Home Novel Seram/Misteri KISAH SERAM MALAM JUMAAT
KISAH SERAM MALAM JUMAAT
Eqbal Mohaydeen
24/3/2016 22:33:58
25,390
Kategori: Novel
Genre: Seram/Misteri
Senarai Bab
NOMBOR EKOR

“Kau pasti ni tempatnya?”

“Pasti! Aku pernah datang dulu sekali. Takkan boleh lupa pulak!”balas Leman.

“Kau jangan salah tempat pulak. Dah tadi pun berapa kali sesat.”getus Hamid.

“Kali ni memang betul dan sahih ini tempatnya!”ujar Leman.

Ketiga-tiga merayapkan pandangan ke luar tingkap. Hutan kecil itu direnung mereka. Pokok-pokok hutan tumbuh meliar. Hampir sebesar pemeluk kesemuanya. Persekitaran gelap dan suram.

Sepi.

Sunyi.

“Aku rasa seram pulak tengok tempat ni.”ujar aku.

“Dah nama pun tempat puaka. Memanglah seram. Kau jangan cakap nak tarik diri sekarang. Aku cepuk kau karang.”marah Hamid.

“Memanglah tempat puaka. Tapi masalahnya selalu aku tak takut kalau pergi minta nombor ekor. Tapi hari ni aku rasa tak sedap hati.”balas aku lagi.

Hamid mendengus nafas. Dia mengerling melihat Leman yang mula menarik muka masam dan menyelit keluar dari perut kereta Saga miliknya itu.

“Kau ni macam-macam hal lah, Jalak! Kalau tak nak ikut lain kali bagi tahu awal-awal. Kau tengok member aku tadi dah naik angin. Dah tu kau nak join ke tak ni? Bukan selalu kita dapat peluang nak minta nombor ekor time malam Jumaat dan bulan penuh macam ni.”getus Hamid.

Aku mengetap bibir, Berdecit sesekali. Lalu menghela nafas berat.

“Jom ajelah dah alang-alang kita sampai ni.”getus aku.

Hamid menghembus nafas. Aku dan dia melangkah keluar dari perut kereta. Berlalu ke bonet dan mengambil beberapa bungkusan plastik.

“Kau pergi dulu. Kejap aku datang.”pinta Hamid.

Aku akur dan bertapak mendapatkan Leman yang menunggu di pinggir hutan.

“Semua barang dah bawa?”soal Leman tanpa memandang aku.

Aku mengangguk.

“Aku nak ingatkan korang. Bila dah jumpa busut tu minta dan pohon elok-elok. Jaga adab. Mulut jangan celupar. Faham?”agak tegas Leman bersuara.

Aku mengangguk lagi.

“Jangan sampai dia mengamuk. Buruk padahnya. Nyawa yang jadi galang ganti.”ujarnya lagi.

Aku tersentak mendengarnya. Baru saja ingin bertanya, perbualan terhenti tatkala kedengaran suara Hamid memanggil. Sebaik aku menoleh darah berderau. Hamid sedang bertapak ke arah aku bersama Leman.

Jadi dengan siapa pula aku bersembang tadi?

Aku pantas menoleh. Kelibat ‘Leman’ yang berbual dengan aku tadi telah menghilang. Kepala dan leher terasa mengembang.

“Kau okay tak?”tanya Hamid sebaik menghampiri.

Aku mengangguk. Kejadian sebentar tadi aku pendam. Pertama kali aku menghadapi kejadian seumpama itu sepanjang terlibat dalam kerja-kerja meminta nombor ekor ini.

Ketiga-tiga melangkah masuk ke dalam hutan tersebut. Masing-masing hanya mengunci bicara.

Langkah kaki diatur sehinggalah tiba di satu busut yang meninggi hampir separas paha manusia dewasa. Kami bertiga duduk bertinggung.

“Colok?”pinta Leman.

Hamid segera menyerahnya bersama lighter. Leman menghidupkan lalu dipacak ke tanah. Bibirnya mula membacakan mantera. Bulu roma aku terasa meremang tetapi digagahkan diri untuk bertahan. Aku mengelus batang leher. Pandangan dililaukan ke serata arah. 

Tidak semena--mena mata tertancap ke arah busut yang meninggi di hadapan kami itu. Aku perasan seakan-akan terdapat sepasang bebola mata kemerahan sedang mengintai dari sebalik busut. Lekas-lekas aku menunduk. Jantung berdegup hebat. Sungguh aku berasa tidak betah untuk berada di situ lagi. Hati aku mendendangkan sesuatu yang tidak enak.

“Ayam hitam?”suara Leman kedengaran garau.

Aku tersentak dan tergugup gagap menyerahkan plastik kepadanya. Leman merentap daging mentah di dalam plastik itu dengan rakus. Dikeluarkan dari dalam plastik. Dilungguk di hadapan busut.

Badan engkau bernama tanah, tanah mengkhayal api, hantu raya si jembalang tanah, datang ke mari aku menyeru mu. Bangkit kau dari persemadian. Datang kami membawa hajat. Hajat hendak meminta bantuan.”seru Leman berulang kali. Matanya terpejam seperti menghayati.

Selang beberapa saat suasana terasa hening dan sunyi. Leman mengunjukkan telapak tangan.

“Telur ayam?”pinta Leman

Aku tercari-cari dalam plastik yang berada dalam genggaman.

Ahh, sudah! Mana pula telur ayam ni!!

Aku memandang Hamid. Hamid turut menunduk mencari-cari telur ayam di dalam plastik dibawanya.

“Ada tak?”

Jalak menggeleng. “Kau kan yang bawa? Aku bagi kat kau sebelum keluar rumah.”

Aku terdiam sejenak. Ingatan dikerah. Sesuatu melayang dalam ingatan. Baru aku teringat bungkusan plastik berisi telur ayam aku tinggalkan di rak kasut. Aku meninggalkannya sejenak untuk memakai kasut sebelum terlupa. Aku menepuk dahi.

“Aku tertinggal!”

“Korang ni! Aku dah cakap jangan lupa…”Leman terhenti dari memarahi kami berdua tatkala mendengar satu suara menderam dan mendengus kasar.

“Puaka busut ni dah marah! Aku dah pesan awal-awal jangan lupa satu benda pun!”marah Leman.

Tubuh aku mulai menggeletar. Sekitar kawasan kami berada seperti dilanda ribut. Angin bertiup kuat menerbangkan debuan dan butiran pasir. Tidak semena-mena busut di hadapan kami itu meletup dan terbakar. Apinya marak menjulang ke angkasa. Serentak itu satu suara garau meraung dan menderam kasar kedengaran.

“Kita kena blah dari sini cepat! Jembalang tanah tu dah mengamuk.”jerit Leman.

Aku bingkas bangun. Tubuh menggigil ketakutan. Sumpah aku menyesal menyetujui mengikuti Hamid untuk minta nombor ekor malam ini! Plastik ditinggalkan bertaburan. Kami bertiga lari bertempiaran. Cemas menujah dada.

Beberapa langkah bertapak, kami bertiga terbejat. Jantung aku terasa terputus dari tangkai. Di hadapan aku kelihatan satu lubang seluas perigi dan sedalam lebih kurang 2 meter aku anggarkan. Yang menggerunkan apabila di dalam lubang itu dipenuhi oleh tulang belulang dan juga mayat yang hampir mereput! Tempat apa sebenarnya ni!

“Jangan pedulikannya. Kita kena blah cepat!”jerit Leman.

Serentak kami bertiga mengayuh larian. Suara garau menderam jelas kedengaran di belakang kami bertiga. Bulu roma aku tegak berdiri. Makhluk apa sebenarnya yang sedang mengejar kami ini?

“Jangan sesekali pandang belakang.”jerit Leman lagi.

Entah mengapa arahannya itu aku sukar untuk turuti. Kehendak di hati terasa lebih menguasai. Dalam kayuhan larian itu aku menoleh jua ke belakang. Mata aku terbuntang. Seekor makhluk berkepala anjing, bertubuh agam kehitaman sedang mengejar kami dengan buaran nafas yang ganas. Bebola matanya yang kemerahan jelas terpancar amarahnya yang menjulang-julang.

Aku pantas mengalih pandangan ke hadapan. Rasa takut menyeruak di jiwa sehingga menyebabkan aku terasa seperti ingin terkencing di dalam seluar. Alur nafas terasa sesak. Larian tetap diatur deras. Malang tidak semena-mena Leman jatuh tertiarap. Tersungkur di atas tanah.

Aku terhenti dari berlari. Hamid pula sudah jauh meninggalkan aku dan Leman. Untuk seketika kedengaran suara Hamid melaung.

“Blah Jalak. Kau tolong dia kau yang mati nanti!”

Aku serba salah. 

Aku mengerling. Jembalang tanah itu masih mengejar. Pantas aku mencapai tangan Leman dan membantunya berdiri. Selajur kami berdua berlari meredah hutan mendapatkan kereta yang diparkir tidak jauh dari situ.

Nafas tercungap-cungap sebaik tiba di kereta. Hamid sedia menanti di dalam kereta. Aku dan Leman lekas-lekas memuatkan diri ke dalam. Pintu dikunci rapat. Selajur masing-masing menghempaskan nafas keletihan. Makhluk yang mengejar kami tadi tidak terlihat di mana-mana.

“Jom kita blah dari sini. Lagi lama duduk lagi bahaya.”ujar aku.

Leman meraba poket bajunya sebelum menyeluk poket seluarnya.

“Kejab, kunci kereta aku tak ada.”

Enam patah perkataan itu terasa merenggut tangkai jantung aku. Aku dan Hamid lekas-lekas memeriksa poket masing-masing. Tiada.

“Mesti tercampak masa aku jatuh tadi.”getus Leman.

Aku meraup wajah yang dibasahi keringat. Belakang tubuh tersandar di seat kereta. Fikiran buntu dan terbejat sama sekali.

“Kita kena blah dari sini Jalak, Man. Bila-bila masa saja jembalang tanah tu boleh datang serang kita!”ujar Hamid.

Aku merenung tajamnya.

“Kau faham tak sekarang ni kunci kereta dah hilang. Mahu tak mahu kita kena duduk dalam kereta ni. Tunggu sampai hari siang. Nak minta tolong pun tak ada manusia yang duduk tempat ni. Takkan nak bertaruh nyawa pergi cari kunci kereta tu pulak?”aku membidas. Emosi aku benar-benar tidak stabil.

Masing-masing terdiam sejenak. Kebisuan melingkari suasana.

“Tak apa. Ini salah aku. Biar aku pergi cari kunci kereta.”

“Kau jangan buat pasal Leman!”aku memarahinya.

Leman tidak menghiraukannya. Dia membuka pintu kereta dan melangkah keluar. Aku menjerit memanggil namanya berulang kali tapi dia tidak menghiraukannnya. Hamid yang duduk di seat sebelah pemandu lekas-lekas mengunci pintu kereta.

“Aku tak pernah jumpa manusia penting diri macam kau.”getus aku merenung tajam Hamid.

“Lebih baik penting diri dari mati sia-sia.”balasnya.

Aku mengetap bibir menahan rasa amarah yang bertakung di jiwa. Selang beberapa saat pemergian Leman, kedengaran satu raungan yang amat dahsyat. Seperti dilanda seksaan yang amat dahsyat!

Wajah Leman terbayang-bayang dalam ingatan kala ini. Aku menekup bibir.

ALLAH, apa yang tengah jadi sekarang ni?

ALLAH? 

Ya! 

ALLAH!

Hanya itu penggantungan aku kala ini. Rasa insaf menyerbu tangkai jiwa. Masa berbuat dosa nama Tuhan agung itu tak diingati. Dan kini dilanda bahaya hingga mengancam nyawa barulah nama ALLAH meniti di bibir.

Bunyi desiran menjamah ruang telinga. Aku tersentak. Mata aku dan Hamid memandang radio. Enjin tidak dihidupkan bagaimana pula radio boleh hidup secara tiba-tiba? Sayup-sayup kedengaran satu lagu aneh sedang berkumandang diiringi dengan muzik gamelan yang menyeramkan.

Lingsir wengi sliramu tumeking sirno, Ojo Tangi nggonmu guling, awas jo ngetoro, aku lagi bang wingo wingo, jin setan kang tak utusi, jin setan kang tak utusi, dadyo sebarang, Wojo lelayu sebet.

Liur terasa mengental di anak tekak. Ini bukan sebarang lagu. Ini lagu pemujaan syaitan! Nafas terasa menderu laju. Keringat mengalir dari dahi sehingga ke pipi. Dalam ketika itu, mata aku terpandang ke hadapan. Di celah-celah batang pokok yang berdiri teguh, kelihatan satu kepala tanpa badan sedang terapung-apung. Matanya terbeliak memandang ke arah kami berdua. Aku lekas-lekas menunduk. Tubuh menggigil.

Selesai lagu aneh itu berkumandang, dentuman kuat kedengaran di bumbung kereta. Terasa seperti benda berat menghempap bumbung. Aku dan Hamid terperanjat besar. Kepala didongak. Kelihatan bumbung melengkung, kemik ke dalam.

Rasa takut yang bermain di hati bukan alang kepalang. Jantung berdegup kian hebat tatkala kedengaran bunyi kuku mencakar bumbung kereta sebelum bunyi kedengaran mengelilingi kami. Aku cuba membaca ayat suci al-Quran tapi satu pun gagal aku ingati. Hanya nama ALLAH yang meniti di bibir kala ini.

Tidak semena-mena bunyi cakaran itu lenyap. Belum sempat nafas dihela, kereta terhingguk ke kiri dan kanan secara tiba-tiba. Sehingga aku dan Hamid terasa ingin tercampak keluar dari kereta. Tangan aku tergapai-gapai memegang seat mengelak tubuh dari terhumban.

“ALLAHUAKBAR!”jerit aku sekuat-kuatnya.

Serentak itu, kereta berhenti dari berhingguk. Tiada lagi bunyi-bunyian yang aneh. Sepi mencengkam suasana. Aku meliarkan pandangan ke serata arah. Kepala tanpa badan itu juga tidak terlihat lagi. Sepi mencengkam suasana.

“Hamid, aku rasa kita kena keluar pergi cari kunci kereta.”

“Hah? Kau gila ke apa? Kau tahu kat luar bahaya macam mana?”bidas Hamid.

“Habis tu kau sanggup berkurung dalam kereta ni? Kau nampak apa yang berlaku tadi? Aku jamin benda yang lebih teruk akan berlaku. Aku rasa lebih baik kita pergi keluar cari kunci kereta dan balik semula.”ujar aku.

“Aku tak nak!”getus Hamid.

“Terpulang.”

Aku membuka pintu dan melangkah keluar. Baru beberapa langkah Hamid turut menuruti dari belakang. Waspada menggunung dalam hati. Aku terpandang sebatang kayu sepanjang lengan. Aku menunduk dan mencapainya untuk dijadikan senjata.

Kami berdua melangkah dengan penuh berhati-hati. Sesekali kedengaran bunyi derapan seperti ada yang mengekori. Sesekali kedengaran suara garau tertawa. Tidak kurang memanggil nama kami berdua seiiring dengan ilai tawa yang menyeramkan.

“Jangan peduli. Sebut nama ALLAH banyak-banyak.”pesan aku kepada Hamid. Walaupun rasa takut masih bertakung di jiwa tetapi aku cuba mengawalnya sebaik mungkin.

Hamid mengangguk terketar-ketar. Sukar aku melihat riak wajahnya dalam suasana kelam sebegitu rupa.

Sebaik tiba di kawasan Leman terjatuh tadi, aku dan Hamid terbongkok-bongkok mencari kunci kereta. Mata ditajamkan sebaik mungkin. Aku meraba-raba permukaan tanah. Tangan kanan masih erat menggenggam kayu.

“Jalak..”suara Leman kedengaran berbisik di belakang aku.

Aku pantas menoleh. Kelihatan makhluk hitam berkepala anjing itu sedang berdiri di belakang aku. Kayu yang berada dalam genggaman aku hayun pantas ke wajahnya. Dihentak bertubi-tubi sehingga darah merah menyembur-nyembur keluar.

Baru sahaja kayu ingin dihayun lagi tidak semena-mena aku terbejat. Kayu terlepas dari genggaman. Jembalang aku sangka tadi rupanya Leman! Aku menekup mulut sendiri. Mukanya berlumuran darah. Kunci kereta berada dalam genggamannya.

“Apa kau dah buat Jalak?”

Hamid mengesani leher Leman. Selajur dia mencapai kunci kereta dalam genggaman dan menyerahkan kepada aku.

“Dia dah mati. Tak guna kita ada sini lama-lama.”getus Hamid.

Kedengaran satu suara garau tertawa besar. Aku yang dihurung rasa bersalah turut berlari menuruti Hamid dari belakang. Kami berdua perlu keluar dari sini walau apapun yang berlaku.

Beberapa langkah berlari sesuatu menujah tubuh aku dan Hamid dengan kuat. Kedua-dua terhumban di atas tanah. Aku menyeringai kesakitan. Kunci kereta masih dalam genggaman. Aku cuba bangun tetapi rebah semula. Kepala berpinar-pinar. Gelap. Aku pejam dan buka mata semula.

Aku mendongak. Kelihatan tubuh Hamid terangkat ke udara. Jembalang tanah itu sedang mencekak lehernya. Serta merta makhluk berkepala anjing itu memburaikan dada Hamid dengan kukunya yang tajam. Aku terpempan. Bingkas aku bangun dan melarikan diri.

Aku memuatkan diri ke dalam kereta. Tergopoh gapah kunci dicucuk ke leher kereta. Sekali dicuba enjin enggan hidup. Cubaan kali kedua, enjin hidup. Aku memasukkan gear dan memijak pedal minyak sekuat hati. Lekas-lekas aku meninggalkan kawasan hutan itu. Kereta dipandu dengan kelajuan maksima.

Sebaik tiba di rumah, aku mengunci diri di dalam bilik. Aku menangis teresak-esak. Tak sangka sama sekali kejadian akan jadi sedemikian rupa. Aku mengerling ke arah kiri. Kelihatan kitab Yaasin di atas almari. Aku bangun dan mencapainya. Sudah lama aku tidak menyentuh kalam ALLAH itu. Dan malam itu aku benar-benar taubat dan insaf. Aku menyesali dosa-dosa yang pernah aku berbuat selama ini.

Aku duduk terpunduk di penjuru bilik. Yassin ditekap di wajah. Mata terpejam erat. Telinga aku tidak semena-mena menangkap bunyi suara garau menderam ganas.

Aku membuka mata. Liur terasa mengental di tekak. Jantung terasa putus dari tangkai. Manakan tidak, aku masih berada di dalam hutan tadi!

Aku menampar pipi berulang kali. Sakit. Aku tak bermimpi. Celaka apa yang sedang berlaku ini! Aku menolak tubuh dan bangun. Kelihatan mayat Hamid dengan dada terburai tidak jauh di hadapan aku. Aku menekup mulut sendiri. Sesuatu berada dalam genggaman. Aku melihatnya.

Kunci kereta.

Aku meraup wajah sendiri. Aku masih belum selamat. Aku masih berada dalam hutan puaka ini. Aku hanya pengsan sebentar tadi!

Mata terlingas-lingas mencari sesuatu. Mana mayat Leman? Aku tak menjumpainya. Suara garau kedengaran menderam lagi. Bingkas aku mengatur larian. Aku perlu keluar dari hutan ini walau apa pun yang terjadi!

Kelihatan satu kelibat hitam melintas di hadapan sebelum menghilang sekelip mata. Kayuhan larian terhenti. Aku terundur-undur cemas. Sebaik memutarkan tubuh, urat takungan nyawa terputus. Leman sedang berdiri di belakang aku. Anehnya, wajah dan tubuhnya bersih dari sebarang darah. Sesuatu tidak enak mula bermain di hati. Belum sempat aku berbuat apa-apa, Leman melibaskan sesuatu yang keras di kepala aku. Aku rebah di atas tanah. Pengsan.



“Bangun! Bangun!”

Aku membuka mata. Bau hanyir dan busuk menusuk ke hidung. Aku mengerling ke kiri dan kanan. Aku sedang terbaring di atas tulang belulang dan mayat reput. Mayat Hamid terlungkup di sebelah aku. Pandangan dihujam ke hadapan. Leman sedang tersenyum sinis.

Aku cuba bangun tapi tak berdaya. Tangan dan kaki aku terikat. Aku mengetap bibir merenung Leman.

“Apa sebenarnya yang kau dah buat sial?”aku menyoal keras.

Leman tertawa besar.

“Manusia bodoh macam korang senang untuk aku tipu.”ujar Leman.

Dia memanjat birai lubang dan melompat keluar. Tersengih memandang aku dari atas.

“Masuk kau dan kawan bodoh kau dah 44 nyawa aku korbankan kepada jembalang tanah ni. Untuk memuja jembalang ini bagi dapatkan nombor ekor, bukan sekadar perlukan ayam mentah dan segala barangan yang korang bawa. Jembalang ni makan daging dan darah manusia.”ujar Leman seraya tertawa terbahak-bahak.

“Kau hamba iblis!”aku menyumpah seranah.

“Apa kurangnya dengan kau Jalak! Kita dua sama aje. Dua kali lima. Cuma aku bijak sikit. Tak susah untuk hidup senang. Cuma perlukan orang-orang bodoh macam kau untuk diperbodohkan.”getus Jalak.

Aku mengetap bibir menahan amarah. Suara menderam dan mendengus kasar kedengaran.

Leman tersenyum. “Selama tinggal Jalak. Hirup nafas kau sepuasnya.”

Selajur dia meninggalkan aku di dalam lubang mayat itu. Selang beberapa detik kelihatan seekor makhluk hitam berkepala anjing merangkak masuk ke dalam lubang itu menghampiri. Matanya merah bernyala merenung. Aku menjerit semahu-mahunya. Dan itu adalah jeritan aku untuk terakhir kalinya.

TAMAT

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Eqbal Mohaydeen