Malam tersebut Azirul
begitu sukar sekali untuk memejamkan matanya. Puas dicuba tetapi masih tidak
mahu terlelap jua. Bingkas dia bangun dan duduk di birai katil. Siang tadi baru
sahaja dia menyiapkan artikel untuk dimuatkan di dalam ruangan. Syukur apabila
artikelnya itu diterima oleh pihak atasan dan hanya ada sedikit pembetulan
kecil yang perlu dilakukan. Satu masalah yang termendap di minda telah hilang.
Azirul meraup wajahnya. Rambutnya
dikuak ke belakang. Dia duduk terpunduk di atas katil. Kala ini mindanya terlalu
memikirkan pesakit mental yang dijumpai siang tadi. Hatinya berkocak tatkala
menatap wajah tersebut. Seluruh hatinya kini hanya dipenuhi oleh wajah pesakit
tersebut.
“Lisa…”perlahan Azirul membisikkan
nama tersebut. Masih terngiang-ngiang di telinganya suara Dr. Zakiah menyebut
nama tersebut siang tadi.
‘Kenapa dengan aku ni? Tak pernah
aku berperasaan sebegini. Apa sebenarnya yang berlaku terhadap aku..’keluh
Azirul di dalam hati kecilnya. Wajahnya diraup berulang kali. Bayangan Lisa
begitu sukar untuk dibuang dari mindanya.
Azirul mencapai botol air yang
terletak di kabinet pendek sebelah katilnya. Dibuka penutup botol dan air
diteguk pantas menghilangkan rasa haus yang bertandang di tekak.
‘Tak mungkin aku jatuh hati padanya.
Tetapi kenapa hati ini berdebar tatkala memikirkannya? Kenapa hati ini perlu
memikirkan dirinya? Ahhh…’ Azirul berperang dengan perasaannya sendiri kala
ini.
Dia menghirup nafas panjang.
Bayangan wajah Lisa masih kuat melekat di mindanya. Raut wajah itu seakan
menyimpan satu rahsia. Rahsia yang terpendam yang tidak pernah terluah. Azirul
menghela nafasnya sendiri. Lantas satu keputusan telah diambil olehnya. Dia
nekad untuk ke hospital tersebut semula pada esok hari. Azirul nekad untuk
mengenali Lisa dengan lebih dekat. Yang pasti dia ingin mengetahui rahsia yang
menyelubungi kehidupan wanita itu.
Pagi itu, sebaik
selesai bersarapan ringkas Azirul memandu keretanya menuju ke Hospital Bahagia.
Tekadnya hanyalah satu. Dia ingin melawat Lisa…dan kalau boleh dia ingin mengajak
pesakit mental itu berbual meskipun Azirul sendiri mengetahui bahawa pesakit
tersebut tidak pernah bersuara. Namun itu tidak menjadi penghalang kerana
Azirul yakin pesakit itu sengaja mematikan dirinya sebelum ajalnya benar-benar
menjemput. Sengaja membiarkan dirinya terus berada di tengah-tengah garisan
kehidupan dan kematian. Hidup tetapi mati, mati tetapi bernyawa.
Sebelum pergi, Azirul sempat
memaklumkan tujuannya itu kepada Dr. Zakiah melalui panggilan telefon. Rakannya
itu sedikit pelik dengan kelakuan Azirul tetapi Azirul tidak mengendahkan itu
semua. Dia tetap berkeras untuk bertemu dengan Lisa. Pesakit mental yang
berjaya membuatkannya tidak lena tidur dan tidak tenteram sejak pertama kali
bertemu.
15 minit memandu menyusuri jalan
raya, Azirul tiba di destinasi yang dituju. Sebaik memarkir kenderaan dia terus
melangkah menuju ke wad pesakit semalam. Hatinya berdebar-debar memikirkan
apakah tindakan yang dilakukannya itu benar ataupun tidak. Hendak berpatah
balik adalah tidak mungkin. Lantas niatnya dipacu semula bagi meraih kekuatan
yang mulai menghilang.
“Mimpi apa kau nak datang melawat
pesakit aku yang sorang ni?”soal Dr. Zakiah. Dahinya dikerutkan menunjukkan dia
benar-benar berasa hairan dengan tindakan Azirul.
Azirul berhenti di hadapan Dr.
Zakiah. Dia hanya tersengih.
“Saja.. Kenapa tak boleh ke? Kalau
tak boleh aku balik saja lah..”balas Azirul dengan nada rajuk.
“Bukan begitu lah.. Cuma aku pelik..
Hmm.. Jangan-jangan kau dah jatuh hati pada dia..”ujar Dr. Zakiah mengusik.
“Kalau iya pun kenapa? Kau cemburu
ek?”balas Azirul lantas dia tersengih.
Dr. Zakiah hanya merengus dan lantas
membawa Azirul ke wad yang menempatkan Lisa. Azirul menuruti dari belakang
sambil tersenyum.
“Kau nak buat apa pun kau buatlah.
Asalkan kau jangan bawa lari dia cukup.. Hmm.. Apa-apa pun hati-hati.”ujar Dr.
Zakiah menitipkan pesanan sebaik mereka berada di hadapan katil Lisa. Sejurus
itu, Dr. Zakiah terus berlalu pergi meninggalkan Azirul yang ditemani oleh dua
orang atendan yang bertugas.
Azirul menatap wajah Lisa dengan
perasaan simpati dan kasihan yang menjalar di hati. Lisa hanya berbaring dengan
wajah yang lesu dan matanya yang terbuka tertancap ke satu arah statik. Tidak
menghiraukan langsung kehadiran Azirul. Azirul perlahan-lahan mendekati Lisa.
Wajah yang mulus itu ditatap. Jantungnya terasa berdebar-debar. Perasaannya
terbuai-buai tatkala menatap wajah Lisa. Sungguh Azirul tidak pernah berasa
sedemikian sepanjang hidupnya.
Azirul mengajak Lisa
bersiar-siar di taman rekreasi yang dibina khas di dalam kawasan hospital
tersebut. Pemandangannya benar-benar cantik dan indah. Azirul membawa Lisa
untuk duduk di salah sebuah bangku yang disediakan. Masuk hari ini telah hampir
seminggu, Azirul berulang-alik dari rumah ke hospital setiap kali ada waktu
yang terluang. Dua orang atendan turut berada di kawasan itu bagi mengawasi
keadaan kerana bimbang pesakit akan bertindak di luar kawalan.
Azirul menghempaskan keluhan. Sejak
dari hari pertama dia cuba mengajak Lisa untuk berbual tetapi semuanya hanyalah
sia-sia. Lisa hanya duduk diam membisu seribu bahasa. Puas dia bertanya,
menyoal itu dan ini, cuba menceritakan sesuatu yang lucu tetapi tiada respon
yang diterimanya. Sehingga kadang-kadang dia berasa seolah-olah dia yang kurang
waras. Kewarasannya hilang hanya kerana terpaut pada satu wajah yang dilihatnya
buat pertama kali.
“Awak.. Apa sebenarnya yang jadi
pada diri awak sehingga awak jadi begini? Siapa awak sebenarnya? Saya tahu ada
sesuatu yang terjadi pada awak sehingga awak jadi begini. Saya hanya ingin
bantu awak. Saya tak mahu selamanya awak begini.” Azirul mulai mengalah dengan
kebisuan Lisa.
Nada suaranya mengendur. Satu
keluhan berat kedengaran terhembus keluar.
Angin berpuput lembut menyapa tubuh
mereka berdua. Cuaca mendung tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda hujan. Awan
berlalu menutupi sang matahari yang gagah memancar saban hari. Angin terus
bertiup menerbangkan getusan bunga yang gugur dari pepohon.
Azirul menatap bunga yang gugur dari
pepohon yang berselerakan di kawasan mereka duduk. Azirul perlahan menunduk dan
mengutip satu persatu bunga berwarna merah tersebut. Dia dilihat tekun
melakukan sesuatu terlindung di sebalik lindungan tubuhnya.
Sebaik selesai, Azirul menoleh ke
belakang. Dia tersenyum melihat Lisa sambil tangannya didepakan ke arah
hadapannya. Di hadapan Azirul, gugusan bunga berwarna merah yang gugur sebentar
tadi telah disusun dan digubah rapi oleh dia membentuk nama Lisa. Azirul
menunjuk jari ke arah Lisa kemudian menunjukkan semula ke arah gubahan bunga
tersebut.
“Awak suka tak?”soal Azirul lantas
mengambil tempat duduk bersebelahan Lisa.
Lisa hanya mendiamkan diri. Matanya
tertancap ke arah gubahan bungan yang dibuat oleh Azirul sebentar tadi. Tiada
reaksi yang dipamerkan olehnya. Azirul mengetap bibirnya. Sungguh dia berasa
tercabar melayan sikap Lisa yang langsung tidak mengendahkan apa-apa yang
berlaku di sekelilingnya. Tetapi dia tetap bersabar menanti reaksi dari Lisa
“Haikal…..”perlahan-lahan Lisa
membuka mulu dan menyebut nama tersebut dengan nada berbisik.
Pantas Azirul berkalih. “Awak sebut
apa tadi?”
Lisa kembali mendiamkan dirinya.
Lama Azirul menanti tetapi dia tidak bergerak mahupun bercakap sesuatu. Azirul
mengeluh perlahan menzahirkan kehampaan. Nafas disedut dalam dan dihembus
keluar. Kekecewaan jelas terpancar dari riak wajahnya. Perlahan-lahan Azirul
bangun dari kerusi. Dia mula mengalah. Berputus asa dengan apa yang
dilakukannya. Azirul mengorak langkah meninggalkan Lisa.
“Awak mahu dengar sebuah kisah?”
Langkahan yang baru beberapa kali
bertapak terhenti. Pantas Azirul berkalih. Matanya tertancap ke arah Lisa. Pantas
dia mendapatkan Lisa dan mengambil tempat duduk di sebelahnya. Lisa pula
mempamerkan raut wajah yang lesu. Kesedihan jelas terpancar dari raut wajahnya.
Azirul menanti butir kata yang bakal
terpacul dari bibir Lisa. Lisa sesekali mengerutkan dahinya seperti sedang
berupaya mengingati sebuah kenangan silam yang pahit yang telah lama terpadam
dari kotak memori. Ketika kemudian, Lisa kelihatan tenang dan menghembus nafas
perlahan.
Sebuah kisah yang tidak pernah
diceritakan kepada sesiapa telah akan diungkap. Sebuah rahsia yang dipagari
selama ini akan disingkap olehnya. Dia tidak mampu menyimpannya lagi. Kisah
yang terpendam di dalam lipatan sejarah kehidupan sehingga membuatkan dia
hilang kewarasan diri lantaran tidak mampu menampungnya. Lisa memejamkan
matanya erat. Bibirnya terbuka perlahan dan sebuah kisah yang membelenggu
kehidupannya selama ini bakal terungkap.