Haikal menelan
liurnya. Minda ligat berpusing mencari jawapan terhadap apa yang berlaku di
hadapannya kini.
“Apa maksud youLisa? Siapa you sebenarnya? Apa hubungan you
dengan perempuan ini?”soal Haikal bertalu-talu.
Lisa tertawa panjang.
Tawanya itu kedengaran menyeramkan. Suasana yang suram di dalam rumah tersebut
menambahkan lagi rasa gerun. Haikal menelan liurnya. Dia menghadapi Lisa yang
benar-benar berbeza dengan perilakunya sebelum ini.
“8 tahun masa berlalu
telah membuatkan kau lupa kepada bekas tunang kau sendiri Haikal. Haslinda….
Pasti kau ingat nama itu bukan?”keras suara Lisa menyoal.
Haikal terpempan
seketika mendengar nama itu disebut. Sekian lama nama itu berkubur dan kini
nama itu disebut kembali. Telah lama dia tidak mendengar nama itu disebut. Nama
yang selalu membuatkan dia terindu-rindu, membuatkan dia ketawa, menghilangkan
kesedihannya dan segalanya. Haikal menghempaskan nafas kasar dan memberat.
“Siapa kau sebenarnya
Lisa?”soal Haikal. Dahinya mula dibasahi peluh renik.
Lisa tertawa panjang.
Suara tawanya terasa melantun di dalam rumah tersebut. Perlakuannya seperti seorang
psiko. Seolah kegilaannya merasuk.
“Aku adik kepada Haslinda.
Satu-satunya kakak dan ahli keluarga yang aku masih ada. Kau tak kenal aku
sebab masa tu aku masih kecil lagi saat kau putuskan pertunangan dengan kakak
aku. Kau pasti cukup ingatkan nama Haslinda? Perempuan yang kau putuskan
pertunangan sehingga dia jadi gila dan akhirnya mati kerana teramat rindukan
kasih sayang seorang lelaki yang bernama Haikal! Kau pasti ingatkan??”soal Lisa
dengan suara yang tinggi. Nafasnya turun naik menahan kemarahan dan dendam yang
dipendam sekian lama.
Haikal
menghela nafas panjang. Begitu kecil rupanya dunia ini. Putaran dunia dan masa
yang berlalu kini menemukan semula dirinya dan kisah silam yang telah lama
meninggalkannya. Kini, masa silam itu mula mengejarnya. Menuntut sebuah ganti
rugi atas apa yang telah berlaku.
“Lisa…
Awak tak tahu kisah sebenar yang berlaku… Saya sebenarnya..”belum sempat Haikal
menghabiskan kata Lisa pantas memintas.
“Ahh…
Aku tak mahu dengar sebarang kata-kata dari mulut lelaki yang tidak tahu
menghargai hati seorang wanita. Pernah kau tahu betapa dia sengsara sejak kau
tinggalkan dia? Pernah kau tahu betapa aku sengsara membesar di dunia sebatang
kara. Pernah??!!”bentak Lisa sekeras-kerasnya.
Haikal
meraup wajahnya. Penyesalan demi penyesalan mula bermain di jiwanya. 10 tahun
peristiwa tersebut berlalu tetapi dia tidak menyangka dalam tempoh masa
tersebut pelbagai penderitaan yang telah dia telah tinggalkan kepada insan yang
tidak berdosa tersebut.
“Lisa…
Bawa bertenang.. Saya ada penjelasan untuk semua yang berlaku ini.”Haikal cuba
membawa Lisa untuk berbincang secara baik.
Lisa
menggeleng kepalanya berulang kali.
“Tiada
apa yang perlu dijelaskan lagi Haikal.. 10 tahun aku hidup sengsara. Aku
terpaksa mencuri untuk mencari sesuap nasi. Aku terpaksa mengemis untuk
meneruskan hidup. Hidup aku benar-benar terseksa. Sejak dari hari itu aku
bertekad untuk mencari kau. Dan sekarang karma telah menjemput kau
buatku.”rintih Lisa dalam nada sayu tetapi di hujung bicaranya terselit
ketegasan.
Haikal
tertunduk mendengar kata-kata Lisa.
Sungguh dia berasa berdosa terhadap apa yang telah dia lakukan. Akibat dari
sikapnya, satu nyawa telah tergadai dan satu nyawa terseksa. Haikal benar-benar
menyesal atas tindakan yang dilakukan olehnya.
“Sekarang
aku akan membalas setiap apa yang kau telah lakukan.”sambung Lisa lagi.
Pantas
tangannya mengeluarkan sebilah pisau yang tajam dari dalam poket seluarnya.
Bersilau pisau tersebut menyerlahkan ketajamannya.
Haikal
menelan liurnya sendiri sambil meminta agar Lisa bertenang. Namun usahanya
hanyalah sia-sia. Peluh renik mula membasahi dahi dan badannya. Dia terundur
setapak dua ke belakang apabila Lisa bertapak ke hadapan dengan pisau yang
tergenggam kemas di tangan.
Dengan
jeritan seperti halilintar, Lisa menerpa ke arah Haikal dengan menghayunkan
pisau. Haikat terkejut dengan tindakan Lisa. Pantas dia menangkap pergelangan
tangan Lisa menghalang tikaman tersebut. Pergelutan berlaku di antara mereka
berdua. Namun Lisa lebih pantas bertindak. Buaran kemarahan yang merasuki jiwa
membuatkan dia benar-benar terasuk. Kealpaan Haikal membuatkan Lisa berjaya
meloloskan tangan. Tangan dihayun dan pisau dibenam tepat ke perut Haikal.
Mata Haikal terbelalak
menahan sakit tusukan pisau tersebut. Bibirnya terketar-ketar ingin mejerit
tetapi suaranya hanya bergetar di kerongkong tertelan di dalam. Sakitnya bukan
kepalang. Pantas pisau ditarik semula. Darah memancut keluar dari kesan tikaman
tersebut. Mulut Haikal ternganga menahan kesakitan. Tangannya menekap kesan
tikaman tersebut. Sekali lagi pisau ditusuk ke perut Haikal dan kali ini pisau
sengaja dipulas ke arah kiri dan kanan bagi menambahkan kesakitan terhadap
Haikal. Lisa benar-benar bernafsu membunuh mangsanya.
Haikal
menjerit kesakitan yang teramat. Sakitnya sakaratul maut terlalu sukar
digambarkan. Lisa mencabut pisau yang ditebak ke perut Haikal dan menolak tubuh
Haikal yang mulai lemah. Haikal tersandar di dinding dan melorot rebah ke
lantai. Tangannya menekap kesan tikaman tersebut. Darah bersimbah ke serata
arah. Dadanya berombak mencuri sisa-sisa nafas yang masih ada untuknya.
Bayangan maut mula berlegar-legar di sekililingnya. Lisa menghampiri Haikal dan
bertinggung di hadapannya. Pisau dimain sekitar dagu Haikal dan digores-gores
perlahan.
“Kalau
kau rasa sakit, aku sebenarnya lebih sengsara atas apa yang telah kau
lakukan.”kata Lisa. Rambutnya terurai menutupi wajah. Nafasnya dihembus kasar.
Dendam yang sekian lama membusuk di hati telah ditunaikan. Hatinya berasa puas
melihat Haikal menderita di hadapannya kini.
“Tolong hantar saya ke
hospital. Saya merayu pada awak, Lisa. Kita boleh berbincang tentang perkara
ni.”rayu Haikal memohon belas kasihan Lisa.
Dia cuba untuk bangun tetapi keadaannya
benar-benar lemah. Haikal rebah semula di atas lantai. Darah membasahi baju dan
lantai. Dia benar-benar telah hilang keupayaan.
“Sekarang ni aku puas. Aku puas sebab dendam
yang aku simpan sekian lama akhirnya aku dah langsaikan.”balas Lisa lagi.
Hatinya cukup bahagia
melihat kesakitan yng dialami oleh Haikal. Bahagia membalas segala kesengsaraan
yang dipikul olehnya sejak sekian lama. Haikal menahan pedih yang terasa begitu
menggigit-gigit. Nafasnya kian lemah. Dadanya berombak perlahan. Matanya
dipejamkan menahan kesakitan yang maha hebat.
“Tolong saya, Lisa. Saya…merayu..pada
awak..”rayu Haikal. Suaranya kedengaran lemah.
Lisa hanya ketawa
kecil mendengar rayuan tersebut. Dia melihat keadaan Haikal yang semakin lemah.
Dia seolah-olah menanti roh Haikal dicabut oleh malaikat maut dan jasadnya terkulai
di hadapannyas sendiri. Barulah dia berasa puas hati dengan pembalasan dendam
yang dilakukan olehnya.
“Lisa.. Dalam poket saya ada kunci rumah.
Awak carilah dalam rumah saya itu sebuah diari yang akan mengungkap
segalanya.”ujar Haikal dengan suara terketar-ketar menanggung kesakitan.
Bersusah
payah poket seluarnya diseluk dan kunci rumah yang dimaksudkannya itu berada di
dalam telapak tangan. Telapak tangannya dikembangkan dan sebaik kunci tersebut
bertukar tangan, tangan Haikal layu jatuh ke lantai lemah. Nafasnya semakin
lemah dan kemudian terus terhenti. Tubuhnya tergeletak tidak bernyawa.
Bilik Haikal digeledah oleh Lisa. Baru
sebentar tadi dia telah mengebumikan mayat Haikal di sebuah hutan di hujung
bandar. Sebelum itu dia sempat menghilangkan kesan-kesan pembunuhan di apartmennya.
Dan kini dia berada di rumah Haikal bagi mencari sebuah diari yang
disebut-sebut oleh Haikal di penghujung nyawanya.
Lisa berlegar di dalam
bilik milik Haikal. Hampir seluruh rumah telah ditinjau dan kini giliran bilik
tidur Haikal. Dia menggeledah almari pakaian tetapi diari tersebut tidak
dijumpai. Lisa beralih ke arah sebuah almari kecil yang terdapat bersebelahan
katil. Almari tersebut digeledahnya tetapi pencariannya masih tidak berhasil.
Kemudian, Lisa menarik laci almari tersebut. Beberapa buah buku terserlah di
pandangan mata Lisa. Lisa mengangkat buku-buku tersebut dan dikeluarkan.
Puas mencari, akhirnya
dia berhasil menemui diari milik Haikal yang terletak di lapisan paling akhir
di dalam laci tersebut. Terdapat dua buah diari yang berada di situ. Pantas
kedua-dua diari tersebut dikeluarkan oleh Lisa. Lisa duduk bersandar di almari
tersebut. Dua buah diari kini berada di dalam genggamannya. Lisa menyelak diari
yang kulitnya berwarna coklat dan sedikit kekusaman.
Sekeping gambar
terjatuh sebaik sahaja diari tersebut diselak. Lisa mengambil gambar tersebut
dan melihatnya. Hatinya mula sebak apabila melhat foto tersebut yang merupakan
foto kakaknya, Haslinda. Haslinda kelihatan tertawa riang di dalam foto
tersebut. Lisa meletakkan foto tersebut di atas lantai dan mengalihkan
tumpuannya terhadap diari tersebut.
Helaian demi helaian
dibuka. Kebanyakkan ruang adalah masih kosong. Walaupun ada yang bercoret dengan
tulisan tetapi Lisa hanya membacanya sepintas lalu kerana tidak melibatkan
perkara-perkara penting. Lisa percaya terdapat perkara lebih penting yang
disembunyikan oleh Haikal di dalam diari tersebut. Helaian bertarikh 20.03.1988
mencuri pandangan Lisa. Pantas Lisa membaca tulisan tangan yang bercoret di
atas lembaran tersebut.
Hari ini aku cukup
gembira. Wanita yang aku paling kasihi dan sayangi menjadi tunang aku secara
sah. Aku sentiasa cinta dan sayang padamu wahai Haslinda.
Helaian seterusnya
dibuka oleh Lisa. Tarikh yang tercatat di atas muka surat tersebut sangat
dikenali oleh Lisa. Tarikh 19.5.1988 adalah tarikh hari lahir kakaknya,
Haslinda. Helaian tersebut dibaca oleh Lisa.
Sambutan ulang tahun
kelahiran Haslinda sejak dia bergelar tunang ku. Hati ku gembira sejak
kehadiranmu sayang ku. Gelak tawamu sentiasa mengisi kekosongan diri ku ini.
Hadiah rantai berlian yang ku hadiahkan tidak dapat menandingi kasih sayang
yang kau curahkan kepada ku.
Hati Lisa mula berasa
sebak. Tidak semena-mena perasaan sedih menyerbu pelusuk jiwanya. Pantas
tangannya menyelak halaman seterusnya.12.7.1989.
Haslinda… bukan
kemahuanku untuk memutuskan pertunangan ini. Ketahuilah wahai sayang biarpun
bibir ku lancar menuturkan kata putus pertunangan ini tetapi sebenarnya hati ku
terseksa dan jiwa ku parah. Setiap saat, setiap detik hati ini hanya untuk mu
Haslinda. Keluarga ku yang mendesak agar pertunangan ini diputuskan kerana
mereka ingin menjodohkan aku dengan anak rakan niaga mereka, Sofia… Haikal
minta maaf kerana telah lukakan hati Haslinda. Luluh hati Haikal melihat
Haslinda menyembah kaki Haikal memohon agar pertunangan ini tidak diputuskan.
Haikal mohon seribu kemaafan dari mu sayang..
Catatan itu terhenti.
Air mata Lisa menitis di atas helaian tersebut. Kesengsaraan kakaknya tatkala
menerima khabar bahawa pertunangan mereka diputuskan masih segar dalam minda
Lisa. Bagaimana kakaknya saban malam menangis meratapi perpisahan tersebut.
Lisa menyeka air matanya yang tumpah membasahi pipi. Helaian seterusnya dibaca
lagi.
Haslinda.. Kenapa kau
menyeksa diri sebegitu sekali. Abang yang bersalah dalam hal ini. Kenapa
Haslinda pergi meninggalkan abang. Abang cintakan Haslinda sangat-sangat.
Setiap hari abang sentiasa menziarahi pusara sayang. Abang rindukan sayang
sangat-sangat. Untuk pengetahuan sayang, setelah sayang meninggal dunia, abang
telah memutuskan pertunangan dengan Sofia. Untuk apa abang masih bersama dia
jika hati dan jiwa abang hanya untuk Haslinda seorang.
Lisa dipagut sayu dan sedih. Dia tidak menyangka sama sekali bahawa
Haikal sering kali mengunjungi pusara Haslinda biarpun mereka telah berpisah.
Bahkan Lisa sama sekali tidak menyangka Haikal sebenarnya sangat mencintai
Haslinda. Perpisahan yang berlaku bukanlah atas kerelaannya sendiri. Berjuta
penyesalan menghurungi jiwa Lisa yang terasa merusuh.
Air matanya merembes jatuh tanpa diseka. Tangannya pantas menyelak
halaman seterusnya tetapi kosong. Helaian demi helaian diselaknya dan ternyata
setiap isi kandungan diari tersebut adalah luahan rindu Haikal terhadap
Haslinda. 10 tahun Haikal terseksa merindui Haslinda. Lisa mula menyedari
keterlanjurannya bertindak mengikut hati menamatkan riwayat Haikal. Air mata
terus menerus menghujani melahirkan penyesalan yang menujah di jiwa Lisa.
Sehingga tamat diari tersebut Lisa membacanya.
Setelah itu, tangan Lisa perlahan-lahan meletakkan diari tersebut di
atas pahanya dan kini diari kedua yang kelihatan sedikit baru berada dalam
genggamannya. Diari kedua tersebut dibuka dan dibacanya.
Haslinda..biarpun hati
ini telah terpahat namamu tetapi akhirnya suatu nama lain telah terukir tanpa
dipaksa.. Wanita itu adalah Lisa. Sejak abang berjumpa dengan Lisa hidup abang
telah banyak berubah. Biarpun abang cuba padam perasaan itu tetapi abang tak
boleh tipu diri sendiri. Abang cukup gembira di sisinya. Berada di sisinya
memgingatkan abang pada dirimu Haslinda sayang. Biar pun hati abang dimiliki
oleh Lisa tetapi cinta abang hanya satu-satunya untuk dirimu Haslinda sayang sehingga
akhir hayat abang.
Lisa terpaku membaca
ayat terkahir yang ditulis. Hatinya diburu rasa menyesal yang teramat. Dia
lebih rela andai ajal turut menjemput dirinya kala ini daripada terus menerus
penyesalan menghurungi dirinya.
‘Betapa agungnya
cintamu terhadap Haslinda.’bisik Lisa perlahan. Lisa menangis sendirian sambil
mendakap diari itu.
Dia tidak mampu lagi
membaca keseluruhan kandungan diari tersebut. Badannya terhingguk menangisi
kekhilafannya, keterlanjurannya membunuh Haikal tanpa memberi peluang kepada
lelaki tersebut menjelaskan hal yang sebenar. Penyesalan yang tiada kesudahan.
Tiada apa yang mampu dilakukan olehnya kini.
Semuanya telah jelas.
Lisa telah membalas di atas segala kesengsaraan yang dia lalui dahulu dan kini
kesengsaraan yang lebih dahsyat bakal menghukum dirinya sehingga ke penghujung
riwayatnya pula. Lisa menghamburkan air mata semahu-mahunya.
“Setelah itu orang ramai menjumpai saya cuba
untuk membunuh diri dan saya dihantar ke sini.”Lisa mengakhiri ceritanya.
Wajahnya kelihatan sayu dan dipuput rasa sedih. Air mata Lisa kelihatan
bergenang di tubir mata. Menanti saat untuk diluahkan.
Azirul
menghela nafas panjang. Begitu tragis sekali kisah Lisa. Tanpa disedari air
matanya turut mengalir. Pantas Azirul menyeka air matanya. Dia merenung ke arah
Lisa. Barulah dia mengerti mengapa Lisa seperti itu. Penyesalan yang melampau
menghambat dirinya saban hari sejak membunuh Haikal. Dan akhir sekali dia
mengambil keputusan membiarkan dirinya terhukum dan terus terpenjara di kawasan
tersebut.
Lisa
perlahan-lahan bangun dari kerusinya dan meninggalkan Azirul. Dua orang atendan
yang berkawal pantas mengapit lengan Lisa di kiri dan kanan lalu membawanya
semula masuk ke dalam wad. Azirul menarik nafas dan menghembus perlahan.
Betapa
dunia ini menyimpan pelbagai kisah yang kadangkala tidak terlintas di minda
kita untuk memikirkannya, fikir Azirul sendirian. Satu tekad membulat di
hatinya. Dia nekad untuk terus membantu Lisa agar pulih sepenuhnya. Dia mahu
Lisa agar cepat pulih dan segera keluar dari hospital tersebut. Alasannya
hanyalah satu dan pasti! Hatinya kini telah sepenuhnya terpaut kepada Lisa dan
perasaan itu tidak akan berubah lagi