BAB 5

Raimy Nazri tersenyum apabila mengenangkan kenangan yang lalu itu. Segalanya terasa seperti baru semalam terjadi meskipun telah hampir 6 tahun berlalu. Sungguh indah dan tidak dapat dibeli dengan wang ringgit kenangan dia bersama Dayang Haliza.

Segala pahit manis telah ditempuhi bersama sepanjang mereka bercinta. Mujur dugaan sewaktu bertunang tidaklah sehebat sewaktu bercinta dahulu. Sebab kata orang tua-tua, lazimnya waktu bertunang dugaan paling hebat akan kita alami sebelum masuk ke zaman perkahwinan.

Bermula daripada malam itu, masing-masing telah menyulam cinta dalam diam. Segalanya terasa indah zaman bercinta. Sungguh sukar untuk dibandingkan dengan apa jua kenangan sekalipun. Tambahan pula Dayang Haliza adalah cinta pertamanya.

Raimy Nazri meletakkan semula bingkai gambar di atas ruangan mejanya. Dia tersenyum lalu kembali menyambung tugasnya. Tidak semena-mena fikirannya melayang teringatkan sesuatu.

Pantas laci ditarik dan tangannya mencapai kad undangan perkahwinan yang masih belum diberikan kepada rakan sepejabatnya. Nasib baik dia teringat tentang hal tersebut kalau tidak memang merajuk panjang rakan-rakan pejabatnya itu.

Bingkas dia bangun lalu menuju ke satu-satu meja menyerahkan kad undangan perkahwinan sambil menjemput mereka untuk hadir sama menyaksikan hari bersejarah dalam hidupnya itu.

“Jemput datang, Wan. Kau jangan lupa pula.”ujar Raimy Nazri seraya menyerahkan kad kepada Wan Latifah.

“Kalau kau tak jemput pun aku akan tetap datang.”usik Wan Latifah.

Raimy Nazri tertawa kecil lalu menyambung kembali tugasnya mengedarkan kad jemputan perkahwinan kepada seluruh pejabat. Pihak pengurusan merupakan tetamu terakhir yang akan diserahkan kad undangan dalam perkiraan Raimy Nazri.

Raimy Nazri melangkah menuju ke arah meja Azril. Staf terakhir yang akan dijemputnya. Lelaki itu kelihatan sibuk menghadap komputer menyiapkan kerjanya. Raimy Nazr berdiri di hadapan meja lelaki tersebut tetapi tidak diendahkan.

“Azril.. Aku nak jemput kau untuk datang ke majlis perkahwinan aku minggu hadapan.”ujar Raimy Nazri seraya tangannya mengunjuk kad jemputan.

Azril mengalih wajahnya memerhati Raimy Nazri. Wajahnya tegang. Tangannya merampas kasar kad undangan tersebut. Dia berdiri daripada kerusi yang sedang diduduknya itu. Kad undangan tersebut dikeluarkan daripada sampul lalu dibaca sekilas. Kemudian lelaki tersebut bertindak biadap apabila merenyuk kad tersebut lalu dicampakkan ke dalam tong sampah di hujung kakinya.

Raimy Nazri hanya mendiamkan diri melihat sikap biadap Azril. Dia sememangnya dah masak dengan sikap Azril yang gemar mencetuskan provokasi. Lantas dia terus berlalu enggan melayan perangai Azril yang tidak habis-habis memusuhi dirinya.

Azril mengetap bibir geram apabila melihat umpannya untuk membuat Raimy Nazri sakit hati tidak menjadi.

“Buat apa nak kahwin kalau dah berpuluh kali terlanjur. Kan lebih baik duduk serumah sahaja tanpa nikah.”sinis Azril dengan nada yang kuat sehingga didengari oleh seluruh pejabat.

Serta merta darahnya terasa naik. Suhu tubuhnya terasa panas. Amarahnya menjulang-julang apabila fitnah tersebut dilemparkan. Walaupun tahap agamanya tidak setinggi mana tetapi dia masih mengenal halal dan haram. Raimy Nazri meluru ke arah Azril.

“Biadap!”serentak dengan itu satu tumbukan padu hinggap ke wajah Azril sehingga membuatkan lelaki itu terpaling. Bibirnya pecah dan mengalirkan darah.

Baru sahaja tumbukan kedua hendak dihayunkan, Raimy Nazri telah ditenangkan oleh rakan-rakan sepejabat yang lain. Mereka pantas datang meleraikan pergaduhan. Azril menahan marah yang tidak terhingga. Tubuhnya dipegang oleh dua orang rakan sepejabat.

“Aku akan pastikan kau menyesal! Kau akan merana seumur hidup kau!”meninggi nada suara Azril melaungkan amaran. Matanya terbeliak menerkam wajah Raimy Nazri.

Raimy Nazri bernafas kencang menahan buaran rasa. Mereka berdua saling berpandangan sambil tubuh masing-masing dipegang oleh rakan ofis bagi mengelakkan mereka daripada terus berkelahi.



Dayang Haliza sibuk dengan persiapan perkahwinan. Pada esok harinya mereka akan diakad nikahkan seawal jam 10.00 pagi. Lalu majlis akan diteruskan pula dengan acara bersanding dan makan beradab. Begitulah kehidupan masyarakat Melayu yang hidupnya penuh beradab sopan dan mempunyai istiadat.

Debaran terasa begitu hebat melanda dirinya. Setelah sekian lama bercinta akhirnya dia dan Raimy Nazri bakal disatukan dalam ikatan jalinan yang sah. Mengingatkan perkara tersebut membuatkan dirinya bahagia. Wanita mana yang tidak bahagia apabila dapat memiliki lelaki yang dicintainya selama ini. Cintanya pada Raimy Nazri benar-benar suci dan tidak pernah tergugah sama sekali.

Rumah Ahmad Jailani dan pasangannya dipenuhi dengan sanak saudara dan jiran tetangga yang memenuhi perkarangan. Masing-masing sibuk dengan pekerjaan masing-masing. Ada yang sedang mengisi cenderamata di dalam bekas, ada juga memasukkan telur ke dalam bunga dan pelbagai lagi.

Walaupun begitu tugas yang perlu dilakukan tidaklah sebanyak mana sebab Dayang Haliza telah menguruskan semuanya terlebih dahulu. Yang tinggal hanyalah kerja ringan yang perlu diuruskan.

Malam berinai akan diadakan pada sebelah malam nanti. Dayang Haliza turut serta membuat kerja-kerja rumah meskipun dilarang oleh ibu bapanya. Bagi diri Dayang Haliza walaupun dia bakal bergelar raja sehari pada keesokan harinya tidak semestinya dia tidak boleh melakukan sebarang tugas bagi meringankan beban.

Di luar rumah khemah untuk majlis resepsi telah siap dipasang oleh pihak katering. Semuanya terhias indah dengan tema ungu.

“Mak.., dawai untuk ikat bunga telur dah habis lar..”laung salah seorang adik Dayang Haliza.

Saudara mara yang lain terhenti tugas gara-gara dawai halus yang mengikat telur rebus daripada terkeluar daripada sarungnya telah habis.

Mak Munah yang sedang berada di dapur tidak menyedari laungan tersebut. Dayang Haliza yang kebetulan sedang memasang kain langsir di ruang tamu segera mendapatkan adiknya.

“Kenapa ni dik?”

“Dawai dah habis. Macam mana kami nak ikat bunga telur?”ujar adiknya yang paling bongsu berusia 9 tahun itu.

Dayang Haliza memerhatikan saudara mara yang lain. Semuanya sedang sibuk dengan tugas masing-masing. Tiada siapa yang dapat disuruhnya untuk ke kedai. Kebetulan tugas dia memasang langsir telah habis. Lantas Dayang Haliza mencapai dompetnya dan berjalan kaki menuju ke kedai yang terletak 500 meter daripada rumahnya. Tanpa disedari, Dayang Haliza telah tertinggal telefon bimbitnya di atas kabinet yang menempatkan televisyen.



Raimy Nazri sibuk ke sana ke mari menolong saudara maranya melakukan kerja. Rumahnya riuh dengan suara kanak-kanak bermain dan saudara mara yang sedang berbual. Malam itu akan diadakan majlis khatam al-Quran. Jadi kenduri kecil-kecilan akan diadakan di rumahnya. Majlis perkahwinan sebelah pihak lelaki hanya akan diadakan setelah tamatnya majlis di rumah pihak perempuan, yakni keesokan harinya.

Raimy Nazri yang sedang mengelap cermin tingkap daripada habuk didatangi oleh ayahnya, Sabri.

“Rajin anak ayah ni buat kerja. Sepatutnya bakal pengantin tak boleh buat kerja teruk-teruk tau. Kena duduk rehat saja.”tegur Sabri.

Raimy Nazri tersentak. Dia berkalih lalu tersenyum. Kain yang digunakan untuk mengelap cermin tingkap direndam di dalam timba air. Dia menghela nafas kepenatan dan duduk di sebelah Sabri.

“Mana ada teruk. Raimy tolong bantu sikit-sikit saja ni. Lagipun rasa tak selesa pula kalau tak buat apa-apa kerja sedangkan orang lain semua sedang sibuk.”balas Raimy Nazri.

Ayahnya hanya tersenyum hambar lalu menepuk bahu anaknya.

“Ayah faham perasaan kamu. Kamu lepas ni bakal bergelar seorang suami dan mungkin tak lama lagi bakal menjadi seorang ayah. Tanggungjawab kamu bertambah berat. Jangan ambil mudah perkara tu semua. Kamu akan menjadi ketua keluarga yang bakal membimbing dan menjadi teladan kepada anak-anak kamu kelak.”nasihat Sabri berdasarkan pengalamannya. Asam garam dan rencah dalam kehidupan berumah tangga sangat berbeza dengan kehidupan bujang.

Raimy Nazri hanya mengangguk faham dengan nasihat yang diberi.

“Raimy cuma gementar sikit menanti hari esok. Maklumlah kali pertama seumur hidup.”ujar Raimy Nazri sambil tertawa kecil di hujung percakapannya.

“Biasalah tu. Ayah dulu macam kamu juga. Ayah akan sentiasa doakan kebahagian kamu dan Haliza dari dunia hingga ke akhirat.”kata Sabri lagi.

“Terima kasih ayah..”balas Raimy Nazri seraya memeluk tubuh ayahnya. Sabri tersenyum hambar dan membalas pelukan tersebut. Dia memeluk tubuh anaknya erat sambil menepuk-nepuk memberikan semangat untuk menempuh hari yang mendatang.



Dayang Haliza selesai memberi barangan yang diperlukan. Selesai membuat pembayaran, Dayang Haliza terus berlalu keluar dari kedai sambil kedua-dua tangannya menjinjing beg plastik berisi barangan. Dia mengatur jalan perlahan melewati jalan raya yang sering menjadi tumpuan pengguna.

Jarak dari kedai ke rumah tidaklah sejauh mana. Tetapi memerlukan dia untuk melintas jalan raya yang mempunyai dua lorong laluan kenderaan. Sambil berjalan tiba-tiba mindanya memikirkan tunangnya.

Pasti sekarang ini, Rami Nazri sedang sibuk mempersiapkan segalanya untuk majlis esok. Dayang Haliza menyeluk poket seluarnya untuk mengambil telefon bimbit bagi menghubungi Raimy Nazri. Tetapi malangnya apabila dia baru teringat bahawa dia tidak membawa alat komunikasi itu tadi sebelum keluar daripada rumah. Dayang Haliza mengeluh perlahan.

Lantas langkah diatur perlahan sehinggalah tiba di jalan raya yang memisahkan di antara kedai dan rumahnya. Dayang Haliza melihat sekilas ke arah kiri dan kanan bagi memastikan tiada kenderaan yang sedang menggunakan jalan tersebut. Sebaik terasa jalan raya tersebut selamat untuk digunakan, dia melintas jalan.

Tiba-tiba di satu selekoh sebuah kereta proton Wira membelok dan meluncur laju menggunakan jalan berkenaan. Proton Wira itu membelah jalan raya dengan bunyi deruman enjin yang membingitkan meluru laju ke arah Dayang Haliza.

Dayang Haliza yang terdengar deruman enjin kereta segera berkalih. Matanya terbeliak lantaran terkejut melihat sebuah kereta sedang meluncur laju dan semakin dekat dengan dirinya. Nafasnya terasa menderu. Jantungnya terasa terhenti. Dayang Haliza menjerit nyaring. Beg plastik yang terjinjing di tangan terlepas dan jatuh ke atas jalan tar.

Previous: BAB 4
Next: BAB 6

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.