BAB 18

Raimy Nazri membaca karya tersebut tanpa segarit senyuman. Sehelai demi sehelai ditatap dan dibacanya. Wajahnya kelihatan serius. Di halaman terakhir, Raimy Nazri meletakkan di atas meja. Disusunnya rapi. Mindanya bekerja mencari dari mana karya tersebut yang muncul secara tiba-tiba. Yang pastinya karya tersebut bukanlah daripada dirinya walaupun corak penulisan dan idea adalah lebih kurang sama. Raimy Nazri menghembus nafas berat.

Karya yang berada di atas meja ditatapnya erat. Pelbagai kemungkinan bermain di dalam fikirannya. Idea di dalam karya tersebut menarik. Bahkan jalan cerita yang diketengahkan juga agak berlainan. Seperti dirinya juga yang sering mempamerkan satu bentuk penceritaan yang berbeza dan tidak dapat dijangka oleh pembaca. Tetapi dari mana cerita tersebut datang menjadi satu persoalan kepada dirinya.

Puas difikirkan akhirnya satu keputusan diambil oleh dirinya. Karya yang berada di dalam komputer ribanya disimpan dalam folder. Manakala karya dalam bentuk bercetak pula dimasukkan semula ke dalam sampul dan diletakkan di dalam almari bacaan. Sebaik selesai melakukan perkara tersebur, Raimy Nazri bersandar di kerusi. Walaupun dihurung perasaan bersalah kerana mewartakan hak milik terhadap sesuatu yang bukan datang daripadanya tetapi perasaan tersebut segera ditepis. Karya tersebut berada dalam biliknya dan dalam komputer ribanya jadi secara tidak langsung itu adalah miliknya, getus hati Raimy Nazri.

Perlahan-lahan bibirnya mengukir senyuman. Ibarat bulan jatuh ke riba. Di saat dia buntu dalam berkarya tidak semena-mena dia dikurniakan ‘rezeki terpijak’. Tidak salah sekiranya dia mengambil karya tersebut memandangkan tiada nama penulis yang tertera. Cuma satu hal yang mengganggu fikirannya kala ini. Apakah yang dimaksudkan dengan ‘Bingkisan Sang Perindu’ , ayat tertera di muka hadapan karya tersebut? Berkerut dahinya memikirkan maksud di sebalik ayat tersebut.

Enggan membejatkan fikiran dengan memikirkan hal tersebut, Raimy Nazri memadam komputer ribanya. Lampu bilik turut dipadam olehnya. Lalu Raimy Nazri berbaring di atas katil melepaskan lelah. Satu perasaan lega muncul di dalam hatinya. Satu idea tertumpuk di hadapannya tanpa dipinta-pinta. Bahkan telah lengkap sepenuhnya. Satu masalah yang selama ini bergayut di kotak minda terasa selesai.



Matahari telah mula meninggi. Gagah memancarkan cahaya di segenap pelusuk. Seperti kelaziman waktu-waktu begini para pekerja EL Holding sibuk melakukan tugas sepertimana yang diarahkan oleh pihak atasan.

Fahrin berehat sebentar setelah sejak dari pagi menghadap komputer. Terasa berpinar kepala dan matanya kerana kesan cahaya daripada komputer tersebut. Dia meregangkan otot yang berasa tersimpul. Lehernya diurut dan sesekali dia menggeliat. Perjalanan darah terasa kembali lancar.

“Kau dah makan? Dah waktu lunch ni. Jom?”tegur Wan Latifah mengajak Fahrin makan tengahari.

Fahrin pantas mengalihkan wajah.

“Boleh jugak. Perut aku pun dah berkeroncong dah ni.”balas Fahrin. Dia menggosok perutnya berulang kali.

“Mana si Luthfi dan Raimy? Tak nampak pun?”soal Wan Latifah sambil matanya meninjau mencari kelibat mereka berdua.

“Raimy tak salah aku ada kerja dekat luar. Bos suruh dia. Yang mamat sorang lagi aku tak tahu lah pulak. Mengulat agaknya kot.”jawab Fahrin selamba.

“Kau nampak tak perubahan dekat si Raimy tu?”tidak semena Wan Latifah mengajukan soalan.

“Maksud kau?”berkerut dahi Fahrin memikirkanya.

Wan Latifah merengus.

“Kau ni lambat betul. Iya lar.. Raimy tu makin hari aku tengok makin berubah. Kalau tak dulu asyik murung tapi lepas balik daripada Pulau Pinang aku nampak dia makin pulih.”ujar Wan Latifah.

“Betul gak kata kau tu. Aku pun perasan benda yang sama gak.”Fahrin bersetuju.

“Tak sia-sia idea kau nak bawak dia pergi melancong dulu.”

Well.. Jadi kau kena belanja aku makan lah. Perut pun dah berbunyi lagu Hindustan ni.”ujar Fahrin. Dia bangun daripada kerusi dan mengemas meja yang berselerak.

“Asyik aku je kena belanja kau. Kau tak pernah nak belanja aku pun.”rungut Wan Latifah.

Rungutan Wan Latifah hanya disambut oleh Raimy Nazri dengan gelak ketawa. Lantas, kedua-dua sahabat itu pun melangkah keluar daripada ofis untuk menjamu selera.



Malam telah beransur tua. Tetapi bagi ibu kota Kuala Lumpur tiada istilah tersebut. Pagi atau malam ibarat sinonim. Kota ini tidak pernah mati. Saban masa ada sahaja manusia yang berada di sekitar jalan. Memenuhi masa dengan tujuan masing-masing. Hidup hanya sekali jadi nikmatilah ia selagi nyawa dikandung badan. Prinsip tersebut yang sering digalas oleh kebanyakan manusia pada hari ini.

Raimy Nazri memilih minuman di dalam peti sejuk. Dia berada dalam kedai serbaneka 24 jam. Setelah memilih sebotol air minuman dia menuju ke arah kaunter pembayaran. Selesai melakukan pembayaran dia melangkah keluar daripada kedai tersebut untuk mendapatkan keretanya yang diparkir tidak jauh.

Tiba-tiba telefon bimbitnya berdering menandakan mesej masuk. Poket seluarnya segera diseluk dan mencapai telefon. Mesej dibuka dan dibacanya. Matanya tertancap ke arah skrin telefon. Langkahan kaki tetap diteruskan. Tanpa disedari tubuhnya telah terlanggar seseorang sehingga menyebabkan telefon bimbitnya jatuh di atas lantai. Mujur tidak pecah. Wanita yang dilanggarnya turut terjatuh. Dia mengaduh kesakitan.

“Awak.. Saya minta maaf. Saya tak sengaja.”ujar Raimy Nazri. Dia sedikit menggelabah.

Wajah wanita itu tertunduk. Rambutnya yang terurai menutupi sebahagian wajahnya. Dia hanya mengaduh kesakitan sambil mengusap seluarnya yang kotor di bahagian paha serta sikunya yang sedikit calar. Tetapi tidak mengalirkan darah.

“Awak okay tak? Saya hantar awak ke klinik.”soal Raimy Nazri risau. Dia cuba untuk menolong mengangkat wanita tersebut.

“Awak kalau jalan lain kali..”belum sempat kata-kata tersebut disudahkan bicaranya terkunci. Lidahnya terasa kelu sebaik melihat wajah Raimy Nazri.

Raimy Nazri turut terkelu. Dia seakan tidak menyangka dengan apa yang berada di hadapannya kala ini.

“Awak?”serentak kata-kata tersebut terpacul keluar daripada mulut masing-masing.

Raimy Nazri tertawa kecil. Dia tidak menyangka sama sekali untuk bertemu dengan Anis Suraya dalam keadaan sebegitu. Puas dia berfikir cara untuk mencari wanita tersebut tetapi ternyata perancangan ALLAH itu hebat. Akhirnya, niatnya telah dikabulkan. Wanita tersebut telah dijumpainya.



“Macam tak percaya pula bila kita berjumpa lagi secara kebetulan. Unbelievable!”getus Raimy Nazri.

Anis Suraya menyisip air Coke. “Ini bukan kebetulan tetapi suratan.”balas Anis Suraya.

Raimy Nazri tertawa kecil. Dia masih tidak percaya apabila takdir telah menemukannya sekali lagi dengan Anis Suraya. Kini dia sedang duduk bersama wanita itu di restoran makanan segera yang dibuka 24 jam. Hajat dihati ingin membawa wanita itu ke klinik tetapi Anis Suraya menolak. Alasannya kerana kecederaan dialami tidak serius.

“Awak buat apa dekat sini malam-malam? Mak tak marah ke? Yelar.. Awak tu kan budak lagi.”usik Raimy Nazri yang sememangnya memahami perangai Anis Suraya.

“Jangan lar cakap kita budak-budak! Kita dah 23 tahun okay!”rajuk Anis Suraya. Sikap keanak-anakkannya jelas terserlah.

“23 tahun masih budak lah tu. Keluar kena ada orang teman.”usik Raimy Nazri lagi.

Anis Suraya mencubit lengan lelaki itu geram. Raimy Nazri hanya mengelak sambil terkekeh ketawa.

“Saya duduk seorang dekat sini. Dah dapat kerja area K.L. Perut lapar. Niat di hati nak ke kedai tapi di pertengahan jalan ada lori pulak yang langgar. Nasib tak duduk ICU.”ujar Anis Suraya sambil membuat mimik muka tidak bersalah. Burger dicapai lalu disuakan ke mulut dan dikunyah. Raimy Nazri tertawa mendengar kata-kata itu.

“Tapi macam pelik pulak. Abang asyik kebetulan jumpa dengan awak je. Jarang pula kebetulan jumpa dengan orang lain.”ujar Raimy Nazri hairan.

“Macam saya pernah cakap, mungkin ada jodoh kot.”balas Anis Suraya mengusik.

Raimy Nazri tersenyum dan menatap wajah tersebut lama. Sungguh wanita dihadapannya ini mirip dengan Dayang Haliza. Berbual dengan wanita ini membuatkan kerinduannya terhadap Haliza terubat. Sehingga saat ini dia masih mengingati Dayang Haliza.

Anis Suraya yang perasan dengan pandangan Raimy Nazri tertunduk malu. Apabila melihat Raimy Nazri masih tidak mengalihkan pandangannya, Anis Suraya segera berdehem. Raimy Nazri tersentak dan terpisat-pisat.

“Err.. Awak nak tambah apa-apa lagi tak? Abang boleh tolong belikan..”

Anis Suraya menggeleng.

“Dah kenyang lar abang. Perut ni dah buncit dah pun.”ujar Anis Suraya sambil mengusap perutnya.

Raimy Nazri hanya menggeleng sambil tersenyum melihat kerenah Anis Suraya. Manjanya menjadi-jadi jika dilayan. Tetapi Raimy Nazri tidak kisah tentang itu semua. Hatinya senang melayani sikap wanita tersebut.

“Betul ni tak nak? Budak-budak kena makan banyak sebab nak membesar.”sakat Raimy Nazri.

“Eii! Abang ni..”Anis Suraya geram. Dia mencubit lengan Raimy Nazri sekali lagi.

Raimy Nazri hanya mengelak dan tergelak-gelak. Seronok melihat tingkah laku Anis Suraya apabila diusik. Walaupun hubungan mereka masih baru tetapi kemesraan seolah-olah telah lama wujud dalam diri mereka berdua. Gelagat mereka berdua menjadi perhatian pelanggan yang lain di dalam restoran tersebut.

Next: BAB 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.