BAB 12 - KHILAFKU

KHILAFKU

Prolog

Tangannya terus menghayun cangkul mengorek tanah. Nafasnya tercungap-cungap menahan mengah dan rasa penat. Pernafasannya tidak teratur. Sesekali dia melingaskan pandangan ke kiri dan kanan bagi memastikan tiada mata yang melihat akan kejahatan yang dilakukan olehnya. Tanah terus digali dan dihumbankan ke atas menggunakan cangkul.

Sebaik berasa kedalaman lubang yang digali itu telah cukup dalam, dia berhenti mencangkul. Cangkul dicampakkan ke tepi lubang tersebut. Perlahan-lahan bonet kereta dibuka dan sebuah bagasi yang besar terserlah. Bagasi tersebut diheret dari bonet dan terhempas jatuh ke tanah. Perlahan-lahan dia melutut dan membuka zip bagasi tersebut. Sekujur mayat terserlah.

Wanita itu menatap lama wajah mayat lelaki tersebut. Dia puas dengan kematian lelaki tersebut. Hatinya benar-benar terasa puas setelah dendam kesumat yang sekian lama membengkak telah terlunas. Wanita itu tersenyum sinis. Perlahan-lahan mayat tersebut diheret bersama bungkusan tersebut ke tebing tanah yang digali tadi.

Sekuat tenaga diraih, wanita itu menolak mayat tersebut ke dalam kubur yang digali olehnya. Perlahan-lahan mayat tersebut bergolek dan jatuh meniarap ke dalam kubur tersebut. Tanpa membuang masa, wanita itu terus mencangkul tanah dan menimbuskan mayat tersebut. Kerja tersebut dilakukan dengan pantas.

Sebaik segalanya telah selesai, wanita itu duduk berteleku di sebelah kubur yang baru sahaja ditimbus itu. Beberapa ketika kemudian, wanita itu mencapai cangkulnya dan dimuatkan ke dalam bonet kereta. Lantas dia menghidupkan enjin kereta dan memandu keluar dari kawasan hutan tersebut. Segala dendam telah terlangsai. Kesumatnya telah terjawab. Bagi dirinya hanya kematian yang mampu membayar kesengsaraan yang ditanggung olehnya sejak sekian lama!



Dr. Zakiah meronda sekitar wad yang menempatkan pesakit-pesakitnya yang mengalami masalah jiwa. Dr. Zakiah merupakan seorang doktor psikiatri yang telah telah berkhidmat di Hospital Permai, Tampoi sejak 7 tahun yang lalu. Usianya menjangkau 30an dan masih belum menamatkan zaman bujangnya. Sepanjang 7 tahun mencurahkan baktinya sebagai seorang doktor pelbagai pesakit yang telah ditemuinya. Semua tingkah laku pesakitnya yang dianggap gila oleh masyarakat luar telah menjadi lumrah dalam kehidupannya. Kadangkala kelakuan mereka yang dianggap berbahaya dan menakutkan hanya dianggap sebagai satu telatah lucu bagi dirinya.

Baginya, pesakit jiwa ini bukanlah gila tetapi mereka mengalami kesakitan jiwa yang perlu dirawat dan disembuhkan sepertimana penyakit yang lain yang lazim dihidapi oleh manusia. Setakat ini ramai pesakit mental yang dirawat olehnya beransur-ansur sembuh dan ada juga yang telah pulih sepenuhnya. Bahkan telah ada juga pesakitnya yang kini berkeluarga dan mempunyai karier serta masa hadapan yang cerah. Sebagai seorang doktor, dia turut tumpang gembira atas apa yang diperolehi oleh para pesakitnya. Baginya setiap apa yang dicapai pada hari ini adalah kurniaan Ilahi.

Langkah kaki dihayun melawat setiap katil untuk memeriksa tahap kesihatan para pesakitnya. Dia tekun menjalankan tugas sehariannya itu tanpa sebarang keluhan. Katil demi katil disinggahinya dan pesakit akan diperiksa bagi menentukan jenis rawatan dan ubat yang sesuai untuk diberikan.

Senyuman mesra tidak lekang dari bibirnya tatkala memberi layanan dan rawatan terhadap pesakitnya. Prinsip yang dipegangnya mudah, setiap tugas yang dilakukan perlulah dibuat secara ikhlas bagi menjamin keberkatan ALLAH. Bahkan pekerjaan sebagai seorang doktor psikiatri sememangnya telah menjadi cita-citanya sejak dari usia kecil lagi.

Kini kakinya terhenti di hadapan katil yang didiami oleh seorang pesakit wanita. Dr. Zakiah membuka laporan perubatan pesakit tersebut dan mencatat sesuatu. Kemudian laporan tersebut dilekapkan di dadanya. Matanya merenung tepat ke arah pesakitnya yang seorang itu. Pesakitnya itu dilihat hanya baring mengerekot dan matanya tertancap ke satu arah sahaja. Hanya sesekali matanya berkelip. Dirinya hanya diam seribu bahasa.

Sepanjang dua tahun wanita itu ditempatkan di situ, Dr. Zakiah tidak pernah mendengar suara pesakitnya yang satu itu. Tidak pernah sama sekali. Bahkan atendan hospital yang menjaganya turut tidak pernah mendengar suaranya. Dr. Zakiah yakin pesakitnya bukan mengalami masalah bisu tetapi ada sesuatu yang membuatkannya diam membisu tanpa mahu bersuara.

Pesakit itu seringkali bersendirian. Tidak pernah berkelakuan di luar jangkauan atau bertindak ganas. Hanya sering termenung dan tidak bersuara. Apabila namanya disahut kadangkala dia hanya berkalih sekilas dan kemudian kembali terlali. Seakan-akan rohnya telah terlontar ke langit yang ketujuh dan meninggalkan jasadnya yang menunggu untuk mereput. Hidup tetapi ibarat mati. Dia langsung tidak menghiraukan apa jua yang berlaku di sekelilingnya. Dia hanya hidup di dalam dunia ciptaannya sendiri..di alam khayalannya.

Tiada siapa yang tahu apa yang terjadi ke atasnya sehingga dia menjadi sedemikian. Lazimnya pesakit yang mengalami masalah jiwa adalah didorong oleh beberapa faktor utama. Tetapi di dalam kes pesakit ini, faktornya gagal untuk dipastikan. Dia tidak mempunyai saudara terdekat. Dia dihantar di sini oleh jirannya.

Itupun setelah melihat pesakit ini cuba untuk membunuh diri dengan terjun dari tingkat paling atas apartment. Mujur sempat diselamatkan dan dibawanya ke sini. Sejak dari hari tersebut, pesakit ini hanya keseorangan. Tiada siapa pernah datang melawat atau menziarahinya. Kehidupannya menjadi misteri dan penuh tanda tanya. Dr. Zakiah telah mengklasifikasikan pesakit tersebut mengalami depresi ataupun kemurungan yang teruk.

“Lisa.. Apa khabar hari ni?”soal Dr.Zakiah sekadar berbasa-basi.

Soalannya itu hanya sekadar mencuba nasib. Mana tahu hari ini pesakitnya itu akan bersuara.

Tiada maklum balas yang diterima. Pesakit yang diketahui namanya sebagai Lisa hanya mendiamkan diri. Matanya tertancap ke arah lantai wad hospital tersebut. Dr. Zakiah menarik nafas dan menghembus perlahan.

“Awak dah makan?”tanya Dr. Zakiah lagi tanpa berputus asa. Senyuman mesra terukir di bibir.

Lisa tidak menjawab. Perlakuannya masih seperti tadi. Dr. Zakiah mengeluh perlahan dan lantas berlalu pergi. Sebaik Dr. Zakiah berlalu, perlahan-lahan setitis dua air mata Lisa tumpah dan meleleh membasahi pipinya yang mulus. Dibiarkan air matanya meleleh tanpa diseka.



“Aduh mati lar aku macam ni. Deadline dah dekat. Apa aku nak tulis untuk cover story bahagian aku ni…”rungut Azirul sendirian.

Kertas-kertas bertaburan dan bersepah di atas meja kerjanya. Ini tidak termasuk di dalam bakul sampah yang telah melebihi muatan sehingga memuntahkan semula isi kandungan yang berisi gumpalan kertas yang direnyuk oleh Azirul tatkala mencatat idea yang terlintas.

Tugasnya sebagai seorang wartawan yang berkhidmat dalam sebuah syarikat penerbitan majalah terkenal iaitu INFO! memaksanya memerah tenaga dan idea bagi mencari informasi berguna dan cerita menarik untuk dimuatkan bagi terbitan bulan ini. Majalah INFO! adalah sebuah majalah yang memuatkan pelbagai maklumat dan informasi kepada pembaca baik dari segi sosial, ekonomi dan budaya.

Azirul merengus perlahan. Tangannya memicit-micit dahi lantaran kepalanya yang mula terasa berdenyut. Butang bajunya di bahagian leher dibukakan bagi memberi keselesaan untuk dirinya bernafas. Sejak akhir-akhir ini pelbagai masalah melanda dirinya. Ibunya yang kurang sihat, adiknya pula meminta wang tambahan kerana masih menuntut di universiti, dan tekanan di tempat kerja. Semuanya memberi tekanan kepadanya sehingga akhirnya menjejaskan prestasi kerjanya. Mujur pihak atasan tidak merungut dan faham dengan masalah yang dialami. Tetapi paling penting Azirul harus menyiapkan cerita bagi dimuatkan di dalam ruangannya.

Nasib baik dirinya masih bujang dan belum berkahwin. Kalau tidak masak untuk dia memikirkan soal isteri dan lebih memeritkan jika mempunyai anak, fikir Azirul sendirian. Azirul melingaskan mata di jam yang melekat di dinding pejabat. Tepat menunjukkan pukul 5.30 petang menandakan waktu bekerja telah tamat.

Azirul bingkas bangun dari kerusinya. Dia menggeliat seketika bagi menghilangkan rasa lenguh. Kemudian Azirul mengemaskan mejanya yang berselerak. Sebaik memastikan segalanya rapi dan kemas, Azirul menolak kerusinya ke bawah meja dan terus berlalu. Kunci kereta dimain-main di jari sambil dia bersiul-siul membunyikan sebuah melodi. Langkah kakinya terus dihayun.

Happy nampak Beto Qushairi kita hari ini.”usik Kak Salmah.

Azirul hanya tesengih menampakkan sebaris giginya dan terus berlalu.

Begitulah sikap Azirul. Meskipun dilanda pelbagai masalah jarang dia meluahkan masalah yang dialami menerusi reaksi wajah yang kurang senang. Sebaliknya dia lebih gemar tersenyum. Biarlah masalah yang dialami ditanggungnya sendiri tanpa perlu melibatkan orang lain.

Panggilan Beto Qushairi sudah menjadi kelaziman rakan-rakan memanggilnya. Ini kerana wajahnya dikatakan iras-iras pelakon terkenal itu yang popular dengan filem ‘Istanbul Aku Datang’.

Azirul tidak marah apabila diberi jolokan tersebut, sebaliknya kadang kala terselit kebanggaan apabila wajahnya disamakan dengan pelakon terkenal itu. Azirul terus menghampiri keretanya. Punat kunci ditekan dan kereta Proton Inspira miliknya berbunyi dua kali. Pintu kereta dibuka dan beg kerja dilontarkan ke seat belakang. Kemudian enjin kereta dihidupkan dan perlahan-lahan kereta bergerak menuju arah yang dipandu oleh Azirul.

Previous: BAB 11

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.