BAB 13 - KHILAFKU

Petang itu sebaik selesai kerja Azirul tidak terus pulang ke rumah. Sebaliknya dia melencong kereta yang dipandu menuju ke pusat bandar. Ketenangan perlu diraih olehnya. Masalah bertubi-tubi yang melanda dirinya sejak akhir-akhir ini menjadikan fikirannya terasa terbejat. Terasa begitu sendat dan sukar untuk berfungsi.

Azirul mencari-cari ruangan kosong untuk memarkir kenderaannya. Sebaik menjumpai, pantas Azirul memuatkan keretanya dengan baik di ruangan yang tersedia. Setelah memastikan keretanya berkunci dengan baik, Azirul melangkah menuju ke arah Old Town Cafe yang terletak kira-kira 5 meter dari kawasan keretanya diparkir.

Tidak terlalu banyak pelanggan yang berada di kafe tersebut pada waktu-waktu begini. Hanya di sudut ruangan bahagian tengah kelihatan beberapa pelanggan sedang menikmati hidangan petang sambil berbual. Azirul memilih tempat duduk di bahagian kiri kafe tersebut. Sebaik melabuhkan punggung dan memesan kopi mocha kegemarannya, Azirul melontarkan pandangan ke bahagian luar kafe.

Begitulah sikapnya tatkala mengalami masalah yang menyendatkan otak dan melemaskan minda. Menghabiskan masa di kafe Old Town dengan menikmati secawan kopi mocha. Baginya itulah terapi yang paling menenangkan selain dari bersolat memohon pertolongan dari ALLAH.

Kelazatan yang dirasai apabila menghirup kopi mocha yang rasanya sedikit pahit dan terselit rasa manis apabila melalui saluran kerongkong sukar untuk digambarkan dengan kata-kata. Sungguh tenang dan nyaman dirasakan. Tambahan pula suasana di kafe tersebut yang santai dan ini menepati cita rasa Azirul.

Sebaik minumannya tiba dihantar oleh pelayan, Azirul mula menghirup perlahan-lahan kopi kegemarannya itu dengan mata yang dipejamkan menikmati rasanya yang hangat. Kemudian pandangannnya akan dilontarkan ke luar.

Sengaja melihat gelagat manusia yang hidup di kota raya ini. Kadangkala apabila melihat gelagat manusia yang pelbagai ini akan mengingatkan diri sendiri bahawa terdapat manusia yang jauh lebih susah dan mempunyai pelbagai masalah serta cabaran jauh lebih hebat daripada kita yang harus dipikul. Azirul terus menghirup kopinya,

“Minum sorang nampak!”

Hampir-hampir tersedak Azirul apabila bahunya ditepuk dan disergah begitu. Pantas dia mengesat bibirnya dan mencerlung mata ke arah wanita yang menegurnya tadi yang kini mula mengambil tempat duduk di hadapan Azirul.

“Kau ni main sergah je. Tak reti bagi salam langsung. Nasib baik aku tak kena sakit jantung tau tak! Kalau tak sapa yang susah… Hishh…”rungut Azirul. Bibirnya dicebik.

Dr. Zakiah hanya tergelak melihat reaksi Azirul. “Ala aku kan doktor. Kalau kau sakit jantung aku boleh rawatlah…”balas Dr. Zakiah.

Azirul mencebik. “Rawat hape.. Kau tuh rawat orang yang sakit otak boleh lar..”

Dr. Zakiah menghabiskan sisa-sisa ketawanya.

“Otak kau yang senget tuh biar aku yang betulkan.”usik Dr. Zakiah.

“Senget-senget pun kawan baik kau jugak!”

Dr. Zakiah tertawa kecil mendengar kata-kata Azirul.

“Hmm.. Ada apa cari aku petang-petang macam ni?”soal Azirul. Wajahnya masih mencuka.

“Kau ni kalau marah mengalahkan mak nenek.. Hmm.. Saja cari kau.. Aku calltapi tak dapat.. Jadi aku cari kau kat sini.. Ini kan tempat favourite kau.”balas Dr. Zakiah.

Sememangnya telefon bimbit Azirul telah kehabisan bateri dan dibiarkan terpadam tanpa dicaj. Azirul mempelawa Dr. Zakiah untuk minum tetapi dia hanya beralasan mengatakan telah minum sebelum datang ke situ.

“Hmm.. Kali ini apa pula masalah kau?”tiba-tiba Dr. Zakiah mengajukan soalan.

Azirul tersentak.

“Masalah? Masalah apa? Aku tak ada apa-apa masalah lar,,”sengaja Azirul berdalih.

“Tak payah lar kau nak menipu. Aku kenal kau sejak zaman universiti lagi. Kau kalau ada masalah mesti kau akan datang ke sini. Konon-kononnya inilah tempat yang mampu memberi seribu ketenangan dan ilham pada kau. Dah kenal sangat perangai kau tuh.”ngomel Dr. Zakiah.

Azirul hanya tertawa apabila mendengar kata-kata Dr. Zakiah. Mereka berdua telah saling mengenali sejak dari zaman mereka menuntut di universiti lagi. Mereka sememangnya rakan akrab dan pernah digosipkan bercinta tetapi sebaliknya mereka berdua lebih senang untuk berkawan kerana bersahabat itu adalah lebih indah.

Segala masalah, suka mahupun duka sering dikongsi bersama. Tiada rahsia antara mereka berdua. Azirul dalam dia mengakui Dr. Zakiah adalah rakan terbaik yang pernah dikenalinya. Jarang untuk berjumpa sahabat yang sanggup bersama kita di saat susah mahupun senang. Sahabat ketawa senang dicari, sahabat menangis satu dalam seribu pun belum tentu akan berjumpa.

“Kau ni macam tahu-tahu saja kan.. Hmm.. Entah lar.. Macam-macam masalah. Kusut kepala aku ni.”ujar Azirul sambil jarinya menunjuk ke arah kepala.

“Kenapa? Kau gaduh dengan bini ke?”

“Banyak lah kau punya bini. Aku ni bujang trang tang tang tau.” balas Azirul seraya mencebik.

Dr. Zakiah hanya tergelak. “Habis tu apa masalah kau? Cuba cerita mana tahu aku boleh tolong.. Hmm??”pujuk Dr. Zakiah.

Azirul menghela nafas panjang. “Banyak masalah sebenarnya. Tapi yang paling utama sekarang ni aku masih tak dapat idea untuk menulis artikel untuk ruangan aku dalam majalah INFO! Sakit kepala aku fikirkan idea tapi tak muncul-muncul jugak. Deadlinedah dekat. Kalau tak siap mati aku dengan bos.”luah Azirul seraya menghela nafas panjang.

“Larr.. Itu saja ke masalah kau? Ingat apa lah tadi.. Aku rasa aku boleh tolong kau kalau masalah tu.”balas Dr. Zakiah. Dia tersenyum sambil memandang wajah sahabat baiknya itu.

“Macam mana? Kau ada idea?”pantas Azirul menyoal.

“Kau ni kalau ye pun sabar lah sama.. Hmm.. Begini, aku kan kerja sebagai doktor psikiatri dekat Hospital Permai. Apa kata kalau kau tulis artikel berkenaan bidang psikiatri, peranan mereka dan macam mana mereka mengendalikan pesakit serta cara rawatan yang diberikan. Aku rasa masih ramai yang tak tahu apa fungsi bidang ini yang sebenarnya.” Dr. Zakiah memberikan buah fikirannya.

Azirul berfikir panjang. Dia menimbang tara buah idea yang diberikan oleh Dr. Zakiah.. “Hmm… Menarik jugak tuh.. Bagus jugak rupanya kepala otak kau ni..”balas Azirul lantas dia tergelak mengusik.

Dr. Zakiah mencuka. Dia merengus dan berpura-pura marah. Azirul menghabiskan sisa ketawanya dan kemudian memujuk Dr. Zakiah dengan memohon maaf.

“Jadi bila kau nak datang tempat kerja aku untuk buat kajian?”

“Esok boleh? Sebab lagi cepat lagi bagus.” ujar Azirul lagi. Dia perlu cepat menyiapkan kerjanya dari terus tertangguh.

“Boleh juga sebab esok aku tak sibuk.”Dr. Zakiah memberikan persetujuan.

“Bagus! Sebab kau dah tolong jadi esok aku nak belanja kau makan. Kau nak makan ikan paus pun esok aku belanja.”ujar Azirul bersungguh-sungguh.

“Ini bukan rasuah kan?”soal Dr. Zakiah.

“Banyaklah kau punya rasuah.”balas Azirul.

Dr. Zakiah hanya tergelak melihat reaksi Azirul. Azirul yang pada mulanya berpura-pura marah perlahan-lahan mengukir senyuman dan menghamburkan ketawa. Kedua-dua mereka ketawa bersama. Perlahan-lahan masalah yang terasa memberat sebentar tadi menyusup keluar dari fikiran dan dilupakan buat sementara.



Seawal jam 11.00 pagi Azirul telah berada di perkarangan Hospital Permai. Dia mundar-mandir di hadapan koridor berdekatan pintu masuk hospital tersebut. Selang 10 minit menunggu, Dr. Zakiah datang menjumpainya lengkap dengan berpakaian seragam putih yang sering dipakai oleh doktor. Dia memohon maaf atas kelewatannya sebentar tadi.

Seperti dijanjikan, Dr. Zakiah membawa Azirul ke biliknya. Sesi temubual berlangsung di dalam bilik tersebut. Banyak soalan yang diajukan kepadanya dijawab dengan baik oleh Dr. Zakiah. Perjumpaan mereka hari ini lebih bercorak formal dan atas dasar kerja. Sebaik selesai mengajukan soalan yang ingin ditanya, Dr. Zakiah membawa Azirul melawat perkarangan hospital.

Camera?”sepatah Azirul menyoal sambil menunjuk ke arah kameranya. Maksud soalan tersebut menanyakan sama ada kamera boleh dibawa bersama mahupun tidak.

Dr. Zakiah berfikir panjang sebelum menjawab.

“Boleh.. Tapi bukan di dalam wad.”balas Dr. Zakiah. Azirul mengangguk menghormati kata-kata Dr. Zakiah.

Dr. Zakiah membawa Azirul melewati setiap pelusuk hospital, memperkenalkannya dengan kakitangan yang bertugas dan menerangkan setiap fungi jabatan yang terdapat di hospital tersebut. Azirul mengangguk-angguk faham dengan setiap penerangan yang diberikan. Pada waktu yang sama, Azirul tidak melepaskan peluang untuk mengambil gambar di setiap kawasan yang dilaluinya.

Sebaik melewati kawasan wad, Azirul memasukkan semula kamera yang dipegang di dalam sarung yang digantung di lehernya. Dr. Zakiah membawa masuk Azirul ke dalam salah sebuah wad yang terpilih. Dua orang atendan bertugas mengikuti mereka kerana bimbang pesakit mental akan bertindak di luar kawalan. Azirul diberikan penerangan khas terhadap ciri-ciri pesakit mental yang sering dimasukkan ke hospital serta simptom-simptom awal penyakit tersebut berlaku.

Azirul mencatat perkara penting itu di dalam buku notanya. Sambil itu matanya dilingaskan ke arah katil-katil yang menempatkan pesakit mental. Pelbagai gelagat dan reaksi yang dapat dilihat dilakukan oleh para pesakit mental tersebut. Kewarasan mereka seakan-akan telah benar-benar terbius. Azirul terus menghayunkan kakinya menuruti Dr. Zakiah.

Tiba-tiba matanya tertancap ke arah seorang pesakit. Hatinya terusik tatkala melihat pesakit mental tersebut. Dia tidak tahu mengapa tetapi jelas hatinya berdebar tatkala melihat wajah yang mulus itu. Walaupun keadaannya sedikit tidak terurus tetapi kejelitaan pesakit mental itu masih terserlah. Bahkan Azirul melihat tingkah laku pesakit itu juga berbeza dengan para pesakit yang lain. Tidak membentak, tidak menjerit, tidak bergelak ketawa sebaliknya hanya membisu. Hatinya tertarik untuk mendekati pesakit tersebut.

Tanpa disedari, perlahan-lahan kakinya melangkah menuju ke arah pesakit tersebut. Dia seakan-akan telah terpukau dan hayunan kakinya seakan telah diarah oleh suatu kuasa. Pada raut wajah wanita itu terdapat satu tarikan yang kuat sehingga menyebabkan Azirul tidak mengerti dengan rasa yang melanda dirinya kala ini.

Ketika ini, kakinya telah berhenti betul-betul di hadapan katil pesakit itu. Dia merenung wajah pesakit itu. Satu perasaan aneh mula menyusup di dalam jiwanya. Dia merenung leka pesakit tersebut. Pesakit itu tidak menghiraukannya sebaliknya hanya merenung ke satu arah tanpa bergerak. Sesekali matanya berkelip.

Matanya bundar dan bulu matanya melentik, pipinya berisi tetapi tidak tembam sebaliknya mulus, rambutnya dibiarkan terurai tidak bersikat, bibirnya mungil dan kemerahan, dahinya tidak terlalu besar dan tidak terlalu kecil, wajahnya bersih tanpa sebarang cela tetapi dari riak wajahnya seakan menyimpan sesuatu. Sesuatu yang dia tidak ingin ceritakan kepada sesiapa.

Azirul merayapkan wajahnya ke seluruh wajah pesakit itu. Perasaan simpati tidak semena-mena menjalar dalam dirinya. Walaupun sempurna sifat fizikalnya, tetapi wanita itu diuji dengan kekurangan akal warasnya.

Perlahan-lahan tangan Azirul diangkat bagi menyapa pesakit tersebut. Belum sempat tangannya menyentuh wajah pesakit tersebut, bahunya ditepuk.

“Kau buat apa kat sini? Aku sibuk bagi penerangan kalih je tengok kau tak ada.”rungut Dr. Zakiah.

Azirul terhenti untuk menyapa. Dia mengalihkan pandangan ke arah Dr. Zakiah dan kemudian ke arah pesakit tersebut. Azirul menjadi tidak keruan dan tidak tentu arah.

“Pesakit ini namanya Lisa. Dah hampir 2 tahun di sini. Menghidap penyakit depresi atau kemurungan yang teruk. Sepanjang berada di sini, beginilah perlakuaannya. Tidak pernah bercakap dengan sesiapa pun.”ringkas Dr. Zakiah memberikan penerangan terhadap pesakitnya itu.

Azirul hanya mengangguk kecil memahami penjelasan Dr. Zakiah. Matanya masih leka memerhati wajah pesakit tersebut.

“Jom! Masih banyak lagi yang perlu aku terangkan dekat kau tentang peranan psikitri ini.”ujar Dr. Zakiah.

Lantas dia mengorak langkah mendahului. Azirul lambat-lambat menuruti langkah Dr. Zakiah dalam keterpaksaan. Sebaik menjauh Azirul mengalih pandangan ke arah Lisa sekilas. Perlahan-lahan bibirnya dibuka dan menyebut nama Lisa. Kemudian dia terus berlalu pergi.

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.