Sejak daripada insiden tersebut hubungan
mereka menjadi semakin akrab. Makin hari mereka menjadi semakin mesra.
Kadangkala terbit kerinduan sekiranya tidak berjumpa. Telefon menjadi perantara
yang mengeratkan hubungan mereka berdua.
Bukan sahaja antara peminat dan novelis bahkan sudah mejadi kawan akrab.
Atau lebih daripada itu? Rahsia tersebut hanya tersimpul di hati Raimy Nazri
dan Anis Suraya.
Raimy
Nazri menggoreng sosej dan nugget berserta telur dadar. Segelas jus oren turut
disiapkan olehnya. Itulah juadahnya untuk malam ini. Bagi seorang bujang
seperti dirinya, makanan tidak menjadi satu masalah. Asal kenyang cukuplah.
Sambil
menjamu selera, Raimy Nazri menonton televisyen. Leka dia menonton sehinggalah
dikejutkan dengan deringan telefon bimbit. Pantas telefon tersebut dicapai.
Seraut senyuman mula terukir di bibir tatkala membaca mesej yang diterimanya
sebentar. Pastinya mesej tersebut adalah daripada Anis Suraya.
- Malam
indah sekiranya disulami dengan keserian
warna.
Buat
seketika, Raimy Nazri memikirkan makna di sebalik ayat yang diterimanya itu.
Puas difikirkan akhirnya dia membalas mesej tersebut.
+ Keserian
hanya di siang hari kerana malam adalah tempat sang bulan melepaskan rindu pada pungguknya.
Selang
beberapa minit mesej tersebut berbalas. Raimy Nazri segera membuka peti
simpanan mesej dan membacanya.
-
Kerinduan yang sejak dahulu dipendam setelah dipisahkan oleh ruang dan
masa.
+
Bermadah pula malam-malam begini. Sukar untuk difahami.
- Hati yang
dibadai rindu sahaja yang memahami. Bukan semua yang dapat fahami walaupun seorang
penulis.
Perlahan-lahan Raimy Nazri dapat mengagak makna di sebalik setiap bait
mesej yang cuba disampaikan oleh Anis Suraya. Bibirnya mengukir senyuman.
Walaupun tiada lafaz yang terucap tetapi dalam diam dia mengakui Anis Suraya
mula mendaki takhta hatinya itu.
Azril melangkah keluar daripada bilik
pengarah urusan. Mukanya serius tanpa segarit senyuman. Wajahnya tegang. Api
kemarahan mengalir dan membara dalam jiwanya. Nafasnya turun naik lantaran
menahan kemarahan yang tidak terhingga. Sehingga membuatkan seluruh tubuhnya
terasa menggeletar. Kewarasannya terasa terbius. Bibirnya diketap geram. Sakit
hatinya makin bertambah-tambah. Dia meluru melangkah menuju ke arah meja Raimy
Nazri.
Raimy
Nazri sedang tekun menyiapkan kerja tidak perasan dengan kehadiran lelaki
tersebut. Sebuah fail yang dilemparkan ke atas mejanya membuatkan Raimy Nazri
tersentak. Matanya terbuntang melihat ke arah Azril.
“Apa
hal ni, Azril?”soal Raimy Nazri kehairanan. Dia kurang senang dengan sikap
biadap Azril.
“Apa
hal dengan aku?! Masalah dengan kau sebenarnya! ”bentak Azril dengan nada suara
yang tinggi. Tali lehernya dilonggarkan. Matanya mencerlung tajam melihat ke
arah Raimy Nazri.
“Masalah
apa dengan aku? Apa yang aku dah buat?”soal Raimy Nazri ingin tahu.
Dia mula bangun daripada kerusi. Pekerja yang
lain memerhati sambil berbisik antara satu dengan yang lain.
“Apa
yang kau dah ampu bos sampai kertas kerja yang aku buat kena reject! Sedangkan kau punya diterima.
Apa yang kau busuk hati sangat dengan aku?”tengking Azril. Darahnya terasa
membuar-buar.
“Kenapa
kau tak tanya bos saja pasal hal ni? Perlu ke kau tanya aku?”sanggah Raimy
Nazri tenang.
Azril
mencebik.
“Kau
jangan buat bodoh depan aku. Aku tahu kau dah hasut fikiran bos sampai kerja
yang aku buat kena reject! Kau memang
dengki dengan aku kan? Sejak dari dulu lagi kau memang tak senang hati bila
tengok aku senang kan?”rengus Azril.
Rakan-rakan
yang lain cuba menenangkan tetapi ditolak kasar oleh Azril. Kemarahannya
benar-benar berada pada tahap maksimum.
“Kau
fikir sendiri lar? Aku kerja makan gaji, kau kerja makan gaji. Rezeki
masing-masing terima. Aku tak ada masa nak buat part time jadi pengampu bos pulak. Kalau bos pilih kerja yang aku
buat itu hak dia. Kenapa kau nak pertikai dan kau nak salahkan aku dalam hal
ni?”tanya Raimy Nazri. Dia memandang tepat wajah Azril.
“Sebab
siapa lagi yang benci aku dalam ofis ni melainkan kau! Lagipun projek di Shah
Alam hanya kita berdua saja yang dapat. Tapi salah seorang sahaja yang akan
dipilih. Semua orang tahu pasal hal tu. Tapi aku lebih lama kerja dalam ofis
ni. Sepatutnya aku yang lebih layak untuk dapat. Tapi sebab mulut kau, kerja
aku kena tendang.”ujar Azril tidak berpuas hati.
Raimy
Nazri tenang mendengar tuduhan tersebut. Dia masak dengan sikap Azril yang
gemar mencetuskan provokasi.
“Kau
ada bukti nak tuduh aku macam ni?”soal Raimy Nazri.
Azril
hanya terdiam. Dia merengus nafasnya sambil mengetap bibir. Matanya tajam
menikam wajah Raimy Nazri.
“Tak
ada kan? So, I think better you go back
to your desk and continue your work. Aku pun ada banyak kerja nak kena
buat.”ujar Raimy Nazri. Telapak tangannya dikembangkan dan didepakan sedikit
sebagai isyarat menyuruh Azril beredar.
Azril
masih tercegat tidak berpuas hati.
“Aku
takkan berganjak ke mana-mana. Bagi aku manusia yang busuk hati macam kau tak
patut wujud dekat dunia ni.”sengaja dia melemparkan provokasi.
Raimy
Nazri membuat acuh tidak acuh. Malas melayan karenah Azril.
“Azril,
lebih baik kau pergi sambung kerja lagi bagus tau tak. Aku pun dah naik
menyampah tengok kau asyik nak cari gaduh dengan si Raimy ni sejak dari dulu
lagi dia masuk kerja. Aku rasa manusia macam kau yang sepatutnya tak wujud
dekat dunia ni. Hidup hanya tahu nak menyusahkan orang sahaja.”tempelak Fahrin.
Berdesing
telinga Azril mendengar kata-kata tersebut. Dia meluru ke arah Fahrin dan
mencekak kuat leher baju lelaki tersebut.
“Apa
hal kau nak bela sangat si bodoh tu? Berapa banyak duit haram dia dah sumbat
dalam mulut kau!”tengking Azril.
Fahrin
terkial-kial cuba melepaskan diri. Raimy Nazri segera menghampiri untuk campur
tangan.
“Azril,
masalah sekarang antara kau dengan aku sahaja. Tolong lepaskan Fahrin.”pinta
Raimy Nazri berlembut.
Azril
melepaskan genggamannya. Tetapi hatinya masih sakit dengan kata-kata Fahrin
sebentar tadi.
“Aku
memang tak puas hati dengan kau! Dari dulu lagi! Aku harap kau mati satu hari
nanti macam mana tunang kau mampus dahulu!”bentak Azril. Jarinya menuding ke
wajah Raimy Nazri.
Serta
merta darah Raimy Nazri terasa panas membuar. Suhu badannya terasa hangat. Hal
kematian tunangnya dibangkitkan membuatkan kemarahan mula memancing dirinya.
Orang boleh cakap apa sahaja tentang dirinya tetapi bukan tunangnya. Walaupun
wanita itu telah tiada tetapi hatinya tetap menyayangi wanita tersebut.
“Kurang
ajar!”
Baju
Azril dicekak kuat di bahagian leher. Giginya diketap. Matanya mencerlung
melihat wajah Azril. Tangannya diangkat untuk melepaskan penumbuk ke wajah
lelaki tersebut di atas sikap biadabnya.
“Apa
hal ni?!”
Teguran
tersebut membuatkan tingkah lakunya terhenti. Semua mata tertancap ke arah
Dato’ Mustapha yang sedang memerhati ke arah Azril dan Raimy Nazri.
“Kamu
berdua masuk ke bilik saya sekarang!”tegas Dato’ Mustapha memberikan arahan.
Raimy Nazri pulang ke rumah lewat pada hari
itu. Selepas waktu pejabat, dia meluangkan waktu bersama Anis Suraya. Meluahkan
segala rasa yang terpendam. Setiap masalah yang menghantui dirinya. Mendengar
kata-kata nasihat dari wanita itu membuatkan dirinya terasa tenang. Terasa
kurang sedikit beban yang menyesakkan otak. Siang tadi dia dan Azril telah
dipanggil masuk ke bilik pengarah urusan.
Setiap
perkara dan isu berbangkit yang diketengahkan oleh Azril telah diselesaikan
secara baik oleh Dato’ Mustapha. Sememangnya lelaki itu mempunyai kriteria
seorang pemimpin yang berkaliber kerana mempunyai sikap sabar, berwawasan di
samping etika yang luhur. Ternyata Azril bersalah kerana melemparkan tuduhan
melulu kepada Raimy Nazri.
Dato’
Mustapha memilih hasil kerja Raimy Nazri kerana lelaki itu mempamerkan hasil
kerja yang berkualiti dan bermutu tinggi berbanding dengan Azril. Akhirnya
perkara itu diselesaikan secara baik tanpa dikenakan hukuman kepada mana-mana
pihak. Azril dan Raimy Nazri diarah bersalam dan bermaaf-maafan.
Walaupun
begitu, jauh di sudut hati Raimy Nazri dia seakan yakin Azril akan mengulangi
lagi sikapnya tersebut. Tetapi yang penting dia tidak menyimpan dendam terhadap
lelaki itu. Hanya mengharapkan suatu masa nanti lelaki itu akan berubah.
Raimy
Nazri membuka peti sejuk. Dia mencapai sebotol air minuman dan menuang cecair
sejuk ke dalam cawan. Dia meneguk melepaskan dahaga. Lampu di bahagian dapur
dibiarkan tidak bernyala. Hanya lampu hiasan dinding sahaja yang terbias
memuntahkan warnanya samar-samar.
Tiba-tiba
Raimy Nazri terlihat sesuatu sedang berada di belakangnya. Bayangan tersebut
dilihat menerusi ekor mata. Pantas Raimy Nazri berkalih tetapi tiada apa yang
kelihatan. Wajah Raimy Nazri beraut serius. Matanya dililaukan ke serata arah
dan ceruk.
Sebaik
memastikan tiada apa-apa, Raimy Nazri berkalih semula. Dia menutup pintu peti
sejuk. Tidak semena-mena situasi yang sama berulang lagi sekali. Raimy Nazri
memalingkan wajahnya, tetapi tidak kelihatan sesuatu yang berada di belakangnya.
Fikirannya mula tersorot perkara yang sama berlaku sewaktu di Pulau Pinang
tempoh hari. Jantungnya mula berdegup laju.
Raimy
Nazri segera meninggalkan ruangan dapur. Tiba-tiba matanya dengan jelas dapat
menangkap satu susuk tubuh kecil mirip seorang kanak-kanak sedang berlari
melintasi ruangan dapur menuju ke ruang tamu. Raimy Nazri menelan liurnya
sendiri. Tidak pernah dia mengalami situasi sedemikian rupa.
Perlahan-lahan
dia berjalan menuju ke ruang tamu. Jantungnya berdebar laju. Peluh terasa membasahi
tubuh. Liurnya ditelan berulang kali.
“Satu..
dua.. tiga..”
Suara
kanak-kanak sedang mengira jelas kedengaran di telinganya. Membuatkan Raimy
Nazri menjadi semakin tidak betah. Situasi yang dialami terasa lebih
menyeramkan daripada novel bergenre seram yang ditulisnya.
Matanya
jelas menangkap satu susuk tubuh kecil sedang mencangkung sambil mengira
nombor. Liurnya ditelan sekali lagi. Lonjakan rasa semakin hebat terasa. Cukup
mendebarkan. Kakinya bertapak selangkah demi selangkah ke arah kanak-kanak itu.
Terasa seolah-olah tapak kakinya tidak berpijak di atas lantai.
Sebaik
berada di belakang tubuh kecil itu, tangan Raimy Nazri dihulur perlahan-lahan.
Dia ingin menyentuh tubuh kanak-kanak tersebut. Sebaik jarinya tersentuh tubuh
kanak-kanak yang lengkap berpakaian tersebut, kanak-kanak tersebut memalingkan
wajahnya.
Raimy
Nazri terkejut besar. Mulutnya terlopong. Jantungnya terasa berhenti berdenyut.
Serentak itu, dia jatuh terjelupuk di atas lantai tidak sedarkan diri.