Raimy Nazri tersenyum apabila mengenangkan kenangan
yang lalu itu. Segalanya terasa seperti baru semalam terjadi meskipun telah
hampir 6 tahun berlalu. Sungguh indah dan tidak dapat dibeli dengan wang
ringgit kenangan dia bersama Dayang Haliza.
Segala
pahit manis telah ditempuhi bersama sepanjang mereka bercinta. Mujur dugaan
sewaktu bertunang tidaklah sehebat sewaktu bercinta dahulu. Sebab kata orang
tua-tua, lazimnya waktu bertunang dugaan paling hebat akan kita alami sebelum
masuk ke zaman perkahwinan.
Bermula
daripada malam itu, masing-masing telah menyulam cinta dalam diam. Segalanya
terasa indah zaman bercinta. Sungguh sukar untuk dibandingkan dengan apa jua
kenangan sekalipun. Tambahan pula Dayang Haliza adalah cinta pertamanya.
Raimy
Nazri meletakkan semula bingkai gambar di atas ruangan mejanya. Dia tersenyum
lalu kembali menyambung tugasnya. Tidak semena-mena fikirannya melayang
teringatkan sesuatu.
Pantas
laci ditarik dan tangannya mencapai kad undangan perkahwinan yang masih belum
diberikan kepada rakan sepejabatnya. Nasib baik dia teringat tentang hal
tersebut kalau tidak memang merajuk panjang rakan-rakan pejabatnya itu.
Bingkas
dia bangun lalu menuju ke satu-satu meja menyerahkan kad undangan perkahwinan
sambil menjemput mereka untuk hadir sama menyaksikan hari bersejarah dalam
hidupnya itu.
“Jemput
datang, Wan. Kau jangan lupa pula.”ujar Raimy Nazri seraya menyerahkan kad
kepada Wan Latifah.
“Kalau
kau tak jemput pun aku akan tetap datang.”usik Wan Latifah.
Raimy
Nazri tertawa kecil lalu menyambung kembali tugasnya mengedarkan kad jemputan
perkahwinan kepada seluruh pejabat. Pihak pengurusan merupakan tetamu terakhir
yang akan diserahkan kad undangan dalam perkiraan Raimy Nazri.
Raimy
Nazri melangkah menuju ke arah meja Azril. Staf terakhir yang akan dijemputnya.
Lelaki itu kelihatan sibuk menghadap komputer menyiapkan kerjanya. Raimy Nazr
berdiri di hadapan meja lelaki tersebut
tetapi tidak diendahkan.
“Azril..
Aku nak jemput kau untuk datang ke majlis perkahwinan aku minggu hadapan.”ujar
Raimy Nazri seraya tangannya mengunjuk kad jemputan.
Azril
mengalih wajahnya memerhati Raimy Nazri. Wajahnya tegang. Tangannya merampas
kasar kad undangan tersebut. Dia berdiri daripada kerusi yang sedang diduduknya
itu. Kad undangan tersebut dikeluarkan daripada sampul lalu dibaca sekilas.
Kemudian lelaki tersebut bertindak biadap apabila merenyuk kad tersebut lalu
dicampakkan ke dalam tong sampah di hujung kakinya.
Raimy
Nazri hanya mendiamkan diri melihat sikap biadap Azril. Dia sememangnya dah
masak dengan sikap Azril yang gemar mencetuskan provokasi. Lantas dia terus
berlalu enggan melayan perangai Azril yang tidak habis-habis memusuhi dirinya.
Azril
mengetap bibir geram apabila melihat umpannya untuk membuat Raimy Nazri sakit
hati tidak menjadi.
“Buat
apa nak kahwin kalau dah berpuluh kali terlanjur. Kan lebih baik duduk serumah
sahaja tanpa nikah.”sinis Azril dengan nada yang kuat sehingga didengari oleh
seluruh pejabat.
Serta
merta darahnya terasa naik. Suhu tubuhnya terasa panas. Amarahnya
menjulang-julang apabila fitnah tersebut dilemparkan. Walaupun tahap agamanya
tidak setinggi mana tetapi dia masih mengenal halal dan haram. Raimy Nazri
meluru ke arah Azril.
“Biadap!”serentak
dengan itu satu tumbukan padu hinggap ke wajah Azril sehingga membuatkan lelaki
itu terpaling. Bibirnya pecah dan mengalirkan darah.
Baru
sahaja tumbukan kedua hendak dihayunkan, Raimy Nazri telah ditenangkan oleh
rakan-rakan sepejabat yang lain. Mereka pantas datang meleraikan pergaduhan.
Azril menahan marah yang tidak terhingga. Tubuhnya dipegang oleh dua orang
rakan sepejabat.
“Aku
akan pastikan kau menyesal! Kau akan merana seumur hidup kau!”meninggi nada
suara Azril melaungkan amaran. Matanya terbeliak menerkam wajah Raimy Nazri.
Raimy
Nazri bernafas kencang menahan buaran rasa. Mereka berdua saling berpandangan
sambil tubuh masing-masing dipegang oleh rakan ofis bagi mengelakkan mereka
daripada terus berkelahi.
Dayang Haliza sibuk dengan persiapan perkahwinan.
Pada esok harinya mereka akan diakad nikahkan seawal jam 10.00 pagi. Lalu
majlis akan diteruskan pula dengan acara bersanding dan makan beradab.
Begitulah kehidupan masyarakat Melayu yang hidupnya penuh beradab sopan dan
mempunyai istiadat.
Debaran
terasa begitu hebat melanda dirinya. Setelah sekian lama bercinta akhirnya dia
dan Raimy Nazri bakal disatukan dalam ikatan jalinan yang sah. Mengingatkan
perkara tersebut membuatkan dirinya bahagia. Wanita mana yang tidak bahagia
apabila dapat memiliki lelaki yang dicintainya selama ini. Cintanya pada Raimy
Nazri benar-benar suci dan tidak pernah tergugah sama sekali.
Rumah
Ahmad Jailani dan pasangannya dipenuhi dengan sanak saudara dan jiran tetangga
yang memenuhi perkarangan. Masing-masing sibuk dengan pekerjaan masing-masing.
Ada yang sedang mengisi cenderamata di dalam bekas, ada juga memasukkan telur
ke dalam bunga dan pelbagai lagi.
Walaupun
begitu tugas yang perlu dilakukan tidaklah sebanyak mana sebab Dayang Haliza
telah menguruskan semuanya terlebih dahulu. Yang tinggal hanyalah kerja ringan
yang perlu diuruskan.
Malam
berinai akan diadakan pada sebelah malam nanti. Dayang Haliza turut serta
membuat kerja-kerja rumah meskipun dilarang oleh ibu bapanya. Bagi diri Dayang
Haliza walaupun dia bakal bergelar raja sehari pada keesokan harinya tidak
semestinya dia tidak boleh melakukan sebarang tugas bagi meringankan beban.
Di
luar rumah khemah untuk majlis resepsi telah siap dipasang oleh pihak katering.
Semuanya terhias indah dengan tema ungu.
“Mak.., dawai untuk ikat bunga telur dah habis
lar..”laung salah seorang adik Dayang Haliza.
Saudara
mara yang lain terhenti tugas gara-gara dawai halus yang mengikat telur rebus
daripada terkeluar daripada sarungnya telah habis.
Mak
Munah yang sedang berada di dapur tidak menyedari laungan tersebut. Dayang
Haliza yang kebetulan sedang memasang kain langsir di ruang tamu segera
mendapatkan adiknya.
“Kenapa
ni dik?”
“Dawai
dah habis. Macam mana kami nak ikat bunga telur?”ujar adiknya yang paling
bongsu berusia 9 tahun itu.
Dayang
Haliza memerhatikan saudara mara yang lain. Semuanya sedang sibuk dengan tugas
masing-masing. Tiada siapa yang dapat disuruhnya untuk ke kedai. Kebetulan
tugas dia memasang langsir telah habis. Lantas Dayang Haliza mencapai dompetnya
dan berjalan kaki menuju ke kedai yang terletak 500 meter daripada rumahnya.
Tanpa disedari, Dayang Haliza telah tertinggal telefon bimbitnya di atas
kabinet yang menempatkan televisyen.
Raimy Nazri sibuk ke sana ke mari menolong saudara
maranya melakukan kerja. Rumahnya riuh dengan suara kanak-kanak bermain dan
saudara mara yang sedang berbual. Malam itu akan diadakan majlis khatam al-Quran. Jadi kenduri
kecil-kecilan akan diadakan di rumahnya. Majlis perkahwinan sebelah pihak
lelaki hanya akan diadakan setelah tamatnya majlis di rumah pihak perempuan,
yakni keesokan harinya.
Raimy
Nazri yang sedang mengelap cermin tingkap daripada habuk didatangi oleh
ayahnya, Sabri.
“Rajin
anak ayah ni buat kerja. Sepatutnya bakal pengantin tak boleh buat kerja
teruk-teruk tau. Kena duduk rehat saja.”tegur Sabri.
Raimy
Nazri tersentak. Dia berkalih lalu tersenyum. Kain yang digunakan untuk
mengelap cermin tingkap direndam di dalam timba air. Dia menghela nafas
kepenatan dan duduk di sebelah Sabri.
“Mana
ada teruk. Raimy tolong bantu sikit-sikit saja ni. Lagipun rasa tak selesa pula
kalau tak buat apa-apa kerja sedangkan orang lain semua sedang sibuk.”balas
Raimy Nazri.
Ayahnya
hanya tersenyum hambar lalu menepuk bahu anaknya.
“Ayah
faham perasaan kamu. Kamu lepas ni bakal bergelar seorang suami dan mungkin tak
lama lagi bakal menjadi seorang ayah. Tanggungjawab kamu bertambah berat.
Jangan ambil mudah perkara tu semua. Kamu akan menjadi ketua keluarga yang
bakal membimbing dan menjadi teladan kepada anak-anak kamu kelak.”nasihat Sabri
berdasarkan pengalamannya. Asam garam dan rencah dalam kehidupan berumah tangga
sangat berbeza dengan kehidupan bujang.
Raimy
Nazri hanya mengangguk faham dengan nasihat yang diberi.
“Raimy
cuma gementar sikit menanti hari esok. Maklumlah kali pertama seumur
hidup.”ujar Raimy Nazri sambil tertawa kecil di hujung percakapannya.
“Biasalah
tu. Ayah dulu macam kamu juga. Ayah akan sentiasa doakan kebahagian kamu dan
Haliza dari dunia hingga ke akhirat.”kata Sabri lagi.
“Terima
kasih ayah..”balas Raimy Nazri seraya memeluk tubuh ayahnya. Sabri tersenyum
hambar dan membalas pelukan tersebut. Dia memeluk tubuh anaknya erat sambil
menepuk-nepuk memberikan semangat untuk menempuh hari yang mendatang.
Dayang Haliza selesai memberi barangan yang diperlukan.
Selesai membuat pembayaran, Dayang Haliza terus berlalu keluar dari kedai
sambil kedua-dua tangannya menjinjing beg plastik berisi barangan. Dia mengatur
jalan perlahan melewati jalan raya yang sering menjadi tumpuan pengguna.
Jarak
dari kedai ke rumah tidaklah sejauh mana. Tetapi memerlukan dia untuk melintas
jalan raya yang mempunyai dua lorong laluan kenderaan. Sambil berjalan
tiba-tiba mindanya memikirkan tunangnya.
Pasti
sekarang ini, Rami Nazri sedang sibuk mempersiapkan segalanya untuk majlis esok.
Dayang Haliza menyeluk poket seluarnya untuk mengambil telefon bimbit bagi
menghubungi Raimy Nazri. Tetapi malangnya apabila dia baru teringat bahawa dia
tidak membawa alat komunikasi itu tadi sebelum keluar daripada rumah. Dayang
Haliza mengeluh perlahan.
Lantas
langkah diatur perlahan sehinggalah tiba di jalan raya yang memisahkan di
antara kedai dan rumahnya. Dayang Haliza melihat sekilas ke arah kiri dan kanan
bagi memastikan tiada kenderaan yang sedang menggunakan jalan tersebut. Sebaik
terasa jalan raya tersebut selamat untuk digunakan, dia melintas jalan.
Tiba-tiba
di satu selekoh sebuah kereta proton Wira membelok dan meluncur laju
menggunakan jalan berkenaan. Proton Wira itu membelah jalan raya dengan bunyi
deruman enjin yang membingitkan meluru laju ke arah Dayang Haliza.
Dayang
Haliza yang terdengar deruman enjin kereta segera berkalih. Matanya terbeliak
lantaran terkejut melihat sebuah kereta sedang meluncur laju dan semakin dekat
dengan dirinya. Nafasnya terasa menderu. Jantungnya terasa terhenti. Dayang
Haliza menjerit nyaring. Beg plastik yang terjinjing di tangan terlepas dan
jatuh ke atas jalan tar.