Sejak dari awal pagi mereka telah bertolak. Pada
mulanya niat di hati ingin menyewa bas tetapi memandangkan hanya 10 orang
sahaja yang dapat ikut serta mereka memilih untuk memandu sendiri ke Pulau
Pinang. 3 biji kereta digunakan termasuk kereta kepunyaan Raimy Nazri. Luthfi
dan Fahrin menumpang bersama Raimy Nazri. Perjalanan ke Pulau Pinang mengambil
masa lebih kurang 5 jam. Mujur keadaan jalan raya tidak begitu sesak. Oleh itu,
mereka tiba lebih awal daripada waktu yang dijangka.
Jika
ditinjau, sejarah negeri Pulau Pinang bermula pada tahun 1786, apabila Francis
Light membuat perjanjian dengan Sultan Kedah. Dia memperolehi Pulau Pinang bagi
pihak Syarikat Hindia Timur dan sebagai balasan, syarikat berjanji untuk
memberi perlindungan keselamatan kepada Kedah daripada jiran-jirannya yang
kuat. Pulau Pinang berada di bawah pemerintahan Kolonial British sehingga tahun
1957 apabila ia mendapat kemerdekaan di bawah Persekutuan Tanah Melayu. Pulau
Pinang telah diduduki secara sementara oleh Jepun dari 1941 hingga 1945. Dalam
tahun 1963, Pulau Pinang menjadi sebahagian daripada Malaysia dengan
pencantuman Sabah dan Sarawak yang menjadi pelengkap.
Sebaik
kereta yang dipandu memasuki Jambatan Pulau Pinang, hati Raimy Nazri dipagut
kenangan sewaktu mula-mula dahulu mendaftar di Universiti Sains Malaysia. Raimy
Nazri tersenyum sendirian. Kenangan sewaktu bergelar seorang pelajar dahulu
cukup indah. Tetapi lebih indah apabila dia mengenali insan bernama Dayang
Haliza. Sebaik mengingatkan tunangnya itu, Raimy Nazri tersentak. Dia mengeluh dan
cuba menghindarkan rasa sebak daripada berkunjung tiba.
Selang
30 minit, akhirnya mereka tiba di hotel yang telah ditempah. Hotel Hydro yang
menghadap pantai Batu Feringghi. Penat yang membekas terasa hilang sebaik
melihat keindahan dan tamparan ombak di pinggir pantai. Mereka menikmati
keindahan itu seketika sebelum membawa masuk segala beg ke dalam hotel. Selesai
check in di meja pendaftaran, mereka
membawa segala beg menuju ke bilik masing-masing.
Jarak
bilik antara mereka tidaklah begitu jauh. Raimy Nazri berkongsi bilik dengan
Fahrin dan Luthfi. Manakala bilik-bilik rakan yang lain hanya berselang 2
hingga 3 buah daripada bilik mereka. Wan Latifah turut serta dalam percutian
tersebut. Mujur tempahan dilakukan awal kerana kebanyakan bilik telah penuh
ditempah. Kebanyakan pengunjung mengambil kesempatan cuti bekerja memilih untuk
melancong di Pulau Pinang memandangkan pemandangan yang cukup cantik dan
fasiliti yang lengkap.
Fahrin
menyelak daun tingkap. Bilik mereka betul-betul berhadapan dengan pantai. Laut
kelihatan kebiruan apabila dilihat dari atas. Tambahan tikaman cahaya matahari
turut membiaskan warnanya.
“Cantik
betul pemandangan dekat sini.”puji Fahrin.
“Kau
tu tengok pemandangan atau usha anak mami yang lalu lalang dekat bawah
tu.”getus Luthfi. Dia berbaring di atas katil melepaskan lelah.
“Pembetulan!
Anak mami yang usha aku dekat atas ni.”balas Fahrin.
Seraya
Luthfi mencebik. “Nak termuntah aku dengar.”
Raimy
Nazri tersenyum melihat gelagat dua orang rakannya itu. Sepanjang masa sering
bergaduh. Tetapi bukanlah perbalahan besar. Melainkan hanya satu gurauan mesra
yang bersifat kasar. Dia turut berbaring di atas katil melepaskan lelah. Hari
ini rancangan mereka hanya untuk melawat pantai Batu Feringghi dan
kawasan-kawasan yang berdekatan dengan hotel sahaja.
Jam telah menunjukkan pukul 5.00 petang. Waktu
beranjak terasa cepat berlalu. Matahari yang meninggi kian merendah dan bakal
tenggelam tidak lama lagi. Kesemua mereka berkumpul di kawasan pantai. Sekadar
berjalan di gigi air tanpa mengenakan sebarang kasut. Menikmati deburan ombak
menampar pantai lantas melekapkan butir-butir pasir halus di kaki. Bagi
kebanyakan penduduk kota, jarang bagi mereka untuk menikmati keindahan
semulajadi begini. Bebas daripada hiruk pikuk kota yang kadangkala terasa
begitu menyesakkan.
Setelah
terasa puas, mereka duduk di suatu kawasan. Tidak mengendahkan pasir pantai
yang bakal mengotorkan seluar, mereka bersila. Sambil menikmati keindahan
pantai, mereka berbual bertukar topik dan cerita. Hanya Raimy Nazri sahaja yang
tidak turut serta sedari tadi. Angin berpuput lembut menampar tubuh. Terasa begitu
nyaman dan mengasyikkan.
“Kenapa
si Raimy ni tak turun-turun daripada tadi ek?”soal Wan Latifah. Matanya melilau
memerhati perkarangan hotel.
“Itu
kau kena tanya rakan sebilik dia lah.”balas Hussein, salah seorang rakan ofis
EL Holding.
Wan
Latifah yang faham dengan kata-kata Hussein segera berkalih ke arah Fahrin dan
Luthfi. Soalan tadi diulang semula tetapi kedua-duanya tidak menjawab soalan
tersebut. Mereka berdua dilihat sedang asyik memerhatikan sesuatu. Wan Latifah
melihat ke arah perhatian kedua-dua rakan tersebut.
“Hoi!
Korang ni asyik tengok mat saleh pakai bikini rupanya.”
Herdikan
tersebuk membuatkan Fahrin dan Luthfi tersentak. Pantas mereka berkalih dan
tersengih-sengih. Wajah masing-masing merah menahan malu. Rakan-rakan yang lain
hanya tergelak melihat gelagat mereka. Wan Latifah merengus lalu menggeleng
kepala.
“Aku
tanya mana si Raimy tu?”ulang Wan Latifah lagi.
“Ohh..
Aku rasa dia masih tidur lagi kot.”ringkas Fahrin menjawab. Wan Latifah
kelihatan berpuas hati dengan jawapan tersebut.
Fahrin
menyeluk poketnya lalu mengeluarkan sekotak rokok berjenama Dunhill. Lalu
sebatang rokok diambil lalu dicucuh. Asap disedut dalam lalu dihembus perlahan.
“Kau
hisap rokok ke?”soal Luthfi.
Tangannya
mengibas-ngibas asap rokok yang menerawang. Asap tersebut terasa menyesakkan
nafasnya yang sememangnya bukan pencandu rokok.
Fahrin
mengiakannya. Sememangnya dia hanya menghisap rokok di luar waktu pejabat sahaja
kerana mematuhi undang-undang syarikat.
Luthfi
menggeleng melihat sikap Fahrin.
“Kau
tahu tak merokok ni membahayakan kesihatan. Rokok mengandungi 4000 jenis bahan
kimia dan sekurang-kurangnya 200 daripadanya berbahaya kepada manusia. Ia boleh
mengundang kanser dan pelbagai lagi penyakit lain berbahaya.”jelas Luthfi
panjang lebar.
Fahrin
hanya mengambil sikap tidak ambil kisah lalu terus menyedut asap rokok lalu
dihembus. Luthfi yang masih tidak berpuas hati kerana kata-katanya ibarat angin
berlalu terus mencuba menyedarkan Fahrin.
“Kau
dah berapa lama hisap rokok?”
“Ada
dalam 10 tahun kot.”
Luhtfi
membeliakkan matanya kerana terkejut. “Lama kot.. Kau hisap sehari berapa
kotak?”
“Bergantung
pada keadaan. Kadang sekotak dan kadang dua kotak.”balas Fahrin.
“Kau
cuba bayangkan, dah berapa banyak duit yang kau bakar untuk beli rokok. Kau
beli lepas tu bakar. Tak ke membazir namanya tu? Kalau kau kira balik, duit
yang kau guna untuk beli rokok selama 10 tahun jika disimpan boleh beli sebiji
Ferrari tau.”ujar Luthfi bersungguh-sungguh.
Fahrin
melirik ke arah Luthfi. “Kau hisap rokok?”
“Mestilah
tak.”tegas Luthfi menjawab.
“Jadi
mana Ferrari kau?”soal Fahrin berbaur sindiran.
Soalan
Fahrin ibarat satu smash yang tepat
mengenai batang hidungnya. Luthfi mengetap bibir geram apabila dia pula yang
dikenakan. Rakan-rakan yang lain tertawa mendengar perbualan mereka berdua.
Fahrin turut serta ketawa tetapi kemudian bangun dan menghisap rokok di sudut
yang sedikit jauh daripada kumpulan rakan-rakannya. Sekadar menghormati
rakan-rakannya yang tidak merokok.
Raimy Nazri berjalan sekitar pantai Batu Feringghi.
Jam telah menunjukkan hampir pukul 11.00 malam. Sengaja dia berjalan
berseorangan. Rakan-rakan yang lain telah lama pulang ke hotel dan berehat.
Baru tadi mereka pulang daripada meronda kawasan Georgetown dan menjamu selera
di Nasi Kandar Beratur yang merupakan kedai nasi kandar paling popular di Pulau
Pinang. Pada mulanya mereka merancang untuk meneruskan perjalanan sehingga ke
Padang Kota tetapi memandangkan masing-masing telah mula keletihan lantas
kereta dipandu pulang semula ke hotel.
Raimy
Nazri hanya berkaki ayam. Menikmati hembusan bayu malam. Sungguh nikmat terasa.
Terdapat beberapa pelancong berbangsa asing yang masih berada di sini. Mereka
sekadar duduk berbual dan minum. Raimy Nazri duduk berpeluk lutut. Matanya
dilontarkan ke arah laut yang kelihatan kelam dan suram. Sesekali kelihatan
berkelip nun menjauh hasil biasan bot-bot para nelayan. Mencari rezeki daripada
alam semulajadi.
Sunyi
terasa walaupun sekelilingnya dipenuhi dengan orang ramai. Sinar bulan
memuntahkan cahaya dan terbias. Suasana sebegitu membuatkan hati Raimy Nazri
terbuai-buai. Dayang Haliza muncul dalam fikirannya. Kalaulah wanita itu masih
hidup dan berada bersamanya pada ketika ini pasti suasana akan menjadi lebih
bahagia. Raimy Nazri mengeluh perlahan. Sayang wanita itu telah pergi menghadap
Ilahi di saat dia masih memerlukan. Cinta terhadap Dayang Haliza mengatasi
segalanya. Hanya Tuhan saja yang tahu perasaannya.
Kenangan
dia bersama Dayang Haliza muncul lagi pada ketika ini. Masih terbayang di
matanya saat dia berlari anak berkejaran dengan Dayang Haliza di sekitar pantai
ini. Sungguh bahagia pada saat tersebut. Tetapi semuanya hanyalah kekal dalam
lipatan sejarah silam. Tidak akan muncul lagi. Putaran waktu tidak akan pernah
memutar songsang menterbalikkan masa. Lagu Angin Syurga yang dimainkan di kedai
makan berhampiran sayup-sayup kedengaran di telinga Raimy Nazri.
Ku
himpun waktu ucapan terindah
terbenam
sudah asmara
mesranya
siang dan malam
selalu
kau tiup kan angin syurga padaku
Ku
himpun makna kata darimu
harum
yang mekar di kebun hati
dan
katamu sebuah kota bahagia dan berdiri ..
Sehingga
hujung masa
berbisik
sendiri dan terbit suara kalbuku
kasihku…
tuluskah cintamu
sebuah
jawapan ku damba dari bibir mu .. bibir mu
Tidakkah
kau tahu hidup punya waktu
kasih
tersia bukan itu ku mahu
andai
kau membisu tentu akhirnya
perpisahan
ini akan tetap terjadi
Alunan
lagu dan gemersik suara Misha Omar terasa meruntun kalbunya. Sebak terasa di
jiwa. Cukup sukar untuk dia menerima hakikat yang tunangnya itu telah tiada.
Air mata yang terasa ingin mengalir pantas diseka. Nafas disedut dalam-dalam
mengumpulkan semangat dan menyingkirkan takungan rasa sedih di jiwa. Kata-kata
manja dan bisikan cinta Dayang Haliza terasa begitu dekat berdesir di
telinganya.
Tidak
semena-mena kepalanya terasa sakit. Berdenyut-denyut. Raimy Nazri mengetap
bibirnya sendiri menahan kesakitan. Dalam keadaan sebegitu matanya menangkap
satu bayangan hitam yang sedang berdiri di belakangnya.
Pantas
Raimy Nazri berkalih tetapi tiada apa yang kelihatan. Jantungnya terasa
berdebar. Situasi yang sama berulang lagi sekali. Lantas Raimy Nazri bingkas
bangun berlalu dari kawasan tersebut. Sesuatu yang tidak enak bermain di dalam
hatinya. Dia berjalan pantas tanpa berpaling ke arah belakang.