BAB 14 - KHILAFKU

Malam tersebut Azirul begitu sukar sekali untuk memejamkan matanya. Puas dicuba tetapi masih tidak mahu terlelap jua. Bingkas dia bangun dan duduk di birai katil. Siang tadi baru sahaja dia menyiapkan artikel untuk dimuatkan di dalam ruangan. Syukur apabila artikelnya itu diterima oleh pihak atasan dan hanya ada sedikit pembetulan kecil yang perlu dilakukan. Satu masalah yang termendap di minda telah hilang.

Azirul meraup wajahnya. Rambutnya dikuak ke belakang. Dia duduk terpunduk di atas katil. Kala ini mindanya terlalu memikirkan pesakit mental yang dijumpai siang tadi. Hatinya berkocak tatkala menatap wajah tersebut. Seluruh hatinya kini hanya dipenuhi oleh wajah pesakit tersebut.

“Lisa…”perlahan Azirul membisikkan nama tersebut. Masih terngiang-ngiang di telinganya suara Dr. Zakiah menyebut nama tersebut siang tadi.

‘Kenapa dengan aku ni? Tak pernah aku berperasaan sebegini. Apa sebenarnya yang berlaku terhadap aku..’keluh Azirul di dalam hati kecilnya. Wajahnya diraup berulang kali. Bayangan Lisa begitu sukar untuk dibuang dari mindanya.

Azirul mencapai botol air yang terletak di kabinet pendek sebelah katilnya. Dibuka penutup botol dan air diteguk pantas menghilangkan rasa haus yang bertandang di tekak.

‘Tak mungkin aku jatuh hati padanya. Tetapi kenapa hati ini berdebar tatkala memikirkannya? Kenapa hati ini perlu memikirkan dirinya? Ahhh…’ Azirul berperang dengan perasaannya sendiri kala ini.

Dia menghirup nafas panjang. Bayangan wajah Lisa masih kuat melekat di mindanya. Raut wajah itu seakan menyimpan satu rahsia. Rahsia yang terpendam yang tidak pernah terluah. Azirul menghela nafasnya sendiri. Lantas satu keputusan telah diambil olehnya. Dia nekad untuk ke hospital tersebut semula pada esok hari. Azirul nekad untuk mengenali Lisa dengan lebih dekat. Yang pasti dia ingin mengetahui rahsia yang menyelubungi kehidupan wanita itu.



Pagi itu, sebaik selesai bersarapan ringkas Azirul memandu keretanya menuju ke Hospital Bahagia. Tekadnya hanyalah satu. Dia ingin melawat Lisa…dan kalau boleh dia ingin mengajak pesakit mental itu berbual meskipun Azirul sendiri mengetahui bahawa pesakit tersebut tidak pernah bersuara. Namun itu tidak menjadi penghalang kerana Azirul yakin pesakit itu sengaja mematikan dirinya sebelum ajalnya benar-benar menjemput. Sengaja membiarkan dirinya terus berada di tengah-tengah garisan kehidupan dan kematian. Hidup tetapi mati, mati tetapi bernyawa.

Sebelum pergi, Azirul sempat memaklumkan tujuannya itu kepada Dr. Zakiah melalui panggilan telefon. Rakannya itu sedikit pelik dengan kelakuan Azirul tetapi Azirul tidak mengendahkan itu semua. Dia tetap berkeras untuk bertemu dengan Lisa. Pesakit mental yang berjaya membuatkannya tidak lena tidur dan tidak tenteram sejak pertama kali bertemu.

15 minit memandu menyusuri jalan raya, Azirul tiba di destinasi yang dituju. Sebaik memarkir kenderaan dia terus melangkah menuju ke wad pesakit semalam. Hatinya berdebar-debar memikirkan apakah tindakan yang dilakukannya itu benar ataupun tidak. Hendak berpatah balik adalah tidak mungkin. Lantas niatnya dipacu semula bagi meraih kekuatan yang mulai menghilang.

“Mimpi apa kau nak datang melawat pesakit aku yang sorang ni?”soal Dr. Zakiah. Dahinya dikerutkan menunjukkan dia benar-benar berasa hairan dengan tindakan Azirul.

Azirul berhenti di hadapan Dr. Zakiah. Dia hanya tersengih.

“Saja.. Kenapa tak boleh ke? Kalau tak boleh aku balik saja lah..”balas Azirul dengan nada rajuk.

“Bukan begitu lah.. Cuma aku pelik.. Hmm.. Jangan-jangan kau dah jatuh hati pada dia..”ujar Dr. Zakiah mengusik.

“Kalau iya pun kenapa? Kau cemburu ek?”balas Azirul lantas dia tersengih.

Dr. Zakiah hanya merengus dan lantas membawa Azirul ke wad yang menempatkan Lisa. Azirul menuruti dari belakang sambil tersenyum.

“Kau nak buat apa pun kau buatlah. Asalkan kau jangan bawa lari dia cukup.. Hmm.. Apa-apa pun hati-hati.”ujar Dr. Zakiah menitipkan pesanan sebaik mereka berada di hadapan katil Lisa. Sejurus itu, Dr. Zakiah terus berlalu pergi meninggalkan Azirul yang ditemani oleh dua orang atendan yang bertugas.

Azirul menatap wajah Lisa dengan perasaan simpati dan kasihan yang menjalar di hati. Lisa hanya berbaring dengan wajah yang lesu dan matanya yang terbuka tertancap ke satu arah statik. Tidak menghiraukan langsung kehadiran Azirul. Azirul perlahan-lahan mendekati Lisa. Wajah yang mulus itu ditatap. Jantungnya terasa berdebar-debar. Perasaannya terbuai-buai tatkala menatap wajah Lisa. Sungguh Azirul tidak pernah berasa sedemikian sepanjang hidupnya.



Azirul mengajak Lisa bersiar-siar di taman rekreasi yang dibina khas di dalam kawasan hospital tersebut. Pemandangannya benar-benar cantik dan indah. Azirul membawa Lisa untuk duduk di salah sebuah bangku yang disediakan. Masuk hari ini telah hampir seminggu, Azirul berulang-alik dari rumah ke hospital setiap kali ada waktu yang terluang. Dua orang atendan turut berada di kawasan itu bagi mengawasi keadaan kerana bimbang pesakit akan bertindak di luar kawalan.

Azirul menghempaskan keluhan. Sejak dari hari pertama dia cuba mengajak Lisa untuk berbual tetapi semuanya hanyalah sia-sia. Lisa hanya duduk diam membisu seribu bahasa. Puas dia bertanya, menyoal itu dan ini, cuba menceritakan sesuatu yang lucu tetapi tiada respon yang diterimanya. Sehingga kadang-kadang dia berasa seolah-olah dia yang kurang waras. Kewarasannya hilang hanya kerana terpaut pada satu wajah yang dilihatnya buat pertama kali.

“Awak.. Apa sebenarnya yang jadi pada diri awak sehingga awak jadi begini? Siapa awak sebenarnya? Saya tahu ada sesuatu yang terjadi pada awak sehingga awak jadi begini. Saya hanya ingin bantu awak. Saya tak mahu selamanya awak begini.” Azirul mulai mengalah dengan kebisuan Lisa.

Nada suaranya mengendur. Satu keluhan berat kedengaran terhembus keluar.

Angin berpuput lembut menyapa tubuh mereka berdua. Cuaca mendung tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda hujan. Awan berlalu menutupi sang matahari yang gagah memancar saban hari. Angin terus bertiup menerbangkan getusan bunga yang gugur dari pepohon.

Azirul menatap bunga yang gugur dari pepohon yang berselerakan di kawasan mereka duduk. Azirul perlahan menunduk dan mengutip satu persatu bunga berwarna merah tersebut. Dia dilihat tekun melakukan sesuatu terlindung di sebalik lindungan tubuhnya.

Sebaik selesai, Azirul menoleh ke belakang. Dia tersenyum melihat Lisa sambil tangannya didepakan ke arah hadapannya. Di hadapan Azirul, gugusan bunga berwarna merah yang gugur sebentar tadi telah disusun dan digubah rapi oleh dia membentuk nama Lisa. Azirul menunjuk jari ke arah Lisa kemudian menunjukkan semula ke arah gubahan bunga tersebut.

“Awak suka tak?”soal Azirul lantas mengambil tempat duduk bersebelahan Lisa.

Lisa hanya mendiamkan diri. Matanya tertancap ke arah gubahan bungan yang dibuat oleh Azirul sebentar tadi. Tiada reaksi yang dipamerkan olehnya. Azirul mengetap bibirnya. Sungguh dia berasa tercabar melayan sikap Lisa yang langsung tidak mengendahkan apa-apa yang berlaku di sekelilingnya. Tetapi dia tetap bersabar menanti reaksi dari Lisa

“Haikal…..”perlahan-lahan Lisa membuka mulu dan menyebut nama tersebut dengan nada berbisik.

Pantas Azirul berkalih. “Awak sebut apa tadi?”

Lisa kembali mendiamkan dirinya. Lama Azirul menanti tetapi dia tidak bergerak mahupun bercakap sesuatu. Azirul mengeluh perlahan menzahirkan kehampaan. Nafas disedut dalam dan dihembus keluar. Kekecewaan jelas terpancar dari riak wajahnya. Perlahan-lahan Azirul bangun dari kerusi. Dia mula mengalah. Berputus asa dengan apa yang dilakukannya. Azirul mengorak langkah meninggalkan Lisa.

“Awak mahu dengar sebuah kisah?”

Langkahan yang baru beberapa kali bertapak terhenti. Pantas Azirul berkalih. Matanya tertancap ke arah Lisa. Pantas dia mendapatkan Lisa dan mengambil tempat duduk di sebelahnya. Lisa pula mempamerkan raut wajah yang lesu. Kesedihan jelas terpancar dari raut wajahnya.

Azirul menanti butir kata yang bakal terpacul dari bibir Lisa. Lisa sesekali mengerutkan dahinya seperti sedang berupaya mengingati sebuah kenangan silam yang pahit yang telah lama terpadam dari kotak memori. Ketika kemudian, Lisa kelihatan tenang dan menghembus nafas perlahan.

Sebuah kisah yang tidak pernah diceritakan kepada sesiapa telah akan diungkap. Sebuah rahsia yang dipagari selama ini akan disingkap olehnya. Dia tidak mampu menyimpannya lagi. Kisah yang terpendam di dalam lipatan sejarah kehidupan sehingga membuatkan dia hilang kewarasan diri lantaran tidak mampu menampungnya. Lisa memejamkan matanya erat. Bibirnya terbuka perlahan dan sebuah kisah yang membelenggu kehidupannya selama ini bakal terungkap.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.