BAB 10

Selesai bersarapan pagi, kereta yang dipandu membelah kesibukan bandar Pulau Pinang. Banyak perancangan hari ini yang perlu dilakukan. Antaranya mereka merancang untuk ke Taman Rama-Rama, Botanical Park, Tokong Ular, Penang World Heritage, Komtar, Bukit Bendera dan lain-lain lagi. Seawal jam 9.00 pagi mereka telah bertolak menuju ke destinasi yang dituju.

Raimy Nazri berjalan dalam kumpulan rakan-rakannya melawat kawasan Botanical Park. Jam di tangan telah menunjukkan hampir pukul 1.00 petang. Baru tadi mereka telah melawat banyak tempat-tempat menarik seperti yang dirancang. Kebanyakan tempat lawatan dijadualkan pada hari ini sebab keesokan harinya hanya dikhususkan untuk membeli belah dan berangkat pulang. Masing-masing tidak melepaskan peluang untuk bergambar setiap kali berkunjung ke tempat-tempat menarik.

Raimy Nazri begitu asyik merakamkan pemandangan dalam Botanical Park menggunakan kamera Canon DSLR. Telatah monyet yang mengundang lucu dan kecantikan serta keindahan flora fauna diabadikannya dalam kamera. Tanpa disedari, dia telah berpisah daripada kumpulan rakan-rakannya tadi. Dia berjalan berseorangan meronda kawasan tersebut.

“Assalamualaikum..”

Teguran tersebut membuatkan Raimy Nazri tersentak dan menganggu fokusnya merakam pemandangan. Salam suci tersebut dijawab dan dia berkalih ke belakang. Sebaik pandangannya berubah, Raimy Nazri terperanjat besar. Seorang wanita tidak bertudung sedang berdiri di belakangnya sambil tersenyum simpul. Paling mengejutkan wajah wanita itu seiras-iras dengan arwah tunangnya, Dayang Haliza. Walaupun sedikit berbeza di bahagian hidung dan juga mata, tetapi persamaan itu tetap jelas. Raimy Nazri menelan liurnya sendiri. Dia terkedu dan terpaku.

“Saya ganggu abang ke?”tegur wanita itu lagi.

Raimy Nazri tergagap-gagap menjawab. Sekejap dia menggeleng dan sekejap dia mengangguk. Dia mengalami hambatan kejutan.

Wanita itu tergelak melihat kelakuan Raimy Nazri.

“Abang ni Raimy Nazri kan? Penulis novel yang terkenal tu?”

“Err.. ye.. saya Raimy Nazri.”tergugup gagap dia mengiakan.

“Tak sangka dapat jumpa abang dekat sini. Saya Anis Suraya.”ujar wanita itu seraya menghulurkan tangan untuk bersalam.

Raimy Nazri membalas huluran tersebut dan berjabat. Untuk seketika mereka bertatapan. Raimy Nazri seakan terpana melihat wanita tersebut. Bayangan Dayang Haliza menguasai dirinya kala ini. Anis Suraya mula malu apabila diperhatikan sebegitu. Dia berdehem. Raimy Nazri tersedar segera melepaskan tangannya dari terus berjabat.

“Saya memang minat gila dengan setiap novel abang. Setiap kali keluar saya orang pertama pergi beli. Best sangat!”puji Anis Suraya.

Raimy Nazri tersenyum hambar. Dia sedar wanita di hadapannya ini bukanlah Dayang Haliza. Dia perlu menerima hakikat tunangnya itu telah tiada lagi di dunia ini.

“Terima kasih sebab sokong setiap karya abang.”

“Kalau boleh saya nak tahu juga apa perkembangan novel terbaru abang? Dah masuk 3 bulan dah selepas novel ‘Hilang’ keluar. Mesti dah nak siap kan?”soal Anir Suraya teruja.

Raimy Nazri terdiam apabila diajukan soalan tersebut. Masalah itu bukan tidak difikirkannya tetapi dengan situasi yang dialaminya sekarang ini bukan mudah untuk dia berkarya memuntahkan idea. Lagipun idea yang terbaharu masih tidak berkunjung tiba.

“Masih belum ada lagi. Tetapi mungkin bakal ada tidak lama lagi. Lagipun abang nak berehat untuk sementara waktu.”jujur Raimy Nazri berterus terang.

Wanita itu sedikit hampa.

“Ala.. Baru je semangat nak baca novel terbaru abang.. Tapi, tak apalah. Abang rehat dulu buat sementara waktu nanti bila abang menulis mesti bombastik punya cerita.”balas Anis Suraya. Perangainya sedikit keanak-anakan. Sesuai dengan usianya yang dilihat baru menjangkau 20 tahun. Raimy Nazri mengagak.

Raimy Nazri tersenyum. “Seorang sahaja ke datang?”

Anis Suraya mengangguk. “Sorang saja. Kenapa abang nak teman ke?”usik Anis Suraya.

Raimy Nazri tertawa kecil. “Ingat datang dengan keluarga tadi.”

Anis Suraya mencebik. “Kita bukan budak-budak tau nak datang dengan keluarga. Kita dah 23 tahun okay.”balas Anis Suraya dengan suara yang sengaja dibuat seperti kanak-kanak.

Raimy Nazri tertawa lagi. Wanita di hadapannya ini kelihatan manja dan keanak-anakan. Lazimnya dia tidak semesra begitu dalam melayani peminat. Selalunya peminat hanya berjumpa dan meminta autograf sahaja. Tetapi berbeza dengan wanita ini. Kemesraan seolah wujud dalam dirinya. Tidak berasa kekok. Atau mungkin kerana wajahnya seiras Dayang Haliza?

“Abang pun datang seorang ke?”soal Anis Suraya.

“Tak lah. Abang datang dengan kawan-kawan. Diorang ada dekat sana.”sekadar menunjuk ke satu arah. Anis Suraya hanya melihat sekilas walaupun tidak mengenali dan tidak melihat kawan-kawan penulis novel yang dipujanya itu.

First time dapat jumpa abang depan-depan. Excited sangat. Tengok wajah abang dalam novel je selalu. Ada rupa. Tak nak jadi bintang filem ke?”usik Anis Suraya. Lazimnya wajah penulis novel akan diletakkan di ruangan belakang bahagian tinta penulis.

“Ish mana ada. Biasa-biasa je.”sanggah Raimy Nazri.

Perbualan mereka tergendala apabila bahu Raimy Nazri ditepuk. Pantas dia berkalih.

“Kau pergi mana? Dari tadi cari kau tak jumpa.”tegur salah seorang rakannya.

Raimy Nazri tidak lekas menjawab. Dia berkalih ke arah Anis Suraya untuk memperkenalkan wanita itu kepada kawan-kawannya. Tetapi sebaik berkalih kelibat wainta itu tidak lagi kelihatan. Dia melilaukan pandangan ke serata arah tetapi hampa.

“Kau cari siapa?”tegur Luthfi pula yang hairan melihat tingkah laku Raimy Nazri.

“Err..”lidah Raimy Nazri terkelu. Mana pula wanita tadi pergi, desis hati kecilnya.



Pada sebelah malam, Padang Kota menjadi tempat pilihan dilawati. Bila bercakap tentang Padang Kota pasti ramai yang akan bercakap tentang kelazatan pasembur yang dijual di situ. Keenakannya sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Puas meronda siang tadi, mereka tiba di hotel sekitar pukul 6.00 petang. Setelah berehat dan menyegarkan badan, mereka bertolak dari hotel menuju ke sini. Jam telah menunjukkan hampir pukul 9.00 malam.

Setiba di kawasan Padang Kota, kelihatan ramai orang termasuk pelancong asing dan tempatan. Tidak kurang pasangan kekasih yang sedang memadu asmara. Memang benar kawasan tersebut sangat menenangkan minda dan fikiran. Raimy Nazri terimbau kenangan lalu. Padang Kota menjadi tempat yang sering dikunjungi oleh dia dan arwah tunangnya sewaktu zaman universiti lalu.

Mereka sekumpulan mengambil tempat duduk di medan selera yang disediakan. Setelah memesan makanan dan minuman, masing-masing duduk berbual sambil ketawa riang. Hanya Raimy Nazri yang kelihatan bermenung.

Fikirannya kala ini bercampur baur. Sekejap dia memikirkan Dayang Haliza dan sekejap dia memikirkan Anis Suraya. Wanita yang ditemuinya siang tadi. Imej kedua-dua wanita itu saling bertindih antara satu sama lain. Entah mengapa kehadiran Anis Suraya begitu mengusik hati dan perasaannya. Raimy Nazri mengeluh.

“Jauh termenung? Dah tersangkut dengan anak mami dekat sini ke?”tegur Fahrin mengusik.

“Kau kena faham. Dia kan penulis novel. Dia tengah tengok kawasan sekeliling ni untuk dijadikan idea dalam novel terbaru.”sanggah seorang rakan yang lain.

Kata-kata tersebut hanya disambut oleh Raimy Nazri dengan senyuman hambar. Selesai menjamu selera, mereka masih duduk di kawasan tersebut sambil berborak. Raimy Nazri meminta diri untuk bersiar-siar di kawasan Padang Kota. Sekadar mengambil angin. Rakan-rakan yang lain tidak ikut serta.

Raimy Nazri menghayun langkah lemah di sekitar kawasan tersebut. Matanya memerhati gelagat manusia yang berada di kawasan tersebut. Semuanya mempunyai ragam yang tersendiri. Semuanya demi menghiburkan hati. Ada yang memancing, ada yang hanya duduk berbual dan tak kurang juga bersuka ria dengan keluarga. Dia mengambil tempat duduk di atas tebing. Kakinya dibiarkan terjuntai. Di bawahnya air laut berombak lemah menampar dinding batu. Sang bayu menerpa tubuhnya. Terasa dingin dan menenangkan.

Fikirannya terawang-awang. Pandangan matanya dilontar jauh ke laut seolah-olah membelah lautan tersebut. Sengaja dia menikmati keadaan sebegitu.

“Sorang lagi nampak?”

Teguran tersebut membuatkan Raimy Nazri berkalih. Kelihatan Anis Suraya sedang berdiri di sebelahnya.

“Jumpa lagi kita.”segarit senyuman terukir di bibir Raimy Nazri. Hatinya seolah-olah gembira melihat kelibat wanita tersebut.

“Mungkin ada jodoh kot.”usik Anis Suraya. Dia mengambil tempat di sebelah Raimy Nazri sambil memakan aiskrim. Raimy Nazri hanya tersenyum.

“Buat apa dekat sini?”soal Raimy Nazri.

“Saja ambil angin. Ramai cakap tempat ni best.”balas Anis Suraya.

“Awak asal dari mana?”

“Saya asal Selangor. Abang?”panggilan hormat memandangkan lelaki itu jauh lebih tua daripadanya.

Really?! Saya asal Kuala Lumpur. Tak jauh lar kita. Berjiran saja.”ujar Raimy Nazri.

“Saya tahu sebab abang dah selalu beritahu dekat dalam novel. Saja je nak test.”kata Anis Suraya. Dia menjilat aiskrim di dalam kon lagi. Kaki yang terjuntai digoyang-goyang.

Raimy Nazri melihat ke arah Anis Suraya. Kemudiannya dia tergelak tetapi ditahannya sebaik mungkin. Anis Suraya mengangkat keningnya ingin tahu. Raimy Nazri hanya menunjuk ke arah hidung Anis Suraya yang comot dengan aiskrim sambil tergelak-gelak. Perangai kebudak-budakkan wanita itu jelas terserlah.

Anis Suraya menjuihkan bibir menunjukkan tingkahlaku yang comel. Cebisan aiskrim dihidungnya dikesat tetapi tidak bersih. Spontan Raimy Nazri mengangkat tangannya lalu mengesat sehingga bersih. Anis Suraya seakan terpaku dengan tindakan Raimy Nazri. Raimy Nazri yang terlanjur dengan kelakuannya segera menarik tangannya kembali.

“Suka dengan aiskrim vanila?”soal Raimy Nazri.

Anis Suraya mengangguk. “My favourite!”

Sama dengan Dayang Haliza, desis hati kecil Raimy Nazri. Dia menatap wajah Anis Suraya sekilas. Entah mengapa hatinya berasa berdebar-debar tatkala memandang wanita tersebut. Dia berasa seolah-olah telah mengenali wanita tersebut lama walaupun baru beberapa jam sahaja mengenalinya.

“Mana kawan-kawan abang yang lain?”soal wanita itu.

“Tengah makan dekat medan selera hujung sana tu.”jelas Raimy Nazri.

“Saya tengok abang asyik bermenung je dari tadi. Ingat awek ek?”nakal Anis Suraya menyoal.

Raimy Nazri tersenyum hambar. Memang, dia sedang merindui wajah tunangnya. Raimy Nazri menggeleng lemah.

“Ala.. Rugi lar muka kacak macam abang ni tak ada awek.”ujar Anis Suraya lagi. Aiskrimnya telah habis dimakan.

Raimy Nazri meraup wajahnya menggunakan kedua-dua belah telapak tangan. Kemudian dia menundukkan wajah.

“Tunang abang dah meninggal dunia.”terus terang Raimy Nazri memberitahu.

Anis Suraya tersentak. Raut wajahnya terus berubah. “Err.. Saya minta maaf. Saya tak bermaksud..”

Kata-kata Anis Suraya disanggah oleh Raimy Nazri. “Tak mengapa. Abang okay je.”ujar Raimy Nazri.

“Bila tunang abang tu..”belum sempat soalan dilontarkan Raimy Nazri segera menjawab.

“Bulan lepas.”

Jawapan Raimy Nazri membuatkan Anis Suraya berasa serba salah. Dia memarahi dirinya sendiri kerana dia tidak sepatutnya bertanyakan soalan sebegitu kepada Raimy Nazri.

“Kadangkala abang rasa dunia ini terlalu kejam. Tunang abang diambil di saat-saat akhir kami ingin melangsungkan perkahwinan. Sedangkan abang sangat mencintai dan menyayangi dirinya.”ujar Raimy Nazri. Wajahnya tertunduk sayu.

Anis Suraya hanya memerhati wajah Raimy Nazri. Walaupun dalam penulisannya sering mempamerkan kebahagiaan dalam percintaan tetapi nasibnya tidak seindah yang digambarkan dalam novel. Wajah lelaki itu ternyata menyimpan rasa rindu dan sedih berpisah dengan orang dicintai. Tambahan usia perpisahan baru menjangkau sebulan.

“Dunia ini tak kejam tetapi ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.”balas Anis Suraya. Sikapnya yang keanak-anakan berubah sedikit dewasa apabila berkelakuan sedemikian.

“Maksud awak?”

Rambut Anis Suraya yang lurus terbuai-buai di hembus angin. “Hidup ini ada pasang surutnya. Kadang kita di atas, kadang kita di bawah. Kadang kita bahagia dan kadang kita berduka. Setiap apa yang berlaku pasti ada keterbalikannya. Semua ini adalah satu ujian kepada kita dalam menjadi seorang manusia yang tabah dalam mengharungi cabaran hidup.”kata Anis Suraya.

Kata-kata Anis Suraya membuatkan Raimy Nazri terpaku. Ternyata wanita di sebelahnya itu bijak berkata-kata. Terasa menyusup ke jiwanya. Walaupun dia seorang pengarang yang hebat dalam mencantumkan ayat sehingga menjadi menarik. Tetapi tiada satu pun kata-kata yang dapat diberi kepada dirinya sendiri untuk meningkatkan semangat saat dia menghadapi kesukaran tersebut.

“Tapi kenapa perlu abang? Kenapa abang yang dipilih untuk diuji?”soal Raimy Nazri. Dia berkeluh kesah.

“Syukur sebab abang yang dipilih untuk diuji sebab bukan semua yang dapat. ALLAH sayang dekat abang sebab tu dia uji abang begini supaya abang ingat kepada Dia. Setiap ujian yang turun tu penghapus dosa abang. Hanya sabar jalan yang terbaik dalam situasi begini.”ujar Anis Suraya lagi.

Serta merta Raimy Nazri teringat Haji Leman. Bapa saudaranya itu pernah juga berkata sedemikian. Walaupun semangatnya berjaya diraih tetapi tidaklah sepenuhnya. Hati, jiwa dan raganya sangat merindui Dayang Haliza sehingga kadang-kadang terbawa di dalam mimpi.

Raimy Nazri berkalih ke arah Anis Suraya lalu melemparkan senyuman hambar. “Abang sebagai penulis novel yang menggarap kisah hidup orang lain tetapi tidak mampu mengatur kehidupan abang sendiri saat di landa ujian.”

“Itu perkara biasa abang. Kadangkala kita perlukan seseorang untuk berkongsi masalah dan kesedihan. Barulah rasa itu akan berkurang. Macam pakar motivasi juga. Tak semestinya diorang tak ada masalah walaupun sibuk menyelesaikan masalah orang lain. Semua manusia ada masalahnya tersendiri walaupun ringan mahupun berat.”jelas Anis Suraya.

Raimy Nazri mengakui hakikat tersebut. Tetapi buat sementara ini bayangan Dayang Haliza sentiasa muncul dalam hatinya. Mungkin suatu masa nanti dia akan kembali normal apabila hakikat tersebut dapat diterima.

Previous: BAB 9
Next: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.