Prolog

Azril menenyeh puntung rokok dalam telapak tangannya. Sakit yang terasa tatkala bara rokok tersebut bersentuh kulitnya tidak mampu menandingi rasa sakit hatinya terhadap Raimy Nazri. Dalam pada itu, satu rencana jahat sedang dirancang oleh Azril. Mindanya merangka niat busuk itu secara terperinci. Raimy Nazri akan dibunuhnya. Azril tersenyum sendirian bila mengenangkan perkara tersebut.

Fikirannya terbayang tatkala Raimy Nazri merayu meminta nyawa kepadanya. Pasti itu adalah saat yang paling menggembirakan hatinya. Lelaki yang paling dibencinya itu merayu belas ehsan kepadanya untuk meneruskan hidup. Azril menghembus nafas perlahan. Tekadnya membulat. Raimy Nazri perlu disingkirkan daripada hidupnya. Bahkan dunia fana ini.

Tidak semena-mena tekaknya terasa haus. Azril berlalu keluar daripada bilik menuju ke ruang tamu. Namun, sebelum keluar daripada bilik mata Azril tertancap ke arah sekeping surat yang terletak di atas kabinet kecil yang terletak bersebelahan muka pintu. Surat pemecatan dia daripada syarikat EL Holding terasa menghiris hatinya, walaupun semua itu berpunca daripada kesalahan dirinya sendiri.

Tetapi bagi Azril itu semua tidak patut berlaku dan tidak seharusnya berlaku. Dia pekerja paling lama berbakti dalam syarikat tersebut. Bahkan sebelum kedatangan Raimy Nazri lagi. Tetapi lelaki yang dibencinya itu juga yang disanjung dan dipuja.Hanya setapak sahaja lagi dia berjaya menyingkirkan Raimy Nazri tetapi Wan Latifah telah menghancurkan segalanya. Setelah Raimy Nazri, Wan Latifah bakal menjadi mangsa seterusnya, gumam hati Azril.

Azril merengus perlahan. Pantas surat tersebut direnyuk sehingga berkedut seribu. Giginya diketap geram dan dia membayangkan seolah-lolah melumatkan wajah Raimy Nazri. Terasa puas surat tersebut dicampak ke lantai lalu disepak masuk ke bawah katil. Lantas, Azril keluar daripada bilik.

Dia berjalan menuruni tangga dan menuju ke dapur yang terletak di bahagian bawah. Tiba-tiba matanya tertancap ke arah satu bayangan yang kelihatan sedang berlari melintas di ruang tamu. Azril sedikit terperanjat. Darahnya berderau tidak semena-mena.

“Siapa tu!”jerkah Azril.

Laungannya tidak bersahut. Sebaliknya kelihatan jendela tingkap terbuai-buai. Rupa-rupanya tingkap di bahagian hadapan berdekatan dengan ruang tamu tidak bertutup. Azril bergegas turun. Daun tingkap yang terbuka luas segera ditarik ke dalam lalu diselak kemas. Sambil itu dia meninjau ke luar di kiri dan kanan untuk memastikan tiada siapa yang berada di situ.

Namun tidak semena-mena sekali lagi, Azril dikejutkan dengan satu bayangan yang berlari di arah belakangnya. Ekor matanya jelas menangkap susuk tubuh bayang tersebut. Azril pantas berkalih tetapi tiada apa yang kelihatan. Sesuatu yang tidak enak mula bertandang di hati Azril tetapi segera dipadamkan. Sengaja dia menenangkan diri dengan menganggap semua yang berlaku itu hanyalah perasaannya semata-mata.

Azril melangkah menuju ke dapur dengan segera. Pintu peti sejuk dibuka. Tangannya mencapai botol air sejuk tetapi haluan tangannya berubah. Azril mencapai air minuman keras berjenama Tiger yang dimuatkan dalam bentuk tin. Penutup tin dikuak dan bunyi berdesir jelas kedengaran. Azril meneguk laju air kencing syaitan itu sambil memejamkan mata menghayati. Kemudian dia sendawa kuat.

Tiba-tiba kedengaran bunyi pasu pecah di bahagian ruang tamu. Azril menyudahkan minumannya segera lalu tin arak tersebut yang masih bersisa dicampak ke dalam tong sampah kecil. Lalu, dia mencapai sebilah pisau berukuran 9 inci berbentuk tirus yang terletak di dalam laci. Perlahan-lahan Azril melangkah menuju ke ruang tamu. Dia berwaspada dengan ancaman yang mungkin muncul secara mendadak.

Azril melilaukan pandangan ke serata arah dengan berhati-hati. Tiba di ruang tamu, ternyata pasu bunga yang menghiasi meja kopi jatuh berderai dan kacanya hancur berkeping-keping. Belum sempat Azril berfikir apa-apa, seutas tali berbenang kasar melilit lehernya dan dijerut kemas. Azril meronta-ronta ingin melepaskan diri. Pisau terlepas daripada genggaman. Tangannya memegang kejap tali tersebut dan merentapnya berulang kali. Satu pergelutan telah berlaku.

Si pelaku menjerut leher Azril dengan lebih ketat lagi. Azril terkapai-kapai cuba mencuri nafas. Maut terasa memanggil-manggil dirinya kala itu. Azril meronta hebat cuba melepaskan diri. Suaranya cuba menjerit tetapi hanya tersangkut di kerongkong. Matanya terbeliak menahan kesakitan. Sekujur tubuhnya bermandi peluh.

Si pelaku yang berjiwa syaitan ternyata mempunyai kekuatan lebih hebat daripada Azril. Tali berbenang kasar terus ditambat dengan kemas. Lalu, tali tersebut dilontarkan ke arah salah satu bilah kipas yang melekap di syiling dan jatuh merentang terbuai-buai. Pembunuh tersebut membuat simpulan mati di tali yang melilit leher Azril lalu dengan sepenuh tenaga tali yang merentang di kipas ditarik sehingga membuatkan tubuh Azril sama terangkat dan tergantung. Lalu hujung tali tersebut di ikat di besi penghadang tingkap.

Azril meronta-ronta kesakitan. Sakitnya sakaratul maut tidak dapat ditahan oleh sesiapa pun. Kakinya tergedik-gedik menendang dan terawang-awang. Pembunuh tersebut hanya berdiri di hadapan tubuh Azril yang tergantung sambil menyaksikan lelaki itu terseksa sebelum ajal menjemputnya. Dia berpeluk tubuh. Bibirnya mengukir senyuman tetapi tersembunyi di sebalik topeng hitam yang dipakai olehnya.

Pernafasan Azril semakin lemah. Malaikat maut telah turun daripada langit ketujuh dan bersedia bila-bila masa untuk mencabut nyawa Azril untuk bertemu dengan pencipta-Nya. Kakinya yang hebat menendang kian layu terkulai. Nyawanya telah ditarik secara perlahan-lahan. Pembunuh yang melihat keadaan Azril yang semakin longlai dan bakal menemui ajalnya, perlahan-lahan menanggalkan topeng yang dipakai lalu mendedahkan wajahnya yang sebenar.

“Ka...u..”serak suara Azril kedengaran.

Tidak ubah seperti seekor lembu yang disembelih. Di hujung kematiannya, Azril telah melihat pelakunya dan ternyata kenyataan tersebut sangat mengejutkan.

Sebaik berkata sedemikian, nafas Azril terhenti. Wajahnya kebiruan. Denyut nadinya masih bergerak. Lazimnya, selepas digantung nadi dan jantung manusia akan masih berdenyut dan perkara ini akan berlangsung selama beberapa minit. Hal ini demikian kerana, jerutan di leher hanya memecah saluran pernafasan dan juga melumpuhkan aktiviti otak. Apabila otak berhenti berfungsi, secara automatik seseorang itu akan dianggap mati.

Si pembunuh menunggu beberapa minit sehingga Azril ‘benar-benar’ mati. Sejurus itu, dia berlalu ke meja makan dan mencapai salah satu kerusi. Dia mengambil kira ketinggian Azril dan juga panjang tali yang melilit di leher merentang ke atas. Lalu kerusi tersebut diletakkan di bawah kaki Azril yang terbuai-buai. Ternyata padanannya sesuai dan cukup untuk kaki Azril bertapak. Lalu kerusi tersebut ditolak sehingga terlentang. Sepanjang melakukan perkara tersebut, si pelaku memakai sarung tangan bagi mengelakkan kesan cap jarinya melekat. Pisau tirus yang berada di atas lantai diambil lalu diletakkan di dalam jaket yang dipakai.

Si pelaku sememangnya telah merancang segalanya daripada awal. Sangat licik dan teratur. Polis yang bakal menemui mayat Azril akan menganggap lelaki tersebut bunuh diri. Bahkan pengaruh alkohol yang berada dalam tubuh lelaki itu akan menguatkan lagi kenyataan.

Sebaik segalanya selesai, si pembunuh terus berlalu meninggalkan mayat mangsa yang tergantung tidak bernyawa. Bagi diri pembunuh, pembuat dosa harus mati dengan cara yang berdosa!

Previous: Sinopsis
Next: BAB 1

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.