari kehijauan itu. Ketenangan mula meresapi dan membelai diri tatkala dia duduk di situ. Oleh kerana alasan itulah sela waktu rehat yang dibenarkan oleh syarikat bagi melepaskan tekanan digunakan sebaiknya.

Tidak hanya tempat rehat, ruang bermain yang menjadi kegilaan staf lelaki turut disediakan. Di pintu masuk ruang itu terdapat pula mini stall yang lengkap dengan mesin kopi layan diri dan juga snack bar.

Suraya memerhati keadaan sekeliling. Hanya dia seorang yang berada di kawasan taman itu. Hiruk-pikuk suasana jalanan kedengaran bising namun tidak menjejaskan rasa damai yang diselami ketika ini.

Tin soda yang sejuk itu dibuka dan minuman bergas itu diteguk perlahan. Perit sebentar sebelum rasa nyaman berganti ditekaknya. Sambil menggoyang-goyangkan kaki, diperhati langit biru yang coreng-moreng dilitupi awan putih. Diperhati bangunan demi bangunan yang mencacak di hadapan. Puas menjamu mata, sepaket tisu dikeluarkan dan setelah minuman diletakkan dia bangun.

Kaki, perlahan melangkah ke penghujung taman yang direka sedikit melengkung. Tangannya menggenggam kemas rel yang menjadi batasan antara lantai tempatnya berpijak dan angkasaraya di hadapan. Dibawa pandangan ke bawah. Kecil sahaja saiz kenderaan yang bersimpang-siur di jalanan. Ketika tempat rehat itu dikenalkan oleh Amy, dia, teruja bercampur ngeri dengan ketinggian itu. Lama-kelamaan, ia menjadi perkara biasa. Spot di rel besi itu menjadi tempat kegemarannya.

Puas mengambil angin, Suraya menjelajahi ruang permainan yang entah ke berapa kali dijejak. Hanya terdapat dua orang staf lelaki sedang asyik melayan Nintendo. Dia mencuba permainan bola di basketball arcade machine. Poin versus masa. Lazimnya, total yang dia dapat seratus lima puluh. Sedang asyik dia mengulang permainan itu kelibat seseorang yang telah lama tidak dilihat muncul. Dr. Adrian sedang berjalan sendirian dan berhenti di spot yang sama di mana dia berdiri tadi. Susuk tinggi lampai itu sering hadir dengan gaya kasual ke pejabat. Berseluar jeans biru straight cut dan berkemeja lengan panjang berwarna putih. Lengan baju itu pasti dilipat hingga paras siku. Rambut hitam yang agak panjang mencecah bahu itu diikat kemas.

Sebetulnya, selepas membantu Dr. Adrian dalam projek mini dahulu, mereka berdua belum berkesempatan untuk bertemu lagi. Apatah berpapasan di mana-mana. Dia, tidak berani untuk merisik khabar. Fikirnya lelaki itu tentu sibuk dengan tugas. Bukan satu projek yang ditangani oleh lelaki itu. Boleh dikatakan setiap projek yang dikendalikan oleh barisan teknikal akan melewati meja Dr. Adrian untuk diberikan pandangan.

Suraya tidak pasti apakah lelaki itu terlalu berpengaruh atau sememangnya itulah tugas lelaki itu mengikut deskripsi kerja yang diberikan oleh syarikat. Namun apa yang pasti, ketika ini dia ingin bertemu dengan lelaki itu untuk meluahkan rasa berterima kasih. Dia terhutang budi bukan sahaja kerana sehelai pakaian itu. Tunjuk ajar lelaki itu membolehkan pengalamannya tanpa sedar semakin luas dan berkembang.

Permainan, segera ditinggalkan. Namun baru beberapa langkah kecil diambil, tidak jadi pula dia meneruskan hayunan. Dua orang wanita tiba-tiba muncul dan dari lenggok perjalanan mereka, tujunya tidak lain melainkan ke arah Dr. Adrian. Seorang, berjalan dengan lagak santai dan terlalu ke depan. Manakala seorang lagi melangkah perlahan dengan sedikit terkebelakang. Dr. Adrian yang sedang berdiri sambil kedua belah tangan memegang rel itu menoleh sebaik wanita pertama menghampiri. Lelaki itu tertawa riang. Melihat ekspresi lelaki itu, Suraya terkesan. Perasaan yang tidak enak menyapa dirinya. Keliru dan bingung, dia mengambil keputusan untuk beredar.

Kembali ke meja kerja, dia mendapati Zamri dan ahli tim yang lain masih lagi sibuk dengan kerja masing-masing. Jam di pergelangan tangan dirujuk. Lama juga dia berada di teres tadi. Hampir dua puluh minit.

Sambil melayari server jabatan untuk mencari maklumat tentang projek yang terdahulu, fikirannya jauh menerawang. Jauh merancang. Dia, telah membuat keputusan. Petang itu dia mahu pulang dengan menaiki bas. Lagipun, jikalau menggunakan bas, tidak perlu dia bersusah untuk berjalan kaki pulang ke apartmen. Hentian turun dan naik penumpang terletak bertentangan sahaja dengan apartmen. Namun, hasrat terpendam itu tidak pernah dilaksanakan. Dia terlebih dahulu telah berjanji untuk ke pejabat bersama-sama Hanis menaiki tren. Oleh kerana kedudukan pejabat Hanis jauh dari prasarana itu, hasrat yang satu itu dipendamkan sahaja selama ini. Memandangkan sepanjang minggu itu Hanis berada di Pantai Timur menghadiri kursus anjuran jabatannya, petang itu Suraya berhajat untuk merealisasikan rancangan itu.

Sebenarnya urusan pengangkutan telah lama ditimbulkan oleh abah. Sebelum dia menjawat apa-apa pekerjaan lagi. Malah, abah dengan senang hati mahu menghadiahkan sebuah kereta baharu kepadanya.

"Tak perlulah, abah. Yaya malaslah nak berperang atas jalan setiap pagi." Dia beralasan apabila topik kereta dibuka oleh abah.

Lagipun, buat masa ini dia lebih selesa menaiki kenderaan awam. Jimat masa dan juga wang!

Tamat waktu berkerja, Suraya telah siap berkemas sambil menunggu jarum saat lengkap membuat putaran. Tepat jam 6.00, tiada seorang pun yang kelihatan mahu pulang kecuali dirinya. Masing-masing masih lagi kelihatan sibuk di meja kerja. Suraya tidak ambil peduli. Niatnya itu hampir sahaja akan ditunaikan sebentar lagi. Setelah menyapa beberapa orang teman, dia melangkah keluar sedikit gopoh.

Sekali lagi jam di pergelangan tangan dikerling. Hentian bas yang cuma berjarak dua blok dari pejabat memudahkannya mencongak masa. Setiap lima belas minit, bas awam menuju ke daerah Ampang tiba untuk mengambil penumpang. Dia tidak bimbang jikalau terlepas bas kerana, kemudahan awam amat mudah diperolehi.

"Nak pergi mana?"

Tak terungkap rasa terkejut apabila disapa secara tiba-tiba begitu. Suraya lantas menoleh. Melihat Dr. Adrian sedang bersandar pada dinding di tepi pintu masuk. Lelaki itu bersendirian. Dan ruang foyer lengang. Jelas dia yang pertama-tama keluar dari pejabat pada hari itu.

"Balik." sahutnya sepatah.

"Naik apa?"

"Bas."

"Tak naik tren?"

'Eh, banyak pulak soalan.'

"Saya dah lambat ni, bos. Kemudianlah kita bercakap." gesanya sebelum melangkah untuk menghampiri lif.

Belum sempat butang anak panah ke bawah ditekan, tiba-tiba dia terasa lengannya ditarik ke belakang. Kemas pautan itu menghalangnya dari meneruskan agenda. Dr. Adrian melangkah. Membawanya keluar ke satu lorong bersebelahan pintu kecemasan. Kemudian, ke suatu lorong sempit yang agak malap sebelum berhenti di situ. Di hadapan mereka ketika ini terdapat sebuah pintu lif tetapi, ukurannya lebih kecil.

Tubuh Suraya disambar gementar. Dia meronta meminta dilepaskan. Tetapi makin kuat pula pegangan lelaki itu. Geram permintaannya itu tidak dihiraukan dia memberanikan diri. Lengan lelaki itu beberapa kali ditumbuk. Namun, lelaki itu kelihatan kalis dari serangan itu.

Ketika pintu lif itu terbuka, dia dipaksa lagi untuk mengikuti langkah lelaki itu untuk masuk ke dalam lif tersebut. Nombor empat ditekan oleh lelaki itu.

Dada, sudah senak dengan debaran. Dr. Adrian masih selamba. Sikit pun tiada rasa bersalah. Bergetar tubuh Suraya menahan perasaan marah, bimbang dan takut. Tetapi, yang menghairankan dirinya, ke mana suaranya menghilang?

Ketika tiba di tingkat empat pintu lif terbuka. Menampakkan sebuah lapangan parkir. Setelah menapak keluar barulah lengannya dilepaskan. Tubuh Suraya melemah. Kakinya longlai tatkala melihat kereta Dr. Adrian diparkir betul-betul di hadapan pintu lif tersebut. Melihatkan dirinya yang kaku tidak bergerak, sekali lagi dia pasrah apabila tubuhnya dibawa ke kereta lalu ditolak masuk untuk duduk.

"I'm sorry!! Oh God, I'm sorry, Suraya! Saya minta maaf sangat-sangat buat awak macam tu. Saya tak sengaja... Sungguh! Saya tak sengaja!!"

Bersungguh-sungguh Dr. Adrian mengucapkan kata-kata itu sebaik duduk di tempat duduk pemandu.

Suraya menyepikan diri. Ketat dadanya mengikuti rentak turun dan naik yang pantas. Kolam di tubir mata mula berkumpul.

"Suraya, please... I'm sorry. I'm so sorry. Saya bukan nak sakitkan awak. Saya cuma nak hantar awak balik!"

Dengan lafaz itu tangannya diangkat lalu satu tamparan kuat dihadiahkan. Reaksi Dr. Adrian ketara terkejut. Biarkan! Maruahnya dengan mudah dipermainkan. Apa dia ingat dia tu bos besar, senang-senang tarik orang sana sini? Senang-senang buat sesuka hati??

"Jangan sesekali buat saya macam tu lagi!!" tuturnya dengan kemarahan yang berapi. Sejalur air matanya tumpah dan dia melihat wajah lelaki itu seakan terseksa melihatnya lantas menambahkan lagi perasaan menyampah terhadap tindakan lelaki itu.

"Awak ni memang bos yang pelik! Tak pernah dalam hidup saya jumpa orang macam awak. Terlalu egois! Kenapa buat macam ni dekat saya? Kenapa?? Sebab saya memang mudah dibuli kan? Sebab tu??" semburnya dengan lantang. Lantaklah! Tiada lagi bahasa formal digunakan. Layanan yang diterima sebentar tadi membuatkan rasa hormat terhadap lelaki itu terjejas. Jikalau kena pecat sekalipun dia tidak kisah. Kehormatan dirinya bukanlah seperti buah catur yang dipertaruhkan.

Wajah Dr. Adrian bertimpa sesal. Berkerut-kerut dahinya melihat reaksi Suraya yang tidak di sangka-sangka itu.

"Saya minta maaf, Suraya. Saya tak ada kata lain selain dari maaf. Saya, tak fikir panjang tadi." mohon Dr. Adrian berkali-kali. Andai seumur hidup dia dihukumkan dengan ucapan itu pun dia sanggup. Sungguh tak diduga sama sekali perbuatannya itu meninggalkan kesan yang mendalam terhadap gadis itu. Niatnya sebentar tadi betul-betul telah bertukar dalam sekelip mata. Sebenarnya, dia merancang untuk menghantar Suraya pulang namun, sebaik melihat keadaan gadis itu yang tergesa-gesa mahu pergi dia berasa tercabar. Apa salahnya dia menghantar gadis itu pulang jikalau memang itulah tujuannya ketika itu.

"Tak boleh ke cakap elok-elok?" soal Suraya dengan suara yang jengkel memecah kesunyian yang lama bermaharajalela.

"I-.. I don't know... I can't think. Dengan awak, saya tak mampu berfikir panjang." sahut Dr. Adrian. Ya. Berhadapan dengan gadis itu seringkali membuatkan akal panjangnya jadi pendek.

'Isy, apa kena dengan aku ni?'

Kepalanya disandarkan pada headrest dan kedua belah mata dipejamkan. Belum puas mengutuk diri sendiri yang mengambil tindakan bodoh itu sebentar tadi.

"Kenapa dengan saya? Ada apa dengan saya ni??" tanya Suraya dengan suara sedikit tinggi. Mahu tahu alasan sebenar layanan kasar yang baru diterima tadi. Wajah yang sedari tadi memandang ke hadapan, dipalingkan menghadap lelaki itu.

"You have something that I like, Suraya."

'Huh??'

Spontan dilarikan wajah. Kata-kata itu mempunyai seribu satu maksud. Dan maksud itu kurang digemari oleh Suraya. Dengan duduk yang tegak kerana masih menggalas beg, dia kembali memeluk tubuhnya. Keinginan untuk menagih alasan dari lelaki itu kuat. Tetapi jawapan yang didengari membuatkan dia menapis semula keinginan untuk tahu itu.

"Apa saja yang awak suka tu bukan alasan untuk berkasar dengan saya." ujarnya dengan tegas.

"Sekali lagi saya minta maaf, Suraya. Saya betul-betul tak mampu berfikir dengan tenang bila bertemu awak. You really have something that caught me. Something-.. I don't know. Tapi, saya pasti dengan apa yang saya rasakan."

Suraya menelan air liur. Getaran yang beransur lemah kembali bertukar rentak. Naik turun nafasnya namun tidak segila tadi.

"Saya rasa bos dah salah faham ni. Atau, salah sangka. Atau pun, salah orang. Saya rasa lebih baik saya balik sendiri. Apa yang berlaku tadi saya maafkan tapi, takkan saya lupakan!" tuturnya agak laju sebelum berpaling ke arah pintu. Pemegang dicapai. Dia ingin segera beredar dari situ. Jauh dari lelaki itu dan jauh dari kawasan parkir yang lengang dan sunyi itu.

Klik!

Bunyi kereta dikunci dari dalam. Suraya mendengus kasar.

'Tak faham bahasa, kah?'

Ditarik muka masam empat belas inci.

'Degil! Pemaksa!'

Kutuknya lagi di dalam hati.

"Awak punya?"

Suraya buat tak peduli.

"Saya nampak awak di teres tadi. Kenapa tak tegur?"

Kening Suraya sedikit terangkat.

'Jadi, dia dah kantoi. Tapi, apa masalahnya?'

"Suraya..." lembut lelaki itu memanggil.

Lalu, Suraya tertarik untuk berpaling. Spontan melirik dengan ekor mata setelah huluran itu dilihat tetap terarah kepadanya. Walaupun sebentar namun, sempat menangkap rupa objek yang dihulurkan. Sehelai tisu. Dia mengenali tisu itu melihatkan seekor lebah kuning yang tercetak pada kertas lembut tersebut. Dia kembali berpaling memandang ke depan. Melihat dinding konkrit yang dicat berwarna merah gelap itu lebih menenangkan hati dari memandang wajah yang dikatakan sejuk mata memandang itu.

'Tak sejuk langsung! Panas hati lagi ada.'

"Saya naik ke situ untuk relaks sekejap dan saya dah habis rehat jadi, saya cabutlah." tuturnya dalam nada yang kasar. Juga dalam usaha menyembunyikan secebis kebenaran.

"Awak tak nak tahu siapa tadi tu?" tanya Dr. Adrian pula.

"Saya tak nak tahu apa-apa. Saya nak balik!" kata Suraya satu per satu dengan suara kembali meninggi. Sekali lagi dicapai pemegang pintu. Serentak kunci dilepaskan. Dia tidak tahu apa tujuan sebenar lelaki itu hinggakan perlu berkasar dengannya sebegitu. Tetapi, cukuplah buatnya pada petang ini. Selain penat, dia enggan tahu apa sahaja yang bukan berkaitan dengan urusan dirinya. Lelaki itu boleh dan mampu menguruskan halnya sendiri. Sikit pun tiada kaitan dengannya.

Previous: Bab 12
Next: Bab 14

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.