BAB 8

“Macam mana dengan anak saudara kita sorang tu?”soal Hajah Senah. Dia menyerahkan secawan kopi panas kepada suaminya.

Haji Leman menyambut unjukan tersebut lalu mengucapkan terima kasih. Kopi tersebut dihirup perlahan lalu diletakkan di atas meja berdekatan dengannya. Angin petang yang berpuput lembut terasa menyamankan. Suasana di kampung sangat berbeza dengan kehidupan di kota. Haji Leman duduk bersila di dalam pondok kecil yang dibina khas olehnya yang digunakan sebagai tempat beristirehat. Lazimnya waktu petang begitu, Haji Leman sering duduk berehat di pondok tersebut.

“Saya tak tahu nak cakap macam mana. Cuma abang harap dia dapat menerima kenyataan yang tunangnya telah meninggal dunia.”balas Haji Leman. Hampir seminggu Haji Leman dan Hajah Senah telah pulang ke kampung halamannya di Pahang.

“Saya tengok nampak macam teruk keadaan dia tu. Risau pulak saya tengok.”kata Hajah Senah. Wajahnya muram bila mengenangkan Raimy Nazri.

Haji Leman mengeluh perlahan.

“Dia terlampau sayang tunangnya itu. Bila tiba-tiba jadi perkara macam tu, dia payah untuk terima kenyataan tersebut. Saya pun sebenarnya simpati juga tengok keadaan dia macam tu. Kita cuma berupaya untuk beri nasihat. Yang hadapinya si Raimy tu.”balas Haji Leman.

“Ini semua ujian ALLAH. Dia sepatutnya perlu terima dengan hati yang terbuka.”kata Hajah Senah.

“Betul tu Senah. Abang bimbang juga tengok keadaan Raimy. Takut dia terlalu terbawa-bawa sehingga mengancam dirinya.”tambah Haji Leman lagi. Cawan berisi kopi dicapai lalu dihirup perlahan. Sejalur rasa pahit dan manis melewati kerongkong.

“Kita kena sama-sama berdoa agar dia cepat pulih daripada keadaan yang dialaminya sekarang ni.”tokok Haji Leman lagi.

“Nanti kalau senang-senang kita pergi melawat si Raimy tu. Kesian pulak dia tinggal sorang-sorang.”ujar Hajah Senah.

“Hmm.. Abang pun tak sanggup sebenarnya nak tinggalkan dia sorang-sorang tapi keadaan yang memaksa. Lepas abang dapat cari pekerja untuk jaga ternakan, kita pergilah dekat si Raimy.”balas Haji Leman. Kopi panas dihirup lagi sebelum dia bingkas bangun dan menuju masuk ke dalam rumah untuk menunaikan solat Asar.



Raimy Nazri kembali bekerja. Meskipun demikian semangatnya yang hilang masih belum pulih sepenuhnya. Keadaanya masih seperti biasa seperti sebelum-sebelumnya. Tempoh cuti yang diberi oleh pihak atasan kepadanya ternyata tidak merubah diri dia. Raimy Nazri tetap dengan perlakuaannya yang sering murung. Tetapi dari aspek kerja, sedikit sebanyak Raimy Nazri mula menunjukkan perkembangan positif. 

Tugas yang diamanahkan telah dilakukan dengan baik. Hal ini sedikit sebanyak melegakan hati pihak atasan. Sekurangnya Raimy Nazri berjaya fokus terhadap kerjanya dan menepikan kemelut peribadi yang sedang dialaminya itu.

Wan Latifah dan Fahrin yang melihat Raimy Nazri telah kembali bertugas tersenyum lembar menyambut kehadiran sahabatnya itu. Begitu juga dengan rakan sekerja yang lain. Masing-masing turut memainkan peranan dengan memberikan kata-kata semangat kepadanya. Hanya itu yang mampu dilakukan oleh mereka untuk mengembalikan semula Raimy Nazri yang dahulu. Seorang pekerja merangkap penulis novel yang sentiasa komited dengan tugas dan sentiasa hadir dengan idea-idea baharu yang dapat memajukan syarikat.

Welcome backbro!”ucap Fahrin. Dia bersandar di meja Raimy Nazri.

Raimy Nazri yang sedang menaip mengangkat wajahnya dan tersenyum hambar. Wajahnya masih dibiarkan ditumbuhi jambang dan janggut. Cuma rambutnya saja yang tersisir rapi. Fahrin meletakkan bungkusan yang berisi makanan dan minuman di atas meja Raimy Nazri.

“Ini nasi lemak yang selalu kau makan berserta teh tarik. Aku belanja hari ni!”sengih Fahrin menuturkan kata.

“Terima kasih, Fahrin.”balas Raimy Nazri sekadar menjaga hati rakannya. Seleranya masih belum terbuka untuk menjamah makanan tersebut walaupun nasi lemak itu yang sering menjadi pilihannya.

“Amboi belanja Raimy je? Habis aku ni?”usik Wan Latifah yang baru sahaja muncul.

“Kau tak apa. Laki kau boleh belanja kan.”sahut Fahrin.

“Laki aku? Siapa?”berkerut dahi Wan Latifah memikirkannya.

“Tu mamat bangla yang kerja kontrak buat rumah dekat seberang jalan.”seraya terhambur ketawa Fahrin. Raimy Nazri yang pada mulanya tersenyum hambar perlahan-lahan ketawa.

“Kurang asam!”getus Wan Latifah lalu terus berlalu ke arah mejanya. Malas melayan karenah Fahrin yang suka menyakatnya. Tetapi melihat senyuman yang terukir di bibir Raimy Nazri sebentar tadi sekurang-kurangnya membuatkan hati dia lega.

Azril yang memerhati gelagat mereka bertiga hanya mencebik. Pandangan matanya menerkam wajah Raimy Nazri dengan penuh kesumat. Masih terasa sakitnya tumbukan tempoh hari tetapi bukanlah secara zahir sebaliknya bersifat dalaman. Tetapi lelaki itu puas apabila musuhnya itu tidak dapat berkahwin dengan wanita yang turut dicintainya. Azril tersenyum puas hati melihat kesengsaraan Raimy Nazri kerana kehilangan tunangnya.

Sebaik Wan Latifah berlalu, Fahrin menyambung perbualannya dengan Raimy Nazri.

“Dalam minggu hadapan agak-agak kau sibuk tak?”soal Fahrin.

“Hmm.. Ada apa minggu depan?”soal Raimy Nazri semula mendapatkan kepastian.

“Minggu depan kan ofis akan ambil cuti selama 3 hari sempena sambutan Tahun Baru Cina. Jadi kami rakan-rakan dekat ofis ni rancang nak pergi jalan-jalan di Pulau Pinang. Kami ingat nak ajak kau sekali.”terang Fahrin.

Sebenarnya percutian itu telah dirancang oleh mereka. Tujuannya supaya Raimy Nazri dapat turut serta untuk melepaskan segala tekanan yang menyesakkan jiwanya.

Raimy Nazri yang mendengar nama negeri Pulau Pinang. Negeri itu menyimpan sejuta kenangan dia bersama Dayang Haliza. Di negeri itulah pertama kali dia bertemu dengan arwah tunangnya, di situlah pertama kali lafaz cintanya terucap dan di Pulau Pinang juga cinta antara mereka bersemi. Tidak semena-mena kenangan bersama Dayang Haliza menggamit perasaan.

“Jadi kau nak ikut kami tak?”soal Fahrin sebaik melihat Raimy Nazri hanya mendiamkan diri.

Lamunan Raimy Nazri berkecai. Dia menggeleng lemah. “Aku rasa aku tak dapat join korang kot. Aku minta maaf lah ek.”balas Raimy Nazri.

Jawapan yang diterima mengecewakan Fahrin. Rancangannya untuk membawa Raimy Nazri bersiar-siar bagi menghiburkan sedikit hati yang sedang lara terbantut. Fahrin beransur-ansur pulang ke mejanya.

Sebaik Fahrin berlalu, fikiran Raimy Nazri melayang. Kerjanya yang dilakukannya sebentar tadi tergendala. Kala ini dia hanya merindui Dayang Haliza. Hatinya benar-benar dibelasah rindu. Gambar di dalam bingkai yang terletak di sudut meja dicapai. Wajah Dayang Haliza ditatap lama. Perasaan sebak terasa bertakung di jiwa. Sungguh berat dan sengsara dirasakan. Tidak semena-mena fikirannya terimbau tatkala mereka membeli cincin perkahwinan tempoh hari.

Imbas kembali

Raimy Nazri membelek cincin emas bertahtah berlian itu sambil diperhati oleh Dayang Haliza. Kemudian dia menyerahkan cincin tersebut kepada tunangnya. Dayang Haliza membelek-belek cincin emas tersebut. Lalu disarungkan ke jari manisnya. Cukup cantik dan padan. Dia tersenyum melihat Raimy Nazri.

“Sayang suka cincin ni.”ujar Dayang Haliza membuat pilihan.

Raimy Nazri tidak banyak bersoal. Sesudah membuat bayaran mereka terus berlalu. Di dalam perjalanan, Dayang Haliza yang lazimnya banyak bercakap hanya mendiamkan diri. Perubahan itu disedari oleh Raimy Nazri.

“Kenapa sayang diam saja dari tadi?”tanya Raimy Nazri sekadar mengambil berat.

Dayang Haliza melemparkan senyuman hambar. “Tak ada apa lah. Cuma sayang terfikir sesuatu saja.”

“Apa yang sayang fikirkan?” Tangannya memutar stereng kereta ke arah kiri membelok.

“Macam mana kalau sayang pergi dahulu dari abang?”soal Dayang Haliza.

Soalan tersebut ternyata mengejutkan Raimy Nazri.

“Apa sayang cakap merepek ni? Abang tak suka tau tak sayang cakap benda-benda macam ni.”nada suara Raimy Nazri sedikit meninggi.

“Tapi jodoh, hidup dan kematian semua di tangan ALLAH. Sayang cuma terfikir kalau sayang pergi dahulu dari abang, cinta kita pasti akan terkubur bersama.”ujar Dayang Haliza.

Raimy Nazri memberhentikan kereta di simpang jalan. Dia memerhati wajah tunangnya erat.

“Kita bakal berkahwin tak lama lagi. Jadi abang percaya jodoh kita kuat dan kita bakal disatukan dalam jalinan ikatan yang sah. Cinta kita akan terus bersemi untuk selamanya.”ucap Raimy Nazri ikhlas.

“Tapi andainya sayang pergi dahulu sebelum semua itu berlaku?”ulang Dayang Haliza lagi.

Raimy Nazri mengeluh perlahan. “Andai itu berlaku, abang redha dengan ketentuan takdir.”

“Abang kena janji yang abang akan cari pengganti yang lebih baik daripada sayang dan abang takkan mudah patah semangat walaupun sayang dah tiada di sisi abang.”Dayang Haliza menuntut Raimy Nazri agar berjanji.Raimy Nazri pada mulanya enggan tetapi sebaik dipaksa akhirnya dia akur. Dia menggenggam erat tangan Dayang Haliza denga rasa kasih yang menggunung dan rasa cinta yang tinggi melangit.



Raimy Nazri tersedar daripada lamunannya. Air mata yang terasa ingin mengalir pantas diseka. Kenangan itu telah berlalu tetapi masih segar di dalam ingatannya. Kalau tunangnya masih hidup dan melihat keadaannya sebegini pasti Dayang Haliza akan berasa sedih. Raimy Nazri mula sedar dengan janji yang pernah dibuat dahulu. Matanya dipejam erat.

“Abang, saya tak nak abang patah semangat. Walau sayang tak ada lagi di dunia ini, tapi sayang tetap hidup di hati abang.”

Suara Dayang Haliza kedengaran terngiang-ngiang di telinganya. Suara tersebut hanyalah merupakan satu cetusan imbasan yang bermain di fikiran. Raimy Nazri menghela nafas berat. Dia tidak boleh terus menerus begitu. Semangat perlu diraih semula bagi mengharungi kehidupan yang masih panjang.

“Fahrin..”panggil Raimy Nazri.

Meja Fahrin tidak begitu jauh dengan Raimy Nazri. Fahrin yang mendengar namanya dipanggil segera berkalih.

“Cuma nak beritahu. Jangan lupa simpan tempat untuk aku nak pergi Penang minggu depan.”ujar Raimy Nazri.

Kata-kata Raimy Nazri disambut dengan senyuman riang Fahrin. Dia mengangkat ibu jari sebagai isyarat bagus. Raimy Nazri turut tersenyum dan membalas dengan isyarat yang sama.

Previous: BAB 7
Next: BAB 9

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.