BAB 2

Jam menunjukkan pukul 12.30 minit tengah hari. Raimy Nazri berbaring di atas sofa sambil menghadap kaca televisyen. Siaran TV 3 menjadi pilihannya. Sekadar mengisi waktu lapang dan merehatkan otak setelah puas bekerja selama hampir seminggu. Lazimnya pekerja swasta sepertinya bercuti pada hari Ahad. Pada hari minggu seperti itulah menjadi waktu rehat dan masa yang sesuai untuk bersama ahli keluarga. Tetapi Raimy Nazri yang hanya tinggal bujang seorang memilih untuk bermalas-malasan di rumah memanjakan diri dengan menghadap televisyen.

Niat di hati untuk berjumpa dengan Dayang Haliza tetapi mengenangkan nasihat orang tuanya dan ibu bapa tunangnya itu sendiri, Raimy Nazri membatalkan hasrat. Mengikut pesan orang tua-tua, pengantin yang bakal bernikah tidak boleh kerap bertemu. Sekurang-kurangnya hanya sekali dalam sebulan. Tambah-tambah menjelang hari perkahwinan, pengantin langsung dilarang bertemu.

Nasihat orang tua-tua ini pun ada kebaikannya juga sebab tidak bertemu dalam tempoh masa yang lama pastinya akan menimbulkan rasa rindu terhadap pasangan masing-masing. Apabila pernikahan dilangsungkan pastinya kehangatan pertemuan itu akan terasa. Raimy Nazri akur dan mengakui hikmah di sebalik pesanan tersebut.

Suhu di luar terasa hangat membahang sehingga terbias ke dalam rumah. Rumah Raimy Nazri yang hanya menggunakan kipas berbilah lima terasa panas dan berpeluh. Bukan dia tidak mahu menggunakan penghawa dingin tetapi apabila menyedari keburukan yang berlaku disebabkan oleh penggunaan teknologi penyejuk itu membuatkan niatnya terbantut.

Penghawa dingin membebaskan sejenis gas chluoroflorocarbon (CFC) yang berupaya menipiskan lapisan ozon. Lapisan ozon yang terdedah akan membuatkan sinar ultra ungu yang dipancarkan oleh cahaya matahari akan terpancar secara langsung ke bumi tanpa sebarang tapisan. Sinaran ultra ungu itu mampu mengundang penyakit yang berbahaya kepada manusia seperti kanser kulit. Hal ini telah diperakui oleh banyak pengkaji sains.

Mata Raimy Nazri tertancap ke arah kaca televisyen. Gosip hiburan artis dalam rancangan Melodi yang disampaikan oleh Awal Ashaari dan Zizan Razak sebagai pengacara menarik perhatiannya. Dia leka melihat siaran tersebut. Lazimnya dalam penulisan novel, Raimy Nazri sering menggunakan wajah artis untuk dijadikan watak hero atau heroin dalam karyanya. Hanya sesekali watak realiti manusia yang berada di sekelilingnya digunakan. Itupun bergantung kepada kesesuaian watak yang cuba ditonjolkan.

Telefon bimbit Galaxy S4 berdering memecahkan penumpuan dan fokus Raimy Nazri. Raimy Nazri hanya memandang ke arah telefon bimbitnya dan membiarkannya berbunyi sehingga tamat. Tetapi tidak lama kemudian, telefon bimbit tersebut berdering lagi. Memikirkan takut si pemanggil ada perkara penting yang hendak disampaikan, Raimy Nazri bangun daripada sofa lalu menuju ke arah meja kecil yang terletak di sudut rumah. Telefon dicapai dan panggilan dijawab.

“Assalamualaikum Raimy.”suara si pemanggil melontarkan salam suci yang mengandungi doa.

“Waalaikumsalam Nafis.”jawab Raimy Nazri. Tidak susah untuk dia mengecam suara kawan rapatnya itu.

“Kau ada dekat mana? Nak jumpa kejap boleh?”soal Nafis. Suaranya kedengaran melalui corong speaker.

“Aku ada dekat rumah. Datang jelah.”balas Raimy Nazri.

“Aaa.. Kalau jumpa dekat luar rumah boleh?”Nafis meminta persetujuan.

Raimy Nazri hanya mengiakan dan mencatat alamat untuk berjumpa. Setelah itu panggilan ditamatkan. Raimy Nazri menyambung menonton televisyen. Tetapi selang beberapa minit kemudian, dia bingkas bangun daripada kerusi lalu menuju ke arah bilik air untuk menyegarkan badan dan menyalin pakaian.



Raimy Nazri tiba di restoran yang dijanjikan kira-kira pukul 1.30 petang. Restoran itu dibuka seawal jam 7.00 pagi dan ditutup pada pukul 4.30 petang. Restoran itu menyediakan menu roti canai dan nasi lemak pada awal pagi dan lauk pauk beraneka pada waktu tengahari sehinggalah ke petang. Kewujudan restoran itu telah hampir 5 tahun beroperasi dan berjaya menarik ramai pelanggan ke kedainya kerana masakannya yang sedap tiada tolok banding.

Kelibat Nafis masih tidak kelihatan. Raimy Nazri hanya duduk di salah satu meja di bahagian tengah restoran dan memesan minuman. Kebanyakan pekerja termasuk majikan merangkap bos restoran itu mengenali dirinya sebab selain daripada menjadi pelanggan tetap, reputasinya sebagai novelis popular turut membuatkan dirinya menjadi terkenal.

Raimy Nazri menyisip minuman yang dihantar oleh pelayan sebentar tadi. Sejalur rasa manis dan masam melalui kerongkong apabila air limau ais itu disedut. Dahaganya terasa hilang. Tidak lama kemudian kelihatan wajah Nafis di hadapan muka pintu restoran. Raimy Nazri segera melambai tangan setelah menyedari Nafis tercari-cari kewujudannya.

Nafis segera bertapak menuju ke arah Raimy Nazri. Dia menarik kerusi dan duduk bertentangan dengan rakannya. Huluran tangan disua dan mereka berdua berjabat tangan mesra. Senyuman tidak lekang bergayut di bibir. Walaupun tinggal di kota raya yang sama tetapi mereka tidak selalu berjumpa kerana sibuk dengan tugas masing-masing.

“Apa khabar? Kau sihat?”soal Raimy Nazri.

Walaupun mereka rakan, tetapi jarak umur mereka sedikit berbeza. Raimy Nazri adalah jauh lebih tua jika diikutkan tetapi panggilan ‘kau’ dan ‘aku’ telah menjadi kebiasaan sebagai kata ganti nama diri. Nafis merupakan junior di sekolahnya dahulu.

Nafis yang selesai membuat pesanan minuman menjawab pertanyaan Raimy. “Alhamdulillah aku sihat. Aku tengok kau makin berisi dan berseri-seri.”

Raimy Nazri tertawa. “Mana ada. Aku tetap sama macam biasa. Eh! Kau tak makan ke?”tanya Raimy Nazri.

Nafis hanya menggeleng. “Aku puasa hari ni.”

“Banyak lar kau punya puasa. Yang tadi kau pesan air tu apa pulak.”balas Raimy Nazri.

“Alamak! Kantoi sudah..”. Serentak terhambur ketawa daripada mereka berdua. Walaupun tidak sering bersama tetapi kemesraan itu tetap wujud dalam hubungan mereka.

Pelayan datang meletakkan minuman dan terus berlalu. Nafis mencapai gelas dan menyisip minuman yang dipesannya tadi.

“Orang rumah kau sihat ke? Dah lama tak berjumpa dengan dia.”ujar Raimy Nazri. Orang rumah yang diucap merujuk kepada isteri Nafis.

“Hmm.. Nak kata sihat tu tak adalah sangat. Bakal melahirkan anak kedua.”jawab Nafis.

Raimy Nazri membeliakkan matanya seakan tidak percaya. “Dalam diam-diam dah dua orang anak. Bila tarikh melahirkan?”soal Raimy Nazri tidak sabar.

“Mungkin dalam bulan depan.. Itu yang aku ajak kau berjumpa sebenarnya ni.”nada suara Nafis mengendur di hujung perbualan.

Raimy Nazri mengerutkan dahinya. “Macam serius ja. Kau ada masalah ke? Kalau ada kau cerita dekat aku.”

Nafis kelihatan teragak-agak untuk bercerita. “Err.. Sebenarnya, aku tak cukup duit. Kau tahu-tahu saja lah kan. Banyak keperluan untuk diguna. Jadi aku ingat nak pinjam duit kau sedikit lah untuk buat belanja.”terus terang Nafis menceritakan masalah sebenar yang dihadapi.

“Kau ni buat aku macam orang asing pulak. Lain kali kalau kau ada masalah kau cerita je dengan aku. Bila-bila masa saja aku boleh tolong aku akan tolong.”balas Raimy Nazri. Serentak dengan itu gumpalan duit not RM50 dikeluarkan daripada poket seluarnya lalu diserahkan kepada Nafis.

Nafis tercengang. “Banyak sangat ni Raimy. Aku perlu sedikit saja.”

“Tak apa. Kau ambil je duit tu untuk keperluan kau dan keluarga.”balas Raimy Nazri.

Nafis memasukkan duit berkeping-keping yang tergulung kemas ke dalam poket seluar. “Terima kasih Raimy. Aku tak tahu nak balas budi kau macam mana. Tapi aku janji kalau aku dapat gaji nanti aku bayar balik duit kau.”ujar Nafis bersungguh-sungguh.

Raimy mengembangkan telapak tangan dan menggoyang berulang kali.

“Tak perlu bayar balik. Aku tolong kau ikhlas. Yang penting kau kena janji dengan aku yang kau akan jaga anak bini kau baik-baik.”balas Raimy.

Nafis mengangguk-angguk perlahan. “Jadi bila kau akan melangsungkan perkahwinan?”tanya Nafis.

“Dalam perkiraan lebih kurang dua bulan lagi. Jangan risau lagi sebulan nak kahwin, kad jemputan sampai lah ke rumah kau.”jawab Raimy.

Dalam masa berbual, daripada jauh gelagat mereka diperhati oleh sepasang kekasih. Sepasang kekasih itu memerhati sambil berbisik sesama sendiri. Tidak lama kemudian, pasangan kekasih itu berjalan seriringan menuju ke arah meja Rami Nazri dan Nafis.

“Err.. Maaf menganggu. Abang ni Raimy Nazri, penulis novel terkenal tu kan?”soal lelaki yang berusia lingkungan 20-an. Sementara pasangannya hanya berdiri di sebelah sambil memerhati ke arah Raimy Nazri dan Nafis silih berganti.

“Aaa.. Ye saya..err abang Raimy Nazri.”tergugup gagap Raimy Nazri membahasakan dirinya. Bukan apa, kehadiran pasangan kekasih itu secara mengejut membuatkannya sedikit tersentak.

Pasangan kekasih itu berpandangan sesama sendiri sambil tersenyum lebar.

“Kami betul-betul tak sangka jumpa abang dekat sini. Saya dan awek saya ni memang minat gila dekat abang. Setiap novel abang kami akan beli. Best sangat setiap novel yang abang karang.”puji lelaki itu.

Raimy Nazri hanya tersenyum. “Terima kasih sebab sudi menyokong setiap karya abang.”

Pasangan lelaki itu mengeluarkan senaskhah novel ‘Hilang’ yang baru dibeli oleh mereka lalu diserahkan kepada teman lelakinya. Novel itu yang masih berbalut plastik segera ditanggalkan lalu diletakkan di atas meja.

“Abang, saya nak minta tandatangan abang. Boleh saya tunjuk dekat kawan-kawan saya nanti. Kawan-kawan saya semua peminat novel abang.”ujar lelaki tersebut.

Raimy Nazri meminjam sebatang pen daripada pelayan restoran lalu menurunkan autograf berserta kata-kata semangat di halaman kedua setelah kulit hadapan novel. Lalu diserahkan semula novel tersebut kepada pasangan kekasih itu.

“Baru beli ke? Bau kedai lagi novel tu.”usik Raimy Nazri.

Lelaki itu hanya tersengih sambil memandang teman wanitanya. “Baru tadi saja beli. Hari tu memang niat nak beli tapi bila pergi kedai semua novel abang dah habis. Kena tunggu cetakan ulangan baru boleh beli. Itu yang baru beli saja tadi. Tup! Tup! Jumpa pengarangnya dekat sini. Memang kami nasib baik sangat hari ni.”

Raimy Nazri melemparkan senyuman.

“Jangan lupa baca novel tu dan hati-hati ‘jangan sampai hilang’ pula.”balas Raimy Nazri sekadar mengulang caption yang tertera di hadapan kulit novel.

“Terima kasih abang.. Err.. Apa pula perancangan abang dalam novel terbaru nanti. Tak nak tulis kisah cinta ke? Dah lama abang tak ngarang dalam genre tu.”ujar teman wanitanya sambil mengajukan soalan.

Raimy Nazri terdiam seketika. Idea yang dinanti sehingga sekarang masih belum berkunjung tiba.

“Akan ada seperti biasa. Masih dalam proses pembikinan.”jawab Raimy Nazri sekadar berkias.

Pasangan kekasih itu mengangguk puas hati. Setelah bersalam, mereka meminta diri untuk berlalu. Ucapan terima kasih tidak lekang daripada bibir mereka berdua memberikan penghargaan. Raimy Nazri hanya tersenyum sementara Nafis pula hanya memerhati gelagat sepupunya itu melayan peminat.

“Hebat kau sekarang ni. Kalah artis pula.”ujar Nafis memuji.

“Entahlar Nafis. Tetapi bersyukurlah. Ini semua rezeki daripada ALLAH.”balas Raimy Nazri. Sejujurnya dia tidak menduga nama dia akan meletup sebagai penulis novel yang popular kerana niat asalnya menulis hanya untuk suka-suka dan kepuasan diri semata-mata.

“Baguslah tu. Aku pun ada juga baca novel kau. Cuma yang terbaru ni saja aku belum dapatkan lagi di pasaran. Memang betul cakap budak lelaki tadi. Novel kau semua mantap-mantap. Buah fikiran dan idea yang kau ketengahkan semua hebat-hebat. Tambah-tambah kalau kau tulis cerita yang bertemakan jenayah pembunuhan. Aku kadang-kadang sampai terfikir sama ada kau ni ada rekod jenayah atau tak.”puji Nafis bersungguh-sungguh.

“Kenapa kau fikir aku begitu?”soal Raimy Nazri ingin tahu.

“Sebab cara kau menulis setiap pembunuhan yang dilakukan cukup terperinci dan teliti. Sampai aku dapat bayangkan bagaimana pembunuhan itu dirancang dan dilakukan.”ujar Nafis lagi.

Raimy Nazri hanya tertawa kecil.

“Aku sebenarnya peminat setia drama penyiasatan CSI tu. Lagi satu aku suka baca artikel dan info-info tentang kes-kes pembunuhan yang sering terjadi dekat negara kita ni. Yang paling penting, aku tak pernah ada rekod jenayah.”jawab Raimy Nazri menerangkan perkara yang sebenar.

“Hmm.. Patutlah pun. Aku rasa royalti yang kau dapat pun pasti setimpal bukan dengan usaha serta titik peluh kau mengerah idea dan mencorak kreativiti dalam setiap penulisan.”tambah Nafis.

Apabila soal royalti disebut raut wajah Raimy Nazri sedikit berubah.

“Hmm.. Kalau nak sebut pasal royalti ni susah sikit. Nak cakap banyak sangat tak adalah. Tapi nak cakap sikit sangat pun tak boleh. Hanya sekadar cukup sahajalah. Lagipun syarikat penerbitan sekarang bijak dalam menguruskan soal royalti penulis. Ditolak dengan pelbagai kos yang lain. Tambah-tambah penulis yang baru setahun jagung bertapak. Kadang kala hanya beberapa ratus ringgit sahaja yang dapat dalam sebuah novel yang dikarang.”ujar Raimy Nazri menjelaskan perkara yang sebenar tentang isu royalti.

“Biar betul? Tapi aku tengok sekarang banyak penulis novel yang menempa nama sebab karya mereka diambil dan dijadikan skrip dalam pembikinan drama bersiri.”balas Nafis berdasarkan pandangannya berdasarkan situasi yang sering terjadi sejak kebelakangan ini dalam industri hiburan Malaysia.

“Itu aku akui. Tetapi beberapa kerat sangat yang menempa nama dengan cara tersebut. Kebanyakan yang diangkat adalah novel bergenre cinta. Novel seram, novel thriller atau sains fiksyen kebanyakan penulisnya merana sebab hasil jualan tidak memberansangkan. Peminat sekarang lebih gemar dengan novel yang bersifat santai dan tidak memberatkan kepala apabila membaca. Sebab itu kebanyakan penulis muda mengambil jalan mudah dengan menulis novel cinta berbanding mengambil risiko menulis novel jenis lain sebab tidak mahu ‘mati awal’.”terang Raimy Nazri dengan panjang lebar. ‘Mati awal’ yang disebut oleh Raimy membawa maksud berhenti daripada bidang penulisan dengan lebih awal.

“Habis tu takkan syarikat penerbitan tak ambil inisiatif bagi membantu golongan penulis yang menulis dalam genre lain?”soal Nafis lagi. Sambil itu dia menyisip minumannya. Perbualan terasa semakin hangat.

Raimy Nazri menghempaskan keluhan.

“Memang ada tapi mereka lebih mengutamakan penulis yang telah lama bertapak dan memiliki jenama yang terkenal. Maknanya setiap novel yang dikarang sering menjadi rebutan peminatnya tersendiri. Jadi promosi terhadap novel yang dikarang oleh novelis itu akan digembar-gemburkan. Tetapi tidak semua penerbit yang bersikap begitu.”terang Raimy Nazri lagi.

“Jadi novel kau takkan tak ada pihak produksi yang nak ambil dijadikan filem atau drama bersiri?”

Raimy Nazri pantas menggeleng.

“Aku takkan sesekali bagi hasil karya aku diterjemahkan ke dalam bentuk yang lain. Hanya merosakkan hasil karya aku dan buat aku sakit hati. Memang tak secara langsung akan melariskan kutipan novel aku tetapi kualiti dan jalan cerita yang diketengahkan tidak lagi sama seperti biasa. Kebanyakan mereka mencedok idea daripada novel dan merombak sesuka hati mengikut kesesuaian drama atau filem. Bagi aku nilai kesetiaan terhadap novel itu penting.”kata Raimy Nazri berdasarkan pengamatannya apa yang terjadi kepada kebanyakan penulis novel. Dia bukanlah terlalu tegas menghalang novel-novelnya diubah ke dalam bentuk filem mahupun drama tetapi apa yang menjadi keutamaan adalah pengekalan jalan cerita yang digubah sendiri olehnya.

Nafis mengangguk-angguk menghadami kata-kata Raimy Nazri. Buat seketika dia mulai faham dengan situasi yang dialami oleh kebanyakan novelis sekarang ni.

“Cita-cita aku hanyalah satu sahaja. Aku mahu menjadi penulis novel yang disukai kerana penulisnya dan bukan sebab novelnya.”ujar Raimy Nazri.

“Maksud kau?”soal Nafis sedikit keliru.

“Sebenarnya terdapat dua jenis kategori peminat. Satu, peminat yang meminati novel. Dua, peminat yang meminati penulisnya. Aku lebih suka diri aku menjadi yang kedua sebab bila aku diminati maka setiap karya serta novel aku juga tidak kira apa genre sekalipun akan diminati oleh mereka juga.”jelas Raimy Nazri.

Nafis mengangguk-angguk faham.

“Hmm.. Lupakan jelah soal tadi. Sekarang ni aku nak tanya, apa pula perancangan kau dalam novel terbaru nanti?”tanya Nafis ingin tahu.

Soalan tersebut langsung mematikan bicara Raimy Nazri. Dia menyisip minumannya sehingga habis dan fikirannya melayang memikirkan masalah idea yang langsung tidak muncul-muncul sehingga sekarang.

Previous: BAB 1
Next: BAB 3

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.