BAB 1

Raimy Nazri menconteng kertas putih yang berada di hadapannya. Sekadar mencoret beberapa lakaran idea untuk hasil karyanya yang terbaharu. Wajahnya kelihatan berkerut serius. Mujur portfolio yang dipinta oleh pihak atasan telah disiapkan olehnya. Kalau tidak lagi bertambah-tambah sakit kepala memikirkan timbunan kerja. Raimy Nazri memegang sebatang pen tetapi pandangannya hanya terpaku ke arah kertas kosong tersebut. Jarinya tidak bergerak menulis mahupun melakar sesuatu.

Di dalam bakul sampah kecil yang terletak di bawah meja kerjanya penuh dengan timbunan kertas yang direnyuk. Begitulah cara dirinya bekerja. Semuanya renyukan kertas tersebut adalah idea-idea yang tercetus tatkala mencari ilham tetapi ternyata kesemua buah fikiran yang muncul tidak cukup mantap untuk diketengahkan dalam novelnya yang terbaharu. Walaupun ada idea yang dirasakannya bagus tetapi kesinambungan terhadap penceritaan tersebut dirasakannya susah untuk digarap. Raimy Nazri mengeluh sendirian.

Begitulah kehidupan seorang penulis novel sepertinya. Walaupun pekerjaan menulis novel cuma hanya kegiatan sampingan bagi mengisi masa lapang tetapi Raimy Nazri tetap komited dengan hasil kerjanya. Dia mahukan penulisan serta isi penceritaan yang diangkat serta digarap adalah kemas disamping diselitkan dengan unsur-unsur nasihat. Bukan dia tidak mahu menjaja kisah cinta yang sering menjadi tumpuan pencinta novel, tetapi Raimy Nazri lebih gemarkan sesuatu yang luar biasa dalam setiap penulisannya. Bak kata orang lain daripada yang lain. Bukan hanya mengangkat sebuah kisah cinta tangkap leleh dan menjaja unsur-unsur lucah yang pastinya meracuni minda pembaca muda.

Bukan tidak ada karyanya yang mengangkat kisah pencintaan sebagai tema utama tetapi setiap kisah cinta yang dibawa akan sentiasa diselitkan dengan unsur seram, thriller, mistik dan pelbagai lagi. Ibarat nasi kosong jika dimakan hanya dengan kari semata-mata pasti tidak berselera untuk dijamah. Tetapi jika dicampur dengan ayam goreng, sayur dan ditambah pula dengan pemanis mulut pasti makanan tersebut menjadi sangat menyelerakan. Yang paling penting setiap hasil karyanya mesti padat dengan pengkongsian ilmu tidak kira tentang keagamaan mahupun isu semasa.

Raimy Nazri tidak mahu pembaca hanya dimomok dengan sebuah novel yang hanya mengetengahkan perjalanan cerita semata-mata dan mengabaikan aspek-aspek yang lain. Hal ini membuatkan pembaca berasa seolah-olah membakar duit mereka. Dia sedar masyarakat sekarang sangat dahagakan ilmu. Satu cara menyampaikan ilmu adalah melalui penulisan yang mengangkat pelbagai watak lalu diselitkan dengan unsur konflik bagi menarik minat pembaca untuk mengikuti perjalanan cerita sehingga tamat. Yang paling penting dia menulis dengan menggunakan ‘hati’. Yang dikejar bukanlah kuantiti sebaliknya kualiti.

Itulah resepi kejayaan dirinya selaku penulis novel yang terkenal. Sebut sahaja nama Raimy Nazri pastinya ramai yang mengenali dirinya. Kalau membuat cerita cinta, pencintaannya sungguh indah. Kalau dia membuat cerita seram, pembaca seakan tidak sanggup untuk menghabiskan novel tersebut. Tahap keseramannya sehingga boleh menimbulkan igauan ngeri. Itu belum lagi jika melihat hasil karyanya yang bersifat thriller dan misteri. Pembaca pasti tertanya-tanya setiap situasi dan penyelesaian terhadap kemelut yang dihadapi oleh watak.

Begitulah sifat Raimy Nazri. Dia menulis dengan kejujuran dan setiap cerita ada mesej yang ingin disampaikan olehnya. Raimy Nazri gemar mempelbagaikan genre novel yang ditulisnya dan bukan hanya memfokuskan kepada satu bidang semata-mata. Bagi Raimy Nazri, satu kepuasan apabila mampu mencabar dirinya sendiri untuk menulis pelbagai genre karya yang lazimnya tidak mampu dibuat oleh semua orang.

“Jauh termenung nampak novelis kita seorang ni. Teringatkan buah hati ke?”

Teguran tersebut membuatkan Raimy Nazri sedikit tersentak. Pantas dia mengangkat wajahnya. Wajah Wan Latifah menjengah di pandangan matanya. Wanita itu tersenyum mengusik.

“Ke situ pulak kau ni.”tingkah Raimy. Dia menarik kertas kosong bersaiz A4 yang terletak di atas meja lalu dilipat dan dimasukkan ke dalam laci.

“Dah ada idea baru ke nak buat novel baru. Kongsi lah dengan aku?”soal Wan Latifah ingin tahu.

Raimy Nazri hanya mengangkat bahunya.

“Entahlar. Aku pun masih buntu sebenarnya ni. Puas berfikir tapi idea tak datang-datang jugak.”rungut Raimy Nazri.

“Pelik! Takkan penulis yang dah menulis berpuluh-puluh novel tiba-tiba hari ni mati idea.”Wan Latifah berhenti sejenak berkata. Dia seperti berfikir sesuatu sebelum menyambung kata-katanya.

“Jangan cakap yang kau dah nak berhenti menulis novel. Menangis peminat-peminat kau kang!”tambah Wan Latifah bersungguh-sungguh.

Raimy Nazri pantas menggeleng.

“Tak terlintas lagi dalam fikiran aku nak berhenti menulis novel. Aku masih belum puas. Cuma..sejak akhir-akhir ni fikiran aku buntu. Aku dah macam kekeringan idea.”Raimy menjelaskan perkara yang sebenar. Jujur dia masih belum puas berkarya memuntahkan segala idea tetapi sejak kebelakangan ini fikirannya buntu dalam mencari buah fikiran yang terbaru.

Wan Latifah mengeluh kecil.

“Kalau macam tu kempunan lar aku nak baca karya terbaru kau. Lambat lagi lah..”rungut Wan Latifah perlahan.

“Amboi korang. Asyik bergosip nampak.”tegur satu suara secara tiba-tiba.

Serentak Raimy Nazri dan Wan Latifah berkalih. Fahrin tersengih-sengih muncul dan bertongkat tangan di hadapan meja Raimy Nazri. Setiap meja staf akan diletakkan satu penghadang yang separa penuh bagi memudahkan setiap pekerja membuat tugas tanpa rasa terganggu. Begitulah syarikat EL Holding yang sangat menitikberatkan keselesaan setiap pekerjanya. Syarikat tersebut merupakan salah satu syarikat terkemuka di ibu kota Kuala Lumpur.

“Apa cerita ni? Serius je aku tengok korang berbual?”soal Fahrin ingin tahu.

“Tak adalah serius sangat. Cuma si Raimy ni cakap dia dah kekeringan idea untuk menulis novel.”Wan Latifah memberitahu perkara yang sebenar.

Fahrin membeliakkan matanya. “Betul ke ni bro?”soalnya inginkan kepastian.

Raimy Nazri mengangguk berulang kali. “Hmm.. Betul lah kot..”

“Ini dah kira pelik. Sepelik cerita yang selalu kau ketengahkan dalam novel-novel kau.”balas Fahrin pula.

Wan Latifah menampar lengan Fahrin.

“Apa hal kau cakap novel si Raimy ni pelik? Aku tengok best je jalan cerita. Tambah-tambah kalau kisah cinta. Sungguh terbuai rasa. Aku rasa macam aku pulak yang ada dalam cerita tu dan menghayati keindahan cinta.”balas Wan Latifah.

Dia tersenyum lalu memejamkan mata sambil mengenangkan semula novel-novel Raimy Nazri yang disadurkan dengan kisah cinta. Dirinya yang masih belum berpunya sudah pasti dahagakan kasih sayang daripada seorang lelaki. Dan yang pasti, kalau boleh dia mahukan lelaki yang menjadi suaminya adalah seperti watak hero dalam setiap novel Raimy Nazri. Sungguh berkarisma dan mempunyai ciri-ciri lelaki idaman setiap wanita.

“Mulalah tu nak berangan.”Fahrin mencebik. 

“..aku bukan cakap novel dia pelik. Cuma kisah-kisah dia semuanya sukar untuk dijangka. Pasti ada twist plot dalam novel mamat ni. Contoh macam novel terbaharu dia, “ Hilang’. Cukup analatikal setiap penceritaan sampai aku rasa macam aku berada dalam kisah tu. Dan setiap pembunuhan yang dilakukan oleh watak jahat sangat teliti dan terperinci. Yang paling aku tak jangka rupa-rupanya si pembunuh dan penculik rupa-rupanya jirannya dan juga merangkap kawan baik hero tu sendiri.”jelas Fahrin panjang lebar.

Wan Latifah mengangguk.

“Aku setuju! Sangat setuju! Bahkan plot penceritaan cukup mendebarkan. Bukan saja novel terbaru ni tetapi novel-novel yang dahulu pun cukup mantap. Two thumbs up!”puji Wan Latifah ikhlas.

Raimy tersenyum mendengar pujian tersebut. 

“Terima kasih kawan-kawan sebab menyokong karier dan penulisan aku.”ujar Raimy Nazri.

Dia mula menulis novel sejak zaman universiti lagi dan semakin rancak apabila dia diterima kerja di EL Holding. Yang menjadi pengkritik tetap setiap hasil karyanya pasti kedua-dua rakannya itu. Setiap kritikan mahupun pujian diterimanya dengan hati yang terbuka sebab perkara itu membantu dalam pembentukan idea dan jalinan cerita yang mantap. Tanpa pembaca siapalah seorang penulis novel. Oleh itu pandangan mereka harus diambil kira.

“Jangan risau bro. Dalam almari bacaan aku semua tersusun karya-karya kau saja. Aku tetap akan sokong setiap cerita kau.”Fahrin bersungguh-sungguh berkata.

“Betul tu. Kami akan tetap menyokong karya kau tak kira walau apa pun terjadi.”sokong Wan Latifah.

Raimy Nazri tersenyum. Dalam hatinya bersyukur kerana dikurniakan kawan-kawan yang sentiasa ada di saat dia susah mahupu senang.

“Mungkin aku patut berehat buat sementara waktu daripada menulis. Lagipun terlalu banyak watak dalam otak aku ni sampai kadang-kadang aku terkeliru dengan apa yang aku cuba ceritakan.”Raimy Nazri mengambil kata putus.

“Bagus juga kalau kau berehat buat sementara. Lagipun kau kan dah nak kahwin.”balas Fahrin.

Mendengar perkataan kahwin membuatkan Raimy Nazri teringatkan sesuatu. Pantas dia menepuk dahinya.

“Astaghfirullahhallazzim.. Macam mana aku boleh lupa petang ni tunang aku ajak pergi tengok pakaian pengantin.” Raimy benar-benar lupa tentang hal itu.

“Kau ni benda tu pun boleh lupa. Nanti dah kahwin, bini pun kau lupa ada dekat rumah.”usik Wan Latifah.

“Aku betul-betul lupa lah.”balas Raimy Nazri.

Pantas jam di tangan dilihat sekilas. Jam menunjukkan pukul 3.30 petang. Mujur masih ada sejam sebelum dia berjumpa dengan bakal isterinya di Butik Azz Anggun. Sempat dia mencuri pandang sekilas gambar tunangnya yang terletak di sudut sebelah kanan mejanya.

Fahrin hanya menggeleng melihat gelagat Raimy. “Aku rasa kau dah kering idea nak buat novel sebab kau dah tak sabar nak kahwin. Betul tak, Wan?”usik Fahrin sambil cuba mendapatkan sokongan Wan Latifah.

“Betul tu! Aku setuju sangat!”balas Wan Latifah. Dia tertawa kecil.

“Korang ni ada saja nak sakat aku.”kata Raimy Nazri. Dia tersenyum menerima usikan tersebut.

Tiba-tiba perbualan mereka terhenti apabila satu dentaman kuat berbunyi dari arah sebelah kanan. Timbunan fail kelihatan tersusun di atas meja Wan Latifah.

“Waktu pejabat pun nak menyembang. Kalau macam ni macam mana syarikat nak maju. Kalau aku jadi bos dah lama aku pecat pekerja malas macam korang ni.”herdik Azril dengan suara separa kuat. Wajahnya kelihatan tegang. Diam-diam dia mencuri dengar perbualan mereka bertiga sebentar tadi. Sakit hatinya apabila mendengar pujian melambung ke atas Raimy Nazri. Telinga terasa bernanah mendengar kata-kata tadi.

“Aku menyembang sebab kerja aku dah siap.”garang Wan Latifah membalas.

Raimy Nazri dan Fahrin sekadar melihat sebab mereka memang telah masak dengan sikap Azril yang gemar mencetuskan provokasi.

“Ni ada fail yang kau kena susun dan check balik. Bos suruh kau buat. Jadi kerja apa yang kau dah siap?”soal Azril. Sengaja dia cuba mencetuskan kemarahaan Wan Latifah kerana wanita itu mudah terpancing emosinya.

Wan Latifah mengetap bibir geram. Kemarahan terasa membuar tetapi dipendam.

“Kalau setakat buat novel, ciplak idea orang lain dan guna nama sendiri sebagai penulis, pengemis tepi jalan pun boleh jadi kaya.”sinis Azril mengutuk.

Raimy Nazri hanya mendiamkan diri menerima penghinaan tersebut yang jelas-jelas menjurus ke arah dirinya. Fahrin mengepal penumbuknya geram. Sakit hatinya apabila mendengar kawan baik dan juga novelis yang dipujanya itu dihina sedemikian rupa.

“Apasal kau busuk hati sangat hah?!”tempelak Wan Latifah. Kemarahannya tidak dapat dibendung lagi. Raimy Nazri yang sedari tadi duduk mula bangun daripada kerusinya dan cuba menenangkan Wan Latifah.

Azril hanya tersenyum sinis cuba memarakkan lagi api kemarahan Wan Latifah. .

“Lebih baik kau sambung kerja sebelum aku report dekat bos pasal korang.”ugut Azril. Sejurus dia berjalan dengan penuh keangkuhan meninggalkan mereka bertiga.

“Kaki ampu!”getus Wan Latifah sendirian.

Lantas dia berjalan dengan penuh bebal menuju ke arah mejanya. Kerusi yang kakinya beroda ditolak keras dan dia menghenyak punggung lalu menyambung tugas yang baru diberi. Fail dicapai dan diselak dengan kasar tanda protes.

“Apahal Azril tu daripada dulu aku tengok dia tak puas hati dengan kau?”soal Fahrin ingin tahu.

Sejak daripada Raimy Nazri bekerja di syarikat itu 5 tahun yang lalu, sejak dari itu lelaki itu sentiasa cuba mencetuskan perbalahan. Ternyata dia sangat membenci Raimy Nazri. Namun sejak setahun Raimy Nazri melangsungkan pertunangannya dengan Dayang Haliza, sikap Azril semakin menjadi-jadi.

Persoalan Fahrin hanya dibiarkan tergantung tanpa jawapan. Azril bukan baru memusuhi dirinya tetapi sejak daripada zaman universiti lagi. Yang pasti Raimy Nazri dapat mengagak punca kebencian lelaki itu kepada dirinya.



Dayang Haliza menanti di hadapan Butik Azz Anggun dengan penuh sabar. Sesekali dia melingaskan pandangan ke arah jam Guess yang terikat kemas di tangan. Rambut yang panjang terurai disibakkan ke belakang. Jam telah menunjukkan hampir pukul 5.00 petang tetapi kelibat tunangnya masih tidak kelihatan. Dayang Haliza merengus perlahan.

Walaupun mereka telah lama berkawan dan bercinta tetapi keputusan untuk melangsungkan pertunangan diambil sejak setahun yang lalu. Bukan mereka tidak mahu bertunang dan melangsungkan perkahwinan dengan lebih awal tetapi pasangan itu mahukan kedudukan ekonomi yang stabil demi perancangan keluarga yang lebih baik. Mereka tidak mahu berkahwin dalam situasi masing-masing bergelut untuk melepaskan diri dalam tekanan hidup yang semakin hari semakin hebat. Tambahan pula dengan peningkatan kos sara hidup pastinya akan membebankan.

Tetapi alhamdulillah sejak kebelakangan ini, rezeki mereka berdua mencurah-curah. Dayang Haliza yang bekerja sebagai staf jualan di syarikat MA Holding kini telah dinaikkan kadar gaji disebabkan prestasi kerja yang cemerlang. Sementara tunangnya pula bekerja sebagai staf dalam bidang pemasaran di EL Holding dan dalam masa yang sama sebagai seorang penulis novel. Duit hasil gaji dan royalti hasil penjualan novel dilihat cukup untuk menampung kehidupan mereka berdua. Lantas keputusan untuk mendirikan rumah tangga telah diambil.

Dayang Haliza mengetap bibirnya geram. Raimy Nazri masih tidak kelihatan lagi. Telah hampir sejam dia menunggu tetapi hampa. Panggilan telefon telah berulang kali dibuat tetapi tidak berjawab. Selang beberapa minit menunggu kelihatan kereta milik Raimy Nazri membelok di selekoh yang terletak bertentangan di hadapan butik tersebut. Lalu kereta tersebut diparkir lebih kurang 5 meter daripada kawasan Dayang Haliza berada.

Raimy Nazri keluar daripada perut kereta lalu menekan butang hijau di bahagian anak kunci. Dia melangkah menghampiri tunang yang dikasihinya itu. Dari jauh jelas kelihatan raut wajah tunangnya yang pasti marah apabila menunggu terlalu lama.

“Abang pergi mana? Saya tunggu lama tau tak. Nasib baik butik ni tak tutup lagi. Kalau tak minggu depan pula kena datang. Abang bukan tak tahu saya susah nak dapat pelepasan pulang awal kerja. Ini dah dapat, abang pula yang lambat.”leter Dayang Haliza sebaik Raimy Nazri tiba.

Raimy Nazri yang masak dengan sikap Dayang Haliza yang kuat berleter hanya mengangguk-angguk dan mengiakan sahaja tanpa mencelah. Setelah tunangnya diam, barulah Raimy Nazri bersuara.

“Dah habis? Dengar sini penjelasan abang. Tadi abang dah keluar awal. Tapi biasalah petang-petang macam ni jalan sesak. Abang tersangkut dalam kesesakan lalu lintas. Itu yang lambat.”terang Raimy Nazri dengan nada suara yang lembut. Pendekatan berlembut digunakan untuk menyejukkan hati tunangnya yang panas.

“Kalau iya pun sekurang-kurangnya beritahu lar dekat saya. Tak ada saya tertunggu-tunggu. Panas tau tak.”rungut Dayang Haliza lagi. Nada suaranya yang meninggi mula mengendur.

“Abang tahu salah abang. Abang minta maaf ye.”pujuk Raimy Nazri. Dia mencuit hidung tunangnya.

Dayang Haliza hanya dia dengan wajah yang mencuka. Tetapi sekurangnya pujukan tunangnya itu menyejukkan hatinya. Ibarat api yang dicampak dengan ais. Walau tidak berupaya memadamkan tetapi sekurangnya mampu meredakan kemarakan api tersebut daripada terus membakar.

“Dahlar. Mari kita masuk dalam. Tengok baju pengantin kita yang dah siap. Nanti tutup pula butik ni.”kata Dayang Haliza.

Raimy Nazri hanya tersenyum dan menurut langkah bakal isterinya itu daripada belakang. Hanya tinggal tiga bulan sahaja lagi mereka bakal melangsungkan pernikahan dan menjalinkan ikatan yang sah.

Previous: Prolog
Next: BAB 2

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.