BAB 6

“Mana Haliza?”soal Mak Munah yang muncul dari dapur.

Nada suaranya sedikit meninggi lantaran suasana hingar-bingar di dalam rumah. Matanya melilau mencari kelibat anak sulungnya itu.

“Kakak ke kedai Pak Lokman.”jawab adik lelaki Dayang Haliza itu.

“Dengan sapa?”

“Sorang.”jawab anak lelakinya itu lagi.

Mak Munah merengus.

“Langsung dia tak beritahu dekat mak. Dia kan bakal pengantin. Mana boleh keluar pergi mana-mana. Darah tengah manis tu. Kenapa korang biarkan dia pergi sorang-sorang?”leter Mak Munah. Wajahnya tegang. Kerisauan jelas terpancar.

Semua sanak saudara yang sedang sibuk berbual terdiam apabila dimarahi oleh Mak Munah. Mak Munah yang mula menyedari kesilapannya meninggikan suara beransur ke dapur untuk meneruskan kerjanya membasuh pinggan mangkuk. 

Sekeping pinggan kaca yang telah selesai dibasuh dicapai lalu dilap menggunakan kain kering untuk mengeringkan airnya. Sambil itu mindanya tidak lepas memikirkan Dayang Haliza. Waktu telah beranjak senja tetapi kelibat anaknya masih tidak kelihatan. Sekejap lagi majlis malam berinai akan diadakan.

Secara tiba-tiba, pinggan kaca yang dipegang oleh Mak Munah terlepas daripada genggaman dan jatuh berderai di atas lantai. 

Mak Munah mengucap panjang. Jantungnya berdegup kencang. Kerisauannya semakin bertambah-tambah. Petanda buruk lazimnya sering dikaitkan dengan situasi sebegitu. Mak Munah pantas mengelap tangannya dengan kain lalu meluru ke arah ruang tamu.

“Haliza masih tak balik lagi ke?”soal Mak Munah. Wajahnya benar-benar mempamerkan kerisauan.

Sanak saudara yang berusia dalam lingkungan belasan tahun hanya berpandangan sesama sendiri lalu menggelengkan kepala menandakan Dayang Haliza masih belum pulang. Mak Munah menarik nafas dan cuba bertenang. Dia cuba berfikiran positif.

“Cuba telefon kakak kamu tu, Mamat.”arah Mak Munah kepada anak lelakinya itu.

Mamat segera berlari ke arah telefon rumah lalu nombor telefon Dayang Haliza didail. Tiba-tiba deringan telefon bimbit kedengaran di ruang tamu.

“Kakak tertinggal telefon, mak.”beritahu Mamat lalu meletakkan ganggang telefon.

Mak Munah merengus lagi. Wajahnya kelihatan berkerut seribu. Jiwanya kala ini berkecamuk. Hatinya benar-benar berasakan sesuatu yang buruk telah menimpa anaknya. Perasaan itu tidak dapat disembunyikan sama sekali. Mak Munah berlegar di ruang tamu sambil menanti kepulangan anaknya. Perasaannya kala ini bercampur aduk.

“Kenapa dengan kamu ni? Asyik mundar mandir macam kucing nak beranak.”tegur Ahmad Jailani yang muncul daripada muka pintu. Dia baru sahaja selesai membersihkan halaman rumah. Peluh yang mengalir di dahi diseka.

“Saya risau anak kita pergi kedai sampai sekarang tak balik lagi. Hati saya tak sedap abang.”rungut Mak Munah. Mak Munah masih berkelakuan seperti tadi. Berjalan mundar mandir. Risaunya bukan kepalang.

“Kalau iya pun awak risau cuba bawa bersabar. Kejap lagi baliklah anak kita tu.”ujar Ahmad Jailani cuba menenangkan isterinya.

Tetapi nasihat suaminya itu hanya ibarat lintasan angin yang hanya berlalu tanpa memberikan apa-apa kesan. Mak Munah masih dengan kerisauannya. Sekejap-kejap dia menoleh ke arah muka pintu. Tetapi hampa apabila kelibat Dayang Haliza masih tidak kelihatan. Ahmad Jailani hanya mampu melihat sikap Mak Munah tanpa berkata apa-apa. Sudahnya masing-masing menanti dengan penuh sabar kemunculan Dayang Haliza.

Picitan hon di luar pagar rumah telah mengejutkan seisi rumah. Mak Munah berlari terkocoh-kocoh menuju ke muka pintu sambil dituruti oleh Ahmad Jailani. Hatinya berdebar-debar. Firasat buruknya semakin kuat menendang kotak hati. Mak Munah menjengah wajahnya.

Kelihatan seorang pemuda lelaki sedang berada di hadapan luar pagar rumahnya. Dia menaiki motosikal EX 5. Lelaki itu kelihatan cemas. Wajahnya dibasahi peluh.

“Kenapa kamu Samad? Ada apa kamu datang sini?”soal Mak Munah. Hatinya masih terasa berdebar-debar.

“Haliza.. Haliza, Mak Munah..”tercungap-cungap lelaki itu menyebut nama anak sulung pasangan tersebut.

“Kenapa dengan Haliza?”pantas Mak Munah bertanya. Wajahnya serius tanpa segarit senyuman. Hatinya bagai ingin tercabut lantaran debaran yang teramat kencang.

“Haliza masuk hospital. Dia kena langgar kereta.”nyata lelaki itu menyambung katanya.

Mendengar berita tersebut ibarat panahan petir maha hebat menyambar sekujur tubuh Mak Munah. Begitu sukar untuk dia menerima kenyataan tersebut. Berita tersebut memberi sejuta kejutan kepada dirinya. Ternyata naluri keibuannya tidak pernah salah. Serentak itu tubuh Mak Munah melemah dan langsung jatuh longlai ke lantai tidak sedarkan diri. Mujur sebelum tubuh Mak Munah mencecah lantai, Ahmad Jailani berjaya menyambut terlebih dahulu tubuh isterinya.

Sanak saudara dan jiran tetangga lari ke luar rumah apabila melihat situasi tersebut. Berita yang disampai ternyata mengejutkan mereka. Mereka mendapatkan Mak Munah yang sedang terbaring sambil dipangku oleh suaminya.



Raimy Nazri duduk berbual dengan kawan-kawan lelakinya yang datang. Masing-masing bertukar cerita. Tidak kurang juga yang mengusik Raimy Nazri yang bakal menjadi suami orang dalam 24 jam sahaja lagi. Usikan tersebut hanya disambut dengan gelak tawa oleh Raimy Nazri. Langsung tidak berbekas di hatinya.

“Lama korang bercinta, akhirnya jadi juga nak menikah kan.”ujar salah seorang rakannya.

Raimy Nazri hanya tersenyum mendengarnya.

“Buat apa kita bercinta lama-lama jika kita tiada niat untuk mengahwininya. Cuma satu aku pesan dekat korang semua. Kita cari pasangan hidup untuk dijadikan kawan dan bukan kekasih. Sebab bila kita menganggap pasangan hidup sebagai kekasih kita sentiasa akan hidup dalam kepuraan. Tetapi bila kita menganggapnya sebagai kawan, kita akan menjadi diri kita yang sebenar.”ujar Raimy Nazri sekadar memberikan pandangan.

Rakan-rakan yang mendengar terangguk-angguk setuju. Perbualan diteruskan lagi tetapi tidak lama kemudian Raimy Nazri meminta diri untuk masuk ke bilik kerana dia ingin mandi dan menyalin pakaian. Majlis berkhatam al-Quran akan dimulakan tidak lama lagi. Apa pula nanti kata orang apabila melihat dia masih belum berkemas diri.

Raimy Nazri mengunci pintu bilik. Bilik air yang terdapat dalam biliknya memudahkan sedikit kerjanya memandangkan di seluruh rumahnya dipenuhi dengan sanak saudara, jiran tetangga serta sahabat handai. Bajunya ditanggalkan dan dia hanya bersinglet putih. Tiba-tiba mindanya terarah kepada memikirkan Dayang Haliza. Bukan pada waktu itu sahaja tetapi dari tadi lagi dia asyik teringatkan tunangnya itu.

Telefon bimbitnya dicapai lalu nombor telefon tunangnya didail. Lama menanti tetapi panggilan tidak berjawab. Raimy Nazri mencuba beberapa kali sebelum dia sendiri berasa berputus asa dan mencampakkan telefon ke atas tilam. Pada anggapan, tunangnya itu pasti sedang sibuk mempersiapkan diri kerana sebentar nanti majlis malam berinai akan diadakan. Raimy Nazri menanggalkan seluar lalu digantikan dengan tuala membaluti dari paras pinggang sehingga ke lutut.

Baru sahaja dia ingin melangkah menuju ke bilik air, telefon bimbit berdering mengalunkan lagu. Raimy Nazri terhenti melangkah lalu dia mencapai telefon bimbitnya. Nama yang muncul di skrin dibaca sekilas. Tanda tanya bergayut di fikiran apabila melihat nama adik perempuan Dayang Haliza yang ketiga di talian. Enggan membuang masa, Raimy Nazri menekan punat hijau dan panggilan bersambung.

“Assalamualaikum.”Raimy Nazri mengucapkan salam sejahtera.

Di hujung talian kedengaran suara bakal adik iparnya bertutur dalam esak tangis menceritakan perkara yang terjadi. Sebaik menerima khabar buruk tersebut, telefon bimbit yang tergenggam kemas di tangan dan melekap di telinga, terlepas jatuh ke lantai. Raimy Nazri jatuh terduduk di atas tilam tidak menyangka sama sekali menerima kejutan dan dugaan yang maha hebat di saat-saat akhir dia bakal bergelar seorang suami.



Raimy Nazri bergegas memasuki wad kecemasan. Langkahan kakinya laju dan pantas. Ahli keluarga yang lain hanya menurut daripada belakang dan kadangkala terpaksa berlari untuk menyaingi kepantasan Raimy Nazri. Dalam hatinya hanya ALLAH saja yang lebih mengetahui. Dia betul-betul risaukan keselamatan tunangnya itu. Hampir luluh jantungnya saat berita tersebut diterima. Sungguh sukar untuk Raimy Nazri menerima kenyataan tersebut.

Sebaik tiba di wad kecemasan, kelihatan ruangan menunggu dipenuhi oleh keluarga dan sanak saudara tunangnya. Mak Munah yang telah terjaga daripada pengsan hanya duduk bersandar lemah di bahu anak perempuannya. Semangatnya benar-benar direnggut sama sekali. Dia seolah-olah tidak menghiraukan sesiapa jua yang hadir pada waktu itu. Jiwa dan emosinya seakan tidak selari sehingga membuatkan dirinya seolah-olah berada dalam satu dimensi yang berbeza. Mata Mak Munah membengkak menunjukkan dia puas menangis kerana terlalu takut akan kehilangan anaknya itu.

Raimy Nazri mendapatkan bakal mertuanya lalu lelaki yang berusia lebih daripada separuh abad itu dipeluk. Air mata berguguran daripada mata Raimy Nazri menzahirkan rasa hatinya yang sebenar. Ahmad Jailani memeluk Raimy Nazri erat dan mengusap lembut belakang badannya untuk menenangkan perasaan.

Sebenarnya Ahmad Jailani turut dirundung oleh rasa sedih tetapi lelaki itu hanya mengambil pendekatan menyerahkan segala urusan kepada ALLAH. Bagi Ahmad Jailani semua yang berlaku telah ditakdirkan oleh ALLAH dan atas rasa keyakinan itulah sedikit sebanyak rasa sedih dan risau dihakis.

“Macam mana keadaan Haliza, pak cik?”tanya Raimy Nazri sebaik terasa dirinya tenang. Pelukan dileraikan.

Ahmad Jailani hanya terdiam lalu mengeluh.

“Doktor cakap keadaan dia sekarang ni tengah kritikal dan mereka akan cuba sebaik mungkin. Kita hanya perlu berdoa agar semuanya selamat.”terang Ahmad Jailani.

Raimy Nazri menekup wajahnya lalu diraup berulang kali. Perasaannya terasa galau dan bercampur baur. Sakit hati turut terasa apabila pemandu kereta yang melanggar tunangnya melarikan diri. Kes ini diklasifikasikan sebagai langgar lari. Namun fokus utamanya kini adalah berharap agar Dayang Haliza selamat. Raimy Nazri tidak rela kehilangan insan yang paling dicintainya itu. Dia sanggup menggadaikan nyawanya sekalipun andai itu adalah syarat untuk menyelamatkan tunangnya yang tercinta itu.

“Sabar Raimy. Ini semua ketentuan ALLAH. Kita hanya manusia mampu merancang tetapi ALLAH yang menentukan. Kita sama-sama berdoa agar Haliza selamat dan tiada perkara buruk yang bakal terjadi.”kata Haji Leman sambil menepuk bahu Raimy Nazri. Haji Leman merupakan abang kepada Sabri dan merangkap bapa saudara kepada Raimy Nazri.

Raimy Nazri hanya terduduk sayu. Kepalanya ditundukkan. Matanya merenung lantai hospital. Kata-kata tersebut sedikit sebanyak memberinya satu kekuatan dan semangat. Fikirannya menerawang jauh. Segala kenangan bersama Dayang Haliza terimbas satu persatu tanpa dipinta atau dipaksa.

Tidak semena-mena air matanya jatuh bercucuran. Raimy Nazri menangis sehingga badannya terhingguk-hingguk. Ahli keluarga hanya menjadi pemerhati. Membiarkan Raimy Nazri melepaskan segala rasa yang terbuku di hati. Hanya air mata yang mampu mengalir saat mulut tidak mampu lagi berkata-kata.



Hampir 4 jam mereka menunggu di ruangan tersebut tetapi kelibat doktor yang merawat masih belum kelihatan. Seluruh ahli keluarga yang menanti berasa resah dan berdebar. Malam yang sepatutnya menjadi kenangan terakhir melalui zaman bujang bertukar menjadi satu kecelakaan yang tidak diduga. Masing-masing hanya diam membisu tanpa sebarang bicara. Tiada apa yang hendak dibualkan melainkan masing-masing pasrah menanti apa jua yang terjadi.

Sepanjang menunggu Dayang Haliza dirawat oleh doktor, beberapa ahli keluarga Raimy Nazri dan juga tunangnya membacakan surah Yassin memohon segala perkara dipermudahkan. Tuntutan membaca Yassin kepada orang yang sedang mengalami kesakitan atau bertarung dengan sakaratulmaut adalah sangat digalakkan dan dituntut di dalam Islam.

Raimy Nazri memerhati satu persatu ahli keluarganya dan tunangnya. Kemudian matanya tertancap ke arah Haji Leman yang sedang duduk bersebelahan dengan Sabri. Haji Leman merupakan satu-satunya adik beradik ayahnya yang ada. Lelaki yang berusia lingkungan 60-an itu sangat kuat pegangan agamanya dan sentiasa menjunjung tinggi sunnah Rasulullah S.A.W dan perintah ALLAH S.W.T. Perlahan-lahan Raimy Nazri bertapak menghampiri Haji Leman dan mengambil tempat duduk di sebelahnya.

Haji Leman kelihatan kusyuk membacakan surah Yasin. Kaca matanya hanya terletak dibahagian hujung hidungnya dan sedikit jauh daripada anak mata. Bacaannya sungguh lancar dan merdu. Raimy Nazri berasa sedikit tenang. Perasan galau dan kacau bilau di dalam hatinya beransur hilang. Mendengarkan kalimah-kalimah ALLAH yang merupakan mukjizat kepada Nabi Muhammad S.A.W membuatkan jiwanya berasa tenteram.

Raimy Nazri bangun lalu mencapai surah Yassin yang disediakan oleh pihak hospital yang terletak di satu sudut. Lalu dia kembali ke tempat asalnya. Surah Yassin itu dibuka. Raimy Nazri hanya memandang sepi tulisan Arab yang berada di hadapannya itu. Malu untuk dia mengakui bahawa sebenarnya dia tidak tahu untuk membaca al-Quran kalam ALLAH.

Dia seorang lelaki yang hebat mencipta ayat dan menggubah struktur kata dan dikarang sehingga menjadi buku yang dibaca oleh orang ramai. Tetapi Raimy Nazri lupa bahawa sehebat-hebat bakatnya sebagai penulis novel dan bukunya laris di pasaran tetapi semua itu tidak dapat menandingi kitab suci al-Quran yang meliputi kehidupan di dunia dan akhirat.

Tidak semena-mena hatinya berasa sebak. Apalah guna dia bijak dalam semua hal tetapi apabila orang yang disayang ditimpa musibah, Raimy Nazri tidak mampu membacakan hatta walau sepotong ayat berdoa bagi menyelamatkan nyawa manusia yang disayangnya itu. Air matanya mengalir sebaik menyedari kekhilafannya itu.

Baru dia sedar betapa kerdilnya dia di sisi ALLAH. Islamnya hanya pada nama kerana dia hanya mengambil mudah setiap perintah agama baik dari segi solat, puasa, dan lain-lain keperluan fardhu. Malu terasa untuk dia mengangkat tangan berdoa meminta pertolongan ALLAH sedangkan selama ini dia melupakan Tuhan yang telah mencipta dan memberikan segala nikmat kepadanya.

Beberapa ketika menanti, akhirnya kelibat doktor terlihat. Doktor lelaki berbangsa Cina melangkah keluar dari bilik rawatan dengan memakai baju putih yang sering dipakai oleh para doktor. Wajah lelaki itu kelihatan serius sehingga mendatangkan kegusaran di hati semua orang. Doktor yang berusia lingkungan awal 30-an menghampiri ahli keluarga yang sedang duduk berkumpul di ruangan menunggu.

“Siapa waris kepada pesakit bernama Dayang Haliza?”soal doktor tersebut. Mak Munah dan Ahmad Jailani segera bangun dari kerusi. Raimy Nazri segera mendapatkan doktor tersebut.

“Kami ibu dan bapa kepada Dayang Haliza.”balas Mak Munah dan Ahmad Jailani hampir serentak.

“Macam mana dengan keadaan pesakit, doktor?”pantas Raimy Nazri mencelah. Sempat dia mencuri pandang ke arah tag nama yang tertera di atas baju doktor tersebut. Nama Dr. Ng Hoi Boon tertera di tag nama tersebut.

Wajah Dr. Ng kelihatan serius. Dia memandang wajah ahli keluarga yang berada di situ satu persatu.

“Saya harap cik sekeluarga dapat bersabar dengan apa yang bakal saya katakan ini.”ujar Dr. Ng memulakan bicara.

“Boleh tak doktor beritahu saja macam mana dengan keadaan tunang saya sekarang ni!”bentak Raimy Nazri tidak sabar. Sabri mengusap lembut bahu anaknya untuk menenangkan perasaan.

“Maafkan anak saya doktor.”ucap Sabri lembut.

Dr. Ng yang telah terbiasa dengan situasi tersebut hanya mengangguk faham. “Pihak kami telah mencuba sedaya upaya bagi menyelamatkan pesakit. Tetapi..malangnya pesakit gagal diselamatkan. Dia telah meninggal dunia.”mengendur nada suara Dr.Ng menjelaskan perkara yang sebenar. Dia turut bersimpati dengan nasib yang menimpa keluarga tersebut.

Raimy Nazri terpempan seketika. Dia meraup wajahnya dan berundur beberapa tapak ke belakang lalu jatuh terduduk tidak berupaya lagi menahan dugaan yang mendatang. Jiwanya menerima hambatan kejutan yang melampau.

Mak Munah sebaik menerima berita tersebut terus berasa lemah dan goyah. Hatinya terasa hancur berkeping-keping. Kesedihannya terasa tidak mampu lagi ditanggung. Suasana persekitaran terasa berpusing lalu berubah menjadi gelap. Mak Munah jatuh pengsan buat kali kedua dan terpaksa dipapah oleh suaminya. Ahli keluarga yang lain gempar dan mengerumuni Mak Munah.

Previous: BAB 5
Next: BAB 7

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.