BAB 9

Sejak dari awal pagi mereka telah bertolak. Pada mulanya niat di hati ingin menyewa bas tetapi memandangkan hanya 10 orang sahaja yang dapat ikut serta mereka memilih untuk memandu sendiri ke Pulau Pinang. 3 biji kereta digunakan termasuk kereta kepunyaan Raimy Nazri. Luthfi dan Fahrin menumpang bersama Raimy Nazri. Perjalanan ke Pulau Pinang mengambil masa lebih kurang 5 jam. Mujur keadaan jalan raya tidak begitu sesak. Oleh itu, mereka tiba lebih awal daripada waktu yang dijangka.

Jika ditinjau, sejarah negeri Pulau Pinang bermula pada tahun 1786, apabila Francis Light membuat perjanjian dengan Sultan Kedah. Dia memperolehi Pulau Pinang bagi pihak Syarikat Hindia Timur dan sebagai balasan, syarikat berjanji untuk memberi perlindungan keselamatan kepada Kedah daripada jiran-jirannya yang kuat. Pulau Pinang berada di bawah pemerintahan Kolonial British sehingga tahun 1957 apabila ia mendapat kemerdekaan di bawah Persekutuan Tanah Melayu. Pulau Pinang telah diduduki secara sementara oleh Jepun dari 1941 hingga 1945. Dalam tahun 1963, Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada Malaysia dengan pencantuman Sabah dan Sarawak yang menjadi pelengkap.

Sebaik kereta yang dipandu memasuki Jambatan Pulau Pinang, hati Raimy Nazri dipagut kenangan sewaktu mula-mula dahulu mendaftar di Universiti Sains Malaysia. Raimy Nazri tersenyum sendirian. Kenangan sewaktu bergelar seorang pelajar dahulu cukup indah. Tetapi lebih indah apabila dia mengenali insan bernama Dayang Haliza. Sebaik mengingatkan tunangnya itu, Raimy Nazri tersentak. Dia mengeluh dan cuba menghindarkan rasa sebak daripada berkunjung tiba.

Selang 30 minit, akhirnya mereka tiba di hotel yang telah ditempah. Hotel Hydro yang menghadap pantai Batu Feringghi. Penat yang membekas terasa hilang sebaik melihat keindahan dan tamparan ombak di pinggir pantai. Mereka menikmati keindahan itu seketika sebelum membawa masuk segala beg ke dalam hotel. Selesai check in di meja pendaftaran, mereka membawa segala beg menuju ke bilik masing-masing.

Jarak bilik antara mereka tidaklah begitu jauh. Raimy Nazri berkongsi bilik dengan Fahrin dan Luthfi. Manakala bilik-bilik rakan yang lain hanya berselang 2 hingga 3 buah daripada bilik mereka. Wan Latifah turut serta dalam percutian tersebut. Mujur tempahan dilakukan awal kerana kebanyakan bilik telah penuh ditempah. Kebanyakan pengunjung mengambil kesempatan cuti bekerja memilih untuk melancong di Pulau Pinang memandangkan pemandangan yang cukup cantik dan fasiliti yang lengkap.

Fahrin menyelak daun tingkap. Bilik mereka betul-betul berhadapan dengan pantai. Laut kelihatan kebiruan apabila dilihat dari atas. Tambahan tikaman cahaya matahari turut membiaskan warnanya.

“Cantik betul pemandangan dekat sini.”puji Fahrin.

“Kau tu tengok pemandangan atau usha anak mami yang lalu lalang dekat bawah tu.”getus Luthfi. Dia berbaring di atas katil melepaskan lelah.

“Pembetulan! Anak mami yang usha aku dekat atas ni.”balas Fahrin.

Seraya Luthfi mencebik. “Nak termuntah aku dengar.”

Raimy Nazri tersenyum melihat gelagat dua orang rakannya itu. Sepanjang masa sering bergaduh. Tetapi bukanlah perbalahan besar. Melainkan hanya satu gurauan mesra yang bersifat kasar. Dia turut berbaring di atas katil melepaskan lelah. Hari ini rancangan mereka hanya untuk melawat pantai Batu Feringghi dan kawasan-kawasan yang berdekatan dengan hotel sahaja.



Jam telah menunjukkan pukul 5.00 petang. Waktu beranjak terasa cepat berlalu. Matahari yang meninggi kian merendah dan bakal tenggelam tidak lama lagi. Kesemua mereka berkumpul di kawasan pantai. Sekadar berjalan di gigi air tanpa mengenakan sebarang kasut. Menikmati deburan ombak menampar pantai lantas melekapkan butir-butir pasir halus di kaki. Bagi kebanyakan penduduk kota, jarang bagi mereka untuk menikmati keindahan semulajadi begini. Bebas daripada hiruk pikuk kota yang kadangkala terasa begitu menyesakkan.

Setelah terasa puas, mereka duduk di suatu kawasan. Tidak mengendahkan pasir pantai yang bakal mengotorkan seluar, mereka bersila. Sambil menikmati keindahan pantai, mereka berbual bertukar topik dan cerita. Hanya Raimy Nazri sahaja yang tidak turut serta sedari tadi. Angin berpuput lembut menampar tubuh. Terasa begitu nyaman dan mengasyikkan.

“Kenapa si Raimy ni tak turun-turun daripada tadi ek?”soal Wan Latifah. Matanya melilau memerhati perkarangan hotel.

“Itu kau kena tanya rakan sebilik dia lah.”balas Hussein, salah seorang rakan ofis EL Holding.

Wan Latifah yang faham dengan kata-kata Hussein segera berkalih ke arah Fahrin dan Luthfi. Soalan tadi diulang semula tetapi kedua-duanya tidak menjawab soalan tersebut. Mereka berdua dilihat sedang asyik memerhatikan sesuatu. Wan Latifah melihat ke arah perhatian kedua-dua rakan tersebut.

“Hoi! Korang ni asyik tengok mat saleh pakai bikini rupanya.”

Herdikan tersebuk membuatkan Fahrin dan Luthfi tersentak. Pantas mereka berkalih dan tersengih-sengih. Wajah masing-masing merah menahan malu. Rakan-rakan yang lain hanya tergelak melihat gelagat mereka. Wan Latifah merengus lalu menggeleng kepala.

“Aku tanya mana si Raimy tu?”ulang Wan Latifah lagi.

“Ohh.. Aku rasa dia masih tidur lagi kot.”ringkas Fahrin menjawab. Wan Latifah kelihatan berpuas hati dengan jawapan tersebut.

Fahrin menyeluk poketnya lalu mengeluarkan sekotak rokok berjenama Dunhill. Lalu sebatang rokok diambil lalu dicucuh. Asap disedut dalam lalu dihembus perlahan.

“Kau hisap rokok ke?”soal Luthfi.

Tangannya mengibas-ngibas asap rokok yang menerawang. Asap tersebut terasa menyesakkan nafasnya yang sememangnya bukan pencandu rokok.

Fahrin mengiakannya. Sememangnya dia hanya menghisap rokok di luar waktu pejabat sahaja kerana mematuhi undang-undang syarikat.

Luthfi menggeleng melihat sikap Fahrin.

“Kau tahu tak merokok ni membahayakan kesihatan. Rokok mengandungi 4000 jenis bahan kimia dan sekurang-kurangnya 200 daripadanya berbahaya kepada manusia. Ia boleh mengundang kanser dan pelbagai lagi penyakit lain berbahaya.”jelas Luthfi panjang lebar.

Fahrin hanya mengambil sikap tidak ambil kisah lalu terus menyedut asap rokok lalu dihembus. Luthfi yang masih tidak berpuas hati kerana kata-katanya ibarat angin berlalu terus mencuba menyedarkan Fahrin.

“Kau dah berapa lama hisap rokok?”

“Ada dalam 10 tahun kot.”

Luhtfi membeliakkan matanya kerana terkejut. “Lama kot.. Kau hisap sehari berapa kotak?”

“Bergantung pada keadaan. Kadang sekotak dan kadang dua kotak.”balas Fahrin.

“Kau cuba bayangkan, dah berapa banyak duit yang kau bakar untuk beli rokok. Kau beli lepas tu bakar. Tak ke membazir namanya tu? Kalau kau kira balik, duit yang kau guna untuk beli rokok selama 10 tahun jika disimpan boleh beli sebiji Ferrari tau.”ujar Luthfi bersungguh-sungguh.

Fahrin melirik ke arah Luthfi. “Kau hisap rokok?”

“Mestilah tak.”tegas Luthfi menjawab.

“Jadi mana Ferrari kau?”soal Fahrin berbaur sindiran.

Soalan Fahrin ibarat satu smash yang tepat mengenai batang hidungnya. Luthfi mengetap bibir geram apabila dia pula yang dikenakan. Rakan-rakan yang lain tertawa mendengar perbualan mereka berdua. Fahrin turut serta ketawa tetapi kemudian bangun dan menghisap rokok di sudut yang sedikit jauh daripada kumpulan rakan-rakannya. Sekadar menghormati rakan-rakannya yang tidak merokok.



Raimy Nazri berjalan sekitar pantai Batu Feringghi. Jam telah menunjukkan hampir pukul 11.00 malam. Sengaja dia berjalan berseorangan. Rakan-rakan yang lain telah lama pulang ke hotel dan berehat. Baru tadi mereka pulang daripada meronda kawasan Georgetown dan menjamu selera di Nasi Kandar Beratur yang merupakan kedai nasi kandar paling popular di Pulau Pinang. Pada mulanya mereka merancang untuk meneruskan perjalanan sehingga ke Padang Kota tetapi memandangkan masing-masing telah mula keletihan lantas kereta dipandu pulang semula ke hotel.

Raimy Nazri hanya berkaki ayam. Menikmati hembusan bayu malam. Sungguh nikmat terasa. Terdapat beberapa pelancong berbangsa asing yang masih berada di sini. Mereka sekadar duduk berbual dan minum. Raimy Nazri duduk berpeluk lutut. Matanya dilontarkan ke arah laut yang kelihatan kelam dan suram. Sesekali kelihatan berkelip nun menjauh hasil biasan bot-bot para nelayan. Mencari rezeki daripada alam semulajadi.

Sunyi terasa walaupun sekelilingnya dipenuhi dengan orang ramai. Sinar bulan memuntahkan cahaya dan terbias. Suasana sebegitu membuatkan hati Raimy Nazri terbuai-buai. Dayang Haliza muncul dalam fikirannya. Kalaulah wanita itu masih hidup dan berada bersamanya pada ketika ini pasti suasana akan menjadi lebih bahagia. Raimy Nazri mengeluh perlahan. Sayang wanita itu telah pergi menghadap Ilahi di saat dia masih memerlukan. Cinta terhadap Dayang Haliza mengatasi segalanya. Hanya Tuhan saja yang tahu perasaannya.

Kenangan dia bersama Dayang Haliza muncul lagi pada ketika ini. Masih terbayang di matanya saat dia berlari anak berkejaran dengan Dayang Haliza di sekitar pantai ini. Sungguh bahagia pada saat tersebut. Tetapi semuanya hanyalah kekal dalam lipatan sejarah silam. Tidak akan muncul lagi. Putaran waktu tidak akan pernah memutar songsang menterbalikkan masa. Lagu Angin Syurga yang dimainkan di kedai makan berhampiran sayup-sayup kedengaran di telinga Raimy Nazri.

Ku himpun waktu ucapan terindah

terbenam sudah asmara

mesranya siang dan malam

selalu kau tiup kan angin syurga padaku

Ku himpun makna kata darimu

harum yang mekar di kebun hati

dan katamu sebuah kota bahagia dan berdiri ..

Sehingga hujung masa

berbisik sendiri dan terbit suara kalbuku

kasihku… tuluskah cintamu

sebuah jawapan ku damba dari bibir mu .. bibir mu

Tidakkah kau tahu hidup punya waktu

kasih tersia bukan itu ku mahu

andai kau membisu tentu akhirnya

perpisahan ini akan tetap terjadi

Alunan lagu dan gemersik suara Misha Omar terasa meruntun kalbunya. Sebak terasa di jiwa. Cukup sukar untuk dia menerima hakikat yang tunangnya itu telah tiada. Air mata yang terasa ingin mengalir pantas diseka. Nafas disedut dalam-dalam mengumpulkan semangat dan menyingkirkan takungan rasa sedih di jiwa. Kata-kata manja dan bisikan cinta Dayang Haliza terasa begitu dekat berdesir di telinganya.

Tidak semena-mena kepalanya terasa sakit. Berdenyut-denyut. Raimy Nazri mengetap bibirnya sendiri menahan kesakitan. Dalam keadaan sebegitu matanya menangkap satu bayangan hitam yang sedang berdiri di belakangnya.

Pantas Raimy Nazri berkalih tetapi tiada apa yang kelihatan. Jantungnya terasa berdebar. Situasi yang sama berulang lagi sekali. Lantas Raimy Nazri bingkas bangun berlalu dari kawasan tersebut. Sesuatu yang tidak enak bermain di dalam hatinya. Dia berjalan pantas tanpa berpaling ke arah belakang.

Previous: BAB 8
Next: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.