Selesai bersarapan pagi, kereta yang dipandu
membelah kesibukan bandar Pulau Pinang. Banyak perancangan hari ini yang perlu
dilakukan. Antaranya mereka merancang untuk ke Taman Rama-Rama, Botanical Park,
Tokong Ular, Penang World Heritage, Komtar, Bukit Bendera dan lain-lain lagi.
Seawal jam 9.00 pagi mereka telah bertolak menuju ke destinasi yang dituju.
Raimy
Nazri berjalan dalam kumpulan rakan-rakannya melawat kawasan Botanical Park.
Jam di tangan telah menunjukkan hampir pukul 1.00 petang. Baru tadi mereka
telah melawat banyak tempat-tempat menarik seperti yang dirancang. Kebanyakan
tempat lawatan dijadualkan pada hari ini sebab keesokan harinya hanya
dikhususkan untuk membeli belah dan berangkat pulang. Masing-masing tidak melepaskan
peluang untuk bergambar setiap kali berkunjung ke tempat-tempat menarik.
Raimy
Nazri begitu asyik merakamkan pemandangan dalam Botanical Park menggunakan
kamera Canon DSLR. Telatah monyet yang mengundang lucu dan kecantikan serta
keindahan flora fauna diabadikannya dalam kamera. Tanpa disedari, dia telah
berpisah daripada kumpulan rakan-rakannya tadi. Dia berjalan berseorangan
meronda kawasan tersebut.
“Assalamualaikum..”
Teguran
tersebut membuatkan Raimy Nazri tersentak dan menganggu fokusnya merakam
pemandangan. Salam suci tersebut dijawab dan dia berkalih ke belakang. Sebaik
pandangannya berubah, Raimy Nazri
terperanjat besar. Seorang wanita tidak bertudung sedang berdiri di
belakangnya sambil tersenyum simpul. Paling mengejutkan wajah wanita itu
seiras-iras dengan arwah tunangnya, Dayang Haliza. Walaupun sedikit berbeza di
bahagian hidung dan juga mata, tetapi persamaan itu tetap jelas. Raimy Nazri
menelan liurnya sendiri. Dia terkedu dan terpaku.
“Saya
ganggu abang ke?”tegur wanita itu lagi.
Raimy
Nazri tergagap-gagap menjawab. Sekejap dia menggeleng dan sekejap dia
mengangguk. Dia mengalami hambatan kejutan.
Wanita
itu tergelak melihat kelakuan Raimy Nazri.
“Abang
ni Raimy Nazri kan? Penulis novel yang terkenal tu?”
“Err..
ye.. saya Raimy Nazri.”tergugup gagap dia mengiakan.
“Tak
sangka dapat jumpa abang dekat sini. Saya Anis Suraya.”ujar wanita itu seraya
menghulurkan tangan untuk bersalam.
Raimy
Nazri membalas huluran tersebut dan berjabat. Untuk seketika mereka bertatapan.
Raimy Nazri seakan terpana melihat wanita tersebut. Bayangan Dayang Haliza
menguasai dirinya kala ini. Anis Suraya mula malu apabila diperhatikan
sebegitu. Dia berdehem. Raimy Nazri tersedar segera melepaskan tangannya dari
terus berjabat.
“Saya
memang minat gila dengan setiap novel abang. Setiap kali keluar saya orang
pertama pergi beli. Best sangat!”puji Anis Suraya.
Raimy
Nazri tersenyum hambar. Dia sedar wanita di hadapannya ini bukanlah Dayang
Haliza. Dia perlu menerima hakikat tunangnya itu telah tiada lagi di dunia ini.
“Terima
kasih sebab sokong setiap karya abang.”
“Kalau boleh saya nak tahu juga apa
perkembangan novel terbaru abang? Dah masuk 3 bulan dah selepas novel ‘Hilang’
keluar. Mesti dah nak siap kan?”soal Anir Suraya teruja.
Raimy
Nazri terdiam apabila diajukan soalan tersebut. Masalah itu bukan tidak
difikirkannya tetapi dengan situasi yang dialaminya sekarang ini bukan mudah
untuk dia berkarya memuntahkan idea. Lagipun idea yang terbaharu masih tidak
berkunjung tiba.
“Masih
belum ada lagi. Tetapi mungkin bakal ada tidak lama lagi. Lagipun abang nak
berehat untuk sementara waktu.”jujur Raimy Nazri berterus terang.
Wanita
itu sedikit hampa.
“Ala.. Baru je semangat nak baca novel terbaru
abang.. Tapi, tak apalah. Abang rehat dulu buat sementara waktu nanti bila
abang menulis mesti bombastik punya cerita.”balas Anis Suraya. Perangainya
sedikit keanak-anakan. Sesuai dengan usianya yang dilihat baru menjangkau 20
tahun. Raimy Nazri mengagak.
Raimy
Nazri tersenyum. “Seorang sahaja ke datang?”
Anis
Suraya mengangguk. “Sorang saja. Kenapa abang nak teman ke?”usik Anis Suraya.
Raimy
Nazri tertawa kecil. “Ingat datang dengan keluarga tadi.”
Anis
Suraya mencebik. “Kita bukan budak-budak tau nak datang dengan keluarga. Kita
dah 23 tahun okay.”balas Anis Suraya dengan suara yang sengaja dibuat seperti
kanak-kanak.
Raimy
Nazri tertawa lagi. Wanita di hadapannya ini kelihatan manja dan keanak-anakan.
Lazimnya dia tidak semesra begitu dalam melayani peminat. Selalunya peminat
hanya berjumpa dan meminta autograf sahaja. Tetapi berbeza dengan wanita ini.
Kemesraan seolah wujud dalam dirinya. Tidak berasa kekok. Atau mungkin kerana
wajahnya seiras Dayang Haliza?
“Abang
pun datang seorang ke?”soal Anis Suraya.
“Tak
lah. Abang datang dengan kawan-kawan. Diorang ada dekat sana.”sekadar menunjuk
ke satu arah. Anis Suraya hanya melihat sekilas walaupun tidak mengenali dan
tidak melihat kawan-kawan penulis novel yang dipujanya itu.
“First time dapat jumpa abang
depan-depan. Excited sangat. Tengok
wajah abang dalam novel je selalu. Ada rupa. Tak nak jadi bintang filem
ke?”usik Anis Suraya. Lazimnya wajah penulis novel akan diletakkan di ruangan
belakang bahagian tinta penulis.
“Ish
mana ada. Biasa-biasa je.”sanggah Raimy Nazri.
Perbualan
mereka tergendala apabila bahu Raimy Nazri ditepuk. Pantas dia berkalih.
“Kau
pergi mana? Dari tadi cari kau tak jumpa.”tegur salah seorang rakannya.
Raimy
Nazri tidak lekas menjawab. Dia berkalih ke arah Anis Suraya untuk
memperkenalkan wanita itu kepada kawan-kawannya. Tetapi sebaik berkalih kelibat
wainta itu tidak lagi kelihatan. Dia melilaukan pandangan ke serata arah tetapi
hampa.
“Kau
cari siapa?”tegur Luthfi pula yang hairan melihat tingkah laku Raimy Nazri.
“Err..”lidah
Raimy Nazri terkelu. Mana pula wanita tadi pergi, desis hati kecilnya.
Pada sebelah malam, Padang Kota menjadi tempat
pilihan dilawati. Bila bercakap tentang Padang Kota pasti ramai yang akan
bercakap tentang kelazatan pasembur yang dijual di situ. Keenakannya sukar
untuk digambarkan dengan kata-kata. Puas meronda siang tadi, mereka tiba di
hotel sekitar pukul 6.00 petang. Setelah berehat dan menyegarkan badan, mereka
bertolak dari hotel menuju ke sini. Jam telah menunjukkan hampir pukul 9.00
malam.
Setiba
di kawasan Padang Kota, kelihatan ramai orang termasuk pelancong asing dan
tempatan. Tidak kurang pasangan kekasih yang sedang memadu asmara. Memang benar
kawasan tersebut sangat menenangkan minda dan fikiran. Raimy Nazri terimbau
kenangan lalu. Padang Kota menjadi tempat yang sering dikunjungi oleh dia dan
arwah tunangnya sewaktu zaman universiti lalu.
Mereka
sekumpulan mengambil tempat duduk di medan selera yang disediakan. Setelah
memesan makanan dan minuman, masing-masing duduk berbual sambil ketawa riang.
Hanya Raimy Nazri yang kelihatan bermenung.
Fikirannya kala ini bercampur baur. Sekejap
dia memikirkan Dayang Haliza dan sekejap dia memikirkan Anis Suraya. Wanita
yang ditemuinya siang tadi. Imej kedua-dua wanita itu saling bertindih antara
satu sama lain. Entah mengapa kehadiran Anis Suraya begitu mengusik hati dan
perasaannya. Raimy Nazri mengeluh.
“Jauh
termenung? Dah tersangkut dengan anak mami dekat sini ke?”tegur Fahrin
mengusik.
“Kau
kena faham. Dia kan penulis novel. Dia tengah tengok kawasan sekeliling ni
untuk dijadikan idea dalam novel terbaru.”sanggah seorang rakan yang lain.
Kata-kata
tersebut hanya disambut oleh Raimy Nazri dengan senyuman hambar. Selesai
menjamu selera, mereka masih duduk di kawasan tersebut sambil berborak. Raimy
Nazri meminta diri untuk bersiar-siar di kawasan Padang Kota. Sekadar mengambil
angin. Rakan-rakan yang lain tidak ikut serta.
Raimy
Nazri menghayun langkah lemah di sekitar kawasan tersebut. Matanya memerhati
gelagat manusia yang berada di kawasan tersebut. Semuanya mempunyai ragam yang
tersendiri. Semuanya demi menghiburkan hati. Ada yang memancing, ada yang hanya
duduk berbual dan tak kurang juga bersuka ria dengan keluarga. Dia
mengambil tempat duduk di atas tebing.
Kakinya dibiarkan terjuntai. Di bawahnya air laut berombak lemah menampar
dinding batu. Sang bayu menerpa tubuhnya. Terasa dingin dan menenangkan.
Fikirannya
terawang-awang. Pandangan matanya dilontar jauh ke laut seolah-olah membelah
lautan tersebut. Sengaja dia menikmati keadaan sebegitu.
“Sorang
lagi nampak?”
Teguran
tersebut membuatkan Raimy Nazri berkalih. Kelihatan Anis Suraya sedang berdiri
di sebelahnya.
“Jumpa
lagi kita.”segarit senyuman terukir di bibir Raimy Nazri. Hatinya seolah-olah
gembira melihat kelibat wanita tersebut.
“Mungkin
ada jodoh kot.”usik Anis Suraya. Dia mengambil tempat di sebelah Raimy Nazri
sambil memakan aiskrim. Raimy Nazri hanya tersenyum.
“Buat
apa dekat sini?”soal Raimy Nazri.
“Saja
ambil angin. Ramai cakap tempat ni best.”balas Anis Suraya.
“Awak
asal dari mana?”
“Saya
asal Selangor. Abang?”panggilan hormat memandangkan lelaki itu jauh lebih tua
daripadanya.
“Really?! Saya asal Kuala Lumpur. Tak
jauh lar kita. Berjiran saja.”ujar Raimy Nazri.
“Saya
tahu sebab abang dah selalu beritahu dekat dalam novel. Saja je nak test.”kata Anis Suraya. Dia menjilat
aiskrim di dalam kon lagi. Kaki yang terjuntai digoyang-goyang.
Raimy
Nazri melihat ke arah Anis Suraya. Kemudiannya dia tergelak tetapi ditahannya
sebaik mungkin. Anis Suraya mengangkat keningnya ingin tahu. Raimy Nazri hanya
menunjuk ke arah hidung Anis Suraya yang comot dengan aiskrim sambil
tergelak-gelak. Perangai kebudak-budakkan wanita itu jelas terserlah.
Anis
Suraya menjuihkan bibir menunjukkan tingkahlaku yang comel. Cebisan aiskrim
dihidungnya dikesat tetapi tidak bersih. Spontan Raimy Nazri mengangkat
tangannya lalu mengesat sehingga bersih. Anis Suraya seakan terpaku dengan
tindakan Raimy Nazri. Raimy Nazri yang terlanjur dengan kelakuannya segera
menarik tangannya kembali.
“Suka
dengan aiskrim vanila?”soal Raimy Nazri.
Anis
Suraya mengangguk. “My favourite!”
Sama
dengan Dayang Haliza, desis hati kecil Raimy Nazri. Dia menatap wajah Anis
Suraya sekilas. Entah mengapa hatinya berasa berdebar-debar tatkala memandang
wanita tersebut. Dia berasa seolah-olah telah mengenali wanita tersebut lama
walaupun baru beberapa jam sahaja mengenalinya.
“Mana
kawan-kawan abang yang lain?”soal wanita itu.
“Tengah
makan dekat medan selera hujung sana tu.”jelas Raimy Nazri.
“Saya
tengok abang asyik bermenung je dari tadi. Ingat awek ek?”nakal Anis Suraya
menyoal.
Raimy
Nazri tersenyum hambar. Memang, dia sedang merindui wajah tunangnya. Raimy
Nazri menggeleng lemah.
“Ala..
Rugi lar muka kacak macam abang ni tak ada awek.”ujar Anis Suraya lagi.
Aiskrimnya telah habis dimakan.
Raimy
Nazri meraup wajahnya menggunakan kedua-dua belah telapak tangan. Kemudian dia
menundukkan wajah.
“Tunang abang dah meninggal dunia.”terus
terang Raimy Nazri memberitahu.
Anis
Suraya tersentak. Raut wajahnya terus berubah. “Err.. Saya minta maaf. Saya tak
bermaksud..”
Kata-kata
Anis Suraya disanggah oleh Raimy Nazri. “Tak mengapa. Abang okay je.”ujar Raimy
Nazri.
“Bila
tunang abang tu..”belum sempat soalan dilontarkan Raimy Nazri segera menjawab.
“Bulan
lepas.”
Jawapan
Raimy Nazri membuatkan Anis Suraya berasa serba salah. Dia memarahi dirinya
sendiri kerana dia tidak sepatutnya bertanyakan soalan sebegitu kepada Raimy
Nazri.
“Kadangkala
abang rasa dunia ini terlalu kejam. Tunang abang diambil di saat-saat akhir
kami ingin melangsungkan perkahwinan. Sedangkan abang sangat mencintai dan
menyayangi dirinya.”ujar Raimy Nazri. Wajahnya tertunduk sayu.
Anis
Suraya hanya memerhati wajah Raimy Nazri. Walaupun dalam penulisannya sering
mempamerkan kebahagiaan dalam percintaan tetapi nasibnya tidak seindah yang
digambarkan dalam novel. Wajah lelaki itu ternyata menyimpan rasa rindu dan
sedih berpisah dengan orang dicintai. Tambahan usia perpisahan baru menjangkau
sebulan.
“Dunia
ini tak kejam tetapi ada hikmah di sebalik apa yang berlaku.”balas Anis Suraya.
Sikapnya yang keanak-anakan berubah sedikit dewasa apabila berkelakuan
sedemikian.
“Maksud
awak?”
Rambut
Anis Suraya yang lurus terbuai-buai di hembus angin. “Hidup ini ada pasang
surutnya. Kadang kita di atas, kadang kita di bawah. Kadang kita bahagia dan
kadang kita berduka. Setiap apa yang berlaku pasti ada keterbalikannya. Semua
ini adalah satu ujian kepada kita dalam menjadi seorang manusia yang tabah
dalam mengharungi cabaran hidup.”kata Anis Suraya.
Kata-kata
Anis Suraya membuatkan Raimy Nazri terpaku. Ternyata wanita di sebelahnya itu
bijak berkata-kata. Terasa menyusup ke jiwanya. Walaupun dia seorang pengarang
yang hebat dalam mencantumkan ayat sehingga menjadi menarik. Tetapi tiada satu
pun kata-kata yang dapat diberi kepada dirinya sendiri untuk meningkatkan
semangat saat dia menghadapi kesukaran tersebut.
“Tapi
kenapa perlu abang? Kenapa abang yang dipilih untuk diuji?”soal Raimy Nazri.
Dia berkeluh kesah.
“Syukur
sebab abang yang dipilih untuk diuji sebab bukan semua yang dapat. ALLAH sayang
dekat abang sebab tu dia uji abang begini supaya abang ingat kepada Dia. Setiap
ujian yang turun tu penghapus dosa abang. Hanya sabar jalan yang terbaik dalam
situasi begini.”ujar Anis Suraya lagi.
Serta
merta Raimy Nazri teringat Haji Leman. Bapa saudaranya itu pernah juga berkata
sedemikian. Walaupun semangatnya berjaya diraih tetapi tidaklah sepenuhnya.
Hati, jiwa dan raganya sangat merindui Dayang Haliza sehingga kadang-kadang
terbawa di dalam mimpi.
Raimy
Nazri berkalih ke arah Anis Suraya lalu melemparkan senyuman hambar. “Abang
sebagai penulis novel yang menggarap kisah hidup orang lain tetapi tidak mampu
mengatur kehidupan abang sendiri saat di landa ujian.”
“Itu
perkara biasa abang. Kadangkala kita perlukan seseorang untuk berkongsi masalah
dan kesedihan. Barulah rasa itu akan berkurang. Macam pakar motivasi juga. Tak
semestinya diorang tak ada masalah walaupun
sibuk menyelesaikan masalah orang lain. Semua manusia ada masalahnya
tersendiri walaupun ringan mahupun berat.”jelas Anis Suraya.
Raimy
Nazri mengakui hakikat tersebut. Tetapi buat sementara ini bayangan Dayang
Haliza sentiasa muncul dalam hatinya. Mungkin suatu masa nanti dia akan kembali
normal apabila hakikat tersebut dapat diterima.