BAB 7

Pagi Jumaat itu terasa hening. Matahari yang memuntahkan cahaya terasa malap. Suasana pilu mengelilingi seluruh anggota keluarga Raimy Nazri dan terutama sekali tunangnya. Perpisahan itu adalah pasti untuk setiap makhluk ALLAH yang bernyawa. 

Kehidupan di dunia ini hanyalah sementara. Yang kekal cumalah akhirat. Kebahagiaan manusia di akhirat adalah bergantung pada amal baiknya di dunia. Jika baik amalannya maka bahagialah mereka di sana, tetapi jika sebaliknya maka azab seksaan ALLAH yang maha pedih lagi dahsyat menanti.

Solat Subuh awal pagi tadi dilakukan secara berjemaah diimamkan oleh Haji Leman sendiri. Terasa sebak di dada tatkala mendengar kalimah suci al-Quran dibacakan semasa solat. Tidak semena-mena mengalir satu perasaan sebak dalam jiwa Raimy Nazri sehingga dia sendiri mengalirkan air mata tanpa dipaksa-paksa. 

Hari yang sepatutnya menjadi detik sejarah bagi dirinya telah bertukar menjadi hari yang paling memilukan dan begitu sukar sekali untuk dilupakan. Majlis perkahwinan yang telah dirancang tidak dibatalkan sebaliknya telah dijadikan majlis tahlil untuk tunangnya. Arwah tunangnya.

Tatkala jenazah dikapan dan hanya wajah Dayang Haliza yang kelihatan untuk tatapan ahli keluarga buat kali terakhir, air mata pilu Raimy Nazri merembes lagi. Imbauan kenangan dia bersama Dayang Haliza terasa begitu mengusik perasaan. Tambahan melihat pelamin yang telah siap dihias dan hadiah hantaran yang tersusun menanti untuk ditukar membuatkan Raimy Nazri tidak mampu menanggung kesedihannya. 

Begitu berat dugaan yang menimpa dirinya. Terasa separuh jiwanya telah pergi. Insan yang selama ini mengambil berat terhadap dirinya, membisikkan kata-kata cinta kepadanya, menemani dirinya tatkala susah mahupun senang telah pergi untuk selama-lamanya. Tidak akan kembali lagi.

Selesai mengadakan solat jenazah secara berjemaah, jenazah diusung di dalam keranda ke tanah perkuburan untuk ditanam. Liang kubur telah siap dikorek. Dua orang lelaki menanti di dalam tanah yang telah digali untuk menyambut jenazah dan diletakkan di dalam liang lahad. Sebaik jenazah diangkat, dua orang lelaki itu bertanggungjawab meletakkan mayat ke dalam liang dengan memalingkan anggota tubuh jenazah menghadap ke arah kiblat.

Sebaik segalanya selesai, mereka memanjat keluar lalu menggali dan menimbus kubur tersebut. Sepanjang proses tersebut, Raimy Nazri hanya memandang dengan pandangan yang pilu. Air matanya ditahan sedaya upaya agar tidak mengalir lagi. Ini perpisahan pertama dan terakhirnya dengan Dayang Haliza. Perpisahan yang bersifat abadi dan tidak akan bertemu lagi.

Setelah selesai menimbuskan tanah, imam mengambil alih tugas dengan membaca talkin. Bait-bait talkin yang dibaca bukanlah bertujuan untuk disampaikan kepada orang yang telah mati sebaliknya hanya satu nasihat untuk menyedarkan manusia yang berada di sekeliling bahawa mati itu pasti dan kehidupan dunia adalah sementara semata-mata. Orang ramai yang hadir di majlis pengkebumian itu menginsafi diri dengan mendengar bacaan talkin yang disampaikan. Setiap manusia pasti akan merasai mati kerana sesungguhnya kematian itu dekat sebaliknya hanya ajal sahaja yang memisahkannya dengan kehidupan.

Orang ramai mengaminkan doa yang dibaca oleh imam. Mengalir lagi air mata Raimy Nazri tatkala doa dilafazkan. Dalam hatinya hanya memohon agar roh tunangnya selamat di alam sana dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. Setelah itu, ahli keluarga mengambil kesempatan untuk menuangkan air yang telah diisi di dalam jar. Raimy Nazri menjadi orang yang terakhir melakukannya. Air dituang ke atas kuburan Dayang Haliza dengan penuh kasih. Lalu dia duduk berteleku lama di situ. Ahli keluarga yang lain beransur-ansur meninggalkan pusara yang baharu itu.

Raimy Nazri memandang kubur tersebut lama. Bayangan Dayang Haliza bermain-main dalam fikirannya. Hatinya sangat merindui wanita itu. Kalau boleh nyawanya ditukar ganti, Raimy Nazri sanggup melakukannya. Demi cinta dan sayang kepada tunangnya yang juga merupakan sebahagian daripada jiwanya. Selang beberapa ketika, Raimy Nazri bangun lalu perlahan-lahan kakinya mengorak langkah meninggalkan pusara Dayang Haliza. Beberapa langkah dia bertapak, Raimy Nazri berpaling sekilas.

“Selamat tinggal sayang. Tunggu abang di sana. Lambat laun abang akan menyusul.”



Dua minggu setelah pemergian Dayang Haliza ke rahmatullah, Raimy Nazri tidak seperti dahulu lagi. Wajahnya yang dahulu licin kini dijalari dengan janggut yang tidak bercukur. Rambutnya dibiarkan kusut tidak bersikat. Wajahnya tidak bermaya. Lingkaran matanya gelap dan membengkak kerana saban masa dia menangisi pemergian Dayang Haliza bermula daripada hari kematian wanita tersebut. Begitu sukar untuk Raimy Nazri menerima kenyataan wanita yang paling dicintainya itu telah tiada lagi di muka bumi ini.

Lantaran kegalauan perasaan dan jiwa, prestasi kerja Raimy Nazri jatuh merosot. Dia sering ponteng kerja dan tugas yang diberi gagal dilaksanakan. Mujur pihak atasan faham dengan situasi yang dihadapi. Oleh itu, Raimy Nazri telah dibenarkan untuk bercuti tanpa gaji sehinggalah dia benar-benar sembuh dari situasi yang sedang dialami olehnya itu. Hidup Raimy Nazri terasa kosong. Saban waktu dia asyik melamun merindui kekasih hatinya yang pergi tidak akan kembali lagi. Setiap kali itulah air matanya akan tumpah membasahi pipi.

Haji Leman memerhati anak saudaranya yang sedang duduk berteleku di atas sofa dengan mata yang terpejam. Lelaki itu menghampiri Raimy Nazri. Sejak daripada Dayang Haliza meninggal dunia, Haji Leman dan isterinya Hajah Senah yang menemani Raimy Nazri di rumahnya. Ibu bapa dan adik beradik yang lain telah lama pulang ke kampung halaman kerana mereka perlu bersekolah.

“Kamu dah makan?”tegur Haji Leman sebaik melabuhkan punggung di sebelah Raimy Nazri.

Raimy Nazri membuka matanya lalu melihat ke arah Haji Leman sekilas. “Saya tak lapar.”balasnya ringkas.

“Hari ni hari terakhir pak long ada dekat sini. Sebab ayam, itik dan lembu dekat kampung tiada siapa yang jaga. Kalau nanti ada pekerja yang dapat pak long upah untuk jaga, pak long akan datang dengan mak long untuk tengok kamu dekat sini lagi.”beritahu Haji Leman. Dia sebenarnya risaukan keadaan anak saudaranya itu.

“Tak apalah pak long. Saya ucapkan banyak-banyak terima kasih sebab sudi teman saya dekat sini. Pak long tak perlulah risau sangat pasal saya. Saya boleh jaga diri.”balas Raimy Nazri cuba meyakinkan Haji Leman. Dia tersenyum hambar.

“Hmm.. Baguslah kalau begitu. Pak long bukannya apa, cuma risau tengok keadaan kamu begini.”kata Haji Leman.

Raimy Nazri mengeluh. “Entahlah pak long. Saya pun tak tahu apa lagi dugaan yang perlu saya hadapi.”

“Kamu janganlah fikir sangat dengan perkara yang dah terjadi. Setiap apa yang berlaku pasti ada hikmahnya.”nasihat Haji Leman.

Raimy Nazri menghela nafas berat.

“Payah untuk saya lupakan apa yang telah terjadi pak long. Semuanya berlaku sekelip mata dan tanpa di duga. Orang yang paling saya sayang dan saya cintai telah pergi untuk selamanya di saat-saat terakhir kami bakal disatukan dalam ikatan hubungan yang sah.”sebak suara Raimy Nazri kedengaran di penghujung percakapannya.

“Pak long faham dengan perasaan kamu. Bukan mudah untuk kamu menerima semua ini dengan hati yang terbuka. Tetapi percayalah semua yang berlaku ini adalah ketentuan ALLAH. Ini yang dikatakan sebagai qada dan qadar. Sebagai seorang umat Islam kita wajib percaya bahawa semua perkara yang berlaku adalah telah ditentukan oleh ALLAH. Pasti ada hikmah yang tersembunyi di sebalik apa yang telah terjadi.”ujar Haji Leman.

“Tapi kadangkala saya terasa Tuhan terlalu kejam untuk saya, pak long. Saya tak bersedia untuk menanggung semua ini. Terlalu berat bagi saya.”balas Raimy Nazri. Dia tertunduk sedih.

Haji Leman menarik nafas dan menghela perlahan. Dia faham dengan corak pemikiran Raimy Nazri. Tahap keimanan lelaki itu berada pada tahap yang rendah lantaran pegangan agama yang longgar. Tetapi Haji Leman tidak menyalahkan anak saudaranya itu seratus peratus kerana kemungkinan itu adalah berpunca daripada bagaimana cara dia dibesarkan, pengaruh persekitaran dan sebagainya.

“Raimy.. ALLAH tidak akan sesekali menguji hambanya sekiranya Dia tahu bahawa makhluk ciptaannya itu tidak tertanggung untuk menerimanya. ALLAH menguji kita dengan tahap mana kita mampu menanggungnya. Sesungguhnya sabar itu adalah sebaik-baik perbuatan yang paling mulia tatkala kita menerima dugaan daripada ALLAH kerana sabar itu indah..”

“..dalam surah Ar-Ra’d ayat 24 seperti yang difirmankan oleh ALLAH S.W.T ‘Kesejahteraan dan kebahagiaan bagi kalian kerana kalian telah bersabar dalam mentaati ALLAH dan menerima cubaanNya. Syurga adalah sebaik-baik tempat kesudahannya.’ Sekiranya ALLAH mencabut sesuatu daripada kita, pasti Dia akan menggantikannya dengan perkara yang lebih baik lagi. Oleh itu, usahlah bersedih kerana ALLAH telah menetapkan ganjaran yang besar untuk sesiapa yang bersabar dalam menempuhi dugaanNya. Kalau tidak di dunia, ganjaran itu menanti kita di akhirat sana kelak.”

Haji Leman menyampaikan nasihat yang paling berguna kepada Raimy Nazri. Kedangkalan Raimy Nazri dalam agama Islam kadangkala membuatnya seolah-olah tidak redha dengan takdir dan ketentuan ALLAH. Raimy Nazri baru sedar daripada kesilapan yang dilakukannya. Sepatutnya dia tidak wajar mempersalahkan ALLAH dalam perkara yang terjadi.

Raimy Nazri mengeluh perlahan. “Jadi apa yang perlu saya buat sekarang ni, pak long? Otak saya dah buntu sangat dah. Saya tak tahu apa yang perlu saya buat sekarang ni.”kendur suara Raimy Nazri berkata.

Haji Leman memegang bahu anak saudaranya itu. 

“Hanya satu perkara yang perlu kamu lakukan, Raimy.’

“Apa, pak long?”soal Raimy Nazri.

Haji Leman tersenyum. “Solatlah nak. Hanya itu satu-satunya jalan keluar daripada masalah yang kamu hadapai sekarang ni. Firman ALLAH dalam surah Al-Baqarah ayat 153, ‘wahai orang-orang yang beriman,mintalah pertolongan (kepada ALLAH) dengan sabar dan solat..’. Solat itu adalah ubat paling mujarab dalam menyembuhkan segala penyakit. Itulah penawar untuk diri kamu. Dekatkanlah diri kamu dengan ALLAH nescaya kamu akan berasa nikmatnya kehidupan yang sebenar.”nasihat Haji Leman lagi.

Kata-kata Haji Leman terasa menyusup dan menjentik jiwanya. Kewajipan terhadap ALLAH selama ini hanya dipandang enteng olehnya. Boleh dikira dengan jari setiap amalan ibadatnya kepada Tuhan yang telah menciptanya itu. Raimy Nazri menekup wajahnya. Air mata kesedihan dan penyesalan saling berbaur meleleh membasahi pipi.

“Apa yang penting sabarlah dengan ujian ALLAH. Pak long percaya lambat laun kamu akan berjaya mengatasi dugaan ini.”ujar Haji Leman lagi memberikan kata-kata semangat.

Raimy Nazri hanya terdiam. Apa yang dikatakan oleh bapa saudaranya itu semua ada benarnya. Dia berkalih ke arah Haji Leman. Raimy Nazri melemparkan senyuman hambar. Pak Long membalasnya lalu menepuk bahu Raimy Nazri sekadar memberi satu semangat kepadanya.

Previous: BAB 6
Next: BAB 8

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.