“Mana Haliza?”soal Mak Munah yang muncul dari dapur.
Nada
suaranya sedikit meninggi lantaran suasana hingar-bingar di dalam rumah.
Matanya melilau mencari kelibat anak sulungnya itu.
“Kakak
ke kedai Pak Lokman.”jawab adik lelaki Dayang Haliza itu.
“Dengan
sapa?”
“Sorang.”jawab
anak lelakinya itu lagi.
Mak
Munah merengus.
“Langsung
dia tak beritahu dekat mak. Dia kan bakal pengantin. Mana boleh keluar pergi
mana-mana. Darah tengah manis tu. Kenapa korang biarkan dia pergi
sorang-sorang?”leter Mak Munah. Wajahnya tegang. Kerisauan jelas terpancar.
Semua
sanak saudara yang sedang sibuk berbual terdiam apabila dimarahi oleh Mak
Munah. Mak Munah yang mula menyedari kesilapannya meninggikan suara beransur ke dapur untuk
meneruskan kerjanya membasuh pinggan mangkuk.
Sekeping pinggan kaca yang telah
selesai dibasuh dicapai lalu dilap menggunakan kain kering untuk mengeringkan
airnya. Sambil itu mindanya tidak lepas memikirkan Dayang Haliza. Waktu telah
beranjak senja tetapi kelibat anaknya masih tidak kelihatan. Sekejap lagi
majlis malam berinai akan diadakan.
Secara
tiba-tiba, pinggan kaca yang dipegang oleh Mak Munah terlepas daripada
genggaman dan jatuh berderai di atas lantai.
Mak Munah mengucap panjang.
Jantungnya berdegup kencang. Kerisauannya semakin bertambah-tambah. Petanda buruk
lazimnya sering dikaitkan dengan situasi sebegitu. Mak Munah pantas mengelap
tangannya dengan kain lalu meluru ke arah ruang tamu.
“Haliza
masih tak balik lagi ke?”soal Mak Munah. Wajahnya benar-benar mempamerkan
kerisauan.
Sanak
saudara yang berusia dalam lingkungan belasan tahun hanya berpandangan sesama
sendiri lalu menggelengkan kepala menandakan Dayang Haliza masih belum pulang.
Mak Munah menarik nafas dan cuba bertenang. Dia cuba berfikiran positif.
“Cuba
telefon kakak kamu tu, Mamat.”arah Mak Munah kepada anak lelakinya itu.
Mamat
segera berlari ke arah telefon rumah lalu nombor telefon Dayang Haliza didail.
Tiba-tiba deringan telefon bimbit kedengaran di ruang tamu.
“Kakak
tertinggal telefon, mak.”beritahu Mamat lalu meletakkan ganggang telefon.
Mak
Munah merengus lagi. Wajahnya kelihatan berkerut seribu. Jiwanya kala ini
berkecamuk. Hatinya benar-benar berasakan sesuatu yang buruk telah menimpa
anaknya. Perasaan itu tidak dapat disembunyikan sama sekali. Mak Munah berlegar
di ruang tamu sambil menanti kepulangan anaknya. Perasaannya kala ini bercampur
aduk.
“Kenapa
dengan kamu ni? Asyik mundar mandir macam kucing nak beranak.”tegur Ahmad
Jailani yang muncul daripada muka pintu. Dia baru sahaja selesai membersihkan
halaman rumah. Peluh yang mengalir di dahi diseka.
“Saya
risau anak kita pergi kedai sampai sekarang tak balik lagi. Hati saya tak sedap
abang.”rungut Mak Munah. Mak Munah masih berkelakuan seperti tadi. Berjalan
mundar mandir. Risaunya bukan kepalang.
“Kalau iya pun awak risau cuba bawa bersabar. Kejap lagi
baliklah anak kita tu.”ujar Ahmad Jailani cuba menenangkan isterinya.
Tetapi
nasihat suaminya itu hanya ibarat lintasan angin yang hanya berlalu tanpa
memberikan apa-apa kesan. Mak Munah masih dengan kerisauannya. Sekejap-kejap
dia menoleh ke arah muka pintu. Tetapi hampa apabila kelibat Dayang Haliza
masih tidak kelihatan. Ahmad Jailani hanya mampu melihat sikap Mak Munah tanpa
berkata apa-apa. Sudahnya masing-masing menanti dengan penuh sabar kemunculan
Dayang Haliza.
Picitan
hon di luar pagar rumah telah mengejutkan seisi rumah. Mak Munah berlari
terkocoh-kocoh menuju ke muka pintu sambil dituruti oleh Ahmad Jailani. Hatinya
berdebar-debar. Firasat buruknya semakin kuat menendang kotak hati. Mak Munah
menjengah wajahnya.
Kelihatan
seorang pemuda lelaki sedang berada di hadapan luar pagar rumahnya. Dia menaiki
motosikal EX 5. Lelaki itu kelihatan cemas. Wajahnya dibasahi peluh.
“Kenapa
kamu Samad? Ada apa kamu datang sini?”soal Mak Munah. Hatinya masih terasa
berdebar-debar.
“Haliza..
Haliza, Mak Munah..”tercungap-cungap lelaki itu menyebut nama anak sulung
pasangan tersebut.
“Kenapa
dengan Haliza?”pantas Mak Munah bertanya. Wajahnya serius tanpa segarit
senyuman. Hatinya bagai ingin tercabut lantaran debaran yang teramat kencang.
“Haliza
masuk hospital. Dia kena langgar kereta.”nyata lelaki itu menyambung katanya.
Mendengar
berita tersebut ibarat panahan petir maha hebat menyambar sekujur tubuh Mak Munah.
Begitu sukar untuk dia menerima kenyataan tersebut. Berita tersebut memberi
sejuta kejutan kepada dirinya. Ternyata naluri keibuannya tidak pernah salah.
Serentak itu tubuh Mak Munah melemah dan langsung jatuh longlai ke lantai tidak
sedarkan diri. Mujur sebelum tubuh Mak Munah mencecah lantai, Ahmad Jailani
berjaya menyambut terlebih dahulu tubuh isterinya.
Sanak
saudara dan jiran tetangga lari ke luar rumah apabila melihat situasi tersebut.
Berita yang disampai ternyata mengejutkan mereka. Mereka mendapatkan Mak Munah
yang sedang terbaring sambil dipangku oleh suaminya.
Raimy Nazri duduk berbual dengan kawan-kawan
lelakinya yang datang. Masing-masing bertukar cerita. Tidak kurang juga yang
mengusik Raimy Nazri yang bakal menjadi suami orang dalam 24 jam sahaja lagi.
Usikan tersebut hanya disambut dengan gelak tawa oleh Raimy Nazri. Langsung
tidak berbekas di hatinya.
“Lama
korang bercinta, akhirnya jadi juga nak menikah kan.”ujar salah seorang
rakannya.
Raimy
Nazri hanya tersenyum mendengarnya.
“Buat
apa kita bercinta lama-lama jika kita tiada niat untuk mengahwininya. Cuma satu
aku pesan dekat korang semua. Kita cari pasangan hidup untuk dijadikan kawan
dan bukan kekasih. Sebab bila kita menganggap pasangan hidup sebagai kekasih
kita sentiasa akan hidup dalam kepuraan. Tetapi bila kita menganggapnya sebagai
kawan, kita akan menjadi diri kita yang sebenar.”ujar Raimy Nazri sekadar
memberikan pandangan.
Rakan-rakan
yang mendengar terangguk-angguk setuju. Perbualan diteruskan lagi tetapi tidak
lama kemudian Raimy Nazri meminta diri untuk masuk ke bilik kerana dia ingin
mandi dan menyalin pakaian. Majlis berkhatam al-Quran akan dimulakan tidak lama
lagi. Apa pula nanti kata orang apabila melihat dia masih belum berkemas diri.
Raimy
Nazri mengunci pintu bilik. Bilik air yang terdapat dalam biliknya memudahkan
sedikit kerjanya memandangkan di seluruh rumahnya dipenuhi dengan sanak
saudara, jiran tetangga serta sahabat handai. Bajunya ditanggalkan dan dia hanya
bersinglet putih. Tiba-tiba mindanya terarah kepada memikirkan Dayang Haliza.
Bukan pada waktu itu sahaja tetapi dari tadi lagi dia asyik teringatkan
tunangnya itu.
Telefon
bimbitnya dicapai lalu nombor telefon tunangnya didail. Lama menanti tetapi
panggilan tidak berjawab. Raimy Nazri mencuba beberapa kali sebelum dia sendiri
berasa berputus asa dan mencampakkan telefon ke atas tilam. Pada anggapan,
tunangnya itu pasti sedang sibuk mempersiapkan diri kerana sebentar nanti
majlis malam berinai akan diadakan. Raimy Nazri menanggalkan seluar lalu
digantikan dengan tuala membaluti dari paras pinggang sehingga ke lutut.
Baru
sahaja dia ingin melangkah menuju ke bilik air, telefon bimbit berdering
mengalunkan lagu. Raimy Nazri terhenti melangkah lalu dia mencapai telefon
bimbitnya. Nama yang muncul di skrin dibaca sekilas. Tanda tanya bergayut di
fikiran apabila melihat nama adik perempuan Dayang Haliza yang ketiga di
talian. Enggan membuang masa, Raimy Nazri menekan punat hijau dan panggilan
bersambung.
“Assalamualaikum.”Raimy
Nazri mengucapkan salam sejahtera.
Di
hujung talian kedengaran suara bakal adik iparnya bertutur dalam esak tangis
menceritakan perkara yang terjadi. Sebaik menerima khabar buruk tersebut,
telefon bimbit yang tergenggam kemas di tangan dan melekap di telinga, terlepas
jatuh ke lantai. Raimy Nazri jatuh terduduk di atas tilam tidak menyangka sama
sekali menerima kejutan dan dugaan yang maha hebat di saat-saat akhir dia bakal
bergelar seorang suami.
Raimy Nazri bergegas memasuki wad kecemasan.
Langkahan kakinya laju dan pantas. Ahli keluarga yang lain hanya menurut
daripada belakang dan kadangkala terpaksa berlari untuk menyaingi kepantasan
Raimy Nazri. Dalam hatinya hanya ALLAH saja yang lebih mengetahui. Dia
betul-betul risaukan keselamatan tunangnya itu. Hampir luluh jantungnya saat
berita tersebut diterima. Sungguh sukar untuk Raimy Nazri menerima kenyataan
tersebut.
Sebaik
tiba di wad kecemasan, kelihatan ruangan menunggu dipenuhi oleh keluarga dan
sanak saudara tunangnya. Mak Munah yang telah terjaga daripada pengsan hanya
duduk bersandar lemah di bahu anak perempuannya. Semangatnya benar-benar
direnggut sama sekali. Dia seolah-olah tidak menghiraukan sesiapa jua yang
hadir pada waktu itu. Jiwa dan emosinya seakan tidak selari sehingga membuatkan
dirinya seolah-olah berada dalam satu dimensi yang berbeza. Mata Mak Munah
membengkak menunjukkan dia puas menangis kerana terlalu takut akan kehilangan
anaknya itu.
Raimy
Nazri mendapatkan bakal mertuanya lalu lelaki yang berusia lebih daripada
separuh abad itu dipeluk. Air mata berguguran daripada mata Raimy Nazri
menzahirkan rasa hatinya yang sebenar. Ahmad Jailani memeluk Raimy Nazri erat
dan mengusap lembut belakang badannya untuk menenangkan perasaan.
Sebenarnya
Ahmad Jailani turut dirundung oleh rasa sedih tetapi lelaki itu hanya mengambil
pendekatan menyerahkan segala urusan kepada ALLAH. Bagi Ahmad Jailani semua
yang berlaku telah ditakdirkan oleh ALLAH dan atas rasa keyakinan itulah
sedikit sebanyak rasa sedih dan risau dihakis.
“Macam
mana keadaan Haliza, pak cik?”tanya Raimy Nazri sebaik terasa dirinya tenang.
Pelukan dileraikan.
Ahmad
Jailani hanya terdiam lalu mengeluh.
“Doktor cakap keadaan dia sekarang ni tengah
kritikal dan mereka akan cuba sebaik mungkin. Kita hanya perlu berdoa agar
semuanya selamat.”terang Ahmad Jailani.
Raimy
Nazri menekup wajahnya lalu diraup berulang kali. Perasaannya terasa galau dan
bercampur baur. Sakit hati turut terasa apabila pemandu kereta yang melanggar
tunangnya melarikan diri. Kes ini diklasifikasikan sebagai langgar lari. Namun
fokus utamanya kini adalah berharap agar Dayang Haliza selamat. Raimy Nazri
tidak rela kehilangan insan yang paling dicintainya itu. Dia sanggup
menggadaikan nyawanya sekalipun andai itu adalah syarat untuk menyelamatkan
tunangnya yang tercinta itu.
“Sabar
Raimy. Ini semua ketentuan ALLAH. Kita hanya manusia mampu merancang tetapi
ALLAH yang menentukan. Kita sama-sama berdoa agar Haliza selamat dan tiada
perkara buruk yang bakal terjadi.”kata Haji Leman sambil menepuk bahu Raimy
Nazri. Haji Leman merupakan abang kepada Sabri dan merangkap bapa saudara
kepada Raimy Nazri.
Raimy
Nazri hanya terduduk sayu. Kepalanya ditundukkan. Matanya merenung lantai
hospital. Kata-kata tersebut sedikit sebanyak memberinya satu kekuatan dan
semangat. Fikirannya menerawang jauh. Segala kenangan bersama Dayang Haliza
terimbas satu persatu tanpa dipinta atau dipaksa.
Tidak
semena-mena air matanya jatuh bercucuran. Raimy Nazri menangis sehingga
badannya terhingguk-hingguk. Ahli keluarga hanya menjadi pemerhati. Membiarkan
Raimy Nazri melepaskan segala rasa yang terbuku di hati. Hanya air mata yang
mampu mengalir saat mulut tidak mampu lagi berkata-kata.
Hampir
4 jam mereka menunggu di ruangan tersebut tetapi kelibat doktor yang merawat masih
belum kelihatan. Seluruh ahli keluarga yang menanti berasa resah dan berdebar.
Malam yang sepatutnya menjadi kenangan terakhir melalui zaman bujang bertukar
menjadi satu kecelakaan yang tidak diduga. Masing-masing hanya diam membisu
tanpa sebarang bicara. Tiada apa yang hendak dibualkan melainkan masing-masing
pasrah menanti apa jua yang terjadi.
Sepanjang
menunggu Dayang Haliza dirawat oleh doktor, beberapa ahli keluarga Raimy Nazri
dan juga tunangnya membacakan surah Yassin memohon segala perkara dipermudahkan.
Tuntutan membaca Yassin kepada orang yang sedang mengalami kesakitan atau
bertarung dengan sakaratulmaut adalah sangat digalakkan dan dituntut di dalam
Islam.
Raimy
Nazri memerhati satu persatu ahli keluarganya dan tunangnya. Kemudian matanya
tertancap ke arah Haji Leman yang sedang duduk bersebelahan dengan Sabri. Haji
Leman merupakan satu-satunya adik beradik ayahnya yang ada. Lelaki yang berusia
lingkungan 60-an itu sangat kuat pegangan agamanya dan sentiasa menjunjung
tinggi sunnah Rasulullah S.A.W dan perintah ALLAH S.W.T. Perlahan-lahan Raimy
Nazri bertapak menghampiri Haji Leman dan mengambil tempat duduk di sebelahnya.
Haji
Leman kelihatan kusyuk membacakan surah Yasin. Kaca matanya hanya terletak
dibahagian hujung hidungnya dan sedikit jauh daripada anak mata. Bacaannya
sungguh lancar dan merdu. Raimy Nazri berasa sedikit tenang. Perasan galau dan
kacau bilau di dalam hatinya beransur hilang. Mendengarkan kalimah-kalimah
ALLAH yang merupakan mukjizat kepada Nabi Muhammad S.A.W membuatkan jiwanya
berasa tenteram.
Raimy
Nazri bangun lalu mencapai surah Yassin yang disediakan oleh pihak hospital
yang terletak di satu sudut. Lalu dia kembali ke tempat asalnya. Surah Yassin
itu dibuka. Raimy Nazri hanya memandang sepi tulisan Arab yang berada di
hadapannya itu. Malu untuk dia mengakui bahawa sebenarnya dia tidak tahu untuk
membaca al-Quran kalam ALLAH.
Dia
seorang lelaki yang hebat mencipta ayat dan menggubah struktur kata dan
dikarang sehingga menjadi buku yang dibaca oleh orang ramai. Tetapi Raimy Nazri
lupa bahawa sehebat-hebat bakatnya sebagai penulis novel dan bukunya laris di
pasaran tetapi semua itu tidak dapat menandingi kitab suci al-Quran yang
meliputi kehidupan di dunia dan akhirat.
Tidak
semena-mena hatinya berasa sebak. Apalah guna dia bijak dalam semua hal tetapi
apabila orang yang disayang ditimpa musibah, Raimy Nazri tidak mampu membacakan
hatta walau sepotong ayat berdoa bagi menyelamatkan nyawa manusia yang
disayangnya itu. Air matanya mengalir sebaik menyedari kekhilafannya itu.
Baru dia sedar betapa kerdilnya dia di sisi
ALLAH. Islamnya hanya pada nama kerana dia hanya mengambil mudah setiap
perintah agama baik dari segi solat, puasa, dan lain-lain keperluan fardhu.
Malu terasa untuk dia mengangkat tangan berdoa meminta pertolongan ALLAH
sedangkan selama ini dia melupakan Tuhan yang telah mencipta dan memberikan
segala nikmat kepadanya.
Beberapa
ketika menanti, akhirnya kelibat doktor terlihat. Doktor lelaki berbangsa Cina
melangkah keluar dari bilik rawatan dengan memakai baju putih yang sering
dipakai oleh para doktor. Wajah lelaki itu kelihatan serius sehingga
mendatangkan kegusaran di hati semua orang. Doktor yang berusia lingkungan awal
30-an menghampiri ahli keluarga yang sedang duduk berkumpul di ruangan menunggu.
“Siapa
waris kepada pesakit bernama Dayang Haliza?”soal doktor tersebut. Mak Munah dan
Ahmad Jailani segera bangun dari kerusi. Raimy Nazri segera mendapatkan doktor
tersebut.
“Kami
ibu dan bapa kepada Dayang Haliza.”balas Mak Munah dan Ahmad Jailani hampir
serentak.
“Macam
mana dengan keadaan pesakit, doktor?”pantas Raimy Nazri mencelah. Sempat dia
mencuri pandang ke arah tag nama yang tertera di atas baju doktor tersebut.
Nama Dr. Ng Hoi Boon tertera di tag nama tersebut.
Wajah
Dr. Ng kelihatan serius. Dia memandang wajah ahli keluarga yang berada di situ
satu persatu.
“Saya
harap cik sekeluarga dapat bersabar dengan apa yang bakal saya katakan
ini.”ujar Dr. Ng memulakan bicara.
“Boleh
tak doktor beritahu saja macam mana dengan keadaan tunang saya sekarang
ni!”bentak Raimy Nazri tidak sabar. Sabri mengusap lembut bahu anaknya untuk
menenangkan perasaan.
“Maafkan
anak saya doktor.”ucap Sabri lembut.
Dr.
Ng yang telah terbiasa dengan situasi tersebut hanya mengangguk faham. “Pihak
kami telah mencuba sedaya upaya bagi menyelamatkan pesakit. Tetapi..malangnya
pesakit gagal diselamatkan. Dia telah meninggal dunia.”mengendur nada suara
Dr.Ng menjelaskan perkara yang sebenar. Dia turut bersimpati dengan nasib yang
menimpa keluarga tersebut.
Raimy
Nazri terpempan seketika. Dia meraup wajahnya dan berundur beberapa tapak ke
belakang lalu jatuh terduduk tidak berupaya lagi menahan dugaan yang mendatang.
Jiwanya menerima hambatan kejutan yang melampau.
Mak
Munah sebaik menerima berita tersebut terus berasa lemah dan goyah. Hatinya
terasa hancur berkeping-keping. Kesedihannya terasa tidak mampu lagi
ditanggung. Suasana persekitaran terasa berpusing lalu berubah menjadi gelap.
Mak Munah jatuh pengsan buat kali kedua dan terpaksa dipapah oleh suaminya. Ahli
keluarga yang lain gempar dan mengerumuni Mak Munah.