BAB 15 - KHILAFKU

Pertengahan tahun 1997, kegawatan ekonomi berlaku. Kebanyakan syarikat terpaksa memberhentikan pekerjanya kerana tidak mampu untuk membayar gaji bahkan ada yang terpaksa gulung tikar kerana mengalami kerugian yang melampau. Haikal yang menerajui syarikat AHA Holding iaitu sebuah syarikat yang mengeluarkan produk makanan segera turut berasa terjejas dengan perkara tersebut. Namun beberapa langkah bijak diambilnya berjaya menyelamatkan syarikat yang diasaskan oleh ayahnya itu daripada mengalami kerugian dan terpaksa menggulung tikar.

Haikal mengeluh panjang. Sedari pagi tadi tiada seorang calon pun yang menepati ciri-ciri yang dicari olehnya. Haikal meraup wajahnya. Sudah 15 orang calon wanita telah ditemuduganya sejak dari pagi tadi untuk mengisi kekosongan jawatan setiausaha yang ditinggalkan oleh Julia tetapi semuanya ditolak mentah-mentah dengan pelbagai alasan.

Ada yang tidak tahu berbahasa Inggeris, bersifat besar kepala, dan tidak kurang juga yang cuba menggodanya bagi membolehkan jawatan tersebut diperolehi. Atas alasan tersebut Haikal merejectsemua calon-calon tersebut. Jam telah menunjukkan pukul 4.30 petang. Haikal mengurut-ngurut kepalanya yang mula berdenyut. Sakit kepalanya kerap menyerang sejak akhir-akhir ini.

‘Lebih baik aku tamatkan saja sesi temuduga ni. Lagipun Tasya ada untuk isi jawatan setiausaha itu.’fikir Haikal sendirian.

Baru sahaja Haikal berkira-kira untuk menekan interkom untuk memberitahu Taya bagi menamatkan sesi temuduga pada hari itu tiba-tiba pintu biliknya diketuk dan ditolak. Wajah Tasya menjengah muka pintu. Sejak Julia meletak jawatan, Tasya yang telah banyak mengambil alih tugas selaku setiausaha merangkap staf di syarikat SM Holding milik Haikal itu.

“Bos, ada seorang lagi calon yang untuk ditemuduga.”ujar Tasya sambil memandang tepat wajah bosnya itu.

Wajah Haikal mula mencuka. Badannya yang letih ditambah pula dengan sakit kepala yang dialaminya menyebabkan dia berasa tiada mood. Haikal menghela nafas panjang.

“Beritahu calon tersebut sesi temuduga telah tamat. Suruh dia balik.”ujar Haikal sambil memejamkan matanya. Tangannya masih memegang kepalanya itu.

“Baik bos.”jawab Tasya.

Takut disanggahnya bimbang bosnya akan meletup pula. Tambah-tambah melihat wajah bosnya yang mencuka itu. Tasya sudah cukup masak dengan sikap bosnya.

Setelah Tasya keluar dari biliknya, Haikal memejamkan mata untuk mengatasi sakit kepala yang dialaminya. Tangannya mula mengurut-urut kepala yang terasa berdenyut-denyut itu. Baru sahaja matanya ingin terlelap tiba-tiba telinganya menangkap bunyi pintu biliknya yang ditolak keras. Langsung matanya terjaga. Hatinya mula berasa panas lantaran rehatnya terganggu.

“Apa hal ni?”keras kedengaran suara Haikal. Matanya dicegilkan dengan dahinya dikerutkan.

“Maaf bos. Saya dah cuba halang dia daripada masuk tetapi dia tetap berkeras nak masuk juga. Hei, perempuan kau keluar dari bilik ni sekarang!”marah Tasya sambil merentap tangan wanita yang meluru masuk sebentar tadi.

Tasya mula berasa cuak apabila melihat bosnya itu meninggi suara dan meradang. Dia cukup faham dengan sikap majikannya itu.

Perempuan tersebut sedaya upaya melepaskan tangannya yang digenggam kemas oleh Tasya. Sesekali melihat ke arah Haikal yang menjadi pemerhati seolah-olah meminta tolong dari Haikal supaya memberitahu Tasya agar melepaskannya.

Haikal memandang wajah wanita itu. Tidak semena-mena hatinya terasa sejuk memandang wajah wanita itu. Seolah-olah dia telah melihat pemandangan yang paling indah dalam hidupnya. Matanya tidak berkelip melihat wajah wanita tersebut. Hatinya berdebar-debar tatkala melihat wajah tersebut.

It’s ok Tasya. Awak boleh keluar sekarang.”arah Haikal.

“Tapi bos…”kata-kata Tasya terhenti apabila melihat isyarat tangan bosnya yang menyuruhnya keluar.

Tasya terpaksa akur dalam keterpaksaan. Dia merengus perlahan sambil melihat wanita tersebut yang dirasakan telah berlaku biadap. Tasya bingkas keluar dari bilik tersebut kerana tidak mahu melayan hatinya yang berasa panas itu.

Haikal leka memerhati wanita yang di hadapannya kini. Wanita itu yang lengkap mengenakan baju kurung berwarna biru tanpa bertudung kelihatan cukup ayu pada pandangan matanya. Rambutnya terurai menutupi wajahnya lantaran mengutip failnya yang terjatuh gara-gara pergelutan sebentar tadi. Apabila bangun tangannya pantas menguak rambut yang menutupi wajahnya itu dan diselitkan ke belakang telinga.

Haikal memuji dalam hatinya. Matanya yang redup sayu, bibirnya yang berona merah ditambah dengan wajahnya yang mulus tanpa sebarang noda dan cela amat memukau pandangan mata Haikal. Persis seseorang yang pernah mencuri hatinya suatu ketika dahulu.

“Assalamualaikum Encik.. Nama saya Nor Halisa binti Nordin tetapi boleh panggil saya Lisa...”ujar wanita itu memperkenalkan dirinya sambil menghulurkan tangan untuk bersalam. Raut wajah dimaniskan dengan seukir senyuman bergayut di bibir.

Haikal menjadi tidak keruan melihat senyuman manis yang dilemparkan oleh Lisa. Tangan yang dihulur disambut oleh Haikal. Lembut tapak tangan Lisa dirasakan oleh Haikal. Sejalur perasaan mula terasa menyusup ke jiwa. Terasa membuar perasaan yang bertakung di sanubari.

Lisa melabuhkan punggungnya di atas kerusi setelah dipelawa oleh Haikal. Lisa perasan dengan pandangan mata Haikal yang begitu asyik memerhatikannya hingga membuatkan gadis itu berasa tidak keruan. Pantas dia berdehem dan menghulurkan fail yang berisi dokumen mengenai latar dirinya. Haikal sedikit tersentak dan termangu-mangu menyambut huluran tersebut.

Haikal meneliti fail yang dihulurkan oleh Lisa sambil memusingkan kerusinya. Setiap sijil yang berada di dalam fail itu ditelitinya satu persatu. Perbuatan tersebut mengundang keresahan kepada Lisa. Hati kecilnya berdoa mudah-mudahan dia akan diterima kerja di syarikat tersebut.

“Boleh awak kenalkan diri dan ceritakan latar belakang awak serba sedikit.”pinta Haikal.

Dia berhenti menyemak fail Lisa. Fail tersebut diletakkan di atas meja sambil matanya memandang wajah Lisa. Dia telah mengenali peribadi wanita tersebut menerusi fail resume yang terdapat di dalam fail tersebut. Tetapi dia ingin melihat kepada keupayaan soft skill wanita tersebut kerana faktor itu menjadi kayu pengukur kepada seseorang untuk diterima kerja ataupun tidak.

Lisa mendiamkan diri sebentar sambil mindanya menyusun setiap butir patah kata yang bakal disebutkan olehnya. Setelah berasa tenang, perlahan-lahan Lisa menerangkan peribadi dirinya. Haikal dalam diam mengkagumi kepetahan Lisa menyusun setiap ayat dan patah kata yang terpacul keluar dari bibirnya. Menepati ciri-ciri pekerja yang dikehendakinya.

Result STPM awak boleh tahan bagus kenapa tak nak sambung study je.?”soalan Haikal seterusnya.

Lisa berdehem dulu sebelum menjawab. Telah banyak temuduga yang dihadirinya dan selalunya soalan tersebut yang akan ditanya.

“Sebenarnya saya lebih berminat untuk bekerja terlebih dahulu. Saya nak timba pengalaman terlebih dahulu Lagi pun saya sebatang kara dan hanya hidup berdasarkan belas kasihan jiran yang kini menjadi keluarga angkat saya. Kini saya telah tinggal berasingan. Saya tak mahu menyusahkan keluarga angkat saya lagi untuk menanggung saya. Lebih baik saya bekerja untuk mencari rezeki membalas jasa baik mereka. Dan wang hasil kerja akan saya kumpulkan sedikit demi sedikit dan bila dah cukup saya akan sambung pelajaran saya semula.”jelas Lisa. Keyakinannya jelas terserlah dari tutur katanya.

Perasaan kagum terhadap wanita ini semakin menebal. Haikal memuji kejujuran dan keihlasan wanita bernama Lisa ini dalam diam.

“Awak memang hidup sebatang kara sejak dari kecil lagi ke.”soal Haikal sambil memandang wajah Lisa.

Lisa hanya melemparkan senyuman hambar dan membiarkan soalan itu tergantung tanpa sebarang jawapan. Haikal menyedari kesilapannya bertanyakan soalan seperti itu. Ternyata soalan itu sedikit sensitif terhadap Lisa. Wajah Lisa ditenungnya .Gadis ini cukup muda. Sebaya dengan adiknya yang berusia awal 20 tahun yang masih menuntut di London. Manakala Haikal sendiri usianya telah menjangkau 32 tahun. Namun masih lagi hidup membujang.

“Saya setuju untuk terima awak bekerja. Gaji permulaan awak adalah RM1500 sebulan. Syarikat akan meningkatkan gaji awak sebanyak 30% selepas 2 bulan awak bekerja dan itu pun bergantung kepada prestasi kerja awak. Any question?”ujar Haikal sambil mengangkat keningnya.

“Bila saya boleh mula kerja encik err..tuan?”

Just call me En.Haikal. Jangan anggap saya sebagai majikan awak sebaliknya anggap setiap staf di dalam syarikat ini termasuk saya seperti family awak sendiri.”jelas Haikal. Begitulah resepi kejayaan yang digunakan sejak dari zaman ayahnya mentadbir lagi dan kini dia mewarisi perkara tersebut.

“..dan awak boleh mula bekerja esok..”sambung Haikal lagi sambil tersenyum.

Lisa menarik nafas lega kerana diterima kerja di syarikat tersebut meskipun dunia sedang mengalami kegawatan ekonomi. Bibirnya mengukir senyuman. Haikal menghulurkan tangan untuk berjabat. Lisa menyambut huluran tersebut. Telapak tangan mereka saling bertaut sambil bibir masing-masing mengukir senyuman mesra.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.