BAB 11

Hari ini telah masuk hari ketiga mereka berada di Pulau Pinang. Ini menunjukkan hari terakhir percutian mereka. Terasa masih belum puas bercuti. Tetapi memandangkan tanggungjawab yang harus dipikul maka semangat bekerja harus dipacu semula.

Pagi tadi, selesai bersarapan mereka keluar membeli belah di sekitar Georgetown. Kawasan beli belah yang paling menjadi tumpuan adalah Lorong Kulit atau lebih dikenali dengan panggilan Rope Walk oleh penduduk tempatan. Rope Walk merupakan satu-satunya kawasan jualan barangan murah. Ia mirip kepada pasar malam tetapi dibuka pada waktu siang dan setiap hari. Pelbagai barangan dapat diperolehi dengan harga yang murah serta berpatutan. Maka kesempatan itu diambil oleh mereka untuk memborong sakan semua barangan berjenama dengan harga yang murah.

Kira-kira pukul 11.00 pagi mereka mula pulang ke hotel untuk mengemas barang. Sebaik selesai semua, tepat pukul 12.00 tengah hari mereka check out di kaunter pendaftaran. Penyambut tetamu mengiringi pemergian mereka dengan senyuman manis di bibir. Salah satu cara yang penting untuk menarik hati pelanggan.

Dalam perjalanan pulang ke Kuala Lumpur, fikiran Raimy Nazri terarah kepada memikirkan Anis Suraya. Wanita itu dirasakan seolah-olah misteri. Semalam tatkala berbual, secara tiba-tiba wanita itu telah tiada tatkala Raimy Nazri mengalih pandangan hanya sekejap. Raimy Nazri mengeluh perlahan. Bukan itu masalah utama yang difikirkan sebenarnya. Sebaliknya hatinya kini terasa membuar kerana teringatkan wanita itu. Walaupun baru sahaja berkenalan tetapi meninggalkan kesan yang cukup mendalam terhadap dirinya.

Raimy Nazri mengetap bibir. Silapnya juga tidak bertanyakan alamat mahupun nombor telefon bagi memudahkannya untuk menghubungi Anis Suraya. Berkenalan dengan wanita tersebut seolah-olah telah memberi satu semangat yang baru kepada diri Raimy Nazri. Satu aliran rasa yang aneh terasa mengalir di jiwa. Berada di samping Anis Suraya seolah-olah mengingatkan dirinya kepada Dayang Haliza. Perwatakkan dan watak Anis Suraya begitu mirip arwah tunangnya.

‘Siapa sebenarnya wanita tersebut?’ gumam hati Raimy Nazri. Soalan itu menerawang dalam kotak fikiran tanpa tapak untuk bersinggah.

Hatinya begitu melonjak untuk mengenali wanita tersebut dengan lebih dekat. Tetapi bagaimana caranya kerana dia tidak memiliki sebarang petunjuk untuk memudahkan dia berhubung dengan Anis Suraya. Raimy Nazri mengeluh lagi. Lantas kereta dipecut laju membelah lebuh raya menuju ke destinasi.



Azril melangkah masuk ke dalam kelab malam. Dua orang pengawal bertubuh sasa berwajah bengis membenarkan dia masuk tanpa sebarang bayaran. Itu adalah dilakukan atas arahan Brother Chong memandangkan Azril adalah rakan baiknya.

Sebaik berada dalam kelab malam, suasana berubah menjadi hingar bingar. Muzik kuat melatari suasana dengan lampu-lampu gemerlapan. Menaikkan mood para pencinta dunia untuk sama menghayun kaki mengikut rentak lagu. Beberapa penari yang berpakaian separuh bogel juga sedang sibuk memperagakan tarian tiang. Lelaki-lelaki miang yang kebanyakan telah berusia separuh abad menaburkan wang ke atas tubuh genit penari tersebut. Dunia ini terlalu indah bagi yang menolak akhirat.

Semua itu hanya pemandangan biasa bagi Azril. Matanya melilau mencari sesusuk tubuh seseorang. Sebaik terlihat, dia segera menghampiri.

Brother Chong yang terlihat Azril segera menggamit tangan memanggil lelaki itu. Dua orang wanita berpakaian seksi berada di kiri dan kanan menjadi pendamping. Merangkul lelaki berbangsa Cina itu erat. Semuanya hanya kerana duit dan kekayaan, wanita tersebut menggadaikan maruah diri. Azril tersenyum sebaik berada di hadapan Brother Chong.

“Banyak happy bro.”tegur Azril segera berjabat tangan. Matanya melirik ke arah gadis di kiri dan kanan Brother Chong.

“Mestilah. Tiap malam makan besar.”ujar Brother Chong seraya tertawa kuat. Azril yang faham dengan maksud lelaki itu turut tertawa.

“Bisnes ada jalan baik? Tak ada bon yang ganggu?”soal Azril. Bon yang dimaksudkan adalah penguatkuasa.

“Boleh tahan lar. Itu bon perkara biasa. Bagi duit, diorang senyap lar.”balas Brother Chong seraya tertawa lagi.

Rasuah yang menular dalam kalangan anggota kerajaan adalah sesuatu yang amat berbahaya. Ia boleh ditafsirkan sebagai barah yang dapat membunuh seseorang manusia dalam diam dan tanpa disedari. Tapi dalam konteks negara, tumbuk rusuk atau rasuah mampu menumbangkan sebuah kerajaan yang agung jika dibiarkan berlarutan.

Azril mengeluarkan satu bungkusan besar lalu diletakkan di atas meja. Brother Chong sedikit terpinga-pinga.

“Apa ini?”soal Brother Chong.

“Untuk tugas hari tu.”ringkas Azril menjawab.

Brother Chong tidak susah untuk mengagak. Bungkusan berisi wang tunai ditolak semula ke arah Azril.

“Jangan ini macam lar. Kita sudah lama kawan. Itu kerja kira free saja lar. Wa tak minta duit punya ma.”balas Brother Chong dalam pelat Mandarin.

Azril bersungguh mengunjukkan wang tersebut tetapi didesak oleh Brother Chong untuk mengambilnya semula. Atas dasar menghormati lelaki tersebut, Azril mengambil semula bungkusan berisi wang tersebut dan diletakkan di belakang baju.

“Tak ada yang special ke malam ni?”soal Azril sambil tersenyum nakal.

Brother Chong yang faham segera menyeluk poket bajunya. Satu pek kecil serbuk putih yang dimampatkan di dalam batang straw diserahkan kepada Azril. Azril menyambutnya lalu dituangkan serbuk putih tersebut di atas telapak tangan. Serbuk putih tersebut disedut dengan sekali nafas sahaja. Terasa nikmatnya menusuk sehingga ke otak.

Azril menenyeh hidungnya berulang kali. Perlakuannya seperti orang yang dilanda selsema. Fikirannya terasa menerawang. Alunan muzik terasa begitu rancak kedengaran. Berahinya terasa memuncak. Brother Chong yang memandang memahami keadaan yang dialami oleh Azril sekarang ini. Lantas dia mengarahkan dua pendampingnya untuk menemani Azril.

Kedua-dua wanita itu merangkul tubuh Azril lalu membawanya pergi. Azril tersenyum lebar sambil cuba mengawal halusinasi yang mula bermain di minda. Nafsunya menjulang-julang. Dia menghidu keharuman wanita pendampingnya itu.

Kedua-dua wanita itu akan menemaninya pada malam ini sehinggalah esok pagi. Indahnya kehidupan jika berkiblatkan syaitan yang direjam. Keseronokan duniawi begitu sukar untuk ditolak oleh sesiapa pun. Hanya yang memiliki iman yang kuat serta kental mampu menolak segala nikmat dunia demi mengejar akhirat yang abadi.



Raimy Nazri selesai bekerja pada pukul 6.00 petang. Tugas yang bertimbun membuatkan dia terpaksa pulang lewat sedikit daripada biasa. Tetapi Raimy Nazri tidak kisah tentang semua itu. Dia melakukan kerja kerana ikhlas dan sayangkan syarikat EL Holding. Itu adalah periuk nasinya yang utama selain daripada menulis novel.

Sebaik pulang daripada bercuti tempoh hari, semangat Raimy Nazri yang menghilang mulai dikumpul sedikit demi sedikit. Walaupun tidak semuanya tetapi memadai kerana dia mampu mengawal dirinya. Cuma bayangan dan kenangan Dayang Haliza yang masih hidup bersamanya. Biarlah kenangan tersebut subur sehingga akhir pernafasannya. Raimy Nazri masih menyimpan rasa cinta dan sayang terhadap Dayang Haliza walaupun telah hampir masuk 2 bulan wanita itu meninggal dunia.

Setibanya di rumah, Raimy Nazri menghempaskan tubuhnya di atas katil tanpa menyalin pakaian. Hanya tali lehernya sahaja yang dileraikan. Dicampak ke atas lantai. Sememangnya dia mengakui sejak kebelakangan ini dia berasa sangat letih. Mungkin bebanan kerja yang membuatkannya menjadi sebegitu. Maklumlah, bekerja menggunakan otak lazimnya lebih memenatkan daripada menggunakan anggota fizikal.

Dalam dia berbaring, fikirannya tiba-tiba memikirkan soal novel yang masih belum terhasil sehingga sekarang. Petang tadi dia telah ditelefon oleh pihak penerbit bertanyakan tentang novel terbaharunya. Mujur pihak penerbit faham dengan masalah yang sedang dialaminya. Bukan apa, mereka tidak mahu jenama Raimy Nazri jatuh lantaran tiada penulisan novel terbaru daripadanya. Bahkan permintaan peminat terhadap novelnya cukup laris. Oleh itu, dia tidak boleh berhenti daripada berkarya.

Mengingatkan perkara tersebut memberi satu tekanan kepada dirinya. Raimy Nazri mengurut-urut kepalanya sendiri. Urat kepalanya terasa berdenyut dan berselirat. Sungguh sakit dirasakannya. Matanya terpejam menahan kesakitan. Niat di hati ingin makan ubat tetapi kemalasan yang menguasai diri membuatkan Raimy Nazri terus berbaring. Lama-lama akhirnya, dia terus terlelap tidak sedarkan diri.

Tepat pukul 2.00 pagi, Raimy Nazri terjaga daripada tidurnya. Dia terjaga secara mengejut. Nafasnya tercungap-cungap. Sekujur tubuhnya dibasahi peluh. Mimpi yang dialami terasa cukup menakutkan. Dalam mimpinya dia bertemu dengan Dayang Haliza. Cukup indah mereka melalui badai asmara. Tetapi tiba-tiba bayangan Dayang Haliza digantikan dengan wajah Anis Suraya. Raimy Nazri cuba menggapai wajah tersebut tetapi tiba-tiba ia berubah menjadi susuk makhluk yang sangat mengerikan. Wajahnya berlubang-lubang dengan biji matanya yang merah tertojol. Lantas Raimy Nazri terkejut dan terjaga daripada mimpinya.

Lama Raimy Nazri termenung di atas katil memikirkan firasat di sebalik mimpinya itu. Tetapi gagal diperoleh. Lantas dia mula tersedar. Raimy Nazri tidur sewaktu senja menjelang. Pasti mimpi tersebut telah diilhamkan oleh syaitan. Raimy Nazri beristighfar. Sebaik terasa dirinya tenang, dia menolak selimut yang membaluti tubuhnya lalu bingkas berdiri. Dia menggeliat melegakan urat bagi melancarkan aliran darah.

Hambatan kejutan kedua melanda dirinya. Raimy Nazri terlihat komputer ribanya terbuka dan bernyala di sudut ruangan yang digunakannya untuk berkarya. Raimy Nazri menelan liurnya sendiri. Dia mula memikirkan rumahnya telah dimasuki oleh pencuri. Tetapi melihat pintu biliknya yang terkunci dan daun tingkap yang tertutup rapat, Raimy Nazri menjadi hairan. Lantas dia menghampiri meja tersebut.

Sebaik berada di meja tersebut, Raimy Nazri tersentak. Terdapat helaian kertas A4 yang sederhana tebal berada di sebelah komputer riba. Manakala komputer ribanya pula sedang memaparkan Microsoft Words. Raimy Nazri pantas memeriksa. Rupa-rupanya terdapat satu karya yang tidak diketahui siapa penulisnya berada di situ. Raimy Nazri menelan liurnya sendiri. Jantungnya terasa berdebar memikirkan bagaimana karya tersebut berada di dalam komputer ribanya, walhal dia tidak pernah menulis kisah tersebut. Manakala helaian kertas A4 tersebut adalah merupakan karya yang sama tetapi di dalam bentuk bercetak.

Raimy Nazri melihat terdapat tulisan tangan yang tertera di muka hadapan bahagian atas helaian kertas tersebut. Apabila diamati tulisan itu membentuk satu ayat.

“Bingkisan Sang Perindu.”Raimy Nazri menyebut perkataan tersebut. Dahinya berkerut memikirkan makna di sebalik ayat tersebut.

Lalu dia melihat ke arah karya tersebut. Karya yang berjudul ‘Khilafku’ dilihatnya sekilas. Lantas Raimy Nazri membuat keputusan untuk membacanya. Helaian pertama dibuka dan ditatapnya dengan penuh kusyuk serta penghayatan
Previous: BAB 10

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.