BAB 17 - KHILAFKU

Haikal menelan liurnya. Minda ligat berpusing mencari jawapan terhadap apa yang berlaku di hadapannya kini.

“Apa maksud youLisa? Siapa you sebenarnya? Apa hubungan you dengan perempuan ini?”soal Haikal bertalu-talu.

Lisa tertawa panjang. Tawanya itu kedengaran menyeramkan. Suasana yang suram di dalam rumah tersebut menambahkan lagi rasa gerun. Haikal menelan liurnya. Dia menghadapi Lisa yang benar-benar berbeza dengan perilakunya sebelum ini.

“8 tahun masa berlalu telah membuatkan kau lupa kepada bekas tunang kau sendiri Haikal. Haslinda…. Pasti kau ingat nama itu bukan?”keras suara Lisa menyoal.

Haikal terpempan seketika mendengar nama itu disebut. Sekian lama nama itu berkubur dan kini nama itu disebut kembali. Telah lama dia tidak mendengar nama itu disebut. Nama yang selalu membuatkan dia terindu-rindu, membuatkan dia ketawa, menghilangkan kesedihannya dan segalanya. Haikal menghempaskan nafas kasar dan memberat.

“Siapa kau sebenarnya Lisa?”soal Haikal. Dahinya mula dibasahi peluh renik.

Lisa tertawa panjang. Suara tawanya terasa melantun di dalam rumah tersebut. Perlakuannya seperti seorang psiko. Seolah kegilaannya merasuk.

“Aku adik kepada Haslinda. Satu-satunya kakak dan ahli keluarga yang aku masih ada. Kau tak kenal aku sebab masa tu aku masih kecil lagi saat kau putuskan pertunangan dengan kakak aku. Kau pasti cukup ingatkan nama Haslinda? Perempuan yang kau putuskan pertunangan sehingga dia jadi gila dan akhirnya mati kerana teramat rindukan kasih sayang seorang lelaki yang bernama Haikal! Kau pasti ingatkan??”soal Lisa dengan suara yang tinggi. Nafasnya turun naik menahan kemarahan dan dendam yang dipendam sekian lama.

Haikal menghela nafas panjang. Begitu kecil rupanya dunia ini. Putaran dunia dan masa yang berlalu kini menemukan semula dirinya dan kisah silam yang telah lama meninggalkannya. Kini, masa silam itu mula mengejarnya. Menuntut sebuah ganti rugi atas apa yang telah berlaku.

“Lisa… Awak tak tahu kisah sebenar yang berlaku… Saya sebenarnya..”belum sempat Haikal menghabiskan kata Lisa pantas memintas.

“Ahh… Aku tak mahu dengar sebarang kata-kata dari mulut lelaki yang tidak tahu menghargai hati seorang wanita. Pernah kau tahu betapa dia sengsara sejak kau tinggalkan dia? Pernah kau tahu betapa aku sengsara membesar di dunia sebatang kara. Pernah??!!”bentak Lisa sekeras-kerasnya.

Haikal meraup wajahnya. Penyesalan demi penyesalan mula bermain di jiwanya. 10 tahun peristiwa tersebut berlalu tetapi dia tidak menyangka dalam tempoh masa tersebut pelbagai penderitaan yang telah dia telah tinggalkan kepada insan yang tidak berdosa tersebut.

“Lisa… Bawa bertenang.. Saya ada penjelasan untuk semua yang berlaku ini.”Haikal cuba membawa Lisa untuk berbincang secara baik.

Lisa menggeleng kepalanya berulang kali.

“Tiada apa yang perlu dijelaskan lagi Haikal.. 10 tahun aku hidup sengsara. Aku terpaksa mencuri untuk mencari sesuap nasi. Aku terpaksa mengemis untuk meneruskan hidup. Hidup aku benar-benar terseksa. Sejak dari hari itu aku bertekad untuk mencari kau. Dan sekarang karma telah menjemput kau buatku.”rintih Lisa dalam nada sayu tetapi di hujung bicaranya terselit ketegasan.

Haikal tertunduk mendengar kata-kata Lisa. Sungguh dia berasa berdosa terhadap apa yang telah dia lakukan. Akibat dari sikapnya, satu nyawa telah tergadai dan satu nyawa terseksa. Haikal benar-benar menyesal atas tindakan yang dilakukan olehnya.

“Sekarang aku akan membalas setiap apa yang kau telah lakukan.”sambung Lisa lagi.

Pantas tangannya mengeluarkan sebilah pisau yang tajam dari dalam poket seluarnya. Bersilau pisau tersebut menyerlahkan ketajamannya.

Haikal menelan liurnya sendiri sambil meminta agar Lisa bertenang. Namun usahanya hanyalah sia-sia. Peluh renik mula membasahi dahi dan badannya. Dia terundur setapak dua ke belakang apabila Lisa bertapak ke hadapan dengan pisau yang tergenggam kemas di tangan.

Dengan jeritan seperti halilintar, Lisa menerpa ke arah Haikal dengan menghayunkan pisau. Haikat terkejut dengan tindakan Lisa. Pantas dia menangkap pergelangan tangan Lisa menghalang tikaman tersebut. Pergelutan berlaku di antara mereka berdua. Namun Lisa lebih pantas bertindak. Buaran kemarahan yang merasuki jiwa membuatkan dia benar-benar terasuk. Kealpaan Haikal membuatkan Lisa berjaya meloloskan tangan. Tangan dihayun dan pisau dibenam tepat ke perut Haikal.

Mata Haikal terbelalak menahan sakit tusukan pisau tersebut. Bibirnya terketar-ketar ingin mejerit tetapi suaranya hanya bergetar di kerongkong tertelan di dalam. Sakitnya bukan kepalang. Pantas pisau ditarik semula. Darah memancut keluar dari kesan tikaman tersebut. Mulut Haikal ternganga menahan kesakitan. Tangannya menekap kesan tikaman tersebut. Sekali lagi pisau ditusuk ke perut Haikal dan kali ini pisau sengaja dipulas ke arah kiri dan kanan bagi menambahkan kesakitan terhadap Haikal. Lisa benar-benar bernafsu membunuh mangsanya.

Haikal menjerit kesakitan yang teramat. Sakitnya sakaratul maut terlalu sukar digambarkan. Lisa mencabut pisau yang ditebak ke perut Haikal dan menolak tubuh Haikal yang mulai lemah. Haikal tersandar di dinding dan melorot rebah ke lantai. Tangannya menekap kesan tikaman tersebut. Darah bersimbah ke serata arah. Dadanya berombak mencuri sisa-sisa nafas yang masih ada untuknya. Bayangan maut mula berlegar-legar di sekililingnya. Lisa menghampiri Haikal dan bertinggung di hadapannya. Pisau dimain sekitar dagu Haikal dan digores-gores perlahan.

“Kalau kau rasa sakit, aku sebenarnya lebih sengsara atas apa yang telah kau lakukan.”kata Lisa. Rambutnya terurai menutupi wajah. Nafasnya dihembus kasar. Dendam yang sekian lama membusuk di hati telah ditunaikan. Hatinya berasa puas melihat Haikal menderita di hadapannya kini.

“Tolong hantar saya ke hospital. Saya merayu pada awak, Lisa. Kita boleh berbincang tentang perkara ni.”rayu Haikal memohon belas kasihan Lisa.

Dia cuba untuk bangun tetapi keadaannya benar-benar lemah. Haikal rebah semula di atas lantai. Darah membasahi baju dan lantai. Dia benar-benar telah hilang keupayaan.

“Sekarang ni aku puas. Aku puas sebab dendam yang aku simpan sekian lama akhirnya aku dah langsaikan.”balas Lisa lagi.

Hatinya cukup bahagia melihat kesakitan yng dialami oleh Haikal. Bahagia membalas segala kesengsaraan yang dipikul olehnya sejak sekian lama. Haikal menahan pedih yang terasa begitu menggigit-gigit. Nafasnya kian lemah. Dadanya berombak perlahan. Matanya dipejamkan menahan kesakitan yang maha hebat.

“Tolong saya, Lisa. Saya…merayu..pada awak..”rayu Haikal. Suaranya kedengaran lemah.

Lisa hanya ketawa kecil mendengar rayuan tersebut. Dia melihat keadaan Haikal yang semakin lemah. Dia seolah-olah menanti roh Haikal dicabut oleh malaikat maut dan jasadnya terkulai di hadapannyas sendiri. Barulah dia berasa puas hati dengan pembalasan dendam yang dilakukan olehnya.

“Lisa.. Dalam poket saya ada kunci rumah. Awak carilah dalam rumah saya itu sebuah diari yang akan mengungkap segalanya.”ujar Haikal dengan suara terketar-ketar menanggung kesakitan.

Bersusah payah poket seluarnya diseluk dan kunci rumah yang dimaksudkannya itu berada di dalam telapak tangan. Telapak tangannya dikembangkan dan sebaik kunci tersebut bertukar tangan, tangan Haikal layu jatuh ke lantai lemah. Nafasnya semakin lemah dan kemudian terus terhenti. Tubuhnya tergeletak tidak bernyawa.



Bilik Haikal digeledah oleh Lisa. Baru sebentar tadi dia telah mengebumikan mayat Haikal di sebuah hutan di hujung bandar. Sebelum itu dia sempat menghilangkan kesan-kesan pembunuhan di apartmennya. Dan kini dia berada di rumah Haikal bagi mencari sebuah diari yang disebut-sebut oleh Haikal di penghujung nyawanya.

Lisa berlegar di dalam bilik milik Haikal. Hampir seluruh rumah telah ditinjau dan kini giliran bilik tidur Haikal. Dia menggeledah almari pakaian tetapi diari tersebut tidak dijumpai. Lisa beralih ke arah sebuah almari kecil yang terdapat bersebelahan katil. Almari tersebut digeledahnya tetapi pencariannya masih tidak berhasil. Kemudian, Lisa menarik laci almari tersebut. Beberapa buah buku terserlah di pandangan mata Lisa. Lisa mengangkat buku-buku tersebut dan dikeluarkan.

Puas mencari, akhirnya dia berhasil menemui diari milik Haikal yang terletak di lapisan paling akhir di dalam laci tersebut. Terdapat dua buah diari yang berada di situ. Pantas kedua-dua diari tersebut dikeluarkan oleh Lisa. Lisa duduk bersandar di almari tersebut. Dua buah diari kini berada di dalam genggamannya. Lisa menyelak diari yang kulitnya berwarna coklat dan sedikit kekusaman.

Sekeping gambar terjatuh sebaik sahaja diari tersebut diselak. Lisa mengambil gambar tersebut dan melihatnya. Hatinya mula sebak apabila melhat foto tersebut yang merupakan foto kakaknya, Haslinda. Haslinda kelihatan tertawa riang di dalam foto tersebut. Lisa meletakkan foto tersebut di atas lantai dan mengalihkan tumpuannya terhadap diari tersebut.

Helaian demi helaian dibuka. Kebanyakkan ruang adalah masih kosong. Walaupun ada yang bercoret dengan tulisan tetapi Lisa hanya membacanya sepintas lalu kerana tidak melibatkan perkara-perkara penting. Lisa percaya terdapat perkara lebih penting yang disembunyikan oleh Haikal di dalam diari tersebut. Helaian bertarikh 20.03.1988 mencuri pandangan Lisa. Pantas Lisa membaca tulisan tangan yang bercoret di atas lembaran tersebut.

Hari ini aku cukup gembira. Wanita yang aku paling kasihi dan sayangi menjadi tunang aku secara sah. Aku sentiasa cinta dan sayang padamu wahai Haslinda.

Helaian seterusnya dibuka oleh Lisa. Tarikh yang tercatat di atas muka surat tersebut sangat dikenali oleh Lisa. Tarikh 19.5.1988 adalah tarikh hari lahir kakaknya, Haslinda. Helaian tersebut dibaca oleh Lisa.

Sambutan ulang tahun kelahiran Haslinda sejak dia bergelar tunang ku. Hati ku gembira sejak kehadiranmu sayang ku. Gelak tawamu sentiasa mengisi kekosongan diri ku ini. Hadiah rantai berlian yang ku hadiahkan tidak dapat menandingi kasih sayang yang kau curahkan kepada ku.

Hati Lisa mula berasa sebak. Tidak semena-mena perasaan sedih menyerbu pelusuk jiwanya. Pantas tangannya menyelak halaman seterusnya.12.7.1989.

Haslinda… bukan kemahuanku untuk memutuskan pertunangan ini. Ketahuilah wahai sayang biarpun bibir ku lancar menuturkan kata putus pertunangan ini tetapi sebenarnya hati ku terseksa dan jiwa ku parah. Setiap saat, setiap detik hati ini hanya untuk mu Haslinda. Keluarga ku yang mendesak agar pertunangan ini diputuskan kerana mereka ingin menjodohkan aku dengan anak rakan niaga mereka, Sofia… Haikal minta maaf kerana telah lukakan hati Haslinda. Luluh hati Haikal melihat Haslinda menyembah kaki Haikal memohon agar pertunangan ini tidak diputuskan. Haikal mohon seribu kemaafan dari mu sayang..

Catatan itu terhenti. Air mata Lisa menitis di atas helaian tersebut. Kesengsaraan kakaknya tatkala menerima khabar bahawa pertunangan mereka diputuskan masih segar dalam minda Lisa. Bagaimana kakaknya saban malam menangis meratapi perpisahan tersebut. Lisa menyeka air matanya yang tumpah membasahi pipi. Helaian seterusnya dibaca lagi.

Haslinda.. Kenapa kau menyeksa diri sebegitu sekali. Abang yang bersalah dalam hal ini. Kenapa Haslinda pergi meninggalkan abang. Abang cintakan Haslinda sangat-sangat. Setiap hari abang sentiasa menziarahi pusara sayang. Abang rindukan sayang sangat-sangat. Untuk pengetahuan sayang, setelah sayang meninggal dunia, abang telah memutuskan pertunangan dengan Sofia. Untuk apa abang masih bersama dia jika hati dan jiwa abang hanya untuk Haslinda seorang.

Lisa dipagut sayu dan sedih. Dia tidak menyangka sama sekali bahawa Haikal sering kali mengunjungi pusara Haslinda biarpun mereka telah berpisah. Bahkan Lisa sama sekali tidak menyangka Haikal sebenarnya sangat mencintai Haslinda. Perpisahan yang berlaku bukanlah atas kerelaannya sendiri. Berjuta penyesalan menghurungi jiwa Lisa yang terasa merusuh.

Air matanya merembes jatuh tanpa diseka. Tangannya pantas menyelak halaman seterusnya tetapi kosong. Helaian demi helaian diselaknya dan ternyata setiap isi kandungan diari tersebut adalah luahan rindu Haikal terhadap Haslinda. 10 tahun Haikal terseksa merindui Haslinda. Lisa mula menyedari keterlanjurannya bertindak mengikut hati menamatkan riwayat Haikal. Air mata terus menerus menghujani melahirkan penyesalan yang menujah di jiwa Lisa. Sehingga tamat diari tersebut Lisa membacanya.

Setelah itu, tangan Lisa perlahan-lahan meletakkan diari tersebut di atas pahanya dan kini diari kedua yang kelihatan sedikit baru berada dalam genggamannya. Diari kedua tersebut dibuka dan dibacanya.

Haslinda..biarpun hati ini telah terpahat namamu tetapi akhirnya suatu nama lain telah terukir tanpa dipaksa.. Wanita itu adalah Lisa. Sejak abang berjumpa dengan Lisa hidup abang telah banyak berubah. Biarpun abang cuba padam perasaan itu tetapi abang tak boleh tipu diri sendiri. Abang cukup gembira di sisinya. Berada di sisinya memgingatkan abang pada dirimu Haslinda sayang. Biar pun hati abang dimiliki oleh Lisa tetapi cinta abang hanya satu-satunya untuk dirimu Haslinda sayang sehingga akhir hayat abang.

Lisa terpaku membaca ayat terkahir yang ditulis. Hatinya diburu rasa menyesal yang teramat. Dia lebih rela andai ajal turut menjemput dirinya kala ini daripada terus menerus penyesalan menghurungi dirinya.

‘Betapa agungnya cintamu terhadap Haslinda.’bisik Lisa perlahan. Lisa menangis sendirian sambil mendakap diari itu.

Dia tidak mampu lagi membaca keseluruhan kandungan diari tersebut. Badannya terhingguk menangisi kekhilafannya, keterlanjurannya membunuh Haikal tanpa memberi peluang kepada lelaki tersebut menjelaskan hal yang sebenar. Penyesalan yang tiada kesudahan. Tiada apa yang mampu dilakukan olehnya kini.

Semuanya telah jelas. Lisa telah membalas di atas segala kesengsaraan yang dia lalui dahulu dan kini kesengsaraan yang lebih dahsyat bakal menghukum dirinya sehingga ke penghujung riwayatnya pula. Lisa menghamburkan air mata semahu-mahunya.



“Setelah itu orang ramai menjumpai saya cuba untuk membunuh diri dan saya dihantar ke sini.”Lisa mengakhiri ceritanya. Wajahnya kelihatan sayu dan dipuput rasa sedih. Air mata Lisa kelihatan bergenang di tubir mata. Menanti saat untuk diluahkan.

Azirul menghela nafas panjang. Begitu tragis sekali kisah Lisa. Tanpa disedari air matanya turut mengalir. Pantas Azirul menyeka air matanya. Dia merenung ke arah Lisa. Barulah dia mengerti mengapa Lisa seperti itu. Penyesalan yang melampau menghambat dirinya saban hari sejak membunuh Haikal. Dan akhir sekali dia mengambil keputusan membiarkan dirinya terhukum dan terus terpenjara di kawasan tersebut.

Lisa perlahan-lahan bangun dari kerusinya dan meninggalkan Azirul. Dua orang atendan yang berkawal pantas mengapit lengan Lisa di kiri dan kanan lalu membawanya semula masuk ke dalam wad. Azirul menarik nafas dan menghembus perlahan.

Betapa dunia ini menyimpan pelbagai kisah yang kadangkala tidak terlintas di minda kita untuk memikirkannya, fikir Azirul sendirian. Satu tekad membulat di hatinya. Dia nekad untuk terus membantu Lisa agar pulih sepenuhnya. Dia mahu Lisa agar cepat pulih dan segera keluar dari hospital tersebut. Alasannya hanyalah satu dan pasti! Hatinya kini telah sepenuhnya terpaut kepada Lisa dan perasaan itu tidak akan berubah lagi

Next: BAB 18

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.