BAB 4

Raimy Nazri menyiapkan tugasan yang diberikan oleh pihak atasan. Akibat terlalu lama menunduk, lehernya terasa lenguh dan tegang. Perlahan-lahan dia melunjurkan kaki lalu meregangkan otot-otot yang terasa kebas lantaran perjalanan darah yang tidak lancar. Lehernya diurut berulang kali melegakan segala kelenguhan. Nafas ditarik lalu dihembus berulang kali bagi mengurangkan rasa letih dan mengantuk. Lazimnya letih atau mengantuk tercetus akibat daripada aliran oksigen ke otak berkurangan. Oleh itu, kaedah pernafasan 4:4:4 dapat membantu bagi mengurangkan masalah tersebut (4 saat menarik nafas, 4 saat menahan nafas, 4 saat ketika menghembus nafas).

Raimy Nazri mempraktikkan perkara tersebut berulang kali sehinggalah matanya yang terasa layu itu segar semula. Raimy Nazri kembali menghadap komputer untuk menyambung menaip. Baru sahaja beberapa patah perkataan ditaip matanya tertancap ke arah gambar Dayang Haliza yang terletak di dalam bingkai di penjuru mejanya. Lantas kerinduan terhadap wanita itu menggembur.

Hanya tinggal seminggu sahaja lagi, dia dan Dayang Haliza bakal disatukan dalam ikatan rumah tangga yang sah. Dalam menunggu tempoh tersebut, peredaran waktu terasa cukup lama berlalu. Raimy Nazri mengakui dia berdebar menanti detik bersejarah tersebut. Pertama kali dalam hidupnya akan bergelar sebagai raja sehari dan menjadi seorang suami. Tanggungjawab besar bakal menantinya sebaik akad nikah dilafaz kelak.

Raimy Nazri mengelus lembut gambar Dayang Haliza. Wanita itu sungguh mempesonakan jiwa dan raganya. Sungguh dia mencintai Dayang Haliza sepenuh hati. Rasa cinta itu tidak pernah tergugat sama sekali. Sejak dari awal mereka bertemu sehinggalah sekarang. Tidak semena-mena fikirannya terimbau kenangan lalu sewaktu mereka mula-mula kenal dan bercinta.

Imbas kembali

Raimy Nazri melangkah masuk ke dalam Perpustakaan Hamzah Sendut II (PHS II) yang terletak di hadapan ruangan pejalan kaki foyer dewan kuliah. Sebaik kad nama pelajar discan bagi memudahkan sebarang urusan, Raimy Nazri melilaukan pandangan mencari tempat duduk kosong. Dia yang merupakan seorang pelajar jurusan Ilmu Kemanusiaan bermajor dalam Geografi dan berminor dalam pengurusan, sememangnya menjadikan perpustakaan sebagai rakan karib. Kebanyakan bahan rujukan pelajar aliran sastera hanya boleh diperolehi di perpustakaan sahaja.

Raimy Nazri memilih ruangan meja yang terletak di bahagain kanan berhadapan dengan ruangan sudut bahasa. Beberapa pelajar lain hanya melemparkan senyuman sebaik melihat kelibat lelaki itu. Sememangnya Raimy Nazri dikenali oleh ramai pelajar dan pensyarah kerana reputasinya sebagai seorang pelajar yang berkebolehan di samping memegang jawatan sebagai yang di-Pertua Majlis Perwakilan Pelajar yang merupakan satu pertubuhan tertinggi yang mewakili suara hati para pelajar di Universiti Sains Malaysia (USM).

Sebaik melabuhkan punggung, Raimy Nazri membuka komputer ribanya. Laman web OPAC USMdiklik. OPAC USM merupakan laman web yang membekalkan maklumat berkenaan buku yang terdapat di seluruh cawangan perpustakaan USM. Para pelajar hanya perlu memasukkan kata kunci, atau nama buku atau nama penulis bagi memudahkan setiap buku yang dikehendaki dicari. Semasa menuntut di universiti lagi, Raimy Nazri telah mula bergiat dalam bidang penulisan tetapi tidaklah seaktif mana kerana kekangan tugas dan aktiviti luar. Hanya dua buah novel yang berjaya dikarang dan diterbitkan. Pada waktu itu, Raimy Nazri masih mencari-cari tapak dalam bidang penulisan.

Sambil mencari-cari buku yang dikehendaki dan sesuai dengan tajuk tugasan yang diberikan oleh pensyarah, Raimy Nazri melilaukan pandangan ke serata arah. Sekadar melihat suasana belajar para pelajar di samping melihat fasiliti atau kemudahan yang terdapat di dalam perpustakaan tersebut. Sememangnya menjadi tanggungjawabnya untuk melaporkan kepada pihak pengurusan universiti setiap masalah yang muncul sehingga mendatangkan ketidakselesaan kepada para pelajar.

Matanya tertancap ke arah seorang gadis yang duduk bertentangan di hadapannya. Jantungnya tidak semena-mena berdetak kencang. Tingkah lakunya menjadi tidak keruan. Dayang Haliza kelihatan duduk berbual di dengan seorang lagi rakannya. Sesekali kelihatan wanita itu menggigit hujung pen. Rambutnya yang terurai menutupi wajah diselitkan ke belakang telinga. Tingkahlakunya sungguh mempesonakan. Mereka kelihatan seperti sedang membincangkan sesuatu. Raimy Nazri dalam diam mencuri pandang kecantikan wanita itu.

Walaupun mereka belajar dalam jurusan yang sama tetapi berlainan subjek major. Dayang Haliza memilih major sastera sebagai pilihan utama. Namun begitu, sepanjang hampir dua tahun mereka menuntut di USM, tidak pernah sekalipun Raimy Nazri cuba menegur gadis tersebut apatah lagi meluahkan perasaannya. Dia hanya menyimpan rasa cinta yang menggunung di dalam hati dan hanya berani memerhatikan wanita itu dari jauh. Tambahan pula apabila mengenangkan wanita itu sememangnya mempunyai hubungan rapat dengan Azril. Tetapi tidak pasti sama ada lelaki itu mempunyai hubungan istimewa dengan Dayang Haliza atau pun tidak.

“Jangan tunggu lama-lama, nanti lama-lama, dia diambil orang.”

Shafiq melabuhkan punggung bersebelahan Raimy Nazri sambil mengalunkan lagu popular nyanyian Ramlah Ram. Sempat dia melihat ke arah Dayang Haliza sekilas lalu mengalihkan pandangan kepada Raimy Nazri. Dia tesenyum. Raimy Nazri sedikit tersentak dan menggelabah menghadap komputer ribanya.

“Apa hal aku tengok kau asyik tenung saja perempuan tu?”soal Shafiq.

Raimy Nazri menggeleng pantas.

“Mana ada. Aku tengah tengok pasu bunga yang ada dekat belakang sana tu.”dalih Raimy Nazri sambil memuncungkan bibir menunjuk ke arah pasu yang dimaksudkannya. Shafiq merupakan rakan sebilik yang juga belajar dalam jurusan dan major yang sama dengannya.

“Kau ni memang tak pandai nak bohong kan? Aku tahu kau syok dekat perempuan tu sejak awal-awal lagi kau masuk dekat sini.”kata Shafiq.

Raimy Nazri segera menidakkan kata-kata Shafiq. “Kau ni pandai saja buat telahan kan. Cakap tak berasas.”

“Oo.. Habis yang kau siang malam asyik stalkerfacebook minah tu apahal? Kau ingat aku tak nampak ke?”kata Shafiq memulangkan paku buah keras.

Raimy Nazri terperangkap. Dia tergagap untuk menjawab. Akhirnya dia akur dengan kata-kata Shafiq.

“Hmm.. Aku memang suka dekat Dayang Haliza ni sejak dari awal kita masuk USM lagi. Tapi aku takut nak luahkan dekat dia atau nak dekat dengan dia. Tambah pula aku tengok dia rapat dengan si Azril tu. Aku tak nak lar nanti dikatakan pengganggu hubungan orang pulak.”ujar Raimy Nazri berterus terang.

“Mengaku pun kau akhirnya.” Shafiq tersenyum puas. “..kalau kau dah suka sangat dekat perempuan tu, kau kena cepat luahkan hasrat hati kau tu. Sekurang-kurangnya dia tahu. Lagi satu yang pasal Azril tu kau buang jauh-jauh je. Laki tu dengan si Dayang ni tak ada apa hubungan pun melainkan kawan sahaja.”sambung Shafiq lagi.

“Mana kau tahu?”

“Aku tahu lar. Macam kau tak kenal aku sapa.”balas Shafiq seraya tersengih-sengih.

Raimy Nazri mencebik.

“Padan lah orang panggil kau paparazi. Semua orang punya rahsia dan cerita kau tahu.”ujar Raimy Nazri. “..tapi macam mana kalau si Dayang ni tolak cinta aku?”soal Raimy Nazri menyambung percakapan.

“Hmm.. Kalau dia tolak itu mungkin dah tiada jodoh. Tapi apa-apa pun kau kena try dulu. Kenal-kenal dulu dengan si Dayang ni. Bila tiba masanya kau luahkan saja lah isi hati kau tu. Itu pun aku nak kena ajar.”rengus Shafiq.

Raimy Nazri mengangguk-angguk faham. Dalam hatinya memasang tekad untuk mula menghampiri gadis yang sekian lama diminatinya itu.



Keesokan harinya, Raimy Nazri sekali lagi ke perpustakaan pada waktu yang sama seperti semalam. Kali ini niat dia bukanlah untuk mencari buku sebaliknya memasang tekad untuk berjumpa dengan Dayang Haliza. Untung-untung jika gadis itu datang ke perpustakaan pada hari tersebut.

Raimy Nazri melilaukan pandangan ke serata arah mencari susuk tubuh wanita yang diminatinya itu. Matanya tiba-tiba menangkap wajah putih mulus gadis itu yang berada di penjuru sebelah kiri perpustakaan. Jantung Raimy Nazri terasa berdebar. Telapak tangannya terasa sejuk dan dahinya terasa berpeluh. Entah mengapa setiap kali wajah Dayang Haliza hinggap di matanya, perasaan gementar seperti itu hadir. Raimy Nazri menelan liur berulang kali.

Nafas ditarik dan dihembus bagi mengumpul semangat. Keberaniannya cuba dipacu tambahan pula apabila melihat wanita itu sedang duduk keseorangan mengulangkaji pelajaran. Tekadnya membulat lantas langkah kaki diatur menghampiri wanita tersebut.

“Err.. Seorang sahaja ke?”tegur Raimy Nazri tergugup gagap sebaik menghampiri meja yang Dayang Haliza berada.

Dayang Haliza tidak mendengari teguran tersebut kerana telinganya tersumbat dengan earphonedan dia leka mendengar lagu yang dimainkan melalui MP3 miliknya.

Melihat situasi tersebut, Raimy Nazri menguatkan sedikit suaranya mengulang soalan yang sama tetapi akhirnya dia berasa malu apabila kebanyakan pelajar berkalih ke arahnya kerana suaranya yang kuat. Raimy Nazri mengetuk meja menggunakan jari jemarinya. Hanya ketukan kecil.

Dayang Haliza tersentak. Anak matanya membulat melihat ke arah Raimy Nazri. Earphone yang tersumbat di telinga segera ditanggalkan. Raimy Nazri terpaku melihat keindahan wajah Dayang Haliza yang sungguh cantik. Putih bersih tanpa secalit mekap. Bahkan anak matanya yang berwarna perang cukup mempesonakan.

“Ada apa-apa yang boleh saya tolong?”soal Dayang Haliza. Raimy Nazri tersentak daripada lamunan. Sebenarnya soalan itu adalah yang kedua kalinya setelah soalan pertama dibiarkan tidak berjawab oleh Raimy Nazri.

Raimy Nazri tersengih-sengih seperti kerang busuk. “Err.. Sorang saja ke? Boleh saya duduk dekat meja ni?”

Dayang Haliza hanya tersenyum lalu membenarkan lelaki tersebut duduk. Raimy Nazri mengambil tempat duduk berhadapan dengan Dayang Haliza.

“Nama saya Raimy Nazri.”ujar Raimy memulakan perbualan.

Dayang Haliza mengangkat wajahnya melihat ke arah Raimy Nazri. Setahunya dia tidak bertanyakan nama lelaki itu sebentar tadi.

“Err.. Saya kenal awak. Bukan saya saja. Tapi satu universiti kenal awak.”balas Dayang Haliza lembut.

Raimy Nazri tersipu malu. Jantungnya terasa berdebar. Liurnya ditelan berulang kali.

“Nama awak siapa?”soal Raimy Nazri walaupun dia sendiri telah mengetahui nama wanita tersebut.

“Nama saya Dayang Haliza. Dan awak boleh panggil saya Haliza.”balas wanita itu memperkenalkan diri.

“Sedap nama awak. Macam nama penyanyi Dayang Nurfaezah pulak.”balas Raimy Nazri. Dia sendiri tidak tahu apa sebenarnya yang perlu diperkatakan.

Dayang Haliza hanya tersenyum. “Datang seorang saja ke perpustakaan? Tak ajak kawan?”

Raimy Nazri menggeleng. “Awak pula? Seorang saja ke?”soal Raimy Nazri pula.

“Awak ada nampak macam saya duduk bertiga ke? Tapi kalau awak nampak pun jangan beritahu saya pulak. Seramm..”balas Dayang Haliza bergurau sambil membuat mimik muka ketakutan.

Raimy Nazri tertawa melihat tingkah laku Dayang Haliza. Ternyata wanita itu mudah didekati dan cepat mesra orangnya. Lantas sesi ulang kaji pelajaran berubah menjadi sesi berbual. Perlahan-lahan kemesraan mula tercetus di antara mereka berdua.



Diam tidak diam telah hampir 3 bulan mereka berkenalan. Semakin hari hubungan mereka berdua semakin mesra sehingga ke mana sahaja mereka pergi mesti berdua. Dalam diam, Raimy Nazri mencintai Dayang Haliza. Sangat mencintai wanita itu walaupun Dayang Haliza tidak pernah mengetahuinya. Sehingga saat ini, Raimy Nazri masih belum memperoleh kekuatan untuk menyuarakan luahan hati kepada Dayang Haliza.

Selesai waktu kelas, Raimy Nazri mengajak Dayang Haliza untuk makan tengah hari bersama di Restoran Nasi Kandar Subaidah yang terletak bersebelahan dengan CIMB Bank dan berhadapan dengan bangunan C24 yang menjadi bilik pensyarah serta bilik tutor.

Sepanjang berada dalam restoran tersebut, mereka berdua berbual mesra dari satu topik sehinggalah ke topik yang lain. Dalam tempoh tersebut, hati Raimy Nazri kuat untuk meluahkan perasaannya tetapi entah mengapa situasi tersebut dirasakannya kurang sesuai. Akhirnya selesai menjamu selera, Raimy Nazri menemani Dayang Haliza menanti bas di pondok menunggu. Sebaik bas tiba, masing-masing berlambai tangan. Raimy Nazri menghantar dengan pandangan mata sehinggalah kelibat bas tidak lagi kelihatan.

Raimy Nazri mengeluh apabila hasrat hatinya tidak dapat diluah sekali lagi. Tanpa disedari sepasang mata sedang memerhati gelagat mereka sejak dari tadi. Dia merengus kasar dan menyimpan dendam melihat kemesraan Raimy Nazri dan Dayang Haliza.

Azril menolak kasar tubuh Raimy Nazri yang sedang berjalan membelakangi di hadapannya. Raimy Nazri terdorong ke hadapan dan hampir-hampir jatuh. Pantas dia berkalih ke arah belakang.

“Kenapa dengan kau ni Azril?”soal Raimy Nazri.

Azril merengus kasar dan mengetap giginya geram. “Aku nak kau jangan dekati Haliza lagi. Wanita tu milik aku!”bentak Azril kasar.

Raimy Nazri mengerutkan dahinya. “Apa maksud kau ni Azril? Aku tak faham.”

Azril mencebik lalu meludah. “Tak faham atau buat-buat tak faham? Aku hairan macam mana orang dungu macam kau ni boleh dilantik pegang macam-macam jawatan! Sepatutnya aku yang lebih layak daripada kau!”

“Azril, cuba bawa mengucap dan bersabar. Apa yang aku buat salah? Kalau aku ada buat salah sehingga menyakitkan hati kau, aku minta maaf. Sebagai manusia aku tak lepas daripada buat silap dan salah.” Raimy Nazri cuba berdiplomasi.

Azril merengus kasar lalu membega-begakan wajahnya.

“Kau tak payah nak tunjuk baik sangat depan aku! Aku dari dulu lagi memang tak suka dengan kau. Manusia macam kau layak mampus saja.”herdik Azril menghamburkan kemarahan.

Raimy Nazri beristighfar panjang. “Kenapa dengan kau ni Azril? Apa yang kau nak?”

Azril menuding jari ke arah Raimy Nazri. “Aku nak kau putuskan hubungan dengan Dayang Haliza! Kalau tak, kau nahas!”ujar Azril memberi amaran. Lantas dia terus berlalu pergi meninggalkan Raimy Nazri yang terpinga-pinga dengan serangan melulu Azril.

Bermula daripada kejadian tersebut, hubungan antara Dayang Haliza dan Raimy Nazri menjadi dingin. Dayang Haliza perasan tentang perkara tersebut tetapi tidak berpeluang untuk bertemu lelaki itu untuk bertanyakan perkara yang sebenar. Manakala Raimy Nazri pula sering melarikan diri dan mengelak daripada bertemu dengan Dayang Haliza. Dia tidak mahu menjadi penganggu hubungan orang. Sepatutnya dari dulu lagi, dia tidak patut mengenali Dayang Haliza.

Dayang Haliza berjalan di ruangan pejalan kaki di foyer dewan kuliah. Dia baru sahaja habis sesi kuliah bersama Dr. Siti Hajar. Sambil berjalan fikirannya melamun mengenangkan Raimy Nazri yang sejak kebelakangan ini kelihatan dingin dengannya. Puas difikirkan sebab tetapi langsung tidak muncul tiba.

Tiba-tiba anak matanya menangkap kelibat Raimy Nazri yang berjalan berhadapan dengannya. Pantas dia mengatur langkah menghamipiri lelaki tersebut yang tidak perasan kehadirannya.

“Raimy..”tegur Dayang Haliza perlahan.

Raimy yang sedang tunduk sambil berjalan mendongak wajahnya. Puas dia mengelak untuk bertemu wanita itu tetapi hari ini mereka berjumpa jua. Tetapi bila difikirkan kembali sampai bila Raimy Nazri boleh mengelak sebab mereka menuntut di universiti yang sama. Jadi lambat laun mereka akan bertemu juga.

“Hai awak..”tegur Raimy Nazri. Dia kelihatan serba salah.

“Kenapa awak macam nak jauhkan diri daripada saya sejak kebelakangan ni?”soal Dayang Haliza. Soalan itu meluncur laju setelah sekian lama terpendam.

Raimy Nazri cuba menidakkan tetapi akhirnya setelah didesak barulah dia bersuara memberitahu perkara yang sebenar.

“Apa hubungan awak sebenarnya dengan Azril?”soal Raimy Nazri ingin tahu.

“Azril?”ulang Dayang Haliza sambil mengerutkan dahinya. Raimy Nazri mengangguk.

“Saya hanya kawan biasa dengan dia dan tak lebih daripada tu. Kenapa awak tanya?”soal Dayang Haliza inginkan kepastian.

Raimy Nazri hanya menggeleng. “Bukan apa saya cuma tak nak dikatakan sebagai pengganggu hubungan awak dan Azril. Itu saja.”

“Azril ada datang jumpa awak ke?”tanya Dayang Haliza lagi. Raimy Nazri mengiakan pertanyaan Dayang Haliza lalu menceritakan perkara yang terjadi tempoh hari.

Dayang Haliza mengeluh. Hembusan nafas yang terasa memberat.

“Awak, saya nak awak tahu perkara yang sebenar. Saya dan Azril hanya kawan biasa. Saya akui Azril pernah luahkan rasa cintanya kepada saya tapi saya menolak. Tapi saya tak sangka yang dia boleh datang jumpa awak dan cakap macam-macam dekat awak. Saya minta maaf sangat-sangat bagi pihak Azril.”ujar Dayang Haliza memberitahu perkara yang sebenar.

“Jadi awak dengan Azril memang tak ada hubungan istimewa langsung?”

Dayang Haliza pantas menidakkan. Kenyataan Dayang Haliza membuatkan Raimy Nazri menghela nafas kelegaan. Ternyata hati wanita itu masih belum dicuri. Dalam hatinya, senyuman kegembiraan terukir.

Malam semakin larut. Jam menunjukkan pukul 12.30 minit tengah malam. Raimy Nazri masih belum melelapkan mata. Dia masih duduk di meja belajar menghadap komputer riba menyiapkan tugasan yang perlu dihantar minggu hadapan. Hanya lampu di meja belajar yang terpasang sementara lampu bilik telah lama dipadamkan. Rakan sebiliknya, Shafiq telah lama dibuai mimpi indah.

Sebaik tugasannya selesai, Raimy Nazri mengklik browser dan mencari laman facebook. Lalu maklumat peribadi di isi dan profilnya di log in.Raimy Nazri sekadar melihat-lihat berita dan status yang dikemas kini oleh rakan-rakan. Kemudian, anak panah kursor dialihkan kepada ruangan chat dan diklik. Ternyata Dayang Haliza masih belum tidur dan sedang online.

+ Belum tidur ke?

= Belum. Awak pula? Tengah buat apa?

+ Tengah rindukan awak.

= Hish! Mengada tau awak ni.

Raimy Nazri dalam gementar akhirnya memberanikan diri untuk mengucapkan lafaz rindu kepada Dayang Haliza walaupun wanita itu hanya menganggap dia bergurau. Raimy Nazri mencari klip video di youtube. Lalu link video tersebut di copy dan di paste di ruangan chat Dayang Haliza.

+ Hanya untuk awak. Ikhlas dari hati saya. Harap awak faham dengan isi lagu daripada video yang saya bagi ni.J

Raimy Nazri menekan butang enter. Baru sebentar tadi dia mengirim kepada Dayang Haliza lagu Tercipta Untukku nyanyian Ungu. Berdebar hatinya menanti reaksi Dayang Haliza. Tiba-tiba satu link telah dihantar oleh Dayang Haliza melalui ruangan chat. Pantas Raimy Nazri mengklik link tersebut. Satu video daripada youtube muncul.

Video tersebut adalah lagu Cinta Dalam Hati yang turut dipopularkan oleh kumpulan Ungu. Hati Raimy Nazri melonjak girang. Dia tersenyum lebar sambil melayan perasaan mendengar alunan lagu yang mempunyai lirik yang sungguh puitis itu.

= Itu pula suara hati saya. Cinta Dalam Hati. Khas untuk awak, Raimy Nazri.J

Chat yang baru dihantar membuatkan Raimy Nazri semakin tersenyum lebar. Walaupun masing-masing hanya meluahkan perasaan secara berkias tetapi dalam diam mereka telah mengakui rasa cinta yang tumbuh di dalam hati.

Previous: BAB 3
Next: BAB 5

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.