Home Novel Keluarga Pelangi....Sayangku
Pelangi....Sayangku
Cheeto
26/2/2014 09:57:48
55,243
Kategori: Novel
Genre: Keluarga
Bab 20

“Bang, bangun bang sembahyang subuh kemudian bolehla pergi kerja” kejut Maimun. Senyap dan sunyi. Sedikit bunyi pun tidak ada. Agak pelik perangai suaminya hari ini kebiasaanya jika dikejut ia akan terus bangun. Maimun bangkit dari tidur dan bergerak kedapur untuk menyediakan sarapan buat suaminya.

“Mun, abang pergi kerja dulu dah lambat ni” pekik suaminya beberapa minit kemudian.

“Aik?? Lambat?? Jam di dinding baru menunjukkan pukul 7 pagi, awal lagi ni” jawab Maimun sendirian.

“Eh Abang! Tak mandi dulu ke?”

Tanpa menoleh Badrul terus sahaja menghidupkan enjin kereta dan bergerak ke tempat kerja. Seperti orang yang kesiangan.

“Kebiasaannya jam 9 baru bergerak namun hari ini awal sangat” getus Maimun.

“Pelik” gumam Maimun sambil mengelengkan kepalanya.

Terdengar suasana riuh dikawasan itu. Itam membuka matanya perlahan dan dalam samar-samar matanya kelihatan orang lalu lalang.

“Ngiau!!” jeritnya. Sakit akibat dipijak oleh seorang wanita.

“Alamak! Sorry… akak tak nampak adik kat bawah” wanita terbabit mengangkat Itam, rasa bersalahnya kerana telah memijak ekor Itam dengan tidak sengaja. Di urut-urut perlahan. Wanita itu senyum untuk Itam.

“Maafkan kakak ye sayang” satu ciuman singgah di kepalanya dan kemudian diletakkan di bawah semula.

tam bergerak meninggalkan wanita itu yang menyambung sarapannya.

“Nyau…nyau…” suara Itam. Dirinya seperti tersepit ditengah-tengah kesibukan manusia yang berada disekelilingnya. Berlari-lari menyembunyikan diri apabila ada beberapa orang menghalaunya. Seperti tidak suka dengan kehadirannya di situ.

“Syuh!!! Syuh!!!” suara orang menghalaunya.

“Kemana lagi ingin aku pergi?” jerit hatinya. Si Itam kemudian duduk di sudut celah pokok. Walaupun kawasan itu basah akibat hujan yang turun malam tadi namun ia tiada lagi tempat untuk melarikan diri. Terpaksa merehatkan dirinya di situ dengan keadaan yang basah, sejuk dan agak kotor. Perutnya masih lagi sakit sungguhpun bengkaknya sudah berkurangan.

“Yea!!! Yea!!! Jom kita makan Pelangi!” jerit Karmila setelah menuruni kereta. Di angkutnya Pelangi kemana sahaja dia pergi. Jika di sekolah boleh bawa kucing sudah lama ia membawa Pelangi menemaninya. Pelangi yang dipakaikan baju warna merah jambu itu diletakkan diatas meja. Mata-mata pengunjung di warung Pak Leman ada yang senyum, ada yang mencebik. Namun semua itu tidak diendahkan Karmila.

“Mak! Mila nak makan soto nasi eh.” Pintanya setelah mereka berada di salah satu meja berdekatan sebuah pokok yang agak tinggi.

“Sejuknya……” kata Karmila lagi. Buyung ditinggalkan dirumah kerana keadaannya yan kurang baik untuk berada di kawasan sibuk seperti di warung Pak Leman. Pada Buyung, ia tidak kisah ditinggalkan kerana dia tahu anaknya tetap akan berada disisinya semula nanti. Dan Buyung berehat di rumah bersama Ciki.

“Nyau” suara kecil kedengaran. Karmila menoleh kebelakang. Di lihatnya seekor kucing itam kecil sebaya Pelangi.

“Eh ada anak kucing Itam la” Karmila turun dari kerusi da nemndekati anak kucing itu. Dia mengurut-ngurut belakang anak kucing itu. Diangkatnya anak kucing itu.

“Kesiannya awak kebasahan dan kotor”

“Mak ! Ayah! Mila nak bawa balik kucing ini. Mila nak bersihakan dia dan jadikan kawan Pelangi kat rumah. Boleh mereka main sama-sama, Mila teongok mereka berdua ni sama besar la.” Di bawanya anak kucing Itam itu kepada mak ayahnya. Hanya geleng kepala sahaja mereka tengok telatah anaknya. Sememangnya mereka rasa amat bertuah kerana memiliki anak yang begitu penyayang.

Itam di letakkan di sebelah Pelangi. Mereka berpandangan. Pelangi mendekati si Itam. Dijilat-jilat abangnya itu tanda ia memang merindui akan abang setelah dua abangnya lagi telah mati beberapa minggu lepas.

“Wah! Mereka suka antara satu sama lain la” telatah dua ekor anak kucing itu diperhatikan oleh Karmila sekeluarga.

“Baikla intan payung. Mila boleh membela mereka Tetapi kena rajin belajar ye” Sofea memberitahu anaknya yang satu itu dan membelai-belai rambut Karmila.

“Terima kasih Mak! Ayah!” jawab Karmila gembira.

Habis bersarapan di warung Pak Leman, mereka sekeluarga bergerak balik. Karmila mendukung kedua-dua anak kucing itu dengan perasaan gembira. Pada masa yang sama, Farid memerhatikan akan kejadian itu dan menadah tangan ke hadrat Allah tanda syukur kerana ada insan yang mulia mengambil Itam untuk dijaga dengan baik.

“Terima kasih, Ya Allah atas segalanya” diraup ke muka dan Farid berlalu pergi meninggalkan warung itu dengan perasaan yang begitu gembira. Dia akan memberitahu kepada adiknya Enal dengan apa yang dilihatnya itu dan pastinya Enal gembira juga.

Sekembalinya Farid daripada warung Pak Leman, dia diberitahu jiran tetangga yang bekerja bersama ayahnya bahawa ayahnya telah terlibat didalam kemalangan sewaktu menjalankan tugas. Badrul ditimpa besi cerucuk yang jatuh daripada bangunan yang masih belum kukuh. Terkedu Farid dengan berita yang didengarnya itu. Segera ia berlari dan terus berlari menuju ke rumahnya bagi memastikan berita daripada jirannya itu benar.

“Mak! Mak!” jeritan Farid dari luar tidak berbalas. Setibanya di muka pintu alangkah terperanjatnya dengan apa yang dilihat. Ibunya tersedu-sedu. Enal meratap hiba. Sekujur tubuh terbaring di ruang tamu. Dengan perlahan dia mendekati tubuh itu. Dibuka kain penutup dan dilihatnya yang baring itu adalah insan yang pernah dia benci kerana menghukum kucing tanpa belas.

“Allah” sepotong ayat terkeluar daripada mulutnya. Keadaan ayahnya yang amat menyedihkan itu membuatkan dirinya seperti ingin pengsan.

“Semoga Allah mengampunkan dosa mu wahai ayah” sekali lagi Farid bersuara. Kali ini tangisnya kuat dan tidak dapat dibendung lagi. Dipeluk adiknya Enal erat dan ibunya. Adakah ini balasan Allah terhadap hambanya yang menyiksa mahkluk nya? Farid redha. Farid dan Enal kini telah menjadi anak yatim.

Sementara itu, Mak Senah kini menghadapi dilemma bersama anaknya Suri. Sejak peristiwa ia membuang Buyung dan selepas Suri menanam jasad anak-anak Buyung, Putih dan Kelabu, Suri kerap memencilkan diri. Jika dahulu Suri kanak-kanak yang periang namun kini tidak. Akibat daripada kebisuannya menjadikan ia kanak-kanak takut akan orang. Bermacam-macam cara Mak Senah lakukan untuk pulihkan semangat anaknya itu. Semuanya sia-sia belaka. Suri kerap bercakap sendirian yang Mak Senah sendiri tak memahaminya.

“Ya Allah, sembuhkanlah anakku, Suri. Jika ini balasan atas perbuatanku yang tidak berfikir dengan baik kerana merampas kebahagiaan anakku, kau balikkanla keperitan itu kepadaku. Aku tak sanggup melihat anakku jadi begini ya Allah” itulah doa Mak Senah setiap kali bersembahyang agar anaknya itu pulih seperti sediakala.

Mak Senah redha dengan ketentuan yang telah di tetapkan. Kerana nafsunya mendengar cakap jiran dan untuk menjaga hati jiran, dia terlupa untuk menjaga hati anak kesayangannya itu.

Mak Senah selalu terbayang apakah nasib Buyung dan dua lagi anaknya. Penyesalan yang tiada penghujungnya. Dirinya terpaksa menanggung silapnya.

“Suri, maafkan mak nak” sambil memeluk anaknya yang diam seribu bahasa. Sepatah ayat tidak pernah keluar daripada mulut anak kecil itu kerana semangatnya telah dirampas.

Kita sebagai manusia sebenarnya tidak boleh menghukum terus haiwan-haiwan yang tidak berakal ini. Mereka masih mempunyai naluri sungguhpun tidak boleh berfikir seperti kita. Janganlah kita sesekali menghukum mereka atas kesilapan manusia itu sendiri.

Kini sebulan telah berlalu, Buyung kembali bersama–sama dengan kedua-dua anaknya setelah terpisah. Kehidupan mereka bersama keluarga Dr Kamarul amat mengembirakan. Buyung tetap cacat namun semua itu bukan penghalang untuk dia menjaga kedua-dua anaknya itu didepan mata. Air susunya kini tetap dinikmati oleh Pelangi dan Itam, hatinya gembira.

Setahun kemudian,

Pelangi….. Sayangku, ibu gembira kerana kita bertemu semula. Gembiralah engkau bersama keluarga barumu sayang. Ibu gembira dengan pertemuan kita setelah berpisah akibat daripada perbuatan manusia. Ibu sentiasa mendoakan kamu dan adikmu agar sihat dan dapat meneruskan hidup dengan baik disamping keluarga yang penyayang seperti Dr Kamarul. Bermacam dugaan kita telah lalui dalam menjalani kehidupan didunia yang fana ini anakku. Sesungguhnya ibu tidak akan berputih mata kerana apa yang ibu hajatkan telah dimakbulkan. Seandainya ibu tiada lagi selepas ini, teruskan hidupmu. Jagala zuriatmu dengan baik seperti mana setiap ibu menjagamu... Luahan ibu ini harap dapat didengari oleh manusia sayang. Tiada mahkluk didunia ini inginkan kesengsaraan terutama berpisah dengan ahli keluarga mereka sendiri. Peritnya rasa. Akhir kata jagala dirimu, Pelangi ku…….

“Doktor! Doktor! Ibu Pelangi dah nazak!” kata Asmah. Buyung telah jatuh sakit akibat daripada serangan strok yang teruk sejak beberapa bulan yang lalu. Buyung kerap kejang-kejang badan dan kini sedang dirawat oleh Dr Kamarul. Namun Buyung kini tidak lagi dapat menahan sakit lagi. Daya badannya tidak mampu menampung peritnya sakit. Dr Kamarul sudah tidak mampu menahan sedih. Andainya ini adalah jalan terbaik untuk ibu kucing ini dia pasrah dan redha.

Buyung memerhati sekeliling bilik rawatan itu mencari-cari susuk tubuh anak-anaknya. Karmila yang baru sampai membawa kedua ekor anaknya itu untuk menemui ibunya. Diletaknya Pelangi dan Itam di sebelah Buyung.

“Nyau” pendek suara Buyung.

Kedua-dua anak kucing itu menjilat-jilat tubuh badan Buyung. Buyung mengangkat kepalanya dan memanggil mereka. Patuh dengan panggilan itu kemudian Pelangi dan Itam duduk dan menunduk kepala mereka. Dijilat-jilat pula oleh Buyung buat kali terakhir. Jilatan ibu yang terlalu menyayangi anak-anaknya. Setelah puas dijilat mereka keduanya, Buyung kejang balik dan kali ini kejangannya menyebabkan goyangan kuat diatas meja rawatan itu. Kejadian itu disaksikan oleh Karmila dan Puan Sofea. Dr Kamarul cuba menenangkan Buyung. Mata buyung terbuka, mulutnya ternganga.

Dan akhirnya Buyung pergi jua.

Kedua-dua anaknya kembali merapat ke jasad ibunya. Ngiauan demi ngiauan memanggil ibunya untuk bangun. Senyap. Sepi. Hampa.

Perginya Buyung membawa memori  Suri, Fad dan Dr Kamarul bersama-sama jiwa anak-anaknya Putih dan Kelabu. Jasad Buyung di bawa balik dan ditanam di rumah Dr Kamarul. Pelangi dan Itam merenung kubur ibu mereka. Merenung dengan penuh kerinduan. Petang itu Pelangi dan Itam duduk berhampiran dan menemani ibunya, Buyung.

“Ibuku Buyung, dirimu akan kami rindui selalu………"

Pelangi datang buat sementara, hanya warnanya akan memberi kebahagiaan dan kegembiraan buat yang sabar menanti kemunculannnya.


Previous: Bab 19

Portal Ilham tidak akan bertanggungjawab di atas setiap komen yang diutarakan di laman sosial ini. Ianya adalah pandangan peribadi dari pemilik akaun dan ianya tiada kaitan dengan pihak Portal Ilham.

Portal Ilham berhak untuk memadamkan komen yang dirasakan kurang sesuai atau bersifat perkauman yang boleh mendatangkan salah faham atau perbalahan dari pembaca lain. Komen yang melanggar terma dan syarat yang ditetapkan juga akan dipadam.

Karya lain oleh Cheeto